Toyota Capital Malaysia berikan pengecualian bayaran balik pinjaman selama enam bulan bermula 1 April

Toyota Capital Malaysia telah umumkan bahawa mereka akan memberikan pengecualian pembayaran selama enam bulan secara automatik kepada pelanggannya (individu atau SME) bermula dari 1 April hingga 30 September 2020. Langkah berkenaan selari dengan usaha Bank Negara Malaysia seperti diumumkan Rabu lalu, walaupun syarikat itu sebenarnya adalah sebuah penyedia perkhidmatan kredit dan bukannya sebuah institusi perbankan.

“Kami melaksanakan tugas kami di dalam mempermudahkan beban kewangan yang dihadapi oleh pelanggan akibat penyebaran wabak Covid-19. Dalam masa yang sama, kami komited untuk terus menyumbang kepada ekonomi negara di dalam waktu yang mencabar seperti sekarang,” jelas makluman di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Syarat kelayakan bagi skim berkenaan ialah pelanggan wajib tidak mempunyai sebarang tunggakan pinjaman/pembiayaan bagi tempoh 90 hari bermula 1 April nanti. Penangguhan jadual bayaran balik pinjaman ini juga tidak akan memberi kesan kepada rekod pelanggan dengan Toyota Capitan Malaysia, dalam CCRIS, atau mana-mana laporan kewangan lain.

Mereka yang layak akan secara automatik menerima manfaat daripada moratorium ini (tiada tindakan diperlukan). Tetapi, sekiranya pelanggan tidak mahu terlibat di dalam skim penangguhan ini, mereka perlu menulis untuk memaklumkan hasrat tersebut ke [email protected].