Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

Selepas skandal penyelewengan ujian keselamatan Daihatsu yang dibongkar sebelum ini, pihak Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan (MLIT) Jepun nampaknya mula ‘menggali’ kesalahan yang dibuat oleh pengeluar yang lain pula. Terbaharu, Mazda turut dikesan melakukan beberapa kesalahan prosedur ujian yang dihantar untuk kelulusan VTA bagi beberapa model, dan produksi model-model terjejas terpaksa dihentikan sementara serta-merta.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, kesalahan prosedur ujian ini melibatkan dua model yang kini sedang dijual dan diproduksi iaitu Mazda Miata (dikenali sebagai Roadster di Jepun) RF yang diproduksi bermula Jun 2018 dan juga Mazda 2 yang diproduksi bermula Jun 2021.

Bagi kedua-dua model ini, Mazda mengaku bahawa ia telah menggunakan perisian kotak komputer enjin yang berbeza ketika ujian dilakukan berbanding unit-unit yang dijual dalam pasaran. Dalam ujian tersebut Mazda telah menyahaktifkan sebahagian fungsi pelarasan pada pemasaan nyalaan palam pencucuh.

Menurut Mazda, mereka kini sedang menala semula perisian kotak komputer enjin tersebut agar ia sama dengan versi yang dijual dalam pasaran, dan bakal membuat semula ujian pensijilan berkenaan. Sebelum ia diluluskan semula produksi dan jualan bagi model-model terlibat perlu dihentikan terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, perkara ini hanya melibatkan model-model pasaran Jepun. Di negara tersebut Roadster RF bukan hanya dibezakan dengan bumbung keras yang boleh dibuka, malah adalah varian tunggal dijana oleh enjin 2.0 liter berbanding dengan bumbung fabrik yang hanya menerima enjin 1.5 liter.

Sebanyak 10,930 unit Mazda Roadster RF dan 42,240 unit Mazda 2 telah diproduksi dalam tempoh yang dinyatakan. Produksi untuk kedua-dua model ini telahpun dihentikan sejak 30 Mei lalu. Namun menurut Mazda, bagi unit-unit yang telah diserah, pemilik masih boleh memandu kenderaan masing-masing memandangkan tiada isu keselamatan yang akan ditimbulkan berkenaan masalah tersebut.

Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

Selain itu ia juga melibatkan beberapa model yang dikini sudah tidak lagi diproduksi dan dijual di negara itu iaitu Mazda Atenza (dikenali sebagai Mazda 6 untuk pasaran luar Jepun) yang diproduksi dari November 2014 hingga April 2018, Mazda Axela (dikenali sebagai Mazda 3 untuk pasaran luar Jepun) yang diproduksi bermula Ogos 2016 hingga Februari 2019, serta Mazda 6/Atenza yang diproduksi bermula April 2018 hingga April 2024.

Untuk ketiga-tiga model ini Mazda mengaku telah membuat kesalahan ketika ujian pensijilan untuk perlindungan penumpang ketika berlakunya perlanggaran hadapan. Dalam ujian tersebut ada ‘peranti luaran’ yang digunakan untuk memulakan pengaktifan beg udara yang sepatutnya diaktifkan secara spontan berdasarkan pengesanan pelanggaran dari penderia sebenar pada kereta tersebut.

Mazda menyatakan walaupun model-model ini sudah tidak lagi diproduksi dan dijual, pihaknya akan membuat semula proses penentusahan teknikal dalaman dan juga membuat semula ujian bagi mengesahkan bahawa model-model tersebut dibekalkan dengan prestasi untuk melindungi penumpang yang memenuhi standard dibenarkan ketika dalam situasi pelanggaran hadapan.

Produksi Mazda 2, Miata RF dihenti di Jepun kerana terlibat penyelewengan ujian bersama 3 model lain

Malah Mazda turut mengesahkan bahawa model-model yang terjejas tersebut masih boleh dipandu oleh pemilik-pemiliknya kerana tiada isu keselamatan yang akan ditimbulkan, dan pada masa yang sama pihaknya akan segera mengambil langkah yang sewajarnya seperti pengesahan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan dengan berunding bersama MLIT.

Dalam kenyataan yang sama, Mazda menyatakan bahawa antara sebab mengapa kesilapan ini terjadi adalah kerana ketidakcukupan struktur dan mekanisme tadbir urus bagi memeriksa sama ada ujian dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan untuk ujian berkenaan, ditambah lagi dengan prosedur yang tidak mencukupi untuk menjalankan ujian serta kekurangan kemudahan untuk memenuhi syarat ujian secara stabil.

Namun Mazda menegaskan bahawa semua kesalahan ini akan diperbaiki, dan ia turut memohon maaf atas kesulitan dan kebimbangan yang mungkin berlaku kepada pelanggan dan pihak lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required