Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Honda Freed generasi terbaharu akan diperkenalkan di Jepun tahun ini, tampil perubahan penuh – CEO

    freed-fl-01

    Honda Freed model sedia ada

    Honda telah mengesahkan akan mendedahkan model MPV Honda Freed baharu yang mengalami perubahan sepenuhnya pada tahun ini. Presiden dan CEO Honda, Takahiro Hachigo, memberitahu perkara ini ketika menyampaikan ucapannya mengenai perancangan masa depan syarikat.

    Bercakap mengenai kekuatan produksi dan kunci jualan serantau bagi model Honda yang masih relevan, Hachigo berkata model generasi akan datang Freed ini boleh dilihat sebagai contoh berhubung perancangannya untuk Jepun.

    Tanpa memberitahu lebih lanjut mengenai Freed generasi akan datang ini, ia masih kekal menjadi tanda tanya. Buat masa ini, apa yang diketahui Honda Freed hanya dihasilkan dan dipasang di Jepun dan Indonesia. Hanya sedikit negara di luar dua negara tersebut yang turut memasarkan Freed – Hong Kong merupakan satu lagi pasaran yang masih menjual Freed secara rasmi.

    Honda Freed juga pernah dijual di Malaysia. Diposisikan sebagai “MPV konsep premium” di sini, model tersebut diperkenalkan di pasaran tempatan pada tahun 2010, dengan harga RM112,000. Pada tahun 2013, dua varian daripada model facelift telah dilancarkan, dijual pada harga RM99,800 dan RM113,500. Walau bagaimana pun, permintaan yang kurang memberangsangkan membuatkan Honda Malaysia tidak meneruskan perjualan model tersebut di sini.

    GALERI: Honda Freed generasi sekarang

     
     
  • VW penaja rasmi kereta untuk Le Tour De Langkawi

    VW-Tour-De-Langkawi_BM

    Volkswagen Group Malaysia (VGM) menjadi penaja kereta rasmi untuk Le Tour De Langkawi Malaysia tahun ini yang berlangsung bermula 24 Februari hingga 2 March. VGM akan menyediakan sebanyak 190 unit Passat CKD untuk digunakan oleh penunggang, marshal keselamatan dan juga polis.

    “Volkswagen Malaysia diberi penghormatan untuk menjadi sebahagian dari Le Tour De Langkawi tahun ini – salah saru acara sukan berprestij di Malaysia. Kami juga berasa gembira di mana Passat pemasangan tempatan kami, yang datang dengan ciri keselamatan bertaraf dunia, akan memainkan peranan penting dalam kelancaran acara tersebut, delegasi dan pegawai serta keselamatan pelumba ketika perlumbaan,” Ujar Armin Keller, Pengarah Urusan VGM.

    Le Tour De Langkawi merupakan acara perlumbaan basikal pelbagai peringkat terulung Malaysia yang diadakan secara tahunan bermula 1996. Ia akan merentasi 10 peringkat dalam masa 10 hari, termasuk pendakian jalan Genting Highland yang sangat mencabar.

     
     
  • Shell Malaysia melancarkan kedai Shell Select serba baharu pertama di PJ, seterusnya ke seluruh negara

    Shell-Select-retail-store-1_BM

    Seiring dengan program transformasi tiga tahun Welcome to Shell yang mensasarkan agar dapat memberi hospitaliti terbaik buat pengguna jalan raya, Shell hari ini telah melancarkan kedai konsep Shell Select yang terbaharu di stesen SH Shell Damansara Jaya.

    Shell mengumumkan 30 unit outlet mereka akan dinaik taraf kepada kedai konsep yang direka sebagai sebuah ‘oasis makanan’ pada tahun ini. Ia akan menyediakan makanan dan minuman di dalam atmosfera yang bersih, meriah dan mesra pelanggan.

    Kiosk Krispy Kreme Doughnut, Boost Juice, dan Deli2go akan dibina didalam outlet setiap stesen terbabit yang akan menyediakan pelbagai pilihan snek, pastri, jus dan kopi. Ia juga akan dilengkapi dengan ruang makan yang sangat selesa, Wi-Fi percuma serta stesen pengecas peralatan elektronik.

    Untuk pelanggan yang beragama Islam, surau baharu yang bukan sahaja bersih malah cantik dan selesa juga disediakan untuk mereka beribadah.

    Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Datuk Azman Ismail berkata, “Konsep runcit terbaharu untuk Shell Select di stesen utama kami akan memberikan pengguna jalan raya pengalaman yang lebih menakjubkan, begitu juga dengan nilai dan pilihan.”

    Ditanya sama ada konsep baharu akan mendatangkan pulangan yang lebih untuk pengusaha stesen, Azman berkata, “Dengan konsep baharu ini kami berharap ia akan meningkatkan peratusan keuntungan pada pengusaha melebihi 50% melalui hasil jualan bahan api.”

     
     
  • TC Euro Cars naik taraf bilik pameran Renault PJ

    Upgraded Flagship Renault Showroom_Facade

    TC Euro Cars (TCEC), pemegang tunggal francais kenderaan Renault di Malaysia, baru-baru ini menaik taraf bilik pameran utamanya di Petaling Jaya. Langkah itu bagi menawarkan pengalaman lebih baik dan eksklusif kepada para pelanggan dan pengunjungnya.

    “Penambahbaikan ini selari dengan komitmen dan kesungguhan kami untuk melangkaui ekspektasi para pelanggan Renault yang bijak menilai. Dengan semua naik taraf ini, kami ingin menjalin hubungan lebih erat, sekali gus membolehkan TC Euro Cars memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars Sdn. Bhd., Kuan Kim Luen.

    Terletak di Jalan Kemajuan, Seksyen 13 di Petaling Jaya, bilik pameran Renault yang telah ditambah baik itu kini menampilkan sebuah restoran dan pub baharu dikenali sebagai Tavern 13. Ia merupakan tambahan kepada sebuah kafé sedia ada dan berfungsi menawarkan pengalaman gaya hidup lebih menarik di bilik pameran tersebut.

    Di bahagian luar bilik pameran, platform pameran kenderaan yang baru dibina dapat dilihat dengan jelas dari arah jalan raya iaitu Jalan Semangat. Platform ini mempamerkan kenderaan-kenderan penuh gaya dan jimat bahan api daripada Renault seperti Captur dan Clio GT Line.

    Bukan itu sahaja, para pelanggan kini boleh membuat temu janji dengan penasihat jualan untuk meletakkan kenderaan masing-masing di bilik pameran ini. Malah Perunding Jualan Renault juga sentiasa bersedia untuk menawarkan bantuan mengambil dan menghantar kenderaan apabila sudah tiba masa untuk diservis.

    Menurut Kuan, TCEC kini sedang mengembangkan dan menaik taraf rangkaian Renault untuk menyokong momentum pertumbuhan jenama tersebut di negara ini.

    TCEC baru-baru ini menambah beberapa buah bilik pameran baharu di Seremban dan Johor Baharu untuk mengukuhkan lagi jenama Renault. Di samping boleh berhubung dengan lebih ramai pelanggan di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

    Buat masa sekarang, Renault mempunyai 15 buah bilik pameran dan pusat servis di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

     
     
  • SPYSHOT: Kia Carnival generasi baharu versi pemandu sebelah kiri dijumpai di JPJ Putrajaya

    IMG_6656_BM

    Sebuah Kia Carnival baharu telah dijumpai di JPJ Putrajaya. Gambar yang dikirim oleh Amar Zain ini mungkin memberi petunjuk MPV ini akan masuk dalam pasaran Malaysia dalam masa terdekat.

    Kereta yang dijumpai ini mungkin dibawa dari Korea Utara kerana tempat pemandunya di posisi sebelah kiri (untuk model yang dijual di Amerika Syarikat, Carnival dikenali sebagai Sedona). Jadi, kemungkinan besar kereta ini dibawa oleh pihak Naza Kia untuk dinilai sebagai persiapan awal memperkenalkan kereta ini dalam pasaran tempatan atau mungkin ia akan digunakan oleh pihak Naza Kia sebagai pengangkutan untuk staf mereka.

    Walau bagaimanapun, ada sumber memberitahu pihak paultan.org Kia Carnival sekarang ini sedang dipertimbangkan untuk dijual di dalam pasaran tempatan. Jika ia dijual di sini kelak, ini merupakan model kedua MPV dari Kia masuk ke pasaran Malaysia selepas Kia Carnival generasi pertama yang juga di ‘rebadge’ sebagai Naza Ria.

    Kia Carnival terbaharu ini 40 mm lebih panjang dari generasi sebelum ini, dan untuk varian yang tertentu ia dipasangkan dengan rim aloi krom berdiameter 19-inci. Dengan saiz yang lebih besar, Carnival menawarkan ruang bahu, ruang kaki pada tempat duduk barisan pertama, kedua, dan ketiga serta ruang kelegaan kepala yang jauh lebih luas.

    Terdapat dalam konfigurasi tujuh, lapan, atau sebelas-tempat duduk (untuk pasaran Korea), Carnival dikuasakan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.2 liter D CRDi turbodiesel (202 PS/441 Nm) atau 3.3 liter GDI tanpa pengecas turbo V6 (280 PS/336 Nm). Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik.

    GALERI: Kia Sedona pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • Cadangan menutup jalan di KL untuk membenarkan Mat Moto berlumba mendapat banyak tentangan

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Berikutan cadangan Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini untuk menutup sebahagian jalan di Kuala Lumpur seminggu sekali untuk Mat Moto berlumba, nampaknya mendapat banyak bantahan dari pelbagai pihak tidak kira dari pihak kerajaan sendiri dan pembangkang, lapor The Star.

    Menurut Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani, idea untuk membenarkan Mat Rempit berlumba diatas jalan raya Kuala Lumpur bukanlah idea yang praktikal. Jika mahu mendapatkan perhatian mereka, DBKL perlu menyewa litar lumba seperti di Sepang. “Saya tidak fikir syarikat insuran akan menginsurankan mereka,” tambah beliau.

    Ketua Wilayah Persekutuan MCA Datuk Yew Teong Look pula dilaporkan berkata, sukan bermotor adalah sesuatu yang bahaya dan ia tidak boleh digalakkan. Tambah beliau DBKL perlu berfikir dulu sebelum membuat keputusan, keselamatan Mat Rempit dan orang awam perlu diambil kira.

    Ahli Parlimen DAP Cheras Tan Kok Wai juga menentang cadangan ini demi keselamatan orang awam dan Mat Rempit. Jika cadangan ini diluluskan beliau berharap DBKL akan memastikan semua jalan dalam keadaan yang baik. Beliau juga berkata pengumuman dari Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor membuktikan beliau tidak membuat ulangkaji atau melihat dari sudut yang lebih luas. “Selain lubang, penutup longkang yang hilang turut mengundang bahaya juga. Adakah DBKL akan menaik taraf semua fasiliti jalan raya?” tambah beliau.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class ke Malaysia pada Q4 2016

    E 400 4MATIC, AMG Line, selenitgrau magno, Leder schwarz/sattelbraun E 400 4MATIC, AMG Line, selenit grey magno, leather black/saddle brown

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah memberikan kesahihan bahawa akan membawa masuk model baharu E-Class ke Malaysia tidak lagi. “Mungkin ia akan sampai dalam suku ke-empat (Q4) tahun ini,” ujar Presiden dan CEO MBM Dr Claus Weidner.

    Khabar Mercedes-Benz E-Class W213 telah mula bersebaran sejak Januari lalu, kini menggunakan platform MRA yang pernah digunakan pada model C-Class W205. Model generasi ke-10 E-Class bagi pasaran antarabangsa menerima dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter empat-silinder untuk E 200 (184 hp/300 Nm), manakala penjana kuasa baharu OM654 2.0 liter turbodiesel pula untuk varian E 220d (194 hp/400 Nm). Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi 9G-Tronic automatik sembilan-kelajuan.

    Antara elemen yang bakal dilengkapi dalam E-Class baharu ini termasuklah skrin paparan 12.3-inci, sistem COMAND Online generasi terkini, sistem Remote Parking Pilot, komunikasi Car-to-x, Kunci Digital Kenderaan dan Drive Pilot iaitu sistem pemanduan sendiri Mercedes-Benz. Cuma untuk pasaran Malaysia sahaja yang belum diketahui perinciannya termasuk tentang penjana kuasanya.

     
     
  • Mitsubishi Triton, ASX Geoseek konsep untuk Geneva

    Mitsubishi-Triton-ASX-Geoseek

    Mitsubishi Motor Corporation (MMC) akan membawa dua versi ‘solekan khas’ bagi trak pikap Triton (L200 bagi sesetengah pasaran) dan model facelift bagi ASX di Geneva Motor Show 2016 yang bakal berlangsung minggu hadapan. Ia dinamakan sebagai L200 Geoseek dan ASX Geoseek, iaitu gabungan bagi “geo” dan “seek”, di mana MMC telah mengekplorasi imej yang lebih bergaya bagi kedua-dua model konsep.

    Kedua-dua model konsep ini dicat dengan warna kelabu mutiara, yang memberikan gambaran “sifat semulajadi buat SUV” termasuk penambahan bingkai lampu kabus, fender lips, rim aloi, spoiler pintu kargo, bampar belakang dan cermin pintu, dengan sentuhan warna jingga. Tema kelabu-jingga turut menjadi pilihan model konsep Proton Iriz Active…persamaan sekadar kebetulan?

    “Rupa aktif” cukup diserlahkan dengan penampilan gril hadapan yang bercantum dan plat skid pada bahagian bampar, digambarkan oleh MMC sebagai “bumbung bakul” bagi menyimpan peralatan perkhemahan atau pun membawa basikal. Trak pikap ini turut menampilkan lampu dan pemegang tangan pada rel bumbung, sementara ASX didatangkan dengan lampu kabus LED.

    MMC turut berkata bahagian dalaman bagi kedua-dua Geoseek ini akan dihiasi dengan kekemasan hitam dan jingga, dengan balutan tempat duduk kombinasi fabrik panel tengah (bagi aliran udara yang lebih bagus) dan kulit lembut (dengan permukaan yang kurang licin).

    Kena tunggu Geneva Motor Show 2016 berlangsung, barulah perincian tentang kedua-dua model konsep ini akan didedahkan sepenuhnya.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan Cycle & Carriage Bintang lancar Georgetown Autohaus di Pulau Pinang

    CCB Georgetown Autohaus-8

    Belum pun genap seminggu Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd, bersama pengedar sahnya, Cycle & Carriage Bintang Berhad (CCB), merasmikan semula CCB Autohaus serba baharu di Petaling Jaya, hari ini giliran Georgetown Autohaus di Pulau Pinang dilancarkan.

    Terletak di 22, Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown Autohaus ini telah dinaiktaraf mengikut spesifikasi identiti korporat baharu jenama ini dan juga rekaan bilik pameran global Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II), yang mana ia turut diadaptasikan oleh lebih 6,000 pengedar Mercedes-Benz di seluruh dunia.

    Menurut CCB, penaiktarafan ini agak mengambil masa yang lama untuk disiapkan kerana bilik pameran ini terletak dalam sebuah bangunan warisan yang dilindungi oleh UNIESCO. Keasliannya perlu dikekalkan, begitu juga dengan strukturnya, manakala pengubahsuaian hanya melibatkan bahagian dalaman termasuk jabatan selepas jualan.

    Bilik pameran seluas 33,489 kaki persegi ini turut mampu mempamerkan sehingga tujuh unit kenderaan, mempunyai ruang lounge bagi pelanggan dan juga 14 ruang penyelenggaran di bahagian servis. Sebanyak RM4 juta telah dilaburkan untuk kerja-kerja pembaikpulih, menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan CCB bagi pasaran utara kini mencecah RM20 juta sejak tahun 2011.

    Menurut CEO CCB Datuk Wong Kin Foo, cawangan di Juru dan Bukit Tengah juga telah diperbaharui sebagai sebahagian daripada penaiktarafan semua pengedaran dengan imej baharu.

    Terkini, CCB memiliki 11 lokasi cawangan seluruh negara dengan tujuh daripadanya merupakan 3S Autohous, dua bilik pameran 1S dan dua pusat servis 2S. Pada penghujung bulan ini, CCB juga akan melancarkan cawangan TREC KL yang terletak di Jalan Tun Razak, dan disusuli pembukaan Autohous di Cheras pada pertengahan tahun ini.

    Dalam majlis yang sama, MBM turut meraikan ulang tahun ke-130 penubuhan jenama ini.

    Sejak Mercedes-Benz diwujudkan pada tahun 1886, jenama ini kian berkembang dan bergerak penuh agresif di serata global. Malah ia turut menjadi antara jenama premium mewah yang digemari di seluruh dunia, membuktikan kematangan usianya setanding inovatif yang dipertaruhkan.

    CCB Georgetown Autohaus-4

    Presiden dan CEO MBM Dr Claus Weidner berkata, “130 tahun yang lalu, Gottlieb Daimler dan Karl Benz telah melakar nama mereka dalam sejarah automotif berhubung dengan penciptaan mereka dalam industri ini. Dari situ, jenama Mercedes-Benz mula dilahirkan dan telah bergerak secara lebih agresif. Dekad demi dekad, jenama ini telah mencipta kepelbagaian di dalam automotif. Seperti mana slogan Daimler, “If you don’t move forwards, you go backwards.

    “Dari situ Mercedes-Benz telah mencipta pelbagai inovasi, teknologi dan pengalaman pelanggan yang berkualiti sejak 1886. Seiring dengan prinsip kami, ‘the Best or nothing’, kami terus memacu kecemerlangan dan menetapkan standard dalam industri automotif.”

    Di Malaysia, kenderaan jenama ini mula dijual sejak tahun 1951. Namun hanya pada tahun 2003, MBM mula dibangunkan untuk meneruskan legasi jenama ini. MBM kini memiliki 23 pengedar bertauliah di Semenanjung dan Malaysia Timur.

     
     
  • Honda Civic Coupe 2016 pasaran Amerika Syarikat – maklumat terperinci dan lebih gambar didedahkan

    2016-Honda-Civic-Coupe-32-e1456198629455_BM

    Honda kembali menyediakan kami informasi berkenaan Honda Civic Coupe 2016, yang telah diperkenalkan pada LA Auto Show tahun lalu.Dirancang akan mula dijual untuk pasaran Amerika pada Mac 2016, Civic Coupe turut menampilkan pelbagai teknologi baru seperti model empat-pintu nya.

    Apabila dilancarkan nanti, penbeli di Amerika mempunyai lima varian untuk dipilih – LX, LX-P, EX-T, EX-L dan Touring. Dengan harga yang dijangka bermula sekitar USD$20,000 (RM83,741) untuk model asas LX.

    Seperti model sedan, Civic Coupe turut menerima dua jenis enjin petrol, digandingkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC empat-silider yang menjana 158 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 187 Nm pada takat 4,200 rpm akan dilengkapkan untuk varian LX (manual, opsyenal CVT) dan LX-P (hanya CVT).

    Opsyen enjin 1.5 liter turbo DOHC pancitan bahan api terus pula menjana 174 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 220 Nm bermula 1,700 rpm hingga 5,500 rpm. Enjin turbo ini pula akan dilengkapi pada varian EX-T, EX-L dan Touring, semuanya hanya digandingkan dengan transmisi CVT.

    2016-Honda-Civic-Coupe-29-e1456198702448_BM

    Civic Coupe ini juga telah mendapat casis baharu untuk memberikan pemanduan dan pengendalian yang lebih mantap. Ini termasuklah suspensi topang MacPherson dihadapan/gantungan bebas multi-link dibelakang, sesendal (bushing) hidraulik depan dan belakang (LX hanya untuk hadapan), stereng berkuasa elektrik dua pinan baharu dengan nisbah gear bervariasi dan sesendal penstabil depan dan belakang jenis bonded.

    Berbanding dengan model sebelum ini, Civic Coupe baharu direka dengan lebih lebar – 48 mm di hadapan dan 63 mm di belakang. Kereta ini juga datang dengan Agile Handling Assist untuk pertama kali, di mana ia membolehkan tork brek pada kedua belah tayar hadapan dikawal, meningkatkan prestasi ketika meredah selekoh.

    Buat pertama kalinya Civic Coupe dipadankan dengan brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold, berfungsi sama seperti yang terdapat pada Honda HR-V di sini. Ciri standard lain termasuklah sistem ABS pada semua roda dengan EBD serta VSA.

    Pada bahagian luaran, Civic Coupe berukuran 4,493 mm panjang, 25 mm lebih pendek dari model sebelum ini. Ia juga 46 mm lebih lebar dengan ukuran 1,798 mm dan 3 mm lebih rendah (1,394 mm). Walau bagaimanapun, kereta ini mempunyai jarak roda yang lebih panjang iaitu 2,700 mm (lebih 79 mm), membolehkan ruang kabin direka dengan lebih luas.

    Dimensi baru ini turut datang dengan rupa yang baru, seperti yang di prebiu pada Civic Concept 2015. Walaupun seiras dengan sedan pada bahagian muka, model coupe ini menerima ‘stance‘ yang lebih agresif. Dari tiang-A membawa ke belakang, rekaan unik Civic Coupe menampilkan bentuk badan yang 25 mm lebih rendah dari sedan. Ia turut dilengkapi dengan lampu belakang berbentuk-C yang tersendiri.

    Lampu hadapan LED, yang dikhaskan untuk varian Touring (varian lain hanya dibekalkan dengan lampu projektor halogen) serta lampu nyalaan siang LED menambahkan lagi rupa paras yang ‘kacak’ untuk kereta ini

    Untuk bahagian roda, varian LX dan LX-P akan menerima roda aloi 16-inci dibaluti tayar 215/55/R16. Manakala untuk tiga lagi varian lain, ia dilengkapi dengan roda 17-inci dibaluti tayar 215/50/R17.

    Untuk bahagian dalaman Civic ini pula, jarak roda yang panjang dan badan yang lebih lebar membolehkan ruang kabinnya menjadi lebih luas, dengan ruang kelegaan kepala (927 mm depan/ 876 mm belakang), ruang kaki (1,074 mm depan/ 912 mm belakang), ruang bahu (1,445 mm depan/1,336 mm belakang). Ruang penumpang mempunyai keluasan 2,577 liter, manakala ruang kargo pula kini sebesar 337 liter (lebih besar 5.7 liter). Tempat duduk belakang juga boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk meningkatkan tahap praktikaliti.

    2016 Honda Civic Coupe

    Untuk keselesaan didalam kabin, Civic ini dilengkapi dengan moonroof, penghawa dingin automatik dua-zon, skrin sesentuh tujuh-inci (resolusi 800×480) sistem infotaimen dengan HondaLink, integrasi Android Auto dan Apple CarPlay (LX dan LX-P hanya dilengkapi skrin sesentuh multimedia asas lima-inci), pemanas kerusi hadapan serta roda stereng dan tuil gear dibalut kulit.

    Pada semua varian Civic Coupe kecuali varian LX dan LX-P, pemandu akan mendapat informasi dari Driver Information Interface (DII) yang terletak didalam paparan instrumen dibawah speedometer digital. DII yang turut memaparkan bacaan trip,peringatan servis, navigasi dan pemain audio ini boleh dikawal menerusi suis yang terletak pada roda stereng.

    Untuk ciri keselamatan, hanya varian Touring menerima teknologi keselamatan dan bantuan pemandu Honda Sensing. Sistem ini menghimpunkan pelbagai ciri keselamatan termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW), Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Lane Keeping Assist System (LKAS) dan Road Departure Mitigation (RDM)

    GALERI: Honda Civic Coupe 2016

     
     
  • Toyota Sienta dijual di Malaysia Ogos ini, RM90k?

    Screen-Shot-2016-02-23-at-4.25.42-PM

    Berita yang menarik, di mana iklan model MPV Toyota Sienta dari pengedar Toyota telah dipaparkan di Mudah.my, namun tidak mengesahkan adakah benar ia akan tiba di Malaysia. Dengan harga yang disebut iaitu RM89,880, iklan tersebut turut menyebut ia boleh didapati mulai Ogos ini.

    Sienta bagi pasaran Malaysia mungkin didatangkan dari Indonesia, yang dilaporkan mula dijual pada April ini. Ia diproduksi di PT Toyota Motor Manufacturing di Karawang, Jawa Barat dengan jangkaan sebanyak 25,000 unit, bersama 80% pasaran domestik dan selebihnya untuk dieksport. Fasiliti tersebut merupakan hab pengeluaran kedua bagi MPV selepas Jepun.

    Kenderaan yang dipasang di Indonesia ini dilaporkan memiliki sedikit kelainan berbanding model Jepun. Salah satunya, model pemasangan Indonesia itu akan didatangkan sama ada dengan pintu gelungsur manual- atau berkuasa elektrik.

    Ia turut menampilkan dua corong penghawa dingin (tidak terdapat bagi model di Jepun) untuk mengatasi cuaca panas tropika. Selain itu, ia turut didatangkan dengan rekaan tempat duduk yang berbeza. Perbezaan ini bukan suatu yang luar biasa bagi Toyota di Indonesia, kerana model Rush dan Daihatsu Terios juga menampilkan beberapa kelainan berbanding versi Jepun, termasuklah memiliki jarak roda yang lebih panjang.

    Sebelum ini, Sienta dilaporkan akan dijanakan oleh enjin 1NZ-FE 1.5 liter VVT-i dari Vios, yang mampu memberikan kuasa sehingga 109 PS dan 141 Nm. Walau bagaimana pun, model facelift bagi Avanza kini turut menggunakan penjana kuasa baharu iaitu 2NR-FE dengan Dual VVT-i bersama penjimatan bahan api yang lebih baik serta kuasa 104 hp/139 Nm, maka terdapat kemungkinan Sienta juga akan menggunakan enjin tersebut.

    Ia juga adalah berbeza dengan model Jepun, yang menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-FXE (109 PS/136 Nm) Atkinson dengan digerakkan secara elektrik VVT-iE untuk varian 2WS, 1NZ-FE bagi model 4WD (103 PS/132 Nm) atau 1.5 liter 1NZ-FKE (74 PS/111 Nm) yang dipadankan bersama motor elektrik untuk Sienta Hybrid. Manakala enjin petrol pula dipadankan dengan transmisi Super CVT-i, manakala penjana kuasa hibrid pula digabungkan dengan eCVT.

    Ada juga perkhabaran yang mengatakan dijangkakan Sienta ini akan diletakkan antara Avanza dan Innova bagi barisan model Toyota pasaran tempatan.

     
     
  • SPYSHOT: Toyota Fortuner 2016 baharu kelihatan berdekatan Padang Jawa, tampil dua set roda berbeza

    SUV Toyota Fortuner yang baharu telah dijumpai di Malaysia sekali lagi. Kali ini gambar terbaharu SUV tujuh-tempat duduk ini telah dihantar kepada kami oleh Tengku Izzudin, yang menemui SUV ini berdekatan Padang Jawa, Shah Alam.

    Gambar dua contoh Fortuner generasi kedua ini telah diambil sekali dan ia dilengkapi dengan dua set roda yang berbeza. Gambar SUV yang menampakkan bahagian hadapan dilengkapi dengan set roda sama dengan apa yang telah kami paparkan sebelum ini (juga di Shah Alam). Gambar kedua pula yang menampakkan tiga-suku bahagian belakang SUV berkenaan, ia dilengkapi dengan set roda yang lebih kecil.

    Lencana Fortuner masih lagi ditutup seperti sebelum ini, tetapi jika diamati bahagian belakangnya ia ditampal dengan pelekat “intercooler VNT” yang merujuk kepada teknologi “Variable Nozzle Turbodiesel” yang telah sedia dipakai untuk model-model Toyota sebelum ini. Jadi tiada sebarang petunjuk berkenaan enjin diesel yang mana menjana Fortuner baharu ini.

    Di Thailand, Fortuner baharu telah didedahkan menggunakan dua enjin turbodiesel siri GD yang baharu – enjin 1GD-FTV 2.8 liter dengan 177 hp dan tork 450 Nm, dan enjin 2GD-FTV 2.4 liter dengan 150 hp dan tork 400 Nm. Kedua-dua enjin ini menggantikan enjin 3.0 liter dan 2.5 liter diesel terdahulu.

    Enjin petrol 2.7 liter Dual VVT-i yang dipertingkat turut ditawarkan disana, menjana kuasa 166 hp dan tork 245 Nm. Fortuner turut dilengkapi dengan transmisi enam-kelajuan automatik torque converter menggantikan kotak gear automatik empat-kelajuan sebelum ini. Kotak gear manual enam kelajuan turut disediakan untuk spesifikasi yang lebih rendah.

    Sebelum ini, Fortuner di Malaysia boleh didapati sama ada dengan enjin petrol 2.7 liter atau 2.5 liter turbo diesel. Untuk model baharu, sama ada Toyota akan menggunakan enjin sama seperti spesifikasi Thailand atau tidak masih lagi menjadi teka-teki. Kami juga berharap kotak gear enam-kelajuan automatik dan sistem 4X4 adalah standard untuk Fortuner baharu spesifikasi Malaysia nanti.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, UMW Toyota akan memperkenalkan tiga model baharu dalam keluarga IMV di Malaysia tahun ini. Fortuner yang dilihat ini akan menyertai trak pikap Hilux dan MPV Innova dalam pasaran. Ketiga-tiga model tersebut dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada suku kedua dan ketiga tahun ini.

    GALERI: Spyshot Toyota Fortuner di Malaysia


    GALERI: Toyota Fortuner 2016

     
     
  • PANDU UJI: Reviu Nissan NP300 Navara di Malaysia

    Nissan-NP300-Navara-25

    Jika dahulu penerimaan orang ramai terhadap kenderaan trak pikap hanya sesuai untuk mereka yang sering perlu membawa barangan yang banyak termasuk peniaga, kontraktor, pekerja ladang, serta yang kerap memandu di permukaan jalan yang ekstrem mahu pun off-road. Namun kini, ia telah berubah di mana trak pikap ini turut sesuai digunakan sebagai pengangkutan harian atau pun yang gemarkan gaya hidup yang lasak.

    Sejak persepsi terhadap trak pikap ini berubah, pengeluar kenderaan sebegini turut mengubah arah rekaan mereka supaya kelihatan lebih bergaya, ditambah pula dengan adaptasi pelbagai teknologi dan menambah baik elemen pengendaliannya.

    Pada 26 November yang lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah pun melancarkan model Nissan NP300 Navara baharu untuk pasaran Malaysia. Ia digambarkan sebagai ‘pikap paling unggul’ kerana memiliki fleksibiliti untuk menjadi kenderaan yang boleh dipercayai dan lasak dalam melaksanakan tugas. Dalam masa yang sama, ia menjanjikan keselesaan dan ruang yang luas untuk kegunaan riadah dan perjalanan di hujung minggu. Ia ditawarkan dengan enam iaitu VL, V, SE A/T, SE M/T, E dan Single Cab.

    Nissan-NP300-Navara-13

    Bagi mengetahui sejauh mana kehebatan NP300 Navara baharu ini, kami telah melenjan pikap ini dalam pemanduan secara off-road dan corak perjalanan biasa iaitu untuk kegunaan seharian sama ada merentas lebuh raya mahu pun di bandar. Dengan diberi unit pandu uji varian tertinggi iaitu VL, cetusan rasa yang tercipta mencorakkan kepelbagaian gambaran.

    Jika dilihat daripada imej yang dipertaruhkan, sememangnya ia mudah menambat perhatian. Varian VL ini didatangkan dengan lampu utama LED berbentuk boomerang yang lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) merupakan yang pertama dalam kelasnya. Ia turut disertakan dengan rim aloi dua-tona 18-inci, sementara varian lain sekadar unit reflektor halogen biasa dan rim aloi 16-inci (bagi single cab dan double cab varian E hanya rim keluli biasa).

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan gril signatur ‘V-motion’ Nissan serta menyerlahkan aspek estatiknya. Varian ini juga ditampilkan dengan rel bumbung.

    Menjengah bahagian kabinnya, bentangan dalaman Navara ternyata menepati kehendak gaya hidup masa kini. Malah papan pemukanya hasil ilham model X-Trail namun memiliki sentuhan permukaan yang lebih kasar dan keras. Balutan kulit upholstery pula menjadi pilihan bagi tempat duduk, roda stereng dan tombol gear, memberikan cetusan elemen elegan di situ, tetapi hanya untuk varian VL sahaja.

    Tempat duduk yang diinspirasikan daripada graviti sifar (Zero Gravity Inspired Seats) yang pertama dalam kelasnya memberi sokongan pada tulang belakang pemandu dan penumpang hadapan. Varian VL dilengkapi dengan tempat duduk kulit sepenuhnya, manakala lain-lain varian hanya fabrik.

    Sementara sudut tempat menyandar untuk tempat duduk belakang yang telah ditambah baik bersama corong pendingin hawa memastikan keselesaan penumpang belakang pada setiap masa.

    Skrin warna Advanced Drive Assist Display (ADAD) bersaiz 5.0-inci memaparkan maklumat kenderaan untuk memudahkan pemanduan. Sementara stereng yang sporty bersama butang kawalan memberikan pemandu akses terus ke atas sistem audio dan kawalan jelajah di hujung jari sahaja. Manakala pendingin hawa dua zon dan corong udara di bahagian belakang pula memberikan penyejukan kabin yang optimum.

    Ia turut dilengkapi dengan butang kawalan pada roda stereng iaitu untuk audio, sistem bebas-tangan Bluetooth, kawalan kelajuan, kunci pintar bersama butang penghidup/mematikan enjin dan paparan bersaiz 5.0-inci dengan sokongan FM/AM/MP3 (sama seperti model Teana 2.0XL atau 2.5XV), sambungan USB, kamera pandang belakang dan enam pembesar suara.

    Selain itu, ETCM turut menawarkan sistem Navigasi Multimedia TCAT dengan skrin sesentuh 7.0-inci bernilai RM3,922 sebagai pilihan, namun ia tidaklah begitu efisien daripada segi operasinya dan tidak banyak berbeza dengan produk yang dijual di luar yang boleh didapati dengan harga yang lebih rendah.

    Satu-satunya kekurangan yang terasa tentang bahagian kabin pikap ini ialah sudut kecondongannya lebih kepada sebuah kereta biasa, tidak boleh dilaraskan ketinggiannya secukup yang mungkin, malah ia boleh mendatangkan kurang selesa pada pemandu yang bertubuh tinggi.

    Jika anda duduk di tempat duduk belakang sebagai penumpang, tempat duduk yang agak menegak pasti mengundang rasa yang kurang selesa terutamanya jika melibatkan perjalanan yang jauh. Namun corong penghawa dingin (satu-satunya dalam kelasnya) mengurangkan rasa tidak selesa itu, malah elemen ini seakan memberikan sentuhan kemewahan pada pikap ini.

    Bagi muatan kapasitinya, Navara double cab ini berukuran 1,503 mm bagi petak kargonya dengan kedalaman 475mm, iaitu kurang sedikit daripada Triton iaitu 1,520 mm dan Ranger (1,549 mm). Navara ini dikatakan mampu membawa muatan seberat satu tan.

    NP300 Navara ini mempertaruhkan enjin yang telah ditambah baik iaitu 2.5L Diesel YD25 Nissan dengan sistem geometri boleh ubah (VGS) turbo intercooler. Ia mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 190 PS dan puncak tork 450 Nm pada 2,000rpm iaitu lebih 16 PS dan 47 Nm berbanding model sebelumnya. Nissan turut mendakwa penjimatan bahan apinya juga telah dipertingkatkan sekitar 11%.

    Nissan-NP300-Navara-53

    Namun kuasa tersebut hanya boleh didapati bagi VL, sedangkan varian lain hanya 163 PS dan 403 Nm, iaitu kurang 11 PS berbanding model sebelum ini. Walau bagaimana pun, varian V dan VL turut digabungkan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan bersama mod manual iaitu pertama dalam kelasnya. Manakala SE hanya auto. Kesemuanya turut didatangkan dengan pacuan 4×4 sebagai standard, termasuk memiliki butang Shift-On-Fly 4×4. Di mana dari pacuan 2WD, boleh ditukarkan pada 4H untuk 4WD ketika memandu di bawah kelajuan 100 km/j. Dari 4H hendak bertukar ke 4LO, kenderaan harus berhenti sepenuhnya (0 km/j).

    Jika memandunya di laluan biasa termasuk lebuh raya, untuk mendapatkan kelajuan yang diingini, dari titik pegun atau rev yang rendah, ia seolah mengambil sedikit masa untuk hambatan kuasa. Namun jika sudah mencapai kelajuan yang diingini, kuasanya mudah dikekalkan.

    Ia mungkin dipengaruhi oleh kotak gear automatik yang seakan teragak-agak untuk ‘kickdown’, walau pun penukarannya lancar dan cepat. Namun kecederungannya untuk bertahan pada nisbah yang lebih tinggi bagi kecekapan bahan api yang lebih baik.

    08 Drive_All-New NP300 Navara

    Malah jika memandu dalam kelajuan yang agak tinggi, bunyi bising enjin menyerap masuk ke dalam kabin, biar pun dalam gear yang tinggi. Namun bunyi seretan angin dan tayar agak kurang kedengaran, berbanding model pesaingnya iaitu Ranger.

    NP300 Navara baharu ini juga menggunakan Multi-link bersama penyerap hentak bagi suspensi belakangnya. Ia turut dipadankan bersama Independent Double-Wishbone dengan palang penstabilan untuk suspensi hadapan, memberikan pengendalian yang lebih optimum.

    Hasilnya, dengan pegas gegelung ini, Navara mampu menyerap kesan hentakan dengan lebuh baik. Dalam kelajuan rendah mahu pun sederhana, ia memang terasa selesa. Namun jika dalam kelajuan yang lebih tinggi, suspensinya terasa agak lembut dan ini kurang sesuai untuk pikap terutamanya jika membawa muatan.

    Bagi olengan badannya, ternyata pikap ini berusaha keras untuk mengurangkan kesan yang kurang menyenangkan. Malah daya cengkamannya dan kestabilannya agak optimum berbanding Navara yang lama. Namun kelemahan pada suspensi yang agak lembut itu membuatkan kesan olengannya masih dapat dirasai. Malah pikap ini terasa agak berat bila berada dalam kelajuan yang rendah.

    39 Drive_All-New NP300 Navara

    Ketika melenjannya di laluan off-road, ia banyak memberi peluang mengenali karakter pikap ini. Meredahi laluan berlopak ternyata tidak begitu menyulitkan. Namun ketika menuruni bukit yang agak licin, keberanian agak teruji. Biarpun ia dilengkapi dengan dilengkapi sistem ciri Active Brake Limited Slip untuk menawarkan cengkaman lebih baik serta meningkatkan kestabilan kenderaan di atas jalan yang licin dengan Bantuan Menuruni Bukit, ia seakan menggelongsor dengan agak mendadak biar pun pedal pendikit tidak disentuh.

    Maka kawalan stereng sangat ditagih bagi memastikan pikap ini mampu menuruni bukit dengan keadaan permukaan jalan yang licin lebih selamat. Selain itu, pikap ini turut memiliki sistem Bantuan Mula Mendaki yang dirasakan lebih efektif.

    Selain itu, ia turut dilengkapi aspek keselamatan lain termasuklah dua beg udara di bahagian hadapan, cagak tempat duduk kanak-kanak (ISOFIX), Kawalan Dinamik Kenderaan, ABS, EBD, Bantuan Brek dan Sistem Kawalan Cengkaman untuk membantu pemandu agar sentiasa berada dalam kawalan serta dapat mengelakkan daripada bahaya dalam situasi-situasi kecemasan.

    Peningkatan elemen yang ketara termasuk banyak perubahan yang dilakukan terhadap NP300 Navara ini boleh dianggap bonus kerana ternyata ia lebih baik berbanding model sebelumnya. Dengan harga atas jalan (tanpa insurans) RM120,800 bagi VL, ia dilihat lebih berbaloi berbanding model Ranger yang lebih tinggi harganya. Malah boleh dikatakan ia bersesuaian dengan NP300 Navara yang digambarkan sebagai Mother Trucker baharu di jalanan.

    Manakala varian lain pula berharga RM109,800 bagi varian V, RM102,800 (SE A/T), RM97,800 (SE M/T), RM89,800 (E) dan RM79,000 (single cab). Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

     
     
  • KL MRT : Penutupan sementara di Jalan Semantan, Jalan Cheras dan Taman Billion mulai 24 Feb

    Jalan_Semantan_HELP_BM

    Beberapa jalan di Jalan Semantan di Damansara, Jalan Cheras dan bulatan Taman Billion di Cheras akan ditutup bermula 24 Februari ini. Penutupan tersebut berikutan kerja-kerja pembinaan fasiliti MRT menurut MMC-Gamuda KVMRT (PDP), lapor Bernama.

    Di Jalan Semantan, lebuhraya SPRINT, lorong paling kanan akan ditutup dalam jarak 300 meter selama 17 hari (sehingga 11 Mac) untuk kerja-kerja melebarkan jalan. Lorong tersebut ditutup untuk 24 jam dalam tempoh masa tersebut, tetapi dua lagi lorong masih lagi boleh digunakan oleh pengguna jalan raya yang menuju ke KL dan PJ.

    Lorong sepanjang 120 meter di Jalan Cheras menuju Lebuhraya MRR2 dari Kajang berdekatan bulatan Taman Billion ditutup selama 24 jam untuk kerja-kerja pembinaan laluan MRT sehingga 1 April ini.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh MMC-Gamuda menyebut, “Sebagai jalan alternatif ke Jalan Cheras (bahagian KL), pengguna jalan raya dari Kajang adalah dinasihatkan untuk menggunakan bulatan Taman Billion untuk masuk ke MRR2. Begitu juga di Jalan Cheras, akan ada penutupan melibatkan pengguna jalan raya KL dan Kajang di Taman Midah bermula 11 malam sehingga 5 pagi. Penutupan tersebut akan mengambil masa selama 63 hari sehingga 26 April hadapan.”

    “Trafik dari KL menuju Kajang akan dihala kan ke jalan dalam di stesen minyak Petronas berdekatan tanah perkuburan Kristian Cheras dan keluar ke Jalan Cheras melalui jalan keluar di Mc’Donald sepanjang penutupan tersebut.” Pengguna jalan raya dari kajang menuju KL, akan dihala kan ke laluan stesen MRT Taman Midah yang akan datang.

     
     
  • Honda Civic 2016 pasaran Amerika Syarikat dipanggil semula berhubung masalah gegelang omboh enjin

    16_Civic_Sedan_148-e1445249066696_BM

    Honda akan melakukan panggilan semula untuk Honda Civic 2016 pasaran Amerika Syarikat atas isu yang berkaitan dengan enjinnya. Pengeluar kereta terbabit telah pun menghentikan pesanan jualan untuk beberapa varian sejak awal Januari lalu, dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan isu ini setelah Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA) meluluskan pelan panggilan semula tersebut.

    Menurut Bloomberg Business, berita akan berlaku panggilan semula ini bermula apabila buletin servis bertarikh 30 Januari 2016 mula dipos pada ruang forum pengedar, di mana ia mendedahkan kerosakan melibatkan atau kesilapan pemasangan gegelang omboh (piston ring), yang boleh menyebabkan enjin rosak dan tidak berfungsi serta dalam keadaan yang paling teruk mungkin akan menyebabkan kebakaran di bawah hud.

    Buletin tersebut juga memberitahu dianggarkan 34,000 unit Civic 2016 terlibat dalam panggilan semula ini, dan pada masa ini juga tiada lagi bekalan alat ganti disediakan untuk mengatasi masalah ini. Menurut buletin itu juga Honda US menjangkakan akan memberitahu pelanggannya berhubung panggilan semula ini bermula pertengahan Mac 2016.

    16_Civic_Sedan_137-e1445249162702-850x527_BM

    Atas sebab kurang informasi rasmi dari Honda US berhubung isu ini pada masa sekarang, informasi dari Transport Canada mendedahkan isu ini hanya melibatkan model tertentu yang menggunakan enjin 2.0 liter sahaja dan enjin 1.5 liter VTEC Turbo tidak terlibat. Panggilan semula tersebut menyatakan sebanyak 10,698 unit Civic terlibat.

    Civic sedan untuk pasaran Amerika Utara diproduksikan oleh dua syarikat – Honda Manufacturing of Greensburg di Indiana, US dan Honda of Canada Mfg (HCM) di Alliston, Ontario.

    Panggilan semula ini sepatutnya tidak melibatkan Honda Civic 2016 yang dijual di Thailand dan Filipina, kerana sedan tersebut hanya dijual dalam versi 1.8 liter SOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo untuk kedua-dua pasaran terbabit.

    GALERI: Honda Civic 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025