Mazda hentikan jualan MX-5 dengan enjin 2.0L di Eropah kerana peraturan emisi yang semakin ketat

Mazda dilaporkan menghentikan jualan untuk kereta sport MX-5 varian yang dijana enjin 2.0 liter di Eropah kerana undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat. Jadi pelanggan di benua berkenaan kini hanya ditawarkan dengan MX-5 yang dijana oleh enjin 1.5 liter.

“Mazda akan menghentikan varian dengan enjin 2.0 liter Mazda MX-5 2024 di Eropah, manakala varian dengan enjin 1.5 liter akan terus ditawarkan. Keputusan ini adalah selari dengan komitmen Mazda bagi memberikan kenderaan yang memenuhi keperluan pasaran dan undang-undang emisi dalam masa yang sama mengekalkan keseronokan memandu,” kata pengurus perhubungan awam dan acara Mazda, Mark?ta Kuklov? dalam email kepada Motor1.com.

Mazda hentikan jualan MX-5 dengan enjin 2.0L di Eropah kerana peraturan emisi yang semakin ketat

Walau bagaimanapun, Kuklov? menyatakan bahawa pelanggan masih boleh membeli MX-5 dengan enjin 2.0 liter berkenaan selagi ada stok-stok terakhir yang disimpan oleh pengedar. Manakala untuk pasaran UK, MX-5 2.0 liter masih boleh dibeli di negara tersebut kerana ia sudah tidak lagi bersama Kesatuan Eropah (EU) dan tidak tertakluk terhadap undang-undang emisi berkenaan.

Mazda MX-5 dengan enjin 2.0 liter empat-silinder NA SkyActiv-G menghasilkan kuasa 184 PS dan tork maksima 205 Nm. Manakala bagi enjin 1.5 liter empat-silinder NA pula hanya menghasilkan kuasa 135 PS dan tork maksima 150 Nm. Kedua-dua varian enjin ini boleh dipilih untuk dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam-kelajuan, dan kuasa hanya dihantar kepada roda belakang.