Honda baru menyiarkan satu video teaser untuk sebuah motosikal yang dipanggil sebagai Neo Sports Cafe. Motosikal ini hanya akan dipertontonkan secara rasmi semasa pameran motosikal EICMA 6 November nanti, dan seperti yang boleh dilihat pada namanya, ia akan membawa semangat sebuah cafe racer.
Tidak banyak yang dapat dilihat dalam video ini, tetapi Honda mahu mengetengahkan kerja tangan Jepun padanya, yang sekaligus membawa makna antaranya ketelitian. Dalam samar, antara perkara yang boleh dilihat adalah motosikal ini menggunakan angkup brek jenis radial, rim sports dan lampu berbentuk bulat di hadapan.
Langkah Honda bereksperimen dengan bentuk cafe racer ini boleh difahami kerana ia semakin mendapat sambutan di kalangan penggemar motosikal, tetapi mereka harus pantas mengeluarkan model produksi kerana dalam pasaran sudah ada beberapa model yang hangat bersaing seperti Ducati Scrambler Cafe Racer, Triumph Street Cup dan Yamaha XV950CR.
