Kita mungkin akan menyaksikan sebuah sedan serba baharu dari Proton bulan hadapan kerana pada September lalu CEO Proton, Dr. Li Chunrong sendiri mengesahkan bahawa model berkenaan akan dilancarkan dalam masa “dua bulan dari sekarang“.
Dan nampaknya semakin hampir tarikh pelancarannya, semakin kerap juga unit prototaip untuk model yang dijangka akan digelar sebagai Proton S50 tersebut dilihat diuji di atas jalan raya awam. Yang terbaharu, kelibat sedan tersebut dapat dibelek oleh seorang pengguna laman sosial TikTok ketika ia berhenti untuk mengisi petrol di sebuah stesen minyak Shell.
Dapat diperhatikan unit kali ini nampaknya menerima gril dengan elemen pin krom seperti pada SUV segmen-D Proton X90, berbeza dengan unit-unit sebelum ini yang mengenakan gril infinite weave seperti pada X70 dan X50. Menurut Proton ketika X90 dilancarkan Mei lalu, rekaan pin krom berkenaan sebenarnya diilhamkan dari corak kain songket Melayu, manakala corak infinite weave sebelum ini diketahui diinspirasikan dari corak ukiran rumah-rumah tradisional asli Melayu.
Mungkin gril-gril ini mewakili varian berbeza yang akan ditawarkan pada S50 kelak? Malah sebelum ini sebuah unit prototaip S50 turut dilihat telah dipadankan dengan kit badan lebih agresif menampilkan spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, spoiler ‘ekor itik’ pada but belakang dan juga unit diffuser belakang yang nampak lebih besar dari sebelum ini.
@thisisfarelll jalan2 terserempak #protons50 ♬ original sound – thisisFARELL
Walaupun Proton S50 ini diasaskan dari Geely Emgrand yang telah pun dijual di China dan Filipina, model yang dibangunkan di Malaysia ini mungkin menerima kelengkapan yang lebih canggih dari model asalnya.
Berdasarkan kamera monokular pada bahagian atas cermin hadapan dan trade plate yang digunakan pada bahagian hadapan mempunyai lubang empat segi yang mungkin digunakan untuk menguji radar gelombang milimeter, S50 nampaknya akan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang tidak ditawarkan pada Emgrand.
Dengan kelengkapan-kelengkapan tersebut, berkemungkinan sistem ADAS pada S50 ini akan memberikan pemanduan autonomi Tahap 2 yang memberikan fungsi bukan sahaja brek kecemasan automatik, malah sistem cruise control adaptif dengan bantuan kekal/pengelak keluar lorong.
Selain itu, S50 turut dijangka akan menampilkan unit rangkaian kuasa lebih baik iaitu enjin 1.5 liter tiga silinder turbo dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan seperti pada Proton X50, berbanding Emgrand di China yang hanya menerima enjin 1.5 liter NA dengan kotak gear CVT.
Ini kerana setakat ini Proton tidak membayangkan akan menggunakan enjin 1.5L NA dari Geely berkenaan untuk mana-mana model baharu, sebaliknya menyatakan enjin 1.5L Turbo yang kini sudahpun dipasang di Tanjung Malim akan menjadi enjin utama untuk model-model baharunya yang akan dilancarkan pada 2023 dan 2024.
Enjin yang dibangunkan bersama oleh Geely dan Volvo serta dikenali dengan kod dalaman GEP3 tersebut akan menggantikan tugas enjin 1.6 liter Campro Turbo sebelum ini yang telahpun ditamatkan terus pembangunannya.
Di Filipina, Emgrand merupakan sedan segmen-B yang bersaing dengan model seperti Honda City dan juga Toyota Vios. Namun menerusi petunjuk yang didedahkan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong pada Mac lalu, Proton S50 bukanlah model sedan segmen-B yang akan menggantikan Proton Persona sedia ada kerana ia merupakan model serba baharu dan tidak akan menggantikan mana-mana model yang sedang dijual di bilik pameran Proton buat masa sekarang.
Oleh itu S50 ini dijangka akan menjadi sedan Proton untuk bersaing dalam kelas segmen-C di Malaysia bagi berhadapan dengan Honda Civic dan Toyota Corolla, kerana ia mempunyai enjin yang cukup berkuasa dan juga sistem ADAS yang cukup canggih setaraf dengan saingannya.
Malah saiz Emgrand di China turut hadir dengan saiz yang agak besar berbanding saingan segmen-B, membolehkan ia masuk ke saingan segmen-C, menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.
Jika dibandingkan dengan Honda Civic FE, Emgrand hanya hanya 40 mm lebih pendek, dan ia adalah 18 mm lebih lebar. Manakala jarak rodanya pula adalah sama sepenuhnya dengan sedan segmen-C Proton yang sudah tidak lagi ditawarkan iaitu Proton Preve.
Kami juga menjangkakan S50 turut akan menampilkan harga seperti Preve iaitu harga seperti segmen-B tetapi dengan ciri seperti segmen-C. Preve sebelum ini dijual pada harga bermula RM59,990 sehingga RM72,990 ketika ia dilancarkan pada 2012, manakala Proton Persona dijual pada harga bermula RM47,800 untuk varian 1.6L Standard CVT hingga RM58,300 untuk varian tertinggi 1.6L Premium CVT.
Dengan Proton X50 yang kini dijual pada harga RM86k hingga RM113k, boleh jadi S50 ini akan dijual bermula RM70k untuk varian paling asas. Anda pula rasa bagaimana? Agak-agak berapa harga S50 ini ketika dilancarkan bulan depan?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.