Andai kata anda sedang mempertimbangkan Jaecoo J7 untuk kereta baru, ini mungkin adalah masanya. Bagi bulan Mei 2025, Omoda Jaecoo menawarkan servis percuma atau kadar faedah 0.8% setahun bagi SUV ini. Anda boleh pilih salah satu daripada tawaran ini dan ia tersedia untuk kedua-dua model 2WD yang berharga RM138,800 dan AWD RM148,800.
Kedua-duanya dipacu oleh enjin enjin 1.6 liter empat silinder turbo berkuasa 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan. Model pacuan roda hadapan yang lebih ringan mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j lebih pantas iaitu 9.2 saat, manakala model AWD mencatat 9.9 saat.
Perincian lain antara dua varian ini adalah sama, dengan di sebelah luar Jaecoo J7 menerima lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, lampu selamat datang, spoiler bumbung belakang, rel bumbung dan juga set rim aloi 19-inci Aurora Design.
Di sebelah dalam, J7 diberikan skrin tengah 14.8-inci untuk sistem infotainmen yang di letak secara menegak, serta skrin paparan instrumen digital LCD 10.25-inci tanpa perumah untuk pemandu bersama paparan head-up. Sistem infotaimen tersebut diberikan sistem navigasi bina dalam bersama fungsi arahan suara, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.
Turut diberikan adalah sistem pendingin hawa dua zon dengan sistem penyegar Udara N95, tailgate belakang bantuan kuasa, cermin privasi belakang, sistem kunci pintar bersama penghidup enjin kawalan jauh, cermin hadapan akustik dan cermin penebat haba, cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin 64-warna mengikut irama, perehat tangan tengah hadapan dengan kotak penyejuk di dalamnya dan bumbung suria panaromik.
Selain versi enjin petrol ini, J7 juga hadir sebagai sebuah PHEV, dilancarkan Februari lalu di Malaysia, di mana ia dipacu oleh padanan enjin petrol 1.5 Turbo GDi berkuasa 143 PS/215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan. Secara keseluruhan, pakej Super Hybrid System (SHS) ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm.
Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding 194 hp/290 Nm yang dihasilkan oleh J7 biasa, dan kecekapan penggunaan bahan api juga menjadi satu lagi kelebihan model PHEV. Menurut Jaecoo, ia boleh mencatat penggunaan petrol 4.77 l/100 km apabila bateri sudah habis.
Hanya ada satu varian sahaja untuk J7 PHEV ini, dijual pada harga RM158,800 bersama jaminan kilang tujuh tahun atau 150,000 km, dan jaminan lapan tahun atau 160,000 untuk bateri PHEV, motor serta unit pengawalnya.
Bagi bulan Mei 2025, Omoda Jaecoo menawarkan tambahan jaminan, menjadikannya sehingga 10 tahun atau satu juta kilometer bagi bateri dan enjin J7 PHEV ini, dan anda boleh menambah hanya RM3,000 untuk tambahan servis dan penyelenggaraan lima tahun. Promosi berakhir 31 Mei.