Menurut laporan Nikkei Asia, Toyota bakal mengimport MPV Noah dan Voxy yang diproduksi di Taiwan ke Jepun untuk dijual dalam pasaran negara asal jenama tersebut bermula bulan Oktober nanti. Laporan itu menyatakan bahawa Toyota mengambil langkah sedemikian untuk membantu mengurangkan kekangan pengeluaran domestiknya dan menangani kelewatan penghantaran yang tidak berkesudahan.
Toyota Noah dan Voxy buat masa sekarang dihasilkan di Jepun dan ia menerima permintaan yang sangat tinggi, dengan jumlah jualan tahunan sebanyak 70,000 hingga 80,000 unit. Walau bagaimanapun, had kapasiti pengeluaran Toyota di Jepun telah menyebabkan pembeli menghadapi tempoh penghantaran yang lambat, serta kadangkala memaksa syarikat itu untuk menghentikan sementara pengambilan tempahan.
Laporan itu mengatakan bahawa Toyota dijangka akan mewujudkan barisan pemasangan khusus di Taiwan khusus untuk menghasilkan kenderaan untuk pasaran Jepun, kebanyakannya varian yang lebih murah. Ia menambah bahawa pengeluaran tersebut akan dibuat di kilang di utara Taiwan, dengan kapasiti 100,000 kenderaan dihasilkan setiap tahun dari kemudahan yang turut mengeluarkan Corolla dan Yaris Cross melalui usaha sama tempatan. Ini akan menambah pengeluaran domestik di Jepun yang akan berterusan secara selari.
Toyota telah mengekalkan sasarannya untuk menghasilkan pengeluaran sebanyak tiga juta kenderaan untuk pasaran domestik setahun, tetapi untuk mengekalkannya akan menyebabkan kos semakin mahal kerana kekurangan buruh, peningkatan kos bahan dan buruh serta kapasiti pengeluaran yang lebih ketat. Kenta Kon, yang memegang jawatan presiden dan CEO Toyota pada April tahun ini, dilaporkan berkata kekurangan bekalan yang membawa kepada kelewatan penghantaran yang lama boleh mendorong pelanggan beralih kepada jenama pesaing.
Laporan itu juga menyatakan bahawa data daripada Persatuan Pengimport Automobil Jepun menunjukkan import meningkat 19% tahun ke tahun kepada 111,513 kenderaan tahun lepas — tahap tertinggi dalam tempoh tiga dekad — menunjukkan bahawa langkah untuk mengimport kenderaan kembali ke Jepun semakin menjadi amalan biasa di kalangan pengeluar kereta tempatan.



Toyota Yaris Cross
dari RM99,900
Toyota Hilux
dari RM226,300
Toyota Urban Cruiser
dari RM198,000
Toyota bZ4X
dari RM220,000
Toyota GR Yaris
dari RM315,600
Toyota GR Corolla
dari RM368,950
Toyota Camry
dari RM221,800
Toyota Corolla Cross
dari RM133,800
Toyota Hiace
dari RM169,000