2017-mazda-cx-9-1

Model serba baharu Mazda CX-9 telah pun didedahkan di Los Angeles Auto Show tahun lalu, secara tidak langsung turut memperkenalkan enjin baharu 2.5 liter SkyActiv-G pengecas turbo empat-silinder.

Menurut CarAdvice, yang mendapat sumber dari jurutera pembangunan kenderaan Mazda Amerika Utara, Dave Coleman, di majlis pelancaran CX-9 baharu di Australia, berkata, enjin turbo baharu ini juga boleh disuaikan pada Mazda 6 dan 3.

“Ia boleh disuaikan pada kebanyakan model kenderaan kami, dan ia juga boleh digunakan bagi model diesel, dan pakej yang sama dengan 2.5 liter naturally-aspirated. Pada asasnya, ruang besar yang digunakan untuk ekzos pancarongga, turut boleh memuatkan turbo. Ia juga memerlukan ruang yang sama,” ujar Coleman.

Enjin 2.5 liter turbo pada CX-9 boleh menghamburkan kuasa sehingga 250 hp dan tork puncak 420 Nm, ia boleh menggunakan petrol oktana-93 di US, tetapi berkuasa 228 hp dan 420 Nm dengan petrol RON 91 di Australia.

Ternyata ia mengatasi output yang dihasilkan oleh enjin 2.5 SkyActiv-G naturally-aspirated iaitu 185 hp dan 250 Nm. Enjin tanpa turbo itu kini hanya boleh didapati pada Mazda 6 dan CX-5 untuk pasaran Malaysia.

Walau bagaimana pun, Coleman turut berkata, “Keputusan untuk pembanguan enjin baharu bukan saya yang buat, sebaliknya bahagian perancangan produk yang akan membuat keputusan.”