Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Semua model Nissan bakal naik harga antara 3% hingga 6% mulai pertengahan tahun ini – ETCM

    Nissan-NP300-Navara-25

    Menerusi Buletin Utama TV3, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) dilaporkan bakal menaikkan harga bagi semua model Nissan di Malaysia mulai pertengahan tahun ini. Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Boon Beng, berkata ia melibatkan kenaikan harga antara 3% hingga 6%.

    Pengumuman ini adalah susulan kenyataan awal yang dikeluarkan pada 15 Oktober lalu, di mana syarikat terbabit harus melakukan penstrukturan harga jualannya ekoran kemerosotan nilai ringgit di peringkat antarabangsa. Buat masa ini, struktur harga baharu masih belum didedahkan oleh pihak ETCM.

    Setakat ini, beberapa syarikat pengeluar kenderaan termasuk Honda, Toyota, Lexus, Peugeot, Citroen dan Audi telah pun mengumumkan penstrukturan harga baharu ekoran masalah yang sama. Malah Proton turut mengambil langkah yang sama pada 15 Februari yang lalu.

     
     
  • Kekerapan bagi jadual perjalanan KLIA Ekspres dan KLIA Transit dipertingkatkan mulai 1 Mac

    erl-klia-express-1

    Kekerapan bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan dipertingkatkan mulai 1 Mac ini, menurut Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menerusi laporan Bernama.

    Bagi KLIA Ekspres, jadual waktu puncak akan diperkenalkan pada hari Ahad bagi memudahkan para penggunanya. Tren akan tiba setiap 15 minit pada pagi waktu puncak dari jam 6 pagi hingga 9 pagi, dan petang waktu puncak pula dari 4 petang hingga 10 malam dari Ahad hingga Jumaat. Bagi bukan waktu puncak, tren akan tiba setiap 20 minit. Pada hari Sabtu pula, tren kekal dengan jadual waktu bukan puncak sepanjang hari.

    Bagi KLIA Transit, ERL berkata, terdapat pertambahan perkhidmatan pada waktu pagi setiap hari biasa dan petang waktu puncak dengan tren akan tiba setiap 20 minit, atau tiga kali bagi setiap jam.

    Kedua-dua KLIA Ekpsres dan KLIA Transit menghubungkan KL Sentral ke KLIA dan KLIA2. Harga tiket bagi ERL meningkat dari RM35 menjadi RM55 mulai 1 Januari lalu.

     
     
  • Beberapa jalan utama di JB ditutup 26 hingga 29 Feb

    Johor-road-Bernama

    Sempena dengan perarakan Chingay pada Ahad ini, beberapa jalan utama di pusat bandar raya Johor bahru akan ditutup secara berperingkat mulai esok iaitu 26 Februari hingga Isnin depan (29 Februari).

    Menurut Ketua Cawangan Khas Johor Datuk Ramli Hassan,jalan yang akan ditutup mulai 10.30 pagi hingga 1.30 petang esok, adalah Jalan Gereja, Jalan Tun Razak, Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ayer Molek, Jalan Susur Ibrahim dan Jalan Wong Ah Fook.

    Manakala Jalan Trus, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Razak dan Jalan Ulu Air Molek akan ditutup mulai 8.30 pagi hingga 2.30 petang pada Sabtu ini.

    “Ia ditutup bagi acara ‘membawa tokong keluar’ yang bermula dari Kuil Kuno di Jalan Trus dan berakhir di Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek,” katanya menurut laporan Bernama.

    Ramli berkata pada kemuncak perarakan malam, iaitu pada Ahad, jalan-jalan utama akan ditutup dalam dua peringkat iaitu mulai pukul 3.30 petang hingga 5 petang dan 5 petang hingga 3 pagi, Isnin.

    Beliau berkata peringkat pertama akan melibatkan Persimpangan Jalan Gertak Merah/Jalan Dato’ Menteri dan Jalan Ayer Molek manakala peringkat kedua pula akan melibatkan persimpangan lampu isyarat Jalan Sungai Chat/Jalan Abu Bakar, Jalan Ayer Molek/Gertak Merah, Persimpangan lampu isyarat Jalan Dato’ Onn/Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Meldrum, Jalan Siu Nam, Jalan Siu Chin, Pusingan ‘U’ Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Station, Jalan Abu Bakar serta Susur Lingkaran Dalam/Jalan Abu Bakar.

    Katanya, pengguna jalan raya dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif seperti Singapura-Jalan Skudai-Lingkaran Dalam-Jalan Skudai (Pantai Lido) dan Singapura-Kota Tinggi-Kuala Lumpur-Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

    “Pada Isnin pula, laluan yang akan ditutup mulai 11 pagi hingga 12 tengah hari adalah melibatkan Jalan Tun Razak, Jalan Ngee Heng dan Jalan Trus. Ia bagi acara ‘membawa balik tokong’ bermula dari Kuil Xing Gong (Jalan Ulu Air Molek) ke Kuil Kuno (Jalan Trus) secara melawan arus,” katanya.

    Ramli berkata pihaknya menyediakan keanggotaan secukupnya bagi mengawal keselamatan orang ramai sepanjang perarakan terbabit dan sehubungan itu, orang ramai juga dinasihati supaya mematuhi arahan-arahan pasukan keselamatan seperti tidak membakar mercun sepanjang perarakan.

     
     
  • Alfa Romeo Giulietta facelift 2016 didedahkan sebelum Geneva Motor Show, varian Veloce menggantikan QV

    2016-alfa-romeo-giulietta-geneva-001_BM

    Sempena Geneva Motor Show yang akan berlangsung minggu hadapan, Alfa Romeo bakal tampil mempamerkan Alfa Romeo Giulietta 2016 versi facelift. Nampaknya tiada banyak perubahan pada Giulietta versi disegarkan kembali ini.

    Giulietta facelift ini mendapat lampu hadapan baharu yang diubah sedikit, gril hadapan baharu, bampar hadapan baharu dengan sedikit kemasan merah serta roda aloi baharu. Sehingga kini Alfa belum lagi mendedahkan lebih lanjut berkenaan spesifikasi kereta ini, namun dengan sedikit perubahan pada bahagian luaran ini boleh dijangka tidak banyak juga perubahan pada aspek mekanikal.

    Giuletta sebelum ini dikuasakan dengan enjin petrol 1.4 liter turbo dengan pelbagai talaan dan enjin diesel Multijet 2.0 liter. Dikhabarkan ada sedikit peningkatan dilakukan pada kedua-dua enjin ini dari segi prestasi enjin, kecekapan dan juga emisi, namun belum ada pendedahan lagi dibuat oleh pihak Alfa Romeo.

    Menurut Alfa lagi, nama Quadrifoglio Verde akan digugurkan mulai model ini dan digantikan dengan varian Veloce. Prestasi untuk varian Veloce ini dijangka sama seperti varian QV, dengan sistem mekanikal yang sama termasuk enjin 1.75 liter turbo empat-silinder berkuasa 237 hp.

    GALERI: Alfa Romeo Giulletta 2016

     
     
  • Lukisan paten Honda baharu bocor di alam maya

    2016-honda-hatchback-concept-patent-china-001_BM

    Lukisan paten sebuah konsep Honda hatchback telah bocor di internet. Didedahkan oleh Autoblog Netherlands, ia didakwa rekaan Honda Civic untuk pasaran China sahaja. Jika dakwaan ini benar, kami menjangkakan ia versi produksi Honda Concept B yang dipamerkan di Beijing Motor Show 2014.

    Bentuk keseluruhan kereta ini menyerupai Civic generasi ke-10, tetapi bahagian hadapannya direka seperti Honda CR-Z. Lampu hadapannya direka tajam, bersama dengan gril hadapan yang diletakkan pada posisi yang rendah serta liang kemasukan udara yang sporty pada bahagian bampar, menyerlahkan rekaan seakan CR-Z.

    2016-honda-hatchback-concept-patent-china-003_BM

    Profil sisi dan belakang dilihat sangat seiras dengan Civic terutama pada lampu belakang ala-boomerang dan juga bampar belakang. Tanpa menyatakan sumber sebenar gambar berkenaan, laman sesawang dari Belanda itu turut menyebut model ini kemungkinan secara teknikal mempunyai kaitan rapat dengan Civic.

    Ia mungkin bermaksud versi produksi model ini menggunakan platform Civic, dan opsyen enjin yang sama turut digunakan.

     
     
  • UberMOTO dilancarkan di kota raya Bangkok

    UberMOTO-1-1

    Walau pun ada sesetengah negara yang mengharamkan perkhidmatan Uber termasuk Indonesia dan Jerman, namun Thailand dilihat lebih bersikap terbuka. Baru-baru ini Uber telah memilih negara gajah putih itu bagi melancarkan servis terbaharu mereka yang dikenali sebagai UberMOTO.

    Walau pun ia masih diperingkat ‘pilot test’ namun UberMOTO ini dilihat mampu memberikan pesaingan kepada perkhidmatan teksi motosikal yang sedia ada di sana.

    Uber berkata, penunggang UberMOTO perlu menjalani pemeriksaan polis bagi memeriksa latarbelakang mereka. Malah keselamatan penumpang sangat dititikberatkan termasuklah diwajibkan memakai topi keledar sekiranya menggunakan perkhidmatan ini.

    Tambang akan bermula dari 10 TBaht (RM1.18) dan akan naik 3.5 TBaht (RM0.41) bagi setiap kilometer di mana pengguna boleh membayarnya secara tunai atau kad kredit.

    UberMOTO-2-e1456372093592

    Perkhidmatan baharu ini mensasarkan bandar yang sering mengalami kesesakan teruk. Menurut Uber lagi, terdapat 1,500 kenderaan baharu di Bangkok setiap hati, dengan anggaran masa berulang-alik antara 120 minit, sementara kelajuan trafik telah diturunkan di bawah 16 km/j (11 km/j bagi masa puncak).

    Jadi UberMOTO ini dilihat sebagai salah satu pilihan perkhidmatan teksi menerusi dalam talian yang bakal menerima sambutan menggalakkan di sana.

    Buat setakat ini, UberMOTO beroperasi di sekitar Sathorn, Siam dan Silom. Malah Uber turut merancang untuk memperluaskan lagi perkhidmatan mereka di lebih banyak lokasi di Bangkok pada masa akan datang.

     
     
  • Arash AF10 2016 tampil kejuruteraan ‘gila’

    arash-af10-001-1

    Arash Motor Company telah mengumumkan untuk memperkenalkan Arash AF10 versi naik taraf di Geneva Motor Show 2016 bulan hadapan.

    Supercar yang pertama kali diperkenalkan sebagai model produksi pada tahun 2008 itu akan diberi nafas baru selepas lapan tahun. Ia akan dikuasakan dengan enjin supercharged 6.2 liter V8 digandingkan dengan empat motor elektrik hibrid. Enjin petrol konvensional akan menjanakan sejumlah 900 hp dan tork maksima 1,200 Nm, manakala empat motor elektrik akan menjana kuasa keseluruhan 1,180 hp dan tork maksima 1,080 Nm. Ini akan memberikan kuasa sepenuhnya 2,080 hp dan tork maksima 2,280 Nm dipacu pada keempat-empat roda Arash AF10 – gila!

    Kuasa dari enjin petrol akan dihantar ke roda menerusi pilihan dua kotak gear – manual enam-kelajuan atau automatik dengan penukar gear pada belakang roda stereng. Setiap motor elektrik akan dilengkapi kotak gear dua-kelajuan dan digandingkan dengan bateri lithium-ion 32-kWh. Pada mod “Race” ia secara automatik dicas semula menerusi empat motor elektrik yang bertindak sebagai generator.

    Casis karbon yang diperkuatkan dihubungkan pada badan kereta yang diperbuat daripada plastik gentian karbon diperkuatkan dan menampilkan binaan sarang lebah aluminium berlapis. Supercar ini dilengkapi dengan roda 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 2.

    Kuasa gila ini membolehkan supercar ini memecut dari kedudukan 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat dan berupaya mencapai kelajuan maksimum 323 km/j. Agak menghairankan, dengan kuasa yang begitu tinggi ia hanya mencatatkan 0.3 lebih pantas dalam pecutan 0-100 km/j dan 84 km/j dari Bugatti Veyron yang kurang 1,000 hp darinya.

    Arash AF10 2016 dikhabarkan akan dijual dengan harga 1.1 juta pound sterling (RM6.45 juta). Ia juga bakal dijual dengan opsyen peralatan kereta lumba seperti roll cage, pemadam api dan peralatan lain dengan harga mencecah 1.2 juta pound sterling (RM7 juta).

    GALERI: Arash AF10 2016

     
     
  • SPYSHOT: Kelibat Proton Persona 2016 dikesan lagi

    Kelibat Proton Persona 2016 dikesan lagi, kali ini bagi sudut hadapan dan belakang yang lebih dekat bagi sedan segmen-B berasaskan Iriz ini. Terima kasih pembaca Jian Wei untuk foto ini!

    Walau pun bahagian hadapannya agak menyerupai Iriz, namun jika dilihat daripada sudut yang lebih dekat, terdapat beberapa perbezaan kecil. Garisan atas pada lampu utama bersambung pada bahagian gril, agak sama dengan imej yang dihasilkan oleh kedua-dua pakar Photoshop Theophilus Chin dan pemenang Pertandingan Reka Bentuk Proton 2014 Pow Ying Hern. Malah lampu kabus juga lebih bulat, berbanding segitiga pada Iriz, menyamai hasil imaginasi Theo.

    Tidak seperti spyshot yang sebelum ini, Persona yang dirakam ini menggunakan roda yang sama dari model sedia ada – salah satunya menggunakan rim aloi enam-jejari dari Iriz 1.3, sementara satu lagi dari model Persona sedia ada iaitu rim tujuh-jejari. Walau bagaimana pun, kami mengharapkan ia mengekalkan rekaan lima-jejari seperti mana yang pernah disaksikan sebelum ini, untuk model yang bakal dilancarkan.

    Foto rendered Proton Persona 2016, oleh by Theophilus Chin (atas) dan Pow Ying Hern (bawah)

    Bahagian belakangnya kelihatan agak pendek, tetapi berdasarkan spyshot sebelum ini, bootlid agak tinggi dipadankan bersama lampu belakang yang disambung pada bootlid tersebut.

    Persona ini juga kelihatan lebih tinggi berbanding pesaingnya, seperti mana Iriz yang 75 mm lebih tinggi berbanding Honda City dan Toyota Vios.

    Model sedan ini dijangka akan dilancarkan selepas Perdana baharu menjengah pasaran, dan kemudian barulah giliran Saga baharu diperkenalkan. Mungkin juga ia menggunakan enjin yang sama pada Iriz iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter VVT. Namun ia juga bakal menerima enjin baharu iaitu 1.3 liter dan 1.6 liter suntikan-terus (GDI/TGDI) menjelang akhir tahun 2017.

     
     
  • AWAS – Nama baharu bagi satukan AES dan Kejara

    MEX-Highway-01

    Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan semalam, Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem pemberian mata demerit Kejara kini lebih dikenali dengan nama baharu iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

    Liow berkata dalam temubual bersama TV3 semalam, alasan untuk menggabungkan kedua-dua penguatkuasaan ini adalah bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya secara menyeluruh. Dengan kamera AES yang boleh merakam pemandu yang memandu melebihi had laju, sistem Kejara pula akan dapat mengawasi kesalahan mereka menerusi penalti-penalti yang seterusnya.

    “Sama ada anda membayar saman atau pun tidak, markah anda masih akan dipotong jika anda didapati telah membuat satu kesalahan lalu lintas,” uajr Liow. Beliau turut mendedahkan setiap pemandu akan bermula dengan 20 markah pada rekod mereka, dan jika ia makin berkurangan, kemungkinan besar lesen memandu mereka boleh dibatalkan.

    Klik untuk besarkan info penalti Kejara

    Tambahnya lagi, kedua-dua sistem ini telah lama terbukti berkesan dan dalam masa yang sama, tujuan ia dikuatkuasaka adalah untuk menyelamatkan nyawa dan bukannya semata-mata menghukum pemandu. “Satu kajian yang melibatkan 14 buah kamera AES yang dipasang di negara ini telah menunjukkan ia berkesan dalam mengurangkan jumlah kemalangan,” katanya.

    Beliau turut berkata, AWAS juga mempunyai potensi untuk mengurangkan korupsi, dengan memberikan sistem ini kuasa lebih besar dan mengurangkan pembabitan interaksi manusia. Beliau juga menambah, masih terdapat beberapa isu yang perlu diperbincangkan bagi kementeriannya bersama pihak-pihak yang terlibat. Sebaik sahaja isu tersebut berakhir, satu cadangan akan diserahkan kepada Kabinet dijangkakan pada Mac ini. Beliau turut berkata, perkongsian pandangan orang ramai masih dibuka melalui laman web Kementerian Pengangkutan.

     
     
  • Volvo V40 dan V40 Cross Country versi facelift didedahkan untuk Geneva Motor Show 2016

    Volvo-V40-T4-Momentum-FL-4-e1456304913129_BM

    Volvo telah mendedahkan model facelift untuk V40 dan V40 Cross Country 2017 sebelum Geneva Motor Show 2016. Rekaan terkini model facelift ini nampaknya membawa signatur baharu Volvo, seperti yang terdapat pada model baharu XC90, S90 dan V90.

    Pada bahagian hadapan, hatchback ini menerima lampu nyalaan siang baharu “Tukul Besi Thor” berbentuk-T terbina dalam lampu utama hadapan. Jaring pada gril yang baharu turut digabungkan dengan logo ‘Swedish Iron’ yang lebih menonjol dan juga penderia radar bersepadu yang lebih baik.

    Rekaan terkini yang lain ditampilkan pada bahagian luaran termasuklah tip ekzos baharu serta lima warna badan iaitu Biru Amazon, Biru Denim, Biru Bursting, Biru Mussel, dan Perang Luminous Sand, di mana tiga warna terakhir tadi sudah pun sedia ada pada model sebelum ini.

    Tambahan lagi, sejumlah lapan opsyen roda baharu ditawarkan meliputi model V40, R-Design dan V40 Cross Country. V40 juga mengikut “rank marks” yang pertama kali diperkenalkan pada model XC90 untuk mengklasifikasikan pelbagai varian dan trim, di mana Momentum dan Inscription termasuk dalam barisan rekaan tersebut.

    Volvo-V40-T4-Momentum-FL-7-e1456303227155_BM

    Untuk bahagian dalaman pula, rekaan upholstery V40 diinspirasi dari rekaan Volvo Concept Estate. Dikenali sebagai City Weave, pilihan terbaharu ini juga disertai opsyen roda stereng Charcoal/Blond yang baru. Trim panel dalaman terbaharu iaitu Milled Aluminium, Black Grid Aluminium dan Stealth Aluminiumturut ditawarkan.

    Warna trim pada bahagian dalaman pintu kini menampilkan jahitan yang kontras dan balutan hitam pada bumbung. Trim R-Design dan Inscription kini dilengkapi tread plate baharu dan kunci dengan rekaan logo Volvo terbaharu.

    Tiada perubahan pada unit janakuasa kereta ini, jadi ia menawarkan enjin petrol (T2, T3, T4 dan T5) dan diesel (D2, D3 dan D4) yang sama. Cuma enjin D2 dengan transmisi manual kini mencatatkan penurunan bacaan pencemaran CO2 dengan hanya 89 g/km.

    V40 untuk pasaran Malaysia kini boleh didapati dalam varian T4 yang telah ditingkat taraf – dilengkapi enjin Volvo E-Drive 2.0 liter turbo menggantikan enjin 1.6 liter Ford EcoBoost. Enjin baharu ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan torque converter automatik menggantikan kotak gear klac berkembar Ford. Varian ini dikhabarkan mempunyai stok yang terhad, jadi barulah kami faham alasannya setelah versi facelift ini diumumkan.

     
     
  • Cadangan penyediaan trek perlumbaan motosikal di ibu kota, KPN akan bincang dengan Tengku Adnan

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Susulan cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai penyediaan trek perlumbaan motosikal di ibu kota, Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan itu.

    Tan Sri Khalid berkata, perjumpaan itu bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung cadangan tersebut, menurut laporan Bernama.

    “Saya percaya beliau ada alasan-alasan tertentu. Saya akan mendengar pandangan beliau.

    “Masalah rempit ini seolah-olah tiada penghujung, pelbagai tindakan pihak penguatkuasa telah ambil, anak-anak muda kita masih suka merempit, lumba tengah malam, jadi apa-apa pun saya akan berjumpa dengan beliau dulu,” katanya.

    Isnin lepas, Tengku Adnan mencadangkan untuk menyediakan trek perlumbaan motosikal di kawasan tertentu di ibu kota bagi memenuhi kehendak dan minat anak muda. Idea tersebut adalah untuk mengatasi masalah perlumbaan motorsikal haram yang semakin berleluasa sekarang.

    Walau bagaimana pun, cadangan beliau untuk menutup sebahagian jalan di Kuala Lumpur seminggu sekali untuk Mat Moto berlumba, nampaknya mendapat banyak bantahan dari pelbagai pihak tidak kira dari pihak kerajaan sendiri mahu pun pembangkang.

     
     
  • BMW Malaysia terima Insentif Status EEV untuk 1 Series dan 3 Series – harga turun sehingga 8%

    BMW 02

    BMW Group Malaysia hari ini mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima Insentif Status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Khas untuk BMW 1 Series dan BMW 3 Series.

    Menerusi insentif baharu ini, BMW Group Malaysia akan menyemak semula harga runcit untuk model BMW 118i, BMW 120i M Sport, BMW 318i Luxury, BMW 320i Sport Line dan BMW 330i M Sport yang telah didaftarkan. Di mana harganya diturunkan sehingga 8%.

    Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Ia adalah hasil kerjasama antara pihak kami dengan wakil-wakil daripada kerajaan, terutama dari Institut Automotif Malaysia (MAI), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi memastikan kami memenuhi semua kriteria yang perlu untuk mendapatkan Insentif Status Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) Khas ini.”

    Tambah Han lagi, tahun 2016 akan menyaksikan BMW Group Malaysia meneruskan momentum yang dicapainya sejak tahun lalu. Syarikat juga akan terus fokus untuk menawarkan pengalaman pemilikan premium kepada pelanggan yang merangkumi produk-produk terbaik dalam kelasnya, teknologi termaju dan inovasi di dalam kenderaan premium, selain perkhidmatan yang proaktif dari semua segi.

    Harga atas jalan (tanpa insurans) baharu dengan Insentif Status Kenderaan (EEV) adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-02-25 at 12.02.45 PM

    PERKEMBANGAN TERKINI: “Harga jualan sedia ada” bagi 318i dan 330i yang disenaraikan di atas adalah lebih tinggi berbanding harga yang diumumkan pada pelancaran, harga yang diberitahu sebelum ini, kerana harga “pengenalan” tersebut dibuat untuk memastikan ia sama dengan varian pra-LCI sedia ada (316i dan 328i), BMW Group Malaysia telah menjelaskannya.

    Ia didatangkan bersama Jaminan Perbatuan Lima Tahun Tanpa Had, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar terbaharu daripada BMW Malaysia untuk varian-varian BMW 1 Series dan BMW 3 Series.

    Model facelift bagi 1 Series diperkenalkan di pasaran tempatan pada Jun 2015 dengan varian 120i M Sport (1.6L empat-silinder turbo, 177 hp/250 Nm). Manakala varian 118i Sport tiba di negara ini pada November 2015, dijanakan oleh enjin 1.5L tiga-silinder turbo dengan 136 hp/220 Nm.

    Manakala model facelift 3 Series pula diperkenalkan di Malaysia juga pada November tahun lalu. Bagi barisan F30 LCI terdiri dari 318i, ia dikuasakan oleh enjin yang sama dengan 118i. Bagi varian 320i pula, ia menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder dengan 180 hp dan 290 Nm, iaitu lebih 20 Nm tork berbanding sebelumnya. Manakala varian 330i pula bersama kuasa 252 hp dan 350 Nm, dengan pacuan dari 0-100 km/j hanya 5.8 saat.

    Insentif EEV ini tidak termasuk bagi varian yang dijanakan oleh enjin diesel BMW 320d (RM268,800) dan 320i M Sport (RM258,800), kedua-duanya yang kini tiada lagi dalam pasaran selepas kehabisan stok.

    GALERI: BMW 118i Sport

    GALERI: BMW 120i M Sport

    GALERI: BMW 318i Luxury

    GALERI: BMW 320i Sport

    GALERI: BMW 330i M Sport

     
     
  • Tiga elemen punca utama masalah beg udara keluaran Takata yang dipanggil semula didedahkan oleh ITC

    airbag_BM

    Berikutan masalah beg udara yang dihadapi oleh Honda dan Toyota sebelum ini (dibuat oleh vendor yang sama – Takata Corp.), Independent Testing Coalition (ITC) iaitu konsortium yang terdiri daripada 10 pembuat kereta telah menjalankan kajian dan mendapati ada tiga elemen yang menyebabkan inflator beg udara itu pecah sebelum meletupkan beg udara dan mendatangkan kecederaan pada penumpang.

    Menurut ITC, elemen pertamanya ialah bahan asas untuk meletupkan beg udara itu sendiri iaitu kompoun ammonium nitrat. Elemen kedua pula ialah pemasangan inflator tersebut, di mana ia tidak kalis lembapan dengan efektif. Manakala elemen ketiga pula ialah perubahan suhu dan kelembapan. Terdedah kepada kelembapan yang tinggi dan perubahan suhu yang kerap, apabila dua elemen ini bergabung akan menyebabkan ammonium nitrat meletup dan memecahkan unit inflator tersebut sebelum sempat meletupkan beg udara ketika berlaku kemalangan.

    Gabungan ketiga-tiga elemen ini merupakan punca utama kecelakaan ini berlaku. “Anda tidak akan dapat gabungan yang begitu energetik tanpa kesemua tiga faktor. Ia memerlukan ketiga-tiganya,” kata David Kelly, ketua ITC dan mantan ketua Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat.

    SRS-Airbag-e1418884179814_BM

    Setelah ketiga-tiga elemen ini diketengahkan, ia buat pertama kali punca utama masalah ini dikenal pasti. Ujian telah dijalankan oleh Orbital ATK, kontraktor aeroangkasa dan pertahanan, dengan kepakaran dalam sistem pendorong roket. Takata telah mendapati hasil ujian dari Orbital dan ITC adalah konsisten, sama seperti organisasi kajian dari Jerman yang dilantik oleh mereka sendiri, Fraunhofer Group.

    NHTSA kini sedang membuat semakan semula penemuan oleh ITC tersebut. Penyisatan yang dilakukan oleh ITC ini mengambil masa selama setahun melibatkan anggaran 2,000 unit inflator dari kereta yang dipanggil semula. Inflator ammonium nitrat baharu yang digunakan Takata untuk menggantikan unit yang dipanggil semula mengandungi bahan pengering masih lagi belum diuji.

    Menurut Kelly lagi, ia akan membawa penyiasatan ini ke peringkat seterusnya. Walaupun 12 pembuat kereta besar telah mengumumkan tidak lagi bersama dengan Takata, senarai kenderaan yang dipanggil semula bertambah di seluruh dunia. NHTSA sebelum ini dilaporkan berkata, berpuluh juta kenderaan dengan inflator mengandungi ammonium nitrat akan dipanggil semula menjelang 2018 jika Takata tidak boleh membuktikan ia selamat digunakan.

     
     
  • Polis mahu dakwa pemandu tiada lesen ke mahkamah

    PDRM-5

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mahu mengemukakan cadangan untuk tidak lagi mengenakan kompaun bagi pemandu yang memandu tanpa lesen, sebaliknya terus mendakwa mereka di mahkamah. Baru-baru ini, seorang pemandu lori yang merempuh 22 buah kereta di Nibong Tebal pada Ahad lalu, didapati tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

    Menurut Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar, tindakan serius itu penting untuk dilakukan sebagai langkah menurunkan statistik kemalangan maut yang meningkat sepanjang tahun, laporan The Star.

    “Kita akan mencadangkan bahawa menggunakan kenderaan tanpa lesen, tidak akan dikenakan kompaun lagi. Sebaliknya kita akan terus dakwa pesalah ini di mahkamah kerana mendapati banyak punca kemalangan maut dan cedera parah disebabkan pemandu tanpa lesen.

    “Dia tidak tahu undang-undang, tidak tahu gunakan kenderaan dengan betul tetapi dibenarkan guna kenderaan itu. Jadi kita kena serius,” katanya.

    Bukan itu saja, Khalid juga berkata, tindakan keras akan diambil terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tanpa lesen menggunakan kenderaan mereka.

    “Tuan punya kenderaan juga akan diambil tindakan keras. Ibu bapa juga boleh dikenakan kompaun,” katanya.

    Apa komen anda mengenai isu ini? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • Mitsubishi Outlander baharu menanti detik pelancaran – telah dibuka tempahan dengan harga RM172k

    Outlander-Open-Booking

    Mungkin hanya menantikan detik yang sesuai untuk melancarkannya secara rasmi, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mempergiatkan langkah bagi mempromosikan model baharu Outlander. Malah MMM turut mengumumkan menerusi laman Fecabook bahawa tempahan bagi SUV ini telah pun dibuka.

    MMM juga sedang mempamerkan model Outlander baharu ini di Bangsar Shopping Centre mulai semalam tetapi ia masih ‘berselimut’ dan hanya akan dibuka untuk tatapan ramai pada penghujung minggu ini, itulah yang diberitahu pada kami. Malah penasihat jualan MMM turut mendedahkan Outlander, model yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini, akan dijual dalam lingkungan harga atas jalan RM172,000 termasuk insurans.

    Ternyata ia memberikan persaingan buat Honda CR-V 2.4 (harga atas jalan RM172,600 termasuk insurans) dan Nissan X-Trail 2.5 (harga atas jalan RM159,164 tanpa insurans), kedua-duanya dipasang di Malaysia (CKD). Sama seperti X-Trail, Outlander ini juga mempunyai tujuh tempat duduk dalam tiga barisan.

    Outlander-Brochure-Rear

    Outlander baharu ini merupakan model facelift generasi ketiga dengan menggunakan “Dynamic Shield”, dijanakan dengan enjin 2.4 liter MIVEC empat-silinder dengan kuasa 169 hp dan tork 220 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik CVT yang baharu. Ia turut didatangkan dengan sistem Multi-Select 4WD. Model ini juga mempunyai varian plug-in hybrid namun belum sah akan dibawa masuk ke Malaysia mahu pun tidak.

    Kami masih belum mempunyai spesifikasi penuh mengenai SUV ini, namun mungkin ia didatangkan dengan spesifikasi tertinggi. Lampu utama LED dan lampu nyalaan siang (DRL) sebagai standard, dengan bumbung matahari, pintu kargo berkuasa elektrik, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit dan rim aloi dua-tona 18-inci. Mitsubishi turut mendakwa, SUV ini mempunyai ruang kargo yang terbaik dalam kelasnya.

    Bagi aspek keselamatannya, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara, Kawalan Kestabilan Aktif (ASC), Bantuan Mula Mendaki, termasuk ABS bersama EDB dan Bantuan Brek. Manakala pilihan warna yang ditawarkan ialah merah metalik, putih mutiara dan kelabu metalik.

    GALERI: Mitsubishi Outlander (Speksifikasi USA)

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025