Penunggang motosikal sepak cermin sisi Toyota Vios kerana tukar lorong, kemudian sendiri yang jatuh

Perkara terbaik yang perlu amalkan ketika berada di atas jalan raya ialah dengan sentiasa bersabar dan bertolak ansur. Tak perlu reaksi provokatif, begitu juga tak perlu untuk memperbesar perkara yang sebetulnya tak ada apa-apa.

Dalam satu rakaman kamera kenderaan yang beredar di media sosial ketika ini, kelihatan sebuah kejadian yang sepatutnya tidak perlu berlaku: seorang penunggang motosikal yang menendang cermin sisi sebuah Toyota Vios putih, dipercayai kerana marah kereta tersebut menukar lorong, sebelum kemudiannya penunggang itu sendiri yang tersembam di atas jalan tar.

Pemandu Vios kelihatan sempat memberikan lampu isyarat sebelum motosikal berkenaan muncul di belakang kereta terbabit. Kemungkinan, motosikal berkenaan berada dalam titik buta pemandu Vios ketika itu, yang ingin mengalihkan keretanya ke lorong paling kanan ? walaupun kereta tersebut belom lagi melepasi garisan untuk ke lorong terakhir itu.

Motosikal terbabit kemudian tetap berada di kanan kereta, mungkin ketika itu juga ingin mengalih lorong ke sebelah kiri, lorong yang sama Vios itu berada. Namun, tindakannya yang berang dan menendang cermin sisi Vios tersebut hingga patah tidak menguntungkan sesiapa, kerana dia sendiri terjatuh dari motosikal kerana hilang kawalan.

Kejadian ini sama sekali tidak perlu berlaku. Dari video berkenaan, kelihatan bahawa situasi yang ada itu tidaklah terlalu getir kerana paling tidak, penunggang motosikal terbabit boleh melihat Vios yang sedang menukar lorong itu, dan sepatutnya memberi ruang kepada pemandu dan dirinya sendiri supaya berada dalam keadaan selamat. Namun, mungkin kerana marah yang boleh dihindar, tindakan penunggang itu memakan diri.

Sekali lagi, banyakkan bersabar ketika berada di atas jalan raya dan jadilah daripada sebahagian besar pengguna yang menyumbang untuk menjadikan keadaannya lebih selamat untuk semua.