Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

Hampir tiga tahun lalu Honda telah mengembalikan semula nama ‘Integra’ di pasaran China dengan memperkenalkan model kembar kepada Civic generasi ke-11 yang menggunakan muka hadapan dan lampu belakang yang sedikit berbeza. Ia tidak sama dengan Acura Integra yang diperkenalkan di Amerika Syarikat yang menampilkan rupa yang lebih unik serta bahagian belakang direka sebagai liftback.

Kini Integra China berkenaan diperkenalkan pula dalam versi edisi terhad yang dikenali sebagai Honda Integra Anniversary Limited Edition. Ia menampilkan pakej penggayaan istimewa dengan tambahan bayaran 1,688 yuan (sekitar RM1k) untuk model yang dijual bermula 129,900 yuan (RM83k) hingga 186,900 yuan (RM119k) tersebut.

Pakej berkenaan terdiri dari set pelekat badan dengan grafik jalur merah bermula dari penutup bonet hadapan merentas bumbung hingga ke penutup but belakang, jalur sisi pada pintu hadapan dengan tulisan ‘Limited Edition’ yang agak besar bersama ayat ‘Integrate Your Desire’ yang lebih kecil di bawahnya dan juga penutup cermin sisi juga dalam kemasan merah.

Honda Integra Anniversary Special Limited Edition dilancar di China – tampil pelekat, serlahan merah

Manakala pada bahagian kabin, serlahan merah turut diberikan pada perapi suis cermin sisi pada pintu dan juga kemasan sekeliling liang penghembus udara pada papan pemuka yang turut lengkap dengan grafik ‘Limited Edition’ yang sama seperti di luar.

Bukan itu sahaja, pakej edisi terhad ini juga turut memberikan aksesori termasuk botol air, beg bagasi dan beg sandang semuanya dengan grafik tulisan Integra, membolehkan anda menunjuk bahawa anda memiliki model istimewa ini walaupun tidak memandunya.

Pakej Anniversary Limited Edition ini boleh dipadankan pada kedua-dua versi unit rangkaian kuasa dipasaran berkenaan iaitu 1.5 liter Turbo dan 2.0 liter hibrid e:HEV, yang masih sama seperti apa yang ditawarkan pada Honda Civic di Malaysia.

Bagi model petrol penuh, enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkenaan menghasilkan kuasa 182 PS dan tork maksima 240 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT untuk memacu roda hadapan. Sementara bagi model hibrid e:HEV, ia menerima unit rangkaian kuasa i-MMD yang menggandingkan enjin 2.0 liter NA dan dua buah motor elektrik.

Enjin kitaran Atkinson tersebut menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 182 di mana tugas utamanya adalah sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion sistem hibrid itu. Manakala tayar hadapan pula digerakkan oleh motor elektrik utama berkuasa 184 PS dan tork maksima 315 Nm.

Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, enjin petrol 2.0 liter tersebut masih akan membantu motor elektrik untuk memacu roda menerusi klac lock-up bagi memberikan kadar efisien lebih baik.

Honda Integra pasaran China ini dipasarkan dan diproduksi secara eksklusif oleh kerjasama GAC-Honda, sementara satu lagi kerjasama iaitu Dongfeng-Honda mempunyai hak eksklusif yang sama untuk memasang dan memasarkan Honda Civic generasi ke-11 di sana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required