Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

Awal minggu ini Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) baru sahaja melancarkan Mitsubishi Triton AT Premium dalam versi yang dipertingkat untuk tahun 2024. Seperti namanya, model ini diasaskan dari Triton dalam varian AT Premium sedia ada, diberikan beberapa peningkatan dari segi kit penggayaan, dan dihasilkan dalam jumlah terhad.

Tiada majlis pelancaran dibuat untuk model ini, jadi kami telahpun menerjah bilik pameran Mitsubishi bagi melihat rupa sebenar trak pikap tersebut dan menyediakan galeri lengkap untuk anda.

Triton AT Premium merupakan varian pertengahan yang ditawarkan oleh MMM untuk pasaran Malaysia, berada satu anak tangga di bawah varian paling mahal iaitu Triton Athlete. Jadi ia TIDAK didatangkan dengan perincian seperti lampu bi-LED, lampu nyalaan siang LED, tempat duduk pemandu larasan kuasa, sistem bantuan pemanduan, dan beberapa perincian lain.

Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

Bagi model AT Premium yang dipertingkat ini, ia hanya ditawarkan dengan warna badan White Diamond, bersama grafik badan merah-perak-hitam ala livery perlumbaan Ralliart bermula pada pintu belakang, bed dan sehingga ke pintu tailgate. Ia juga diberikan beberapa perincian tambahan termasuk, bampar hadapan, sports bar, visor pintu, overfender pada setiap ruang roda berwarna hitam yang sama seperti model edisi terhad Triton Phantom Plus.

Rupa luaran Triton istimewa ini dilengkapkan dengan pemadanan rim aloi istimewa 18 inci berwarna hitam yang dibalut tayar Yokohama Geolander A/T G015, juga sama seperti Triton Phantom Plus yang dilancarkan tahun lalu. Manakala pada bahagian dalaman, model ini ditambah dengan scuff plate bernyala pada bendul pintu dan juga sulaman grafik pada perehat kepala tempat duduk hadapan yang sama seperti grafik badan sebelah luar.

Tiada tingkat taraf mekanikal pada model edisi terhad ini, dan ia masih dijana oleh enjin 2.4 liter empat silinder MIVEC turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik bersama sistem pacuam empat roda Easy Select 4WD.

Mitsubishi Triton AT Premium versi dipertingkat 2024 – lebih garang, unit terhad, harga kekal RM135,900

Perincian standard AT Premium biasa turut dibawa pada model tingkat taraf ini, termasuk lampu hadapan projektor halogen, lampu nyalaan siang bersama lampu kabus hadapan dan belakang halogen, kunci pintar dengan butang penghidup enjin, pemain utama dengan skrin sesentuh sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, enam pembesar suara, pendingin hawa automatik, cruise control dan upholsteri leatherette.

Manakala untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Aktif, traction control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, Bantuan Kestabilan Treler. Kamera perakam video digital turut dipadankan pada model ini.

Walaupun diberikan pelbagai perincian tingkat taraf, apa yang menarik Mitsubishi Triton AT Premium versi yang dipertingkat masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM135,900, sama seperti Triton AT Premium biasa. Jadi ia masih sekitar RM20,000 lebih murah berbanding Triton Athlete yang dijual pada harga RM155,900.

Setiap pembelian trak pikap ini disertakan dengan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan. Walaupun MMM menyatakan Triton AT Premium dipertingkat ini hanya ditawarkan dalam jumlah terhad, ia tidak menyatakan berapa jumlah sebenar yang akan dihasilkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required