Hayat bagi satu-satunya model hatchback Proton iaitu Iriz bakal berakhir tak lama lagi – masih tiada pengumuman rasmi dibuat oleh Proton, namun menerusi gambar yang tular di media-media sosial, pemasangan badan terakhir model berkenaan telah disiapkan di kilang Proton Tanjong Malim pada 9 September lalu – ini bermakna jualannya turut akan dihentikan tidak lama lagi.
Sebelum dilancarkan secara rasmi di Tanjong Malim oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu merupakan pengerusi Proton pada 25 September 2014, Iriz terlebih dahulu dikenali sebagai Kereta Kecil Global Proton dengan kod P2-30A. Unit prototaip ujiannya mula dijumpai sejak 2013 bukan hanya di jalan raya awam Malaysia, malah turut di bawa ke Eropah untuk diuji pada kawasan bersalji kerana ia pada asalnya disasarkan untuk dijual ke pasaran global.
Ketika dilancarkan Iriz ditawarkan dalam versi enjin 1.3 liter dan 1.6 liter, di mana kedua-duanya ada dikeluarkan dalam versi kotak gear automatik CVT dan juga manual lima-kelajuan. Namun disebabkan permintaan yang tidak banyak, versi 1.6 liter manual dihentikan tidak lama selepas itu.
Ramai yang berpendapat reka bentuk Iriz ini diasaskan dari model konsep Proton EMAS yang muncul di Geneva Motor Show 2010 dengan rekaan dihasilkan firma Itali, Italdesign Giugiaro. Namun Iriz sebenarnya lebih mirip kepada versi tiga-pintu EMAS iaitu model konsep Lotus Ethos yang muncul di Paris Motor Show pada September 2010.
Iriz kemudiannya menerima versi kemaskini pertama pada Jun 2017, iaitu sejurus selepas kerjasama Proton-Geely dimeterai pada Mei tahun itu. Versi kemaskini tersebut hanya melibatkan sedikit perubahan rupa khususnya untuk warna badan dan kemasan-kemasan perapi, serta turut disertai tingkat taraf drastik dari segi NVH dan juga talaan kotak gear CVT, menjadikan pemanduan hatchback tersebut lebih selesa, lebih senyap dan juga lebih responsif.
Kemaskini seterusnya diperkenalkan pada Februari 2019, di mana ia mula menggunakan lampu yang serupa dengan kembar sedannya iaitu Proton Persona, tetapi dengan rekaan gril dan bampar hadapan berlainan, serta diberikan perapi penutup but dan juga rekaan bampar belakang baharu dan juga rekaan rim 14-inci dan 15-inci baharu bergantung pada varian.
Versi facelift 2019 ini juga menyaksikan Iriz menerima kualiti cat badan, perapi-perapi kemasan dalaman yang lebih baik, serta paparan instrumen baharu di mana varian 1.6 liter diberikan paparan pelbagai informasi dengan skrin TFT berwarna. Malah untuk varian tertinggi 1.6 Premium, Iriz turut menampilkan sistem infotainmen dengan fungsi arahan suara ‘Hi-Proton’. Sebelum versi ini dihentikan, Iriz turut muncul dalam versi edisi terhad R3, tetapi tanpa sebarang peningkatan prestasi, dan hanya dibezakan dengan warna badan hitam bersama serlahan-serlahan kuning pada bahagian luaran dan dalaman.
Iriz menerima satu lagi facelift pada 2022. Kali ini ia datang dengan logo baharu Proton yang berbentuk bulat, rekaan bampar yang sedikit berbeza pada perumah lampu nyalaan siang, rekaan rim baharu, serta peningkatan pada bahagian dalaman di mana rekaan konsol tengah direka dengan disediakan perehat tangan serta rekaan skrin infotainmen lebih besar dalam posisi ‘terapung’ serta menerima suis-suis kawalan pendingin hawa baharu.
Varian tertinggi Premium sudah tidak ada bagi digantikan dengan varian psedo-SUV Iriz Active menampilkan pelindung-pelindung badan pada bampar hadapan serta keempat-empat fender bersama rel bumbung palsu, dan juga serlahan-serlahan merah pada kabin bersama pedal sports aloi. Varian 1.6 Executive pula menerima peningkatan keselamatan dengan diberikan enam-beg udara secara standard berbanding hanya dua sebelum itu, manakala untuk versi dengan enjin 1.3L, ia tidak lagi menerima pilihan kotak gear manual serta hanya datang dalam varian Standard menyisihkan varian Executive sebelum itu.
Walaupun diakui memberikan pengendalian antara yang terbaik dalam kelasnya, jualan Iriz tidak laris seperti yang diharapkan untuk bertanding dengan Perodua Myvi. Mengikut rekod pendaftaran dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sebanyak 93,067 unit Iriz telah didaftarkan di Malaysia sejak ia dilancarkan pada 2014 sehingga Julai 2025, dan tambahan 305 unit terjual sepanjang Ogos menurut pengumuman jualan Proton yang baru diumumkan hari ini. Sebagai perbandingan, lebih dari 1.5 juta Perodua Myvi terjual dari September 2014 sehingga Julai 2025, berdasarkan rekod pendaftaran JPJ.
Namun kelebihan berkenaan memberi Iriz merit dalam sukan bermotor. Untuk kejuaraan tempatan, Iriz binaan pasukan Proton R3 yang masih dijana oleh enjin Campro 1.6 liter NA dinobatkan sebagai juara perlumbaan endurance Sepang 1000KM (S1K) dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2018 dan 2019.
Manakala pada peringkat antarabangsa, firma kejuruteraan British iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM) yang sebelum ini membina kereta rali Proton Satria Neo S2000 memilih Iriz untuk dijadikan jentera rali dengan spesifikasi R5 (sekarang dikenali sebagai Rally2) untuk bertanding dalam pelbagai kejuaraan rali di Eropah. Dari jentera Iriz Rally2 tersebut, pasukan yang berlumba dalam kejohanan FIA RallyCross Eropah iaitu Team RX Racing dari Ireland melahirkan pula Iriz dalam spesifikasi FIA RX Supercar dengan enjin 2.0 liter berkuasa 600 PS.
Selain Iriz, sebelum ini Proton turut telah menghentikan satu lagi model yang dibangunkan sendiri di Malaysia iaitu MPV Proton Exora tahun lalu. Buat masa sekarang Proton hanya tinggal dua model tempatan hasil pembangunan sendiri iaitu sedan Proton Persona, dan juga Proton Saga yang kini sedang dibangunkan dalam versi MC3 dengan platform AMA, iaitu versi tingkat taraf dari platform sedia ada.
Tiada sebarang perancangan diumumkan oleh Proton untuk menghasilkan model-model hatchback baharu. Jadi buat masa sekarang kami ucapkan selamat tinggal, Proton Iriz!
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.