Sebelum ini Volkswagen telah pun menyiarkan video teaser bagi model Polo generasi baharu, menampilkan hatchback segmen-B berkenaan beraksi dengan pelekat penyamaran. Menjelang pengenalan rasminya pada musim panas ini, pengeluar kenderaan dari Jerman berkenaan sekali lagi menyiarkan siri teaser baharu yang terdiri dari tiga video.

Video pertama yang bertajuk What defines it? memaparkan berberapa karekter Polo yang menjadikannya antara model paling laris di dunia. Manakala untuk video kedua yang bertajuk Top class, ia membincangkan kebangkitan Polo dari kereta kecil buatan Volkswagen, sehingga diiktiraf sebagai “yang terbaik dalam kelasnya.”

Video ketiga pula bertajuk Pure Fun, di mana Volkswagen sendiri menjanjikan keseronokan pemanduan pada model baharu ini, meneruskan apa yang ditawarkan pada model-model generasi sebelumnyan.

Kedua-dua video berkenaan turut menampilkan kesemua lima generasi Polo terawal bermula dari Mk1 pada 1975, hingga ke Mk3 pada 1994, terus ke model Mk5 sedia ada yang mula diperkenalkan pada 2009. Garis badan Polo Mk6 turut dipaparkan pada akhir kedua-dua video ini.

Polo generasi baharu ini dibina menggunakan platform MQB A0, iaitu asas yang sama dengan Seat Ibiza generasi baharu yang telah membuat penampilannya pada Februari lalu. Jadi boleh dijangka enjin TSI dan TDI dari Ibiza turut akan ditawarkan pada Polo generasi keenam ini.

Dengan panjang keseluruhan 4,053 mm dan lebar 1,751 mm, Polo 2017 berkenaan 81 mm lebih panjang dan 69 mm lebih lebar dari sebelum ini. Oleh itu, ruang dalamannya juga dapat direka lebih luas dengan jarak roda yang kini 94 mm lebih panjang, meningkat dari 2,470 mm kepada 2,564. Polo baharu ini juga direka lebih rendah 97 mm kepada 1,446 mm, menjadikan rupanya lebih sporty.

GALERI: Imej spyshot Volkswagen Polo 2017