Selain dari eMas 5, Proton hari ini turut menunjukkan rupa sebenar Proton Saga 2026 tanpa sebarang pelekat penyamaran ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur. Ia didedahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Dato? Seri Anwar bin Ibrahim, dan juga Premier Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang.
Walau bagaimanapun gambar yang dihantar kepada kami hanya menampilkan bahagian hadapan Saga berwarna Ruby Red ini dan juga sedikit sisi hadapan. Namun kami telah sempat untuk meninjau Saga 2026 yang masih dibalut dengan pelekat penyamaran songket tempoh hari yang kini dipamerkan di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) di Subang Jaya.
Seperti yang dilihat sebelum ini, muka Saga ini berubah sepenuhnya berbanding model MC2 sedia ada, di mana fender, penutup bonet, lampu, gril dan juga bampar menerima rekaan baharu. Lampu depan Saga 2026 ini telah diberikan pencahayaan projektor LED, bersama lampu nyalaan siang LED bina-dalam.
Gril Saga ini juga menerima motif sama dengan X50 facelift yang baru dilancarkan Julai lalu, dan ia kini lebih besar merangkumi sehingga bahagian bawah lampu hadapan. Rekaan busur panah juga ditampilkan pada gril tersebut dalam kemasan krom, bersama logo Proton terletak di tengah, serta kelihatan seperti bersambung dengan jalur LED dalam lampu utama.
Manakala di belakang, jelas Saga diberikan lampu belakang yang merentasi lebar keseluruhan sedan ini, dengan lensa jernih dan grafik LED diinspirasikan dari ?abangnya? iaitu Proton S70. Bampar belakang Saga ini turut dipadankan bersama dengan panel bawah seakan diffuser udara.
Namun jika dilihat pada bahagian sisi, bentuk garis bumbung, pintu hadapan dan belakang dan juga garis-garis badan masih lagi sama seperti model sedia ada. Sebelum ini Proton ada menyatakan bahawa Saga 2026 diasaskan dari platform AMA 01, di mana ia adalah berdasarkan platform yang sama digunakan oleh Saga MC2 sekarang tetapi diberikan pelbagai penambahbaikkan – mungkin ini sebab mengapa rupa asas Saga ini masih lagi sama.
Walau bagaimanapun masih ada beberapa perincian berbeza boleh dilihat pada sisi sedan berkenaan, antaranya set rim aloi 15-inci baharu, rekaan cermin sisi baharu dan terdapat suis kunci pada pembuka pintu pemandu, menandakan Saga 2026 ini akhirnya diberikan sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci.
Rekaan papan pemuka Saga ini juga terdedah hampir keseluruhannya. Dapat dilihat ia menerima rekaan serba baharu dengan liang penghembus udara yang kini bujur dan leper berbanding empat segi sebelum ini. Dan yang paling menonjol adalah skrin infotainmen berdiri sendiri bercantum dengan satu lagi skrin tanpa perumah untuk paparan instrumen digital penuh.
Namun kedua-dua skrin tersebut tidak boleh diistilahkan ‘berkembar’ kerana paparan untuk meter digital adalah lebih kecil berbanding infotainmen, menyebabkan ada satu ruang gelap yang agak besar di antara kedua-dua skrin berkenaan. Saga baharu ini juga telah dipadankan dengan roda stereng rata di bawah yang diambil terus dari model-model terkini seperti X50, S70 dan X70.
Antara perincian dalaman lain yang boleh kami intai pada Saga ini dari luar termasuk ia diberikan lebih dari sekadar dua-beg udara (berdasarkan label pada tempat duduk dan pintu) serta perehat kepala tempat duduk belakang yang kini sudah boleh dilaras.
Kalau anda perasan pada penutup but belakang, Saga ini turut menerima lencana i-GT – ini mengesahkan bahawa ia menerima enjin i-GT 1.5 liter empat-silinder sebaris yang sama seperti pada X50 baharu. Walau bagaimanapun, kami jangkakan enjin yang disumbat pada Saga ini adalah varian dengan kod BHE15PFI, bukan BHE15TD seperti pada X50.
Asas kedua-dua enjin tersebut masih lagi sama, tetapi enjin Saga ini adalah dari versi dengan harga lebih mampu milik yang diberikan sistem suntikan bahan api pada port (PFI) berbanding suntikan terus (GDI) pada X50, dan ia juga tidak dibekalkan dengan pengecas turbo. Lebih perincian berkenaan barisan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Berdasarkan maklumat yang tertiris sebelum ini, Proton akan menawarkan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian. Tiada pilihan kotak manual ditawarkan pada model terbaharu Saga ini. Model Saga yang dipertingkatkan ini juga sebelum ini telah disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik.
Masih belum ada maklumat rasmi bila Saga ini akan dilancarkan, namun kami difahamkan bahawa ia akan berada di pasaran sebelum berakhirnya tahun ini.
























































Saga Mk 1 ialah model Orion (85), first facelift atau minor change ialah versi Magma (1987). Perubahan pada gril, bumper protector, warna baru, silinder head enjin, warna luaran badan dan kemasan upholsteri.
2nd facelift ialah model Megavalve (1990). Ni juga boleh dipanggil minor change. Gril baru, headlamp baru (lebih flush), signal baru, bumper protector lebih panjang, warna luaran tambahan, silinder head baru dan karburetor (variable venturi) serta upholsteri dalaman.
3rd facelift boleh dikatakan major revamp. Keseluruhan bahagian hadapan ialah rekaan baru termasuk bumper, headlamp, bonet dan panel radiator. Fender juga baru. Di bahagian belakang perubahan lampu belakang baru dan bumper unit di mana no plet diturunkan ke bawah. Bahagian dalaman sekali lagi menerima textile upholsteri baru tapi buat pertama kali dipersembahkan ialah meter baharu sepenuhnya (sebenarnya telah pun diberi pada lewat production model megavalve, sebahagian dari running change). Unit enjin tiada perubahan tetapi karburetor mendapat auto choke.
Iswara kekal tanpa perubahan selama 10 tahun (kecuali versi ekspot UK spec di mana menggunakan enjin EFi, catalytic converter dashboard Mitsubishi kerana mempunyai heater dan lampu check engine EFi).
Thn 2002 baru lah Iswara menerima facelift berbentuk minor change untuk model dinamakan Iswara SE atau juga Saga LMSS. Hanya berwarna silver dan bentuk aeroback (Proton menyebut namanya sebagai Saga Sporty Sedan di dalam parts catalogue), perubahan termasuk lampu baru depan dan belakang, roda stereng, panel meter instrument dan juga power stereng.
Tahun 2003 sekali lagi Saga mendapat nafas baru dengan major revamp di mana perubahan besar diberikan pada lampu hadapan dan belakang bersama juga bumper. Dashboard paling ketara dengan meter separa digital dan unit kawalan HVAC serba baru.
Thn 2008 barulah Saga digantikan dengan model serba baru iaitu Mk.II. Nama yang dikenali ialah Saga BLM, menggunakan platform Savvy yang diubahsuai tetapi rekaan body sama sekali yang berlainan. Model yang sedikit berlainan tetapi tidak layak dipanggil MC mahupun facelifr ialah varian 1.3SE dan model 1.6 khusus untuk teksi (di australia model.ni turut.dijual pada.umum dengan nama S16).
Facelift pertama ialah pada model FL thn 2012. Lampu baru hadapan dan blkg dan begitu juga bumper dan roda aloi. Penambahan power window pintu belakang dan airbag sebelah penumpang. Tidak berapa lama selepas dilancarkan, model FL auto dengan gearbox 4AT digantikan jenis CVT dan saga ini kenali sebagai FLX.
Terdapat satu varian tambahan iaitu model 1.6SE dimana roda bertukar saiz 15 inci, dan bodykit penuh. FLX boleh dikatakan full facelift dan bukan minor berdasarkan kiraan perubahan yang proton lakukan.
Tiada lain sehinggalah 2016 bila model pengganti Saga dibuat. Masih menggunakan platform sama tetapi diberi body serba baharu sepenuhnya (top hat). Enjin masih kekal Campro 1.3 tetapi mendapat sentuhan baru iaitu VVT. Ini boleh dikatakan Saga FMC atau full model change.
Dari 2016 sampai 2025, Saga Mk III ni tidak banyak diberi pembaharuan melainkan 2019 gearbox CVT Punch digantikan dengan transmisi automatik konvensional 4AT. Tidak layak dikatakan facelift kerana wajahnya masih sama.
2022 Saga Mk III mendapat facelift yang boleh dikatakan minor change kerana perubahan kecil pada bumper dan gril serta rekaan roda. Inilah disebut MC2.
Bagi 2025 ni, adalah tidak betul untuk kita panggil sebagai MC (lebih malang kalau staf Proton sendiri yang memulakan nama MC3) kerana perubahan terlalu besar menjangkaui major revamp, bukan sekadar minor change. Hampir keseluruhan panel body lampu dan bumper adalah baru, begitu juga bahagian dalaman. Malahan enjin juga mendapat tukaran berbeza sepenuhnya iaitu enjin 1.5 dari Geely.
Maka istilah yang tepat ialah Full Model Change Saga Mk IV.