Ferrari telah mengesahkan spekulasi berhubung dengan rancangan untuk memproduksi model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama mereka, laporan Bloomberg.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh Sergio Marchionne, CEO Ferrari dan Fiat Chrysler Automobiles, yang berkata, “Ferrari bukan setakat hanya mempertimbangkan untuk membikin SUV dan ia akan mengambil masa selama 30 bulan untuk ke arah produksi, di mana ia akan dihasilkan secara eksklusif.”
“Kami benar-benar serius berhubung perkara ini. Walau bagaimana pun kami perlu pelajari banyak perkata termasuk antara pengkhususan dan kekurangan produk, kemudian kami akan mengimbanginya untuk mengembangkan lagi portfolio produk,” ujar Marchionne, yang merujuk model tersebut sebagai “FUV”.
Idea untuk menghasilkan SUV ini tercetus sejak beberapa tahun yang lalu, walau pun pada mulanya pengeluar jentera prestasi ini pernah menafikannya. Baru-baru ini, Ferrari pernah mengeluarkan kenyataan untuk mengembangkan lagi jualan dan profit dengan skala yang lebih besar menjelang 2022, termasuk kebarangkalian untuk menghasilkan model SUV atau empat-pintu.
Pesaingnya, Aston Martin dan Lamborghini juga telah membuat keputusan untuk menghasilkan model SUV, dengan model seperti DBX dan Urus yang akan diperkenalkan pada masa hadapan. Buat masa ini, di pasaran, pelanggan sudah mempunyai pilihan untuk model seperti Porsche Cayenne dan Bentley Bentayga.

