Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

Model terbaru Lexus di Malaysia, Lexus LBX diperkenalkan secara rasmi hari ini untuk pasaran tempatan. Menggantikan UX sebagai model paling kompak dan mampu milik jenama itu di sini, ia merupakan sebuah SUV hibrid segmen B dengan saiz yang lebih kecil daripada BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA.

LBX merupakan model CBU dari Jepun dan dijual dengan harga bermula RM238,888 bagi varian Premium yang paling asas, hinggalah kepada RM268,888 untuk varian Luxury. Jika pelanggan memilih skim warna dua-tona dengan bumbung hitam, tambahan RM1,500 akan dikenakan untuk kedua-dua varian.

LBX datang dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan juga jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan untuk baterinya, dengan pilihan untuk tambahan dua tahun lagi.

Nama yang merupakan singkatan kepada Lexus Breakthrough Crossover (LBX) ini dibangun menggunakan platform segmen B Toyota New Global Architecture (GA-B) — versi Lexus bagi model global Toyota Yaris Cross (dan berbeza dengan versi ASEAN yang menggunakan Daihatsu New Global Architecture).

Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

LBX mempunyai ukuran 4,190 mm panjang, 1,825 mm lebar dan 1,560 mm tinggi — ini 310 mm lebih pendek, 20 mm kurang lebar dan 82 mm lebih rendah berbanding X1, dengan jarak rodanya 2,580 mm yang 112 mm lebih pendek. Ia juga hanya 125 mm lebih panjang berbanding Perodua Ativa.

Bagaimanapun, model ini dibangunkan untuk memberi pengalaman pemanduan yang lebih premium. Binaan badannya menggunakan bahan pelekat sktruktural dan bahagian kimpalan pendek untuk meningkatkan keteguhan, dengan komponen ringan seperti bonet aluminium dan bahagian resin/plastik turut dimanfaatkan.

Suspensi belakang LBX menggunakan jenis torsion beam, yang menurut Lexus telah diberikan keseimbangan untuk dan kestabilan pemanduan dan keselesaan penumpang. LBX juga dilengkapi ciri Vehicle Braking Posture Control untuk mengimbangkan daya brek depan dan belakang secara automatik untuk mengurangkan olengan.

Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

Hanya satu unit janaan kuasa ditawarkan, iaitu M15A-FXE 1.5 liter NA kitaran Atkinson tiga-silinder yang menghasilkan 91 PS pada 5,500 rpm dan 120 Nm tork dari 3,800 hingga 4,800 rpm. Ini digandingkan juga dengan sebuah motor elektrik 94 PS/185 Nm dan eCVT generasi baru serta bateri nickel-metal hydride untuk menghasilkan output keseluruhan 136 PS. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat.

Rekabentuk umum LBX menerima sentuhan yang sama daripada model lain seperti Lexus NX, RX dan RZ. Spindle grille kini diolah menjadi “spindle body” dengan mengekalkan bukaan trapezoid yang lebih kecil. Palang warna perak di atasnya pula menghubungkan lampu LED dengan DRL dengan kesan visual seperti keningnya.

Dari sisi, rekaan berkotaknya memperlihatkan jarak roda yang panjang dengan bahagian overhang yang pendek. Jalur krom di atas tingkap dilanjutkan ke spoiler belakang dan memberikan kesan bumbung apung kepadanya. Di belakang, lampu dengan kelebaran penuh dihadirkan, dihiasi ejaan Lexus yang jelas. Tempat nombor plat pula dialihkan ke bahagian bampar.

LBX Premium menggunakan rim aloi 17-inci kelabu dengan jejari V, sementara Luxury menerima rim 18-inci jejari Y dua tona. Turut membezakan varian Luxury ialah bodykit, yang melibatkan skirting depan dan belakang sengan bahagian perak di tengah, serta tiang C dengan permukaan bertekstur yang berselang jalur kesat dan berkilat.

Di dalam, LBX tampil dengan rekaan kabin yang lebih ringkas. Konsol tengahnya menempatkan skrin sentuh 9.8-inci dengan antaramuka Tazuna yang terkini (tiada ciri Remote Touch), dan menyokong sambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar. Suis fizikal untuk pendingin dwi-zon — dengan ciri Panasonic nanoe X ioniser — ada tersedia.

Untuk pemandu, klsuter instrumen digital ada di depan — tujuh-inci untuk Premium, 12.3-inci untuk Luxury — dan juga head-up display untuk Luxury. Selain itu ada empat slot USB-C dengan kuasa hingga 15 watt, serta pengecas tanpa wayar Qi. Enam pembesar-suara datang standard, sementara Luxury menerima sistem bunyi premium Mark Levinson dengan 13-pembesar suara.

Lexus LBX 2024 kini di Malaysia — Premium dan Luxury, 136 PS 1.5L 3-silinder hibrid, RM239k-RM270k

Ruang but agak kecil dengan 315 liter, tetapi boleh dilanjutkan kepada 992 liter dengan penyandar kerusi 60:40 direbahkan. Ciri standard lain termasuklah sistem tanpa kunci, cermin pandang belakang anti-silau, sistem tunjuk arah, pintu ruang barangan berkuasa dan kamera undur. Luxury pula menerima tambahan sistem kamera 360-darjah dengan fungsi telus, cermin pandang belakang digital serta bantuan Lexus Teammate Advanced Park.

Aspek kelengkapannya pula terdiri daripada lapan beg udara sebagai standard serta ciri lengkap di bawah Lexus Safety System+. Ini termasuklah AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, Active Cornering Assist, pengesan papan tanda trafik, peninjau titik buta, amaran bukaan pintu dan lampu tinggi automatik.

Enam pilihan warna badan disediakan: Silver Metallic, Astro Grey Metallic, Sonic Chrome, Sonic Copper, Sonic Quartz dan Black Mica. Terdapat tiga lagi warna khas yang perlu ditempah jika mahu — Red Spinel, Passionate Yellow dan Deep Azure Mica Metallic.

Lexus LBX Premium 2024

Lexus LBX Luxury 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required