Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

2023 merupakan tahun yang sibuk bagi jenama Toyota di Malaysia – dari pelancaran begitu banyak model dan menyaksikan peningkatan jualan, sehinggalah rombakan pemilikan syarikat yang begitu besar berlaku ke atas pengendali tempatan jenama Jepun tersebut iaitu UMW Toyota Motor (UMWT).

Pelancaran besar UMWT pada 2023 bermula seawal bulan Februari, dengan memperkenalkan lima model sporty berlencana Gazoo Racing (GR) iaitu GR Corolla, GR86, GR Supra dengan kotak gear manual enam-kelajuan, Corolla Cross GR Sport dan Hilux GR Sport.

Manakala bulan seterusnya iaitu Mac 2023, Vios generasi keempat pula dilancarkan secara rasmi. Ia diikuti Innova Zenix pada Jun, Corolla GR Sport pada Ogos dan juga model generasi baharu MPV premium Alphard dan Vellfire pada Oktober. Dalam masa yang sama UMWT juga memperkenalkan Corolla dan Yaris yang menerima kemaskini kecil, dan juga mengumumkan strategi pelbagai-hala bagi mencapai neutral karbon.

Namun apa yang mengejutkan berlaku pada Ogos 2023 di mana Sime Darby mengumumkan mahu mengambil alih pegangan kepentingan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak 61.18% dalam UMW Holdings, yang merangkumi 51% kepentingan dalam UMW Toyota Motor dan 38% kepentingan dalam Perodua.

Urus niaga tersebut dimuktamadkan pada Disember 2023 menerusi anak syarikat tidak langsung milik penuh Sime Darby, Sime Darby Enterprise (SDESB). Lanjutan selepas itu turut mendedahkan bahawa Sime Darby telah mengeluarkan tawaran am mandatori untuk mengambil alih semua baki saham UMW (sebanyak 38.82% pegangan) yang belum dimiliki oleh Sime Darby Enterprise dan SDESB, seterusnya UMW dijangka bakal dinyahsenarai daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia .

Jadi untuk tahun ini, apa yang kita boleh jangkakan untuk Toyota di Malaysia khususnya berkenaan model-model baharu? Berikut adalah jangkaan kami.

Toyota Yaris Cross

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Toyota Yaris Cross telahpun membuat kemunculan sulung globalnya di Indonesia pada Mei tahun lalu. Jangan keliru dengan Yaris Cross pasaran Eropah dan Jepun yang diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) kerana Yaris Cross pasaran ASEAN ini adalah model yang dibina menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).

Model ini merupakan SUV segmen-B penuh, namun ia diletakkan satu anak tangga di bawah Corolla Cross bagi memberikan alternatif lebih mampu milik, dan satu anak tangga lebih tinggi dari Toyota Raize dengan perincian serta saiz lebih baik.

Namun sekiranya SUV ini dilancarkan di Malaysia, ia dijangka bakal menjadi kembar kepada SUV baharu Perodua juga bakal dilancarkan pada tahun ini, setakat ini hanya dikenali dengan kod projek D66B. Walau bagaimanapun seperti kembar-kembar Toyota-Perodua sebelum ini contohnya Rush-Aruz dan Veloz-Alza, model dengan lencana Toyota pastinya diberikan beberapa perincian berbeza dan harga lebih tinggi berbanding versi Perodua.

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Buat masa sekarang Corolla Cross dijual pada harga bermula RM130,400. Sekiranya Yaris Cross dijual pada harga lebih rendah dari harga Corolla Cross, ia pastinya boleh menjadi alternatif selain Honda WR-V bagi mereka yang mahukan SUV kompak dengan lencana jenama Jepun.

Dari segi saiz, Yaris Cross menampilkan dimensi panjang 4,310 mm, lebar 1,770 mm, tinggi 1,615 mm, jarak antara roda sejauh 2,620 mm serta jarak kelegaan tanah setinggi 260 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, Yaris Cross ini hanya 20 mm lebih pendek, 30 mm kurang lebar, 6 mm lebih rendah berbanding Proton X50, namun hadir dengan jarak roda 20 mm lebih jauh dari SUV segmen-B dari Proton berkenaan.

Toyota bZ4X

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

EV pertama Toyota yang diberi nama bZ4X ini sebenarnya sudahpun di bawa ke Malaysia untuk sesi pra-tonton sejak Januari tahun lalu. Ia dirancang untuk turut dilancarkan pada 2023, tetapi kemudiannya ditunda sehingga 2024.

Model ini menerima motor elektrik tunggal berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 266 Nm, memacu hanya roda hadapan. Dibekalkan dengan bateri lithium ion berkapasiti 71.4 kWj, bZ4X didakwa mampu bergerak sejauh 500 km dengan sekali cas berdasarkan kitaran ujian WLTP.

Spesifikasi yang ditawarkan bZ4X ini boleh dikatakan ‘biasa-biasa’ sahaja jika dibandingkan dengan pelbagai model EV yang sudah mula membanjiri pasaran tempatan. Jadi sudah tentu harga yang bakal diumum oleh UMWT akan menentukan prestasi jualannya di sini kelak.

Toyota Prius

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Toyota Prius generasi kelima telah pun didedahkan buat pertama kali untuk peringkat global pada November 2022. Ia kemudiannya dibawa ke Thailand untuk dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) tahun lalu, dan dilaporkan bakal dilancarkan di sana seawal suku pertama 2024.

UMW Toyota pernah menawarkan Prius generasi ketiga pada pasaran tempatan pada 2009, dan kemudian turut membawa model facelift 2012 bersama versi lebih kecil iaitu Prius C. Disebabkan Thailand juga mula menerima semula Prius ini selepas jualannya dihentikan beberapa tahun lalu, ada kemungkinan model hibrid ini turut akan kembali ke Malaysia.

Malah UMWT juga buat masa sekarang lebih giat mempromosikan hibrid lebih daripada EV, memberikan alasan lebih besar untuk membawa Prius generasi baharu ini ke Malaysia kerana ia lebih praktikal dalam menuju ke arah neutral karbon.

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Berbanding model-model generasi sebelumnya di mana Prius menampilkan bentuk pelik, model generasi baharu ini nampak seperti sebuah sedan sport kerana ia direka dengan lebar dan rendah, serta diberikan muka signatur jerung hammerhead terkini Toyota.

Malah dengan mengunakan platform TNGA menampilkan pusat graviti rendah sebagai asas dan menggunakan suspensi double wishbone di belakang, Prius turut dikatakan memberikan dinamik pemanduan yang sporty. Teruja sekiranya model ini di bawa ke Malaysia?

Toyota Hilux Champ

Toyota 2024 – bZ4X akan dilancar di Malaysia; Hilux Champ, Yaris Cross dan Prius akan di bawa juga?

Ini merupakan model Toyota yang boleh dikatakan agak hype juga ketika membuat kemunculan sulungnya tahun lalu. Trak pikap Hilux Champ ini bukan sahaja direka membolehkan ia diubahsuai dengan mudah bagi dijadikan pelbagai jenis mobiliti komersil dan juga kegunaan gaya hidup, malah ia juga dijual pada harga yang lebih murah dari Hilux biasa!

Hilux Champ sudah tentu dibangunkan di Thailand yang merupakan ‘syurga’ bagi trak pikap. Ia menampilkan rupa yang serupa dengan model konsepnya yang digelar IMV 0 muncul pada Disember 2022. Dilancarkan pada November lalu, model ini dijual pada harga bermula 459,000 hingga 577,000 baht (RM62k hingga RM78k) di sana.

Bahagian belakang trak pikap ini dibina dengan menampilkan banyak lubang-lubang bolt bagi memudahkan pengubahsuaian. Tak cukup dengan itu, Toyota Thailand turut membantu pelanggan bagi memilih lebih 100 bengkel-bengkel dan pengeluar aksesori di seluruh Thailand yang boleh mengubah Hilux Champ ini sama ada menjadi sebuah pengangkut kargo, kenderaan perkhidmatan kecemasan, trak makanan atau kafe bergerak, camper, motorhome atau overlander dan pelbagai lagi.

Adakah Hilux Champ ini akan dilancarkan di Malaysia? Satu perkara yang mungkin UMW Toyota perlu ambil berat adalah model ini tidak ditawarkan dengan badan Double Cab. Sebagai contoh, Toyota Hilux single cab dengan harga paling murah yang ditawarkan di Malaysia buat masa sekarang tidak selaris model-model Double Cab.

Ini kerana trak pikap di Malaysia biasanya digunakan sebagai kenderaan gaya hidup, pengangkutan harian dan jarang digunakan sebagai kenderaan komersil semata-mata. Jadi tambahan kabin belakang dengan dua lagi tempat duduk adalah mustahak bagi pembeli di Malaysia.

Walau bagaimanapun, ada faktor lain yang mungkin boleh menarik minat UMWT bagi membawa Hilux Champ ke Malaysia. Contohnya kita boleh lihat bagaimana Proton Arena yang dijual pada harga tak masuk akal dalam pasaran kenderaan terpakai sekarang – mungkin dengan menawarkan sebuah trak pikap dengan harga betul-betul murah boleh menarik pembeli-pembeli di Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required