Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata pihaknya memandang serius akan peningkatan kes pemilik kenderaan berat yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Bermotor (LKM/cukai jalan), tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah serta mengabaikan pemeriksaan berkala di Puspakom seperti yang diwajibkan oleh kerajaan.

    Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia berkata pemilik syarikat kenderaan yang terlibat dan didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan sitaan dan lucut hak kerana gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 333 dan Akta 715.

    Antara kesalahan yang terbabit di bawah akta berkenaan ialah Lesen Kenderaan Tamat Tempoh di bawah Seksyen 23 (1) Akta Pengangkutan Jalan dengan denda tidak melebihi RM2,000, dan Perakuan Pemeriksaan Berkala Tamat Tempoh di bawah Seksyen 66A (1) Akta Pengangkutan Jalan yang boleh dikenakan denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Manakala bagi kesalahan Tiada Perakuan Insurans di bawah Seksyen 90 (1) boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya.

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    Menurut Muhammad Kifli lagi, pihaknya juga telah diberi tanggungjawab untuk menguatkuasakan Seksyen 58 (1)(a) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal selenggara kenderaan dengan baik boleh digunakan, Seksyen 58 (1)(b) APAD 2010: Syarat Berkanun Lesen Pengendali iaitu gagal memberi keutamaan yang paling tinggi kepada pengguna jalan raya yang lain dan Seksyen 57 (1) APAD 2010: Syarat Permit Lesen Pengendali iaitu tidak mematuhi syarat dalam keperluan tahap perkhidmatan bagi perkhidmatan kenderaan barangan tahun 2024.

    “Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dilaksanakan dan tiada kompromi terhadap pemandu atau pemilik kenderaan berat yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kedah-Kaedah di bawahnyam Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya dalam sidang media yang berlangsung di Stesen Penguatkuasaan JPJ Elmina pagi tadi.

    Kifli turut mendedahkan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 365 lori telah disita atas pelbagai kesalahan. Tambahnya, lori ‘tipper’ atau dump truck merupakan jenis lori yang paling banyak disita oleh JPJ sejak tahun 2022 iaitu sebanyak 602 unit daripada keseluruhan 3,061 lori yang dikenakan tindakan sehingga April 2025.

    Malah, katanya, pihaknya juga mendapati lori ‘tipper’ paling paling banyak melakukan kesalahan jalan raya, antaranya termasuk membawa muatan berlebihan, cukai jalan tamat tempoh dan gagal menjalani pemeriksaan berkala yang diwajibkan.

    JPJ memperhebatkan penguatkuasaan terhadap kenderaan berat – 365 lori disita dari Jan-April 2025

    “Walau pun pihak kami senantiasa menjalankan pemeriksaan, operasi penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kenderaan berat, namun mereka ini (pemandu lori) dilindungi oleh tonto. Bila ada operasi yang dijalankan, mereka sedaya upaya akan mencari jalan untuk melepaskan diri termasuk melarikan diri dari sekatan jalan raya walau pun terpaksa meninggalkan kenderaan berat masing-masing.

    “Sebelum meninggalkan kenderaan, pemandu lori ini biasanya akan mematikan GPS atau merosakkan komponen termasuk drive shaft menyebabkan lori tersebut tersadai di tengah jalan dan menghalang lalu lintas. Untuk kesalahan sedemikian, kami akan tambah satu lagi kesalahan di mana pihak JPJ akan membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 234 APAD iaitu menghalang atau mengganggu tugas-tugas anggota JPJ dan untuk kesalahgan di bawah seksyen ini adalah sangat serius dan boleh didenda sehingga RM500,000 dan pihak kami akan mengesyorkan kepada pihak APAD untuk membatalkan lesen pihak pengendali,” tegasnya.

    Beliau turut memberikan peringatan kepada syarikat lori yang bermasalah, untuk memastikan lori-lori berada dalam keadaan selamat dan mempunyai semua dokumen yang diperlukan semasa berada di atas jalan raya.

     
     
  • PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    Awal minggu ini, PDRM telah mengumumkan terdapat penutupan jalan secara berperingkat di enam buah lebuhraya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang pada 23 hingga 28 Mei ini sempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

    Memandangkan tiga lebuhraya kendalian PLUS Malaysia Berhad iaitu Lebuhraya Utara-Selatan, ELITE dan NKVE turut termasuk dalam senarai antara enam lebuhraya terbabit, maka PLUS ingin mengingatkan kepada para penggunanya agar merancang perjlanan sewajarny pada tempoh berkenaan.

    Dari 23-26 Mei, penutupan jalan berperingkat akan dilaksana dari jam 7 pagi di laluan KLIA – Putrajaya di Lebuhraya ELITE, Subang – Jalan Duta di NKVE, dan Sungai Buloh – Damansara di Lebuhraya Utara-Selatan. Ini adalah sempena ketibaan pemimpin ASEAN, yang kemudian konvoi VIP ini akan menuju ke hotel penginapan yang terletak di pusat bandar.

    Delegasi juga akan berlepas pulang pada 28 Mei, yang akan menyaksikan laluan sama iaitu Lebuhraya ELITE, NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan ditutup secara berperingkat, mulai 8 pagi. Lihat nota di bawah untuk gambaran yang lebih jelas.

    PLUS ingatkan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, NKVE, ELITE tentang penutupan jalan pada 23-28 Mei

    PLUS turut berkata pihaknya akan bersiap sedia dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan kelancaran operasi di lebuhraya kendaliannya sepanjang tempoh tersebut. Dalam masa yang sama, pihak PLUS akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa, khususnya anggota trafik yang bertugas bagi memudahkan pergerakan delegasi di lokasi-lokasi yang melalui Lebuhraya PLUS.

    “PLUS menasihatkan pengguna lebuhraya terutamanya yang menuju ke atau dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan TUDM Subang, supaya merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kelewatan.

    “Orang ramai juga disaran supaya memberikan kerjasama sepenuhnya dan mematuhi arahan pihak berkuasa dan petugas trafik di lokasi. Jika pemanduan tidak dapat dielakkan, sila gunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas ketika penutupan laluan dilaksanakan,” kata PLUS.

    Untuk makluman trafik terkini, pengguna lebuhraya boleh merujuk kemas kini melalui platform media sosial JSPT/PDRM, aplikasi PLUS, X @PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih di lebuhraya. Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze bagi merancang perjalanan dengan lebih efisien.

     
     
  • Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu hantaran dalam media sosial menyatakan beliau sempat memandu uji Proton eMas 7 di sekitar kawasan pejabat beliau, sambil menyatakan ia adalah satu pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara.

    Beliau menambah, pemilihan eMas 7 sebagai kenderaan rasmi Malaysia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 bukan sahaja mencerminkan kemajuan teknologi tempatan, tetapi juga keyakinan terhadap kebolehan anak tempatan dalam menerajui industri automotif masa hadapan.

    “Insya-Allah, saya percaya Proton e.MAS 7 ini akan menjadi pemangkin kepada promosi dan pembangunan industri kenderaan elektrik negara, khususnya ketika kita menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata Anwar.

    Anwar Ibrahim pandu uji Proton eMas 7 – “pencapaian membanggakan dalam landskap automotif negara”

    Inisiatif ini juga dikatakan seiring dengan komitmen Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun-tahun mendatang, selaras dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga hijau negara di bawah kerangka Malaysia Madani.

    “Marilah kita terus menyokong inovasi tempatan dan berusaha ke arah masa depan yang lebih lestari, berdaya saing dan berteknologi tinggi,” kata Anwar.

     
     
  • BYD Dolphin Surf di Eropah — besar dari Seagull, hingga 322 km WLTP, 156 PS; RM108k-RM135k

    BYD Dolphin Surf di Eropah — besar dari Seagull, hingga 322 km WLTP, 156 PS; RM108k-RM135k

    Dolphin Surf, atau nama lainnya Seagull atau Dolphin Mini di pasaran berbeza, kini diperkenalkan secara rasmi di Eropah. Tiga varian ditawarkan dengan harga masing-masing seperti berikut; 22,390 euro (RM108k) untuk varian Active; 25,390 euro (RM123k) untuk varian Boost; dan 27,890 euro (RM135k) Comfort — dengan harga pengenalan untuk pelanggan awal hingga hujung Jun nanti.

    Ia sedikit berbeza kerana hadir dengan saiz yang sedikit lebih besar daripada Seagull untuk pasaran China — jarak rodanya sama 2,500 mm, tetapi panjang, lebar dan tingginya adalah 3,990 mm (+210 mm lebih daripada Seagull), 1,720 mm (+5 mm) dan 1,590 mm (+50 mm).

    Varian Active yang paling asas dilengkapi bateri 30 kWh dan memberikan jarak WLTP sejauh 220 Km. Varian Boost dan Comfort pula dengan bateri 43.2 kWh dan motor 88 PS yang sama seperti Active (jarak perjalanan sejauh 32 km WLTP), sementara varian paling tinggi Comfort lengkap dengan motor 156 PS (jarak 310 km WLTP). Semuanya pacuan roda depan dan menggunakan e-Platform 3.0 dengan laju maksimum 150 km/j.

    Angka-angka tersebut juga berbeza daripada Seagull di pasaran China — yang menggunakan motor 75-95 PS, dengan bateri 30-38 kWh dan jarak 305 km-405 km CLTC; dengan harga yang juga lebih rendah, bermula dari sekitar RMB60k, atau RM35k. Selain itu, Seagull juga mempunyai kapasiti pengecasan maksimum 6.6 kW untuk AC dan 40 kW untuk DC, sementara Dolphin Surf boleh menerima 11 kW AC, 65 kW DC (bateri kecil) dan 80 kW DC (bateri besar) — dengan 30%-80% SoC dalam masa 22 minit untuk yang paling pantas.

    Di dalam, skrin sentuh boleh pusing 10.1-inci (dengan Apple CarPlay, Android Auto dan ‘Hi BYD’) terletak di tengah papan pemukanya. Ruang but memberikan kapasiti 316 liter; kerusi belakang direbahkan akan menjadikannya 1,037 liter. Ada sistem ADAS juga.

     
     
  • CFMoto 800 MT-X dilancar di Malaysia – harga RM49k, enjin dua silinder 799 cc, cruise control, QS, TFT

    CFMoto 800 MT-X dilancar di Malaysia – harga RM49k, enjin dua silinder 799 cc, cruise control, QS, TFT

    Selepas 800 MT, kini CFMoto melancarkan pula 800 MT-X untuk pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga RM48,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam pilihan dua warna iaitu hitam dan biru, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Terarah lebih kepada tunggangan lasak berbanding model touring/adventure biasa, 800 MT-X datang dengan suspensi boleh laras sepenuhnya daripada Kayaba, dengan jarak gerak 190 mm di hadapan dan belakang, serta rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang.

    Model yang tiba di Malaysia ini sebenarnya menggunakan suspensi versi yang lebih rendah, bagi menjadikan tempat duduknya 830 mm, sementara di pasaran luar, suspensi standard mempunyai jarak gerak 230 mm dan tinggi tempat duduk 870 mm. Berat keseluruhannya adalah 220 kg (tanpa beg).

    Penggerak masih sama seperti dua model 800 MT yang sudah diperkenalkan sebelum ini, iaitu unit dua silinder 799 cc DOHC bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan 94 hp pada 8,250 rpm, tetapi tork ditala menjadi lebih tinggi, iaitu 87 Nm dan pengguna disediakan dengan tiga mod tunggangan iaitu Standard, Rain dan Offroad.

    Kemudiannya, 800 MT-X ini dilengkapi dengan tangki bahan api lebih besar, berkapasiti 22.5 liter, hasil daripada tambahan ruang yang dibuat sehingga ke bahagian bawah motosikal (tepi, kiri dan kanan). Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti steering damper, pelindung tangan, pelindung bawah enjin, penghadang angin larasan manual, soket USB serta skrin TFT tujuh inci menegak dengan sambungan kepada telefon pintar.

    Pada bahagian elektronik, 800 MT-X secara standard datang dengan ABS dual-channel (belakang boleh tutup), kawalan cengkaman (dua mod, boleh tutup), cruise control, pemerhati tekanan angin tayar serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear. Menjadikan pembelian lebih berbaloi, motosikal ini juga datang dengan beg barangan tepi 35 liter, serta beg barangan belakang 45 liter.

     
     
  • Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Pengerusi lembaga eksekutif Porsche, Oliver Blume mengakui sasaran yang ditetapkan oleh syarikatnya pada 2022 yang mahu 80% dari jualan kereta baharunya pada 2030 adalah kenderaan elektrik penuh (EV) adalah tidak realistik.

    Blume menyebut perkara itu dalam ucapannya ketika mesyuarat agung tahunan pengeluar kereta sport dari Jerman berkenaan baru-baru, selepas menyatakan kesukaran yang dihadapi Porsche tahun lalu yang menyaksikan jualannya menurun kepada hanya 310,718 unit pada 2024 berbanding 320,221 unit dijual pada 2023 (jatuh 3%).

    “Tahun lalu, kami sudah pun menghadapi angin kencang yang besar. Sekarang kami sedang mengalami ribut yang kuat. Tetapi kedudukan kami untuk mengharungi ribut tersebut adalah kukuh. Keadaan ekonomi dan geopolitik keseluruhan adalah sangat dinamik dan sangat tidak menentu. Dan lebih sukar untuk dikira berbanding sebelum ini,” katanya.

    “Peningkatan mobiliti elektrik telah menjadi perlahan. Pasaran kami di China telah runtuh secara literal. Selain itu, konflik perdagangan dan rantaian bekalan yang tidak stabil meningkatkan kos. Kami telah meningkatkan peraturan serantau. Dan perbelanjaan yang tinggi untuk unit rangkaian kuasa yang fleksibel dan produk yang kini sedang mengalami transformasi. Di samping itu, tarif import AS kini membebankan perniagaan – begitu juga dengan ketidakpastian yang berterusan,” katanya.

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    Momentum kelembapan jualan masih lagi berterusan pada 2025, di mana Porsche telah mengumumkan pada April lalu sebanyak 71,470 unit kenderaan telah dijual pada tiga bulan pertama tahun ini, atau turun 8% dari 77,640 unit yang dicatatkan pada tempoh sama 2024.

    Jualan bagi model produksi pertama EV Porsche iaitu Taycan turut jatuh. Pada tahun pertama model itu dijual iaitu pada 2020, sebanyak 20,015 unit telah berjaya dijual, dan meningkat kepada 41,296 pada 2021. EV terus menujukkan jualan yang baik pada 2022 (34,801 unit) dan 2023 (40,629 unit), tetapi ia jatuh mendadak pada 2024 dengan hanya 20,836 terjual. Pada suku pertama 2025, jualan Taycan mencatatkan sebanyak 4,203 unit) jatuh 1% berbanding tempoh sama 2024.

    Bagi mengelakkan jualan Porsche terus jatuh dalam situasi tidak menentu ini, Blume menyatakan bahawa Porsche akan mengambil “pendekatan yang seimbang” yang akan terus menyaksikan ia mengejar startegi elektrifikasi dalam masa yang sama “memperluaskan barisan enjin pembakaran dalaman dan hibrid dengan model-model tambahan.”

    “Sudah tentu, ini memberi kesan kepada peningkatan BEV secara keseluruhan. Matlamat kami adalah untuk menjual lebih daripada 80% kereta sport elektrik sepenuhnya menjelang 2030. Salah satu matlamat paling bercita-cita tinggi dalam keseluruhan industri. Strategi produk kami masih membolehkan kami mencapai ini. Dalam sudut pandang perkembangan pasaran, ia tidak realistik. Oleh itu, peningkatan BEV kami akan menyesuaikan permintaan dan pembangunan pasaran secara fleksibel. Untuk permintaan dan pembangunan pasaran,” kata Blume

    Tak logik nak capai jualan 80% EV menjelang 2030, enjin pembakaran terus ditawarkan – bos Porsche

    “Pada 2024, 27% daripada kenderaan yang kami jual telah menerima elektrifikasi. Ini bermakna kenderaan elektrik atau hibrid plug-in. Bahagian BEV tulen adalah sekitar 13%. Pada suku pertama 2025, 38% telah diberikan elektrifikasi. Daripada jumlah ini, hampir 26% adalah elektrik penuh,” sambungnya, sambil menambah bahawa Macan Electric terbaharu telah menyumbangkan hasil memberangsangkan, dengan sebanyak 18,278 telah terjual pada 2024 dan 14,185 unit terjual hanya dalam suku pertama tahun ini.

    Bagi perancangan model akan datang pula, Blume mengesahkan model-model empat-pintu seperti Cayenne dan Panamera akan terus ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa enjin pembakaran dalaman serta hibrid sehingga 2030 ke atas. Bagi Cayenne generasi keempat yang akan diperkenalkan nanti, ia akan terus ditawarkan dalam versi EV dan juga enjin pembakaran dalaman sama seperti barisan model Macan.

    Blume turut membayangkan Porsche bakal memperkenalkan satu lagi siri SUV yang bakal masuk ke pasaran menjelang akhir dekad ini, juga dengan pilihan enjin pembakaran dalaman dan juga hibrid. Namun Porsche masih akan menawarkan model EV di mana ia bakal memperkenalkan versi EV dalam segmen 718.

    “Walau bagaimanapun, peralihan adalah lebih perlahan daripada yang dirancang pada asalnya. Itulah sebabnya kami sekali lagi menganalisis aktiviti bateri kami dengan teliti. Dan bertindak balas secara konsisten dan tegas. Seperti yang anda ketahui, kami telah merancang untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran kami untuk sel bateri berprestasi tinggi dengan Cellforce Group. Kami tidak akan meneruskan rancangan ini secara bebas. Ini kerana jumlah jualan yang dijangkakan telah berkurangan dengan ketara,” jelas Blume.

     
     
  • Proton jalin kerjasama dengan Continental Malaysia, sediakan servis tukar tayar; dari RM211 untuk Saga

    Proton jalin kerjasama dengan Continental Malaysia, sediakan servis tukar tayar; dari RM211 untuk Saga

    Proton telah umumkan kerjasama strategik dengan Continental Malaysia untuk memperkenalkan perkhidmatan tayar bersepadu di pusat servis Proton yang terpilih di seluruh negara, yang akan menyediakan jualan, pemasangan dan sokongan lepas jualan bagi tayar oleh Continental Malaysia.

    Proton mensasarkan untuk mempunyai 60 cawagan di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan tayar kepada pelanggan Proton untuk semua model, dengan pelaksanaan penuh di semua rangkaian akan bermula pada suku kedua 2026. Pelanggan Proton kini boleh membeli tayar dan pemasangannya boleh dilakukan ketika temujanji servis berjadual seperti biasa, dengan harga bermula RM211 untuk sebiji tayar Proton Saga.

    Turut disertakan dalam perkhidmatan tayar ini ialah Total Confidence Plan (TCP) oleh Continental, yang merupakan jaminan setahun terhadap kerosakan penggunaan, dengan menawarkan tayar ganti sekiranya berlaku keadaan yang tidak diinginkan, jelas Proton. Selain itu, fleksibeliti bayaran yang lebih meluas juga ditawarkan melalui kemudahan pembiayaan Pinjaman Langsung yang memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membayar tayar yang dibeli itu secara ansuran.

    “Dengan tumpuan utama Proton sejak beberapa tahun lalu terhadap prestasi jualan dan pelancaran model baru, kami juga banyak melabur dalam perkhidmatan lepas jualan untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan di semua pusat servis kami. Dengan memperkenalkan perkhidmatan menukar tayar ini, ia adalah langkah seterusnya dalam usaha untuk mengubah pusat 3S/4S kami menjadi pusat sehenti lengkap,” jelas CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

     
     
  • Bukanlah sebuah kereta kalau ia tak seronok, kata Presiden dan CEO Toyota Koji Sato

    Bukanlah sebuah kereta kalau ia tak seronok, kata Presiden dan CEO Toyota Koji Sato

    Sejak Toyota diambil alih oleh cucu pengasasnya Kiichiro Toyoda iaitu Akio Toyoda sebagai CEO, imej jenama itu sedikit demi sedikit berubah dari menghasilkan kereta-kereta keluarga yang bosan kepada model-model yang seronok dipandu.

    Ini kerana Akio merupakan seorang ‘kaki kereta’ sebenar dan juga pelumba, serta banyak mengambil bahagian dalam pelbagai pembangunan model-model baharu Toyota. Namun beliau telahpun meletakkan jawatan sebagai Presiden dan CEO pada April 2023 dan kini kekal sebagai Pengerusi, dan jawatan berkenaan telah digantikan oleh Koji Sato.

    Dan nampaknya Akio telah menyerahkan tugasnya kepada orang yang betul. Dalam laporan oleh Toyota Times, Sato dengan tegas berpendapat bahawa sesebuah kereta itu perlulah seronok. “Sesebuah kereta itu bukanlah kereta kalau ia tidak seronok, sebab itulah mengapa kami tak benarkan kereta kami untuk jadi komoditi,” katanya.

    “Kami tak boleh lagi jual kereta dengan hanya diberikan kemaskini model, penggunaan bahan api yang sedikit lebih baik, atau dengan rekaan baharu. Ia bergantung pada minat anda untuk menghasilkan produk yang menawan hati orang ramai. Sudah tentu kereta sport perlulah bergaya, tetapi sekiranya keterujaan yang sama tidak dapat diterapkan pada kereta-kereta jenis lain, anda tidak akan dapat menawan pelanggan,” tambah Sato.

    “Inilah Toyota yang saya mahukan, dan saya akan terus usahakan pada tahun ini,” tegasnya lagi yang mahukan setiap pasukan projek Toyota memiliki pemikiran yang sama.

    Sebelum dinaikkan pangkat sebagai Presiden dan CEO Toyota, Koji Sato terlebih dahulu menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Penjenamaan Toyota, Presiden Lexus International Co dan juga Gazoo Racing Company. Sama seperti Akio Toyoda, Koji Sato juga seorang pelumba di mana beliau pernah menyertai perlumbaan Nürburgring 24 Jam dengan memandu Lexus LFA, dan baru-baru ini memandu Toyota Corolla dengan enjin yang dijana bahan api hidrogen untuk pasukan Rookie Racing di Jepun.

     
     
  • JPJ perkenal rekaan baharu kad lesen memandu Malaysia, tapi untuk yang memandu di luar negara

    JPJ perkenal rekaan baharu kad lesen memandu Malaysia, tapi untuk yang memandu di luar negara

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan rekaan terbaharu Lesen Memandu Malaysia (LMM) yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan dipertingkatkan. Kad LMM terkini itu diedarkan secara berperingkat di seluruh negara bermula hari ini, 21 Mei 2025, laporan The Star.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, rekaan LMM versi terkini berupaya mencegah unsur-unsur pengubahsuaian dan pemalsuan kad, serta mempunyai daya tahan penggunaan untuk tempoh maksimum 10 tahun. “Bagi aspek rekaannya, pada bahagian hadapan kad baharu ini menampilkan imej berlatarbelakangkan Bangunan Sultan Abdul Samad bersama motif abstrak gelombang di bahagian hadapan serta Istana Negara dan motif abstrak flora di bahagian belakang,” katanya.

    Tambah beliau, pengeluaran kad LLM baharu ini dilakukan secara berperingkat di cawangan-cawangan JPJ tertentu bagi memberi masa kepada tempoh peralihan daripada sistem kad versi sebelumnya kepada versi terkini.

    Walau bagaimana pun, selaras dengan pertukaran kepada lesen memandu digital, kad LMM versi baharu ini tidak akan tersedia kepada sesiapa sahaja. Seperti yang berlaku dengan versi sedia ada, salinan fizikal kad LMM baharu akan dihadkan kepada dua jenis pemohon, iaitu warganegara Malaysia yang melancong ke luar negara dan akan memandu di negara asing, dan bukan warganegara.

    JPJ perkenal rekaan baharu kad lesen memandu Malaysia, tapi untuk yang memandu di luar negara

    Aedy Fadly berkata, orang ramai yang memperbaharui lesen seperti kebiasaan hanya akan mendapat versi digital lesen melalui aplikasi MyJPJ.

    “Jika anda memperbaharui seperti biasa, anda akan mendapat lesen digital melalui MyJPJ. Tetapi jika pemohon pergi ke luar negara, mereka boleh meminta lesen memandu versi fizikal,” katanya. Difahamkan bahawa bukti perjalanan untuk ke luar negara itu (seperti tiket penerbangan dan lain-lain) adalah salah satu syarat untuk mendapatkan kad LMM fizikal.

    “Kita tahu tidak semua negara menerima lesen digital kecuali Singapura yang menerimanya, tetapi ada negara lain yang tidak. Pelancong perlu membawa lesen fizikal bersama permit memandu antarabangsa (IDP), yang boleh dimohon di JPJ. Setiap negara mempunyai peraturan yang berbeza,” tambahnya.

     
     
  • Harga minyak 22-28 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing dinaikkan 3 sen seliter

    Harga minyak 22-28 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing dinaikkan 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu bertarikh 22 hingga 28 Mei 2025, harga runcit bagi petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.10 seliter berbanding RM3.07 seliter pada minggu sebelumnya.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga dinaikkan sebanyak 3 sen seliter iaitu kini RM2.80 seliter berbanding RM2.77 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Kelmarin, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, kementeriannya telah menyerahkan sepenuh tanggungjawab bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada Kementerian Kewangan (MoF).

    “Kini, kami menunggu tindakan selanjutnya daripada Kementerian Kewangan yang akan mengurus keseluruhan proses subsidi RON95 selepas ini. Kita tunggu pengumuman rasmi daripada mereka,” katanya.

    Mac lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini.

    Di mana mekanisme tersebut menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • Nissan Micra 2026 didedah sepenuhnya – EV sama asas dengan Renault 5 E-Tech, 150 PS, 408 km

    Nissan Micra 2026 didedah sepenuhnya – EV sama asas dengan Renault 5 E-Tech, 150 PS, 408 km

    Selepas bahagian luarnya ditunjuk Mac lalu, Nissan Micra generasi keenam kini didedahkan sepenuhnya, dan dikatakan bakal dijual di Eropah hujung tahun ini. Ia sekarang adalah sebuah EV, dan dibina atas platform CMF-B EV (kini dipanggil sebagai AmpR Small) sama seperti Renault 5 E-Tech.

    Pakej penggerak juga adalah sama, bermula dengan bateri 40 kWh dan motor elektrik hadapan 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan tork 225 Nm sebagai permulaan. Turut disediakan adalah sistem e-Pedal, yang membolehkan pemanduan satu pedal sahaja, kawalan penjanaan semula kuasa brek menggunakan pedal belakang stereng serta beberapa mod pemanduan.

    Penggerak yang lebih berkuasa menggunakan bateri berkapasiti 52 kWh, bersama motor elektrik 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan tork 245 Nm. Mengikut standard WLTP, varian 40 kWh boleh memberikan jarak gerak sehingga 310 km manakala 52 kWh mencapai 408 km.

    Nissan Micra 2026 didedah sepenuhnya – EV sama asas dengan Renault 5 E-Tech, 150 PS, 408 km

    Micra EV ini boleh menerima pengecas pantas DC pada kadar maksimum 100 kW (52 kWh) atau 80 kW (40 kWh), dengan tahap 15-80% dapat dicapai dalam masa 30 minit. Turut disediakan adalah sistem vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada perkakasan luar.

    Nissan memberitahu, Micra mencatat ukuran panjang tidak sampai empat meter, lebar 1.8 meter dan jarak roda sekitar 2.54 meter. Ini adalah sama seperti kembarnya daripada jenama Renault dan bentuk beberapa bahagian luar juga adalah sama termasuk garis bumbung, cermin sisi, c-pillar dan pembuka pintu belakang. Walaubagaimanapun, muka hadapan serta bahagian belakangnya diubah bagi memberikan keunikan.

    Masuk pula ke dalam, Micra menggunakan reka bentuk papan pemuka yang lebih memberi fokus kepada pemandu, dengan bahagian tengahnya, termasuk skrin sesentuh 10.1 inci dihalakan kepada individu di belakang stereng. Panel instrumen juga kelihatan seperti unit digital 10.1 inci.

    Perincian lain adalah seperti tombol pemilih mod pemanduan di stereng, butang pemula di antara dua skrin serta tuil pemilih gear yang terletak tinggi. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C, pengecas tanpa wayar, lampu suasana, sistem infotainmen NissanConnect dengan Google binaan dalaman, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay serta pakej ADAS Nissan ProPilot.

     
     
  • KPDN rangka cadangan sertakan peruntukan khusus ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pelanggan 1999

    KPDN rangka cadangan sertakan peruntukan khusus ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pelanggan 1999

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan pihaknya telah merangka kertas kabinet yang mencadangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pengguna 1999 untuk menyertakan peruntukan berkaitan lemon law, yang akan melindungi hak pengguna bagi pembelian berkaitan automotif.

    Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, kertas berkenaan akan diserahkan untuk kelulusan dasar di peringkat kabinet sebelum pindaan terhada akta berkenaan dilaksanakan. Beliau menambah, kementerian ketika ini sedang mendapatkan maklum balas daripada kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk kewangan, ekonomi dah pengangkutan, peguam negara serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

    Beliau menjelaskan kertas berkenaan adalah susulan selesainya kajian perundangan selama enam bulan yang meneliti keperluan lemon law, yang telah dijalankan dari Jun hingga November tahun lalu.

    “Berdasarkan dapatan daripada kajian berkenaan, kementerian menyimpulkan bahawa ada keperluan untuk mewujudkan kerangka perundangan yang khusus seperti lemon law, untuk mengatasi masalah dan keterhadan berkaitan perlindungan pelanggan dalam industri automotif,” jelasnya kepada New Straits Times.

    KPDN rangka cadangan sertakan peruntukan khusus ‘lemon law’ dalam Akta Perlindungan Pelanggan 1999

    Ujar beliau lagi, memandangkan Akta Perlindungan Pelanggan telah menyediakan kaedah untuk tawaran dan penyelesaian pertikaian yang selari dengan prinsip teras lemon law, kementerian berpandangan adalah lebih baik bagi prinsip perundangan ini disertakan ke dalam pindaan akta tersebut. “Menyertakan semua itu melalui pindaan ke atas akta adalah pendekatan paling praktikal dan berkesan,” tambahnya.

    “Ini akan memperkukuhkan peruntukan sedia ada dan mewujudkan peraturan baru yang akan menggariskan prosedur atau kaedah yang lebih terperinci bagi penyelesaian pertikaian, terutama bagi tuntutan pampasan melibatkan kenderaan baru,” jelasnya.

    Lemon law adalah satu bentuk perlindungan pelanggan, dan telah banyak gesaan untuk melaksanakannya di sini, sejak dahulu. Ringkasnya, ia mewajibkan kenderaan yang masih dalam tempoh jaminan yang didapati ada masalah atau tidak selamat agar diperbaiki sepenuhnya oleh pengeluar. Sekiranya kenderaan terbabit tidak boleh dibaik pulih selepas beberapa kali percubaan, pembeli boleh ditawarkan pulangan wang atau ganti kenderaan.

    Skop perlindungan yang terkandung dalam lemon law adalah berbeza bergantung cara ia dilaksanakan, tetapi secara umumnya ia akan meliputi kerosakan yang memberi kesan ketara kepada fungsi atau keselamatan kenderaan. Negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Singapura dan Filipina telah melaksanakan bentuk-bentuk tertentu lemon law ini.

     
     
  • Kenderaan kecil dinasihati elak guna L/raya Timur Barat waktu malam-kurangkan risiko diserang haiwan

    Kenderaan kecil dinasihati elak guna L/raya Timur Barat waktu malam-kurangkan risiko diserang haiwan

    Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff menasihati pengguna jalan raya khususnya yang memandu kenderaan kecil termasuk penunggang motosikal agar mengelak menggunakan Lebuhraya Timur-Barat (Gerik-Jeli)pada waktu malam. Ia adalah bagi meminimumkan risiko kebarangkalian berlaku serangan haiwan liar terutama gajah di sepanjang laluan itu, laporan Harian Metro.

    “Kebanyakan serangan gajah dilaporkan berlaku pada lewat senja hingga awal pagi kerana tempoh tersebut adalah rutin kawanan gajah merayau mencari makan. Jadi, apabila ada pengguna yang melalui laluan terbabit pada waktu ini, adakalanya pertembungan tak boleh dielakkan. Ini antara punca serangan berlaku. Kalau boleh guna laluan berkenaan pada waktu siang, iaitu ketika banyak haiwan berehat,” katanya.

    Kelmarin, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di laluan Banding–Gerik berhampiran kawasan Sungai Lebey. Kejadian yang berlaku pada jam 8.15 malam itu dikatakan berpunca daripada kenderaan di belakang membunyikan hon menyebabkan tiga ekor gajah tersebut bertindak agresif.

    Kenderaan kecil dinasihati elak guna L/raya Timur Barat waktu malam-kurangkan risiko diserang haiwan

    Dalam sama yang sama, Yusoff turut meminta agar pengguna lalun terbabit supaya tidak melakukan provokasi selain mematuhi tanda arahan yang dipasang sepanjang menggunakan laluan tersebut.

    “Pihak kami juga minta supaya jangan bunyikan hon, jangan guna lampu tinggi, jangan keluar ambil gambar atau cuba bagi makan. Tindakan ini amat berisiko dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

    “Sentiasa berwaspada dan patuhi setiap arahan papan tanda yang telah dipasang sepanjang laluan. Ini kerana Lebuhraya Timur-Barat merupakan laluan aktif bagi kebanyakan haiwan liar dan kebanyakannya dalam kategori pemangsa serta mampu mengancam nyawa,” katanya.

     
     
  • Bayar deposit Carro dengan SPayLater, dapatkan diskaun RM200 – ansuran sehingga 12 bulan!

    Bayar deposit Carro dengan SPayLater, dapatkan diskaun RM200 – ansuran sehingga 12 bulan!

    Anda kini boleh menikmati diskaun tambahan RM200 di atas semua tawaran hebat yang lain jika anda membayar bayaran deposit kereta Carro Certified anda menggunakan SPayLater!

    Perkhidmatan SPayLater Shopee membolehkan anda mendapat kredit segera sehingga RM10,000, tertakluk kepada rekod kredit. Anda boleh membayar secara ansuran sehingga 12 bulan dan malah menikmati bayaran pemprosesan 0% jika anda memilih untuk membayar sekaligus pada bulan berikutnya.

    Untuk tempoh bayaran balik lain iaitu 3 bulan, 6 bulan atau 12 bulan, bayaran akan mengikut pengiraan bayaran pemprosesan SPayLater – 1.5% sebulan.

    Promo potongan RM200 ini terhad kepada 50 pelanggan pertama setiap bulan dan akan berakhir pada 30 Jun 2025, jadi cepat-cepat tempah kereta Carro Certified kegemaran anda!

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • Toyota RAV4 2026 didedah- 3 gaya; Core, Adventure dan GR Sport, versi PHEV tawar jarak EV 150 km

    Toyota RAV4 2026 didedah- 3 gaya; Core, Adventure dan GR Sport, versi PHEV tawar jarak EV 150 km

    Toyota RAV4 Core 2026

    Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, hari ini secara rasmi Toyota mendedahkan model generasi baharu untuk SUV Toyota RAV4 yang bakal menggantikan model generasi kelima sedia ada yang sudah berada tujuh tahun dalam pasaran. Versi generasi keenam ini masih lagi diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA), dan ditawarkan dalam versi petrol penuh, hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV).

    Model generasi baharu ini menerima muka signatur ‘jerung Hammerhead’ terkini Toyota yang menampilkan lampu utama berbentuk-C. Manakala bentuk sisinya pula masih mengekalkan konsep dari generasi sedia ada yang menampilkan garis-garis bersegi, dan ruang roda yang berotot. Dan di belakang ia diberikan lampu lebih nipis, bersambung dengan bar yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Namun RAV4 2026 ini datang dalam tiga penggayaan berbeza iaitu versi Core yang menerima rupa yang sesuai untuk kegunaan urban dengan gril sarang lebah seakan Corolla Cross facelift, versi Adventure yang menampilkan rupa lebih lasak dengan gril seperti Land Cruiser Prado dan bampar lebih bersegi, serta GR Sport yang tampil dengan rekaan diinspirasikan dunia sukan permotoran, dengan gril hadapan menyerupai gril pada GR Corolla.

    Toyota RAV4 GR Sport 2026 (kiri) dan RAV4 Adventure 2026

    Bagi RAV4 Core, ia menampilkan dimensi panjang 4,600 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak roda sejauh 2,690 mm. Jadi model generasi baharu ini sebenarnya menampilkan saiz dan jarak roda yang sama sepenuhnya dengan model generasi sedia ada, kecuali ia 5 mm lebih rendah. Manakala bagi varian Adventure dan GR Sport pula ia adalah sedikit lebih lebar iaitu 1,880 mm.

    Untuk unit rangkaian kuasa, buat masa sekarang hanya sedikit perician bagi model pasaran Amerika Syarikat didedahkan. Di sana model petrol penuh menerima enjin 2.5 liter empat silinder NA dengan pilihan versi pacuan roda hadapan atau roda belakang.

    Kemudian untuk varian hibrid, versi pacuan roda hadapan menerima kuasa 226 hp manakala versi hybrid AWD pula dibekalkan 236 hp. Bagi versi PHEV pula ia disertakan dengan sistem AWD dan kuasa keseluruhan 320 hp.

    Sistem PHEV berkenaan juga didakwa ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 150 km. Bateri sistem PHEV ini boleh dicas semula dengan menerima sistem AC 11 kW, dan juga sistem pengecas pantas DC yang didakwa boleh memenuhkan bateri dari kadar 10-80% dalam masa sekitar 30 minit.

    Toyota RAV4 2026 didedah- 3 gaya; Core, Adventure dan GR Sport, versi PHEV tawar jarak EV 150 km

    RAV4 ini juga merupakan model pertama Toyota yang menerima Arene, iaitu platform pembangunan perisian yang dihasilkan oleh Woven by Toyota. Jenama itu menyatakan ini adalah langkah pertama bagi menjadikan model tersebut sebagai sebuah kenderaan diperhalusi oleh perisian.

    Model generasi baharu ini juga adalah yang pertama menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Toyota Safety Sense 4.0 (TSS 4.0) terbaharu. Antara fungsi yang diberikan pada TSS 4.0 tersebut termasuk Emergency Driving Stop Function (EDSS) yang membantu pemandu memberhentikan kederaan sekiranya terjadi perkara seperti pemandu yang tiba-tiba sakit dan sebagainya.

    Pada sebelah dalam, papan pemuka SUV ini tidak lagi kelihatan bosan seperti model generasi sebelumnya. Toyota memberikan rekaan yang diinspirasikan dari rekaan papan pemuka Land Cruiser Prado yang berkotak, futuristik dan nampak lasak pada RAV4 2026 ini.

    Ia juga menerima paparan ‘skrin sebenar’ bersaiz 12.3-inci untuk instrumen digital berbentuk segi-empat tanpa perumah, dan juga skrin infotainmen bersaiz 12.90-inci yang diletakkan secara berdiri sendiri di tengah. Roda stereng juga direka selari dengan papan pemuka dengan rekaan susunan suis serta perumah beg udara berbentuk petak, manakala pada varian lebih tinggi ia turut diberikan paparan head-up.

    Toyota RAV4 2026 didedah- 3 gaya; Core, Adventure dan GR Sport, versi PHEV tawar jarak EV 150 km

    Untuk sistem bunyi pula, Toyota memberikan pilihan sistem audio sama ada dengan enam- atau sembilan pembesar suara. Turut ditunjukkan adalah bahagian konsol tengah SUV ini yang menampilkan tombol gear bersaiz kecik diletakkan berhampiran dengan pemegang cawan. Perehat tangan pada bahagian konsol ini juga boleh diterbalikkan untuk dijadikan sebagai tray.

    Bahagian kargo RAV4 baharu ini memberikan ruang simpanan berkapasiti 749 liter dengan semua tempat duduk dinaikkan, sedikit lebih besar dari model sebelumnya yang menawarkan kapasiti 733 liter. Untuk mengangkat barang lebih banyak atau lebih besar, tempat duduk baris kedua dan ketiga SUV ini turut boleh diturunkan dan memberikan lantai yang rata.

    Toyota RAV4 generasi keenam ini akan mula dijual di pasaran Jepun dan Amerika Syarikat bermula lewat tahun ini. Ia kemudiannya akan tiba ke pasaran global melibatkan lebih 180 negara. Kita di Malaysia juga lazimnya mendapat Toyota RAV4 ini, di mana model sedia ada dilancarkan di sini sejak Jun 2020, ditawarkan dengan enjin petrol penuh 2.0 liter dan 2.5 liter.

    GALERI: Toyota RAV4 Core 2026

    GALERI: Toyota RAV4 Adventure 2026

    GALERI: Toyota RAV4 GR Sport 2026

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025