Touch ‘n Go RFID ? penjagaan pelekat lepas dipasang

Semakin hampir dengan tarikh pelaksanaan lorong RFID di laluan utama Lebuhraya Utara-Selatan pada 15 Januari ini, PLUS Malaysia menerusi laman Facebook rasmi PLUSMiles ada kongsikan cara penjagaan tag RFID yang telah dipasang di kereta pengguna.

Ini disenaraikan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat terhadap tag RFID, terutama ketika ingin mencuci kenderaan. Kenderaan dengan tag yang baru saja dipasang tidak boleh dicuci dalam tempoh 24 jam selepas itu, tidak kira di mana juga tag itu dilekatkan, sama ada di cermin utama atau di bahagian lampu.

Selepas tempoh itu, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak menggunakan bahan kimia yang bersifat menghakis ketika mencuci kenderaan mereka, khususnya di bahagian tag RFID itu dilekatkan. Ini tidak pula bermaksud tag RFID itu boleh dicabut sebelum kereta dicuci. Ini kerana, tag berkenaan tidak lagi akan berfungsi jika ia dicabut atau ditanggalkan dari kereta anda.

Pengguna perlulah berhati-hati ketika mencuci di bahagian tag RFID dilekatkan. Apa yang perlu dilakukan ialah untuk beringat ketika mencuci di kawasan sekitar pelekat itu berada supaya ia tidak rosak atau gagal berfungsi selepas itu.

Kami juga telah menyediakan laporan berkaitan apa yang perlu anda tahu tentang RFID sebelum menggunakannya. Rujuk pautan ini sebelum anda mula menggunakan RFID. Kad Touch ‘n Go dan SmartTAG bagaimanapun masih lagi boleh digunakan selepas 15 Januari ini, dan hanya akan dimansuhkan penggunaannya secara berperingkat, dan akan dimaklumkan kelak.