Triumph siar teaser sportsbike 660 – Daytona kembali?

Triumph siar teaser sportsbike 660 – Daytona kembali?

Triumph, melalui laman media sosial mereka telah menyiarkan beberapa gambar teaser yang menunjukkan sebuah sportsbike, bersama ayat “The Rules Are About To Change.” Turut diberitahu adalah motosikal serba baru ini akan dilancarkan pada 9 Januari 2024.

Ramai yang teruja kerana ini mungkin menjadi petunjuk kembalinya model Daytona, iaitu sportsbike kelas pertengahan keluaran jenama United Kingdom tersebut. Sejak zaman yang sama dengan Street Triple 675 dari tahun 2006, Daytona memang ada ditawarkan kepada awam, tetapi apabila memasuki generasi 765, ia cuma keluar dalam jumlah terhad yang dipanggil sebagai Triumph Daytona Moto2 765 Limited Edition.

Daripada sebuah motosikal yang menggunakan asas daripada Street Triple, Daytona baru ini mungkin akan beralih menggunakan asas daripada Trident 660 pula kerana didapati dalam salah satu gambar yang disiarkan, terdapat tulisan 660 pada bahagian bawah enjinnya.

Jadi, kita boleh menjangkakan spesifikasi teknikal yang sama antara motosikal di dalam gambar teaser ini dengan Trident 660, bermula dengan enjin iaitu unit tiga silinder DOHC dengan kapasiti 660 cc yang mampu menghasilkan kuasa 80 hp pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.

Kelengkapan lain yang ada pada Trident 660 adalah seperti lampu LED, meter digital TFT, sistem ride by wire, dua mod tunggangan, ABS, sistem kawalan cengkaman, fork hadapan USD Showa tanpa pelarasan di hadapan, cakera brek berkembar 310 mm bersama angkup Nissin dua piston di hadapan dan cakera 255 mm bersama angkup satu piston di belakang.

Menjadikan model dalam gambar ini istimewa adalah fairing penuh sehingga ke bawah, yang kita boleh jangkakan menghampiri rekaan Daytona Moto2 765 Limited Edition.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required