Kerjasama antara dua jenama Jepun iaitu Toyota dan Suzuki bukanlah perkara baharu, di mana kedua-dua jenama sudahpun tampil dengan model-model rebadge yang disadur antara satu sama lain.
Bagi pasaran Afrika Selatan misalnya, Toyota telah menghasilkan model MPV Rumion dan hatchback Starlet yang direbadge dari Suzuki Ertiga dan Baleno. Manakala di United Kingdom, Suzuki pula tampil dengan SUV Across dan wagon Swace yang masing-masing direbadge dari Toyota RAV4 dan Corolla Touring Sport.
Namun bagi Suzuki, bukan semua model yang mereka hasilkan akan diberikan kepada Toyota untuk ditukar logo walaupun ia berpotensi menghasilkan keuntungan. Menurut laporan Autocar India, baru-baru ini Toyota ada membuat permohonan bagi menghasilkan model rebadge menggunakan dua model ikonik Suzuki iaitu SUV Jimny dan hatchback kompak Swift, tetapi ia ditolak oleh Suzuki.
“Toyota mahu membuat kejuruteraan lencana untuk Jimny dan Swift, tetapi kami tolak permintaan tersebut secara baik,” kata sumber dalaman dari Suzuki kepada portal automotif tersebut dan menegaskan bahawa kedua-dua model itu merupakan model yang melambangkan identiti Suzuki.
“Ia seolah-oleh seperti kami meminta Toyota untuk melakukakan kejuruteraan lencana terhadap Land Cruiser. Model-model yang menjadi jiwa bagi jenama tidak boleh kami kongsi dan kedua-dua syarikat perlu hormat perkara ini,” jelas sumber itu lagi.
Autocar India pula menyatakan sekiranya Suzuki memberikan hak kebenaran kepada Toyota bagi menghasilkan Jimny, ia berkemungkinan dapat dijual dalam jumlah lebih banyak kerana Toyota dapat menawarkan sebuah SUV yang berkebolehan dipandu dalam laluan off-road dengan harga lebih murah dari Fortuner.
Tambahan pula jualan Maruti Suzuki Jimny di India kini dilihat sedang menurun dengan dijual hanya 15,476 unit dalam tempoh Jun hingga November 2023, di mana ia merosot teruk pada bulan November dengan jualan hanya 1,020 unit, lapor portal itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.