Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini, model pertama yang akan diperkenalkan di Malaysia hasil kerjasama Proton dan Geely adalah sebuah SUV yang diasaskan daripada model Boyue. Model ini dilancarkan di China Mac lalu, dengan dua pilihan enjin di pasaran sana, iaitu 2.0 liter NA 139 hp/ 178 Nm dan 1.8 liter turbo 161 hp/ 250 Nm. Walaubagaimanapun, model yang akan dipasarkan di Malaysia masih belum diketahui menggunakan enjin yang mana.

Model ini hanya dijangka dapat berada di pasaran Malaysia pada penghujung tahun 2018, dan ini sekaligus menimbulkan pertanyaan mengapa mengambil masa yang begitu lama, sedangkan model tersebut sudah pun lengkap dan dijual dengan sambutan yang baik di China.

Pengerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar mengulas, masa tersebut diperlukan kerana model ini asalnya adalah model panduan sebelah kiri, dan beberapa pelarasan perlu dibuat untuk mengubahnya ke panduan sebelah kanan. Selain itu, Proton juga perlu menguruskan hal berkaitan alat ganti untuk pemasangan tempatan kenderaan ini.

Proton-Geely Boyue hanya akan diperkenalkan hujung tahun 2018, masa diperlukan untuk buat pelarasan

“Dalam struktur yang ada di Malaysia, sekiranya lebih banyak komponen dalam negara yang digunakan, maka banyaklah insentif yang diterima. Ini adalah antara perkara yang perlu diambil kira,” tambah Faisal.

Berkenaan harga model berasaskan Boyue ini, ia diketahui akan dipasarkan dalam harga yang lebih rendah berbanding model yang mempunyai kelengkapan sama. Walaupun begitu, Faisal tidak memberitahu berapakah jangkaan harganya dan mengatakan bahawa Proton perlu berusaha untuk mengurangkan kos pengeluaran kenderaan ini terlebih dahulu.

Selain SUV berasaskan Boyue ini, gabungan Proton dan Geely juga akan memperkenalkan model baru setiap tahun, dan bukan itu sahaja, enjin serta transmisi baru juga akan diperkenalkan, dengan kemungkinan terdapat model hibrid, plug-in hybrid atau elektrik kerana transmisi itu sendiri sudah bersedia untuk penjana kuasa mesra alam yang disebutkan.

Geely Boyue di Malaysia