
Dalam sistem operasi mobil terbaru Apple iaitu iOS 11, anda akan dapat melihat terdapat ciri baru yang dinamakan sebagai Do Not Disturb While Driving (DNDWD), yang jelasnya untuk mengurangkan gangguan semasa pemiliknya sedang memandu.
Apabila diaktifkan, skrin akan jadi kosong dan segala pemberitahuan (notification) tidak akan muncul, dan ini berlaku apabila peranti tersebut dikesan sedang bergerak, menggunakan kesan Doppler melalui bluetooth ataupun WiFi. Selepas sekali digunakan, ia akan mengingatkan penggunanya untuk mengaktifkan DNDWD apabila peranti dikesan sedang bergerak. Sudah tentu, pengguna boleh memintas ciri ini dengan menyatakan bahawa mereka adalah penumpang.
Dalam mod DNDWD ini juga, mesej teks boleh dijawab secara automatik, dan ia turut menawarkan pengguna untuk memilih orang tertentu dalam senarai hubungan mereka, untuk mempunyai pilihan ‘teks penting’, di mana mesej mereka tetap akan dipaparkan walaupun dalam mod DNDWD. Bagi mereka yang tidak menggunakan iOS, Nissan sebelum ini ada mengeluarkan aplikasi Faraday Cage Concept dengan ciri hampir serupa.
