Anda dah lihat Geely Boyue Pro kan? Jadi mungkin anda mungkin dapat bayangkan trend pasaran di China bagaimana sebuah model itu boleh dijual serentak dengan dua muka yang berbeza. Gambar yang anda lihat di atas ini adalah Honda Breez – SUV segmen-C yang diasaskan dari Honda CR-V tetapi diberikan muka serta perincian lain yang berbeza, khas untuk pasaran China.
Untuk pengetahuan anda juga, Honda di China dikendalikan oleh dua syarikat berbeza di mana CR-V dipasang dan dijual oleh Dongfeng Honda, manakala Breeze ini pula dihasilkan dan diedarkan oleh Guangzhou Honda.
Seperti yang anda boleh lihat, bahagian sisi SUV ini masih lagi sama seperti CR-V. Tetapi pada bahagian muka, Breez diberikan muka dengan ‘jendul’ yang lebih besar, terhasil dari rekaan gril krom solid wing dengan kemasan seperti menusuk kedua-dua belah lampu hadapan baharu, dan sekali imbas ia mirip Honda Accord generasi kesepuluh.
Rupa Breeze ini turut diolah semula pada bahagian belakang. Kluster lampu belakang pada bahagian atas dihitamkan sepenuhnya membuatkan lampu tersebut nampak lebih melintang. Selain dari grafik LED dalam yang berbeza sepenuhnya, kluster lampu pada pintu tailgate juga direka lebih nipis.
Bampar belakang turut direka semula dengan reflektor yang lebih nipis, manakala kedua-dua tip ekzos diberikan kemasan trapezoid yang nampak lebih sporty dengan perisa Eropah.
Secara keseluruhan, rekaan semula pada muka membuatkan Breeze mempunyai dimensi panjang 4,634 mm berbanding CR-V hanya 4,585 mm. Walau bagaimanapun, dimensi lain kekal sama seperti CR-V iaitu 1,855 mm lebar, 1,679 mm tinggi dan jarak roda 2,660 mm.
Unit janakuasa Breeze juga kekal sama dengan CR-V iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan 193 PS/243 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.
Honda Breeze ini sebenarnya hanya akan masuk ke pasaran China pada suku keempat tahun ini, menurut laman CarNewsChina. Foto yang didedahkan ini adalah dari varian tertinggi ‘Black Edition’ yang menampilkan lebih banyak kemasan hitam, manakala foto varian lebih rendah dan juga bahagian dalamannya belum lagi disiarkan.


Honda CR-V
dari RM178,200
Honda Prelude
dari RM278,000
Honda HR-V
dari RM115,900
Honda e:N1
dari RM149,900
Honda Civic
dari RM133,900
Honda City Hatchback
dari RM85,900
Honda Civic Type R
dari RM399,900
Honda City
dari RM84,900
Honda WR-V
dari RM89,900