Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Neta Malaysia sangkal operasi tempatan terjejas

    Neta Malaysia sangkal operasi tempatan terjejas

    Kini adalah tempoh paling mencabar buat Neta, sebuah syarikat kenderaan elektrik China yang sedang berdepan dengan masalah kewangan dan muflis di sana. Dan, ini tentunya memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada rakan niaga yang mengedarkan kenderaan jenama itu di Malaysia, Intro Synergy.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat tempatan itu menyangkal bahawa dakwaan perundangan dan kemuflisan yang sedang dihadapi oleh syarikat induk Neta di China, Hozon Auto oleh salah satu kreditornya, Yuxing Advertising yang memfailkan perintah mahkamah berkaitan masalah hutang antara mereka, adalah satu presedur perundangan biasa dan tidak memberi kesan kepada operasi di sini.

    “Hozon Auto dengan tegas menafikan tuduhan bankrap dan akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya,” jelas satu kenyataan oleh Intro Synergy, yang menjalankan perniagaan di sini sebagai Neta Auto Malaysia.

    Syarikat itu menekankan bahawa semua operasinya di Malaysia, yang termasuk jualan, serahan kenderaan dan khidmat lepas jualan terutamanya alat ganti, tidak terkesan dan diteruskan seperti biasa. “Kami kekal fokus untuk menyediakan produk berkualiti dan sokongan yang boleh diharap kepada semua pelanggan.” Syarikat itu juga memaklumkan akan terus dengan perancangan untuk memperluas rangkaian jualan dan servis yang selari dengan strategi pertumbuhannya.

    Berita terbaru ini tentunya akan menambah keresahan ramai terhadap cabarang yang sedang dihadapi Neta ketika ini. Hutang yang terkumpul telah menyebabkan pengeluarannya dihentikan pada November lalu, dengan syarikat juga memotong gaji dan memberhentikan pekerja — termasuk keseluruhan bahagian R&D. Bulan lalu, syarikat itu dilaporkan telah mencapai persetujuan penukaran hutang-kepada-equiti bersama 134 pembekal, walaupun ada beberapa kreditor lain tidak yakin dengan langkah tersebut.

    Namun, Intro Synergy masih percaya bahawa Neta akan mampu melalui cabaran ini untuk terus kekal ada. “Kami percaya sepenuhnya dengan kemampuan jangka panjang serta kualiti jenama Neta serta kemampuan Hozon Auto untuk mengatasi masalah ini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander facelift 2026 dilancar di Indonesia – 6-beg udara, instrumen digital, skrin sesentuh 10″

    Mitsubishi Xpander facelift 2026 dilancar di Indonesia – 6-beg udara, instrumen digital, skrin sesentuh 10″

    Kita di Malaysia baru sahaja menerima versi facelift untuk Mitsubishi Xpander pada September tahun lalu, di mana facelift berkenaan sudahpun diterima pada pasaran Indonesia sejak November 2021. Oleh itu bagi pasaran Indonesia yang telah menerima Xpander ini sejak 2017, ia kini sekali lagi diberikan versi facelift yang menerima beberapa penyegaran rupa dan juga tingkat taraf perincian.

    Pada bahagian luar, agak sukar untuk dilihat perbezaan rupa model facelift 2025 dengan versi sebelum ini. Ini kerana ia masih dipadankan dengan lampu nyalaan siang dan juga bampar hadapan yang sama, dengan perubahan hanya diberikan pada gril baharu yang kini turut diberikan ‘misai’ krom, lampu utama yang digelapkan perumahnya bagi menggantikan kemasan krom dan juga panel bawah bampar dengan rekaan sedikit berbeza menampilkan serlahan kemasan perak.

    Set rim aloi dengan jejari turbin sebelum ini pula telah digantikan dengan rim 10-jejari baharu. Manakala di belakang bahagian bampar telah dirombak di mana unit reflektor menegak sebelum ini telah diubah ke bahagian panel kemasan bawah dan diletakkan secara melintang.

    Versi facelift ini juga melibatkan perubahan bagi versi lebih lasak iaitu Xpander Cross, di mana kemasan pada bawah bampar kini diberikan sepasang bonjolan berhampiran skid plate seakan pada Mitsubishi Pajero satu ketika dahulu. Benjolan yang sama turut diberikan pada bampar belakang,dan ia juga menerima set rim aloi baharu dengan rekaan jejari kembar tiga dalam kemasan dua-tona.

    Pada bahagian dalaman, kini semua varian Xpander pasaran Indonesia diberikan tema warna hitam sepenuhnya berbanding Beige sebelum ini. Manakala untuk Cross, ia menerima kabin berwarna Burgundy dengan kemasan-kemasan kayu palsu.

    Perbezaan terbesar untuk bahagian dalaman Xpander facelift 2025 ini adalah ia kini menerima skrin infotainmen lebih besar bersaiz 10-inci, paparan instrumen digital dengan skrin lapan-inci, dan pemadanan roda stereng baharu yang sama dengan Triton generasi terkini dan SUV Mitsubishi XForce.

    Mitsubishi Xpander Cross facelift 2026

    Sedikit tingkat taraf turut dibuat pada kabin belakang di mana tempat duduk baris kedua kini diberikan perehat kepala pada bahagian tengah, bersama perehat tangah sebelah tengah yang turut menempatkan dua pemegang cawan.

    Dan yang paling penting dan mungkin paling ditunggu-tunggu oleh pelanggan di Malaysia, versi tingkat taraf terkini untuk Xpander ini menampilkan enam-beg udara berbanding hanya dua sebelum ini. Namun perincian tersebut hanya ditawarkan pada varian tertinggi pasaran Indonesia. Malah sistem bantuan pemanduan (ADAS) juga masih tidak dipadankan walaupun dengan sistem asas seperti brek kecemasan automatik.

    Tiada perubahan diberikan pada unit rangkaian kuasa Xpander facelift 2025 pasaran Indonesia ini. Ia menampilkan enjin 4A91 MIVEC DOHC 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 141 Nm pada 4,000 rpm, digandingkan dengan kotak gear CVT bagi memacu sepenuhnya roda hadapan. Namun ia kini telah ditambah dengan sistem Active Yaw Control (AYC) yang sama seperti XForce bagi memberikan kestabilan lebih baik.

    GALERI: Mitsubishi Xpander facelift 2026 pasaran Indonesia

    GALERI: Mitsubishi Xpander Cross facelift 2026 pasaran Indonesia

     
     
  • Ujian kalibrasi kamera AWAS di PLUS jajaran Bukit Beruntung-Sg Buaya; lorong tutup malam ini

    Ujian kalibrasi kamera AWAS di PLUS jajaran Bukit Beruntung-Sg Buaya; lorong tutup malam ini

    PLUS telah mengumumkan ujian kalibrasi bagi pemasangan kamera (Automated Awareness Safety System – AwAS) akan dijalankan di KM 431.55 Jajaran Bukit Beruntung – Sungai Buaya arah selatan menghala ke KL. Ia akan dilaksanakan hari ini, 19 Mei 2025, bermula jam 11 malam hingga 3 pagi (20 Mei).

    Lokasi yang terlibat akan dilaksanakan penutupan lorong. Menerusi paparan grafik diatas, terdapat dua lorong yang akan ditutup termasuk lorong kecemasan. Hanya lorong paling kanan sahaja yang boleh dilalui oleh kenderaan. Justeru, pengguna laluan terbabit dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit.

    Pada awal Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kamera AWAS akan ditambah baik dengan melaksanakan kaedah point-to-point berbanding kaedah statik yang dilaksanakan sebelum ini.

    “Apa yang kita nak menjurus kepada pendekatan baharu ialah kita sudah ada teknologi baharu, kita akan lihat antara dua titik checkpoints. Kita tidak mahu pemandu memperlahankan kenderaan hanya di depan kamera itu, tetapi (perlahan) dalam satu jarak yang tertentu.

    “Katakan antara titik A dengan titik B, kita ingin tahu pemandu menggunakan masa berapa lama. Kalau dia menggunakan kurang daripada masa yang sepatutnya, maksudnya dia pecut dan akan dikenakan tindakan (saman),” katanya.

     
     
  • QJMotor AX200S tiba di Malaysia – 175 cc, RM7,988

    QJMotor AX200S tiba di Malaysia – 175 cc, RM7,988

    Bersama dengan SYM ADXTG 400, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd turut melancarkan sebuah lagi skuter, iaitu daripada jenama QJMotor, AX200S. Ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu coklat, biru dan kelabu, pada harga RM7,988 tidak termasuk insurans.

    Menggerakkan AX200S ini adalah enjin satu silinder SOHC penyejukan cecair, suntikan bahan api 175 cc, bersama transmisi automatik CVT dengan pacuan akhir tali sawat, menghasilkan kuasa 17 hp pada 8,500 rpm dan tork 15.2 Nm pada 6,500 rpm.

    Bahagian rodanya menggunakan rim 14 inci, dengan tayar 100/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan kedua-duanya juga dilengkapi dengan brek cakera tunggal, lengkap bersama sistem ABS. Turut membantu ciri keselamatannya adalah sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup).

    Memegang bahagian roda adalah fork teleskopik di hadapan, dan dua penyerap hentak dengan tabung di belakang. Di bahagian kokpit, skuter ini menggunakan panel LCD berwarna untuk memaparkan informasi penting, dan ia juga didatangkan sekali dengan sistem kunci pintar, lampu jenis LED serta tangki bahan api 10 liter.

    Berat keseluruhan AX200S adalah 127 kg dan tinggi tempat duduknya adalah 780 mm. Di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang simpanan yang boleh menempatkan helmet.


     
     
  • SYM ADXTG 400 dilancar secara rasmi untuk pasaran Malaysia – skuter 399 cc dengan pacuan akhir rantai

    SYM ADXTG 400 dilancar secara rasmi untuk pasaran Malaysia – skuter 399 cc dengan pacuan akhir rantai

    Skuter yang kami tunjukkan awal kepada anda bulan lalu, iaitu SYM ADXTG 400 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM29,888 tidak termasuk insurans.

    SYM memanggil skuter ini sebagai sebuah skuter dengan jatidiri adventure sebenar, membawa beberapa kelebihan seperti enjin satu silinder SOHC 399 cc yang digantung pada kerangka di kedudukan tengah, berbanding lebih ke belakang pada skuter lain, dan menyumbang kepada pengendalian yang juga lebih seperti motosikal biasa. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 34.5 hp pada 7,000 rpm dan tork 37 Nm pada 5,500 rpm.

    Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi CVT, dan dijadikan unik dengan sistem pacuan rantai untuk memusingkan roda belakang. Menjadikannya lebih sporty, roda belakang yang bersaiz 14 inci dipegang oleh lengan ayun aluminium serta monoshock dengan sistem gantungan multi-link. Roda hadapan menggunakan saiz 15 inci dan dipegang oleh fork USD.

    Untuk sistem brek, kedua-dua bahagian hadapan dan belakang menggunakan tetapan cakera, dengan sistem ABS dual-channel dan kemudiannya sistem keselamatan ditambah baik lagi dengan kawalan cengkaman. Kedua-dua sistem ini boleh ditutup menggunakan butang yang terdapat pada meter LCD.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada ADXTG 400 adalah termasuk sistem kunci pintar, penghadang angin larasan manual, pelindung tangan dan bawah enjin, semua lampu jenis LED, soket pengecas USB dan ruang barangan bawah tempat duduk 32 liter. Tinggi tempat duduknya adalah 790 mm manakala berat adalah 213 kg.

     
     
  • Permohonan lesen memandu asing ditukar ke Lesen Memandu Malaysia dihentikan berkuatkuasa 19 Mei –

    Permohonan lesen memandu asing ditukar ke Lesen Memandu Malaysia dihentikan berkuatkuasa 19 Mei –

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan langkah untuk memperketatkan pematuhan dan piawaian keselamatan jalan raya melibatkan warga asing. Sebelum ini, JPJ membenarkan permohonan pertukaran lesen memandu negara asing kepada Lesen Memandu Malaysia (LMM) melibatkan kategori-kategori pemohon tertentu.

    Namun demikian, bermula 19 Mei 2025, semua permohonan pertukaran lesen memandu negara asing ke LMM dihentikan. “Mana-mana rakyat negara asing yang memerlukan LMM adalah dikehendaki menjalani tatacara mendapatkan lesen tersebut seperti prosedur sedia ada, seperti yang dilalui oleh rakyat Malaysia,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Walau bagaimana pun, tambahnya, terdapat kategori pemohon yang tidak terjejas iaitu individu di bawah kor diplomatik, peserta Malaysia My Second Home dan warga negara Malaysia yang mendapat lesen negara asing sebelum memegang mana-mana kategori LMM.

    Menurut JPJ lagi, warganegara asing yang berada di Malaysia untuk tempoh masa sementara iaitu kurang daripada 12 bulan dibenarkan menggunakan Permit Memandu Antarabangsa (IDP) yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negara Penjanji kepada Convention on Road Traffic 1949, Geneva (Konvensyen 1949) dan Convention on Road Traffic 1968, Geneva (Konvensyen 1968).

    Selain itu, bagi warganegara dari negara ASEAN, individu berkenaan hanya perlu menggunakan lesen memandu negara asal, selaras dengan ketetapan di bawah Perjanjian Mengiktiraf Lesen Memandu Domestik Dikeluarkan oleh Negara ASEAN 1985.

     
     
  • Thailand bakal ada jenama EV nasional – kerjasama dengan Chery, pikap, SUV dan MPV dilancar tahun ini

    Thailand bakal ada jenama EV nasional – kerjasama dengan Chery, pikap, SUV dan MPV dilancar tahun ini

    Thailand sebelum ini sudahpun dikenali sebagai “Detroit of ASEAN” kerana menjadi hab produksi bagi banyak jenama automotif global, tetapi sehingga kini negara berkenaan masih belum mempunyai jenama automotif nasionalnya sendiri. Namun menerusi laporan Autolifethailand, negara itu nampaknya bakal memperkenalkan jenama kenderaan elektrik (EV) sendiri dengan kerjasama kerajaan dan juga jenama automotif dari China iaitu Chery.

    ‘Jenama EV Nasional Thailand’ yang belum lagi didedahkan namanya ini menerima sokongan utama dari Kementerian Perdagangan Thailand serta sokongan tambahan dari Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Nasional. Selain dari Chery, pihak bukan kerajaan lain yang terlibat dalam projek ini adalah King Gen, syarikat yang ditakrifkan menjalankan perniagaan logistik dan pengangkutan oleh Bursa Saham Thailand (SET).

    Laporan itu menyebut bahawa kerjasama ini akan menyaksikan tiga model EV bakal dilancarkan hujung tahun ini, merangkumi trak pikap, MPV dan juga SUV. Model-model dari jenama EV Nasional Thailand ini akan menampilkan 50% komponen yang dibuat secara tempatan.

    Thailand bakal ada jenama EV nasional – kerjasama dengan Chery, pikap, SUV dan MPV dilancar tahun ini

    “Chery Automobile, peneraju global dalam teknologi automotif, dan Omoda & Jaecoo telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan untuk membangunkan jenama kenderaan elektrik Thai bagi memartabatkan industri automotif Thailand untuk menjadi hab pengeluaran EV di rantau ASEAN,” kata Chery.

    “Kerjasama ini bertujuan untuk membangunkan jenama EV nasional Thailand, mempromosikan keupayaan teknologi EV domestik, dan menyokong pengeluar alat ganti domestik untuk memasuki rantaian bekalan global, memfokuskan pada jualan di Thailand, menonjolkan kekuatan teknologi EV dan harga berpatutan untuk pengguna Thailand,” tambah syarikat itu lagi.

    Kami jangkakan projek ini akan memberikan keistimewaan yang sama seperti jenama automotif nasional di Malaysia iaitu Proton, di mana 49% saham syarikat itu kini dimiliki oleh Geely, satu lagi pengeluar kenderaan dari China seperti Chery. Jadi kami jangkakan ‘jenama EV nasional’ Thailand ini turut akan diberikan insentif cukai dan mungkin pembelian secara flit oleh kerajaan Thai kelak.

    Thailand bakal ada jenama EV nasional – kerjasama dengan Chery, pikap, SUV dan MPV dilancar tahun ini

    Bagi hub produksi seperti Thailand, 50% kandungan tempatan pada sebuah kenderaan yang dibuat negara berkenaan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ini kerana ada jenama Jepun yang mempunyai kilang pemasangan di Thailand boleh menghasilkan kenderaan dengan kandungan tempatan sedikit lebih banyak dari jumlah tersebut.

    Di Malaysia, model-model keluaran satu lagi jenama nasional tempatan iaitu Perodua secara lazimnya menghasilkan kenderaan dengan kandungan tempatan pada kadar 90%. Malah ada yang lebih, Ativa misalnya mempunyai kandungan komponen tempatan mencecah 95% walaupun ia dibangunkan bersama Toyota dan Daihatsu.

    Untuk Proton, model-model yang dibangunkan secara sendiri seperti Saga, Persona dan Iriz juga mempunyai kandungan tempatan yang agak tinggi. Namun untuk model-model yang diambil dari Geely, kandungan tempatannya agak hampir dengan kadar 50% seperti yang diterima Chery. Malah ada model baharu yang belum mempunyai fasiliti untuk dipasang di Malaysia seperti Proton eMas 7, unit-unit awalannya masih diimport sepenuhnya (CBU) dari China.

    Model-model yang disebut untuk dibangunkan bagi ‘jenama EV nasional’ Thailand ini dilihat selari dengan pembangunan model-model ‘M-series’ yang pernah disebut oleh Chery tahun lalu, merangkumi model seperti MPV tujuh-tempat duduk dan SUV tujuh-tempat duduk. Ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 bulan lalu juga Chery turut telah melancarkan jenama trak pikap baharunya iaitu Himla. Jadi tiga model yang dimaksudkan tersebut mungkin diasaskan dari tiga model Chery ini.

     
     
  • Toyota bZ4X Touring dan bZ Woodland didedahkan – SUV EV rebadge dari Subaru Trailseeker, 380 PS, AWD

    Toyota bZ4X Touring dan bZ Woodland didedahkan – SUV EV <em>rebadge</em> dari Subaru Trailseeker, 380 PS, AWD

    Bulan lalu Subaru telah mendedahkan SUV EV yang digelar sebagai Trailseeker di Amerika Syarikat, iaitu Subaru Solterra dan versi but belakang lebih panjang ala-wagon. Soleterra seperti yang kita tahu sebelum ini adalah model rebadge dari Toyota bZ4X. Dan kini versi rebadge dari Trailseeker pula telah didedahkan – ini dia Toyota bZ4X Touring, atau di Amerika Syarikat ia dikenali sebagai Toyota bZ Woodland.

    Toyota bZ4X Touring ini masih menggunakan muka yang sama seperti bZ4x dari versi facelift terbaharu, menampilkan rekaan muka ‘Jerung Hammerhead’ yang diberikan lampu hadapan berbentuk-C dan juga lampu kabus bulat pada bampar hadapan.

    Begitu juga dengan pelindung badan pada keempat-empat ruang roda dari Solterra/bZ4X diterapkan terus pada bZ4X Touring ini, tetapi ia nampak lebih lasak apabila kemasan pada spoiler bawah bampar hadapan datang dalam warna perak.

    Toyota bZ4X Touring dan bZ Woodland didedahkan – SUV EV <em>rebadge</em> dari Subaru Trailseeker, 380 PS, AWD

    Seperti yang disebut tadi bahagian belakang versi Touring ini adalah lebih panjang; secara spesifiknya bahagian bumbung belakang adalah 25 mm lebih panjang dari versi biasa, menjadikan ia secara keseluruhannya 140 mm lebih panjang.

    Lampu belakang bZ4X Touring ini tidak sama dengan bZ4X biasa, sebaliknya ia berkongsi rekaan dengan Subaru Trailseeker. Namun rekaan bampar belakangnya adalah lebih tersendiri yang lebih ringkas dari Trailseeker, menampilkan skid plate yang juga datang dalam kemasan perak.

    Selain itu Toyota turut memadankan rel bumbung pada bZ4X Touring ini, yang bukan hanya untuk kosmetik, tetapi berfungsi untuk menampung beban sehingga 70 kg, yang menurut Toyota sesuai untuk membawa peralatan-peralatan sukan atau barang yang panjang.

    Toyota bZ4X Touring dan bZ Woodland didedahkan – SUV EV <em>rebadge</em> dari Subaru Trailseeker, 380 PS, AWD

    Pada bahagian dalaman, rekaan papan pemuka juga masih sama antara versi biasa dan Touring, menampilkan skrin sesentuh infotainmen bersaiz 14-inci yang bersepadu dengan suis-suis fizikal kawalan penghawa dingin dan audio, serta diberikan dua pengecas tanpa wayar Qi 15 watt.

    Perbezaan terbesar sudah tentu pada bahagian kargo di mana bZ4X Touring ini menampilkan but dengan kapasiti 600 liter, atau 148 liter lebih besar dari biasa. Perincian dalaman lain yang turut disertakan termasuk upholsteri kulit sintetik SofTex dalam kemasan City Moss Brown.

    Pelbagai perincian opsyen turut ditawarkan untuk SUV ini antaranya sistem bunyi JBL Premium Audio dengan sembilan pembesar suara, bumbung kaca panaromik, cermin pandang belakang digital, tempat duduk hadapan berliang dengan fungsi memori pada sebelah pemandu, serta tayar jenis all-terain untuk kegunaan pada permukaan jalan lebih lasak.

    Toyota bZ4X Touring dan bZ Woodland didedahkan – SUV EV <em>rebadge</em> dari Subaru Trailseeker, 380 PS, AWD

    Manakala untuk keselamatan, bZ4X Touring ini menampilkan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh Toyota Safety Sense 3.0, dengan fungsi antaranya cruise control adaptif dan bantuan kekal tengah lorong bagi memberikan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.

    Untuk unit rangkaian kuasa, model standard bZ4X menampilkan motor elektrik berkuasa 224 PS untuk memacu roda hadapan. Ia juga datang dalam versi pacuan semua roda (bZ Woodland di Amerika Syarikat hanya ditawarkan dalam versi AWD) dengan diberikan satu lagi motor elektrik pada gandar belakang berkuasa 37 PS, memberikan kuasa keseluruhan 380 PS – menjadikan ia model EV paling berkuasa dari Toyota setakat ini.

    Model AWD juga datang dengan fungsi pemanduan off-road X-Mode dan juga cruise control untuk permukaan off-road iaitu Grip Control dari Subaru, kedua-duanya didakwa menawarkan cengkaman lebih baik pada permukaan yang licin. Kapasiti menunda SUV ini pula didakwa pada kadar 1,500 kg.

    Toyota bZ Woodland AWD pasaran Amerika Syarikat

    Kedua-dua varian unit rangkaian kuasa berkenaan menerima bateri berkapasiti 74.7 kWj. Jarak gerak model ini belum diumumkan, tetapi untuk Toyota Amerika model bZ Woodland disasarkan untuk mencapai jarak gerak sejauh 260 batu (418 km) dalam kitaran ujian EPA.

    Untuk mengecas pula bZ4X boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 150 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 10%-80% dalam masa 30 minit, dan juga pengecas AC dengan kapasiti 11 kW atau 22 kW bergantung pada varian.

    GALERI: Toyota bZ4X Touring

    GALERI: Toyota bZ Woodland AWD pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

    MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

    Ramai menjangkakan, MG Motor Malaysia akan melancarkan MG S5 EV semasa Malaysia Autoshow (MAS) 2025 baru-baru ini. Ya, SUV elektrik pencabar Proton eMas 7 dan BYD Atto 3 itu ada di sana, tetapi ia masih belum bersedia. Terbaru, teaser untuk MG S5 EV disiarkan dengan pelancaran dikatakan akan berlaku 20 Mei ini di Mid Valley Megamall.

    “Kiraan bermula sekarang. Dalam masa lima hari, kami akan memperkenalkan jentera pemanduan British terbaik dalam kelasnya, dan anda mahu berada di hadapan menyaksikannya. Tengok. Rasa. Pandu,” tertulis dalam muatan yang dinaikkan dalam media sosial.

    Semasa MAS 2025, MG mendedahkan pakej pelancaran untuk S5 EV, bersama harga jangkaan yang bermula RM115,000. Sesiapa yang membuat tempahan dengan bayaran RM500, mereka akan mendapat diskaun tambahan RM5,000 bersama pengecas Wallbox kegunaan rumah 7kW secara percuma.

    MG S5 EV sah akan dilancar 20 Mei – pencabar eMas 7 akan dijual pada harga anggaran bermula RM115k

    Dua varian akan diperkenal, dan ia akan digelar sebagai Com untuk varian permulaan manakala varian tertinggi dikenali sebagai Lux. Dengan itu, MG S5 Com menerima bateri LFP 49kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km dalam kitaran WLTP, manakala MG S5 Lux pula diberikan bateri LFP 62 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km. Dua varian ini menggunakan tetapan satu motor di belakang, menghasilkan 170 PS dan tork 250 Nm.

    Untuk mengecas pula kedua dua varian boleh dicas dengan sistem AC 7 kW. Varian Com boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux boleh menampung sehingga 150 kW membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 26 minit. Kedua-duanya juga turut menerima sistem vehicle-to-load (V2L) membolehkan kuasa bateri digunakan pada peralatan elektrik lain.

    Kelengkapan standard yang diberi adalah termasuk lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bertemakan ‘bendera perlumbaan’, skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga hubungan aplikasi iSmart MG.

    Varian Lux kemudiannya ditambah dengan rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan sistem audio premium dengan 6 pembesar suara.

    Bagi sistem keselamatan pula kedua-dua varian diberikan tujuh-beg udara dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh bersama lampu tinggi automatik. Manakala varian Lux akan menerima tambahan kamera pandangan sekeliling 360 darjah. Lima warna badan ditawarkan untuk MG S5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.

    GALERI: MG S5 EV di MAS 2025

     
     
  • Rapid KL memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang mulai 19 Mei – 4.30 petang-7 malam

    Rapid KL memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang mulai 19 Mei – 4.30 petang-7 malam

    Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor akan memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang ke waktu puncak petang bermula 19 Mei 2025.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, operasi lanjutan ini akan berlangsung setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 4.30 petang hingga 7 malam. Ia melibatkan jarak sepanjang 0.62 kilometer yang merangkumi Persimpangan Jalan Memanda 1 hingga ke persimpangan Jalan Memanda 9 dan Persimpangan Jalan Cengal hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Wawasan Ampang.

    “Perluasan waktu operasi ini akan memberi manfaat kepada penumpang beberapa laluan utama seperti laluan 300 (Hab Pandan Indah – Lebuh Ampang) dan laluan 303 (Hentian Mulia Jaya – Lebuh Ampang), selain laluan bas perantara dari kawasan Pandan Indah, Bukit Indah, Mulia Jaya dan Lembah Jaya,” kata syarikat berkenaan.

    Sejak diperkenalkan pada 3 Julai 2023, lorong bas Jalan Ampang telah menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Statistik menunjukkan peningkatan purata penumpang harian daripada 12,819 kepada 14,424 orang, pertambahan sebanyak 12.52%. Selain itu, masa perjalanan penumpang juga telah berjaya dikurangkan antara 10 hingga 15 minit.

    Rapid KL memperluaskan waktu operasi lorong bas Jalan Ampang mulai 19 Mei – 4.30 petang-7 malam

    Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, pihaknya yakin bahawa kelancaran perjalanan dan penjimatan masa yang dicapai hasil inisiatif ini akan terus menarik lebih ramai pengguna untuk beralih kepada pengangkutan awam. Beliau turut menyeru semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong bas demi kepentingan bersama.

    Rapid Bus turut berkata, penilaian prestasi lanjutan operasi ini akan dijalankan selama tiga bulan oleh pihaknya bersama JKR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) ke atas kedua-dua kawasan yang terlibat. Penilaian ini akan merangkumi aspek seperti masa perjalanan, kelajuan komersial bas, keselamatan jalan raya serta tahap kesesakan lalu lintas di kawasan terlibat.

    Orang ramai disarankan untuk merancang perjalanan mereka menggunakan aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store. Lokasi bas juga boleh disemak secara masa nyata menerusi aplikasi Google Maps.

     
     
  • Sultan Selangor bertitah tindakan perlu lebih tegas tangani isu kemalangan babitkan kenderaan berat

    Sultan Selangor bertitah tindakan perlu lebih tegas tangani isu kemalangan babitkan kenderaan berat

    Sultan Selangor, YMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj bertitah kerajaan perlu mengambil perhatian serius dengan kejadian kemalangan khususnya yang membabitkan kenderaan berat di jalanraya dan lebuhraya.

    Dalam kenyataan yang dimuatnaik oleh Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin berkenan menzahirkan perutusan takziah kepada keluarga dan waris sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam satu kemalangan ngeri di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei 2025. Duli-Duli Tuanku turut menzahirkan rasa sedih dan dukacita dengan tragedi menyayat hati yang menimpa semua mangsa terlibat.

    Baginda turut meluahkan kekesalan kerana telah berulang kali menyuarakan kebimbangan ini khususnya apabila menyentuh tentang hukuman terhadap pemandu kenderaan atau pun syarikat terlibat yang didapati cuai dan tidak menepati syarat keselamatan yang ditetapkan.

    “Melihat kepada jumlah kes dan tragedi seumpamanya yang kian meningkat serta kadar kemalangan jalanraya yang semakin kerap berlaku, Baginda mahu tindakan segera yang lebih tegas diambil oleh pihak berkuasa. Baginda mahu, sekiranya didapati bersalah dan menjadi punca dalam kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah, pemandu dan syarikat terlibat bukan sahaja perlu didenda atau dipenjara, malah lesen memandu mereka wajar ditarik balik.

    “Ini bagi memberi pengajaran kepada pemandu lain agar mereka lebih berhati-hati dan memberi tumpuan yang tidak berbelah bahagi ketika memandu. Baginda turut menggesa syarikat-syarikat yang mengendalikan perkhidmatan lori, bas dan kenderaan berat lain agar memastikan penilaian yang ketat dalam memilih pemandu dan kelindan yang bersih dan tidak bermasalah,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.

    Baginda turut mengingatkan semua pihak terlibat agar tidak menutup sebelah mata dan memandang ringan terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada kecuaian seperti kondisi kenderaan dan kelayakan pemandu. Dalam masa yang sama, Baginda berharap dan berdoa agar tidak akan lagi berlaku tragedi kemalangan sebegini, apatah lagi yang membabitkan kehilangan nyawa insan-insan tidak berdosa, khususnya mereka yang sedang berkhidmat untuk keamanan negara.

     
     
  • Geely Galaxy Starship 7, kembar eMas 7 versi PHEV akan dipasang di Thailand – apa jadi hab RHD Proton?

    Geely Galaxy Starship 7, kembar eMas 7 versi PHEV akan dipasang di Thailand – apa jadi hab RHD Proton?

    Headlight Mag melaporkan bahawa Geely Thonburi iaitu pengedar kenderaan jenama Geely di Thailand mengesahkan Geely Galaxy Starship 7 bakal dijual di pasaran berkenaan. Ini secara tidak langsung turut mengesahkan bahawa versi PHEV untuk EV Geely EX5 berkenaan juga bakal dihasilkan dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan menjadi model yang dijual untuk pasaran global.

    Selain itu laporan tersebut juga menyatakan bahawa Galaxy Starship 7 tersebut turut bakal dipasang secara tempatan di Thailand. Jadi ia turut membayangkan bahawa kembar EVnya iaitu EX5 kelak turut akan dipasang di negara berkenaan.

    Seperti yang diketahui, Geely EX5 merupakan kembar kepada Proton eMas 7 yang dijual di Malaysia. Malah sebelum ini turut telah diketahui bahawa Galaxy Starship 7 turut akan dijelmakan sebagai Proton kerana nama ‘eMas 7 PHEV’ telah pun didaftarkan oleh Proton di Malaysia.

    Dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya Proton bukan sahaja tidak dapat kembali untuk meneroka pasaran ASEAN, malah persetujuan untuk menjadikan fasiliti Proton di Tanjung Malim sebagai hab produksi Geely untuk model-model pemanduan sebelah kanan (RHD) juga semakin kabur.

    Geely Galaxy Starship 7, kembar eMas 7 versi PHEV akan dipasang di Thailand – apa jadi hab RHD Proton?

    Proton sebelum ini yakin bahawa ia boleh menjadi jenama automotif nombor tiga terbesar di Asia Tenggara sekiranya dapat masuk semula ke pasaran-pasaran ASEAN dan tidak hanya bergantung kepada jualan domestik sahaja. Namun selepas Geely dilihat tidak memberikan laluan kepada Proton bukan sahaja untuk menjual, malah tidak menggunakan fasiliti di Malaysia sebagai hab, bagaimana untuk Proton mencapai sasaran yang telah ditetapkan tersebut?

    Dengan jumlah produksi di Malaysia yang rendah, Proton juga mungkin akan berhadapan dengan masalah bagi memberikan harga jualan yang kompetitif di pasaran luar negara. Sekiranya ada pasaran yang akan menyaksikan Proton dan Geely bertembung – mungkin di pasaran Afrika Selatan kelak – Proton sudah tentu tidak dapat memberikan harga jualan yang sama rendah dengan Geely kerana skala ekonomi yang diperolehi oleh pembuat kereta dari China itu adalah lebih besar.

    Sebelum ini Proton mendakwa bahawa Geely EX5 dan eMas 7 merupakan model yang dibangunkan bersama. Ini membolehkan EX5 dan juga Galaxy Starship 7 berkenaan terus hadir dalam versi RHD ketika diperkenalkan, tidak seperti model-model lain sebelum ini di mana Proton perlu mengubah kedudukan pemanduan tersebut kemudian bagi membolehkan ia dijual pada pasaran pemanduan sebelah kanan.

    Geely Galaxy Starship 7, kembar eMas 7 versi PHEV akan dipasang di Thailand – apa jadi hab RHD Proton?

    Untuk Galaxy Starship 7, ia menggunakan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid EM-i yang menggandingkan enjin 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 11 PS/136 Nm bersama kotak gear khas hibrid elektrifikasi E-DHT yang mengintegrasikan motor elektrik berkuasa 218 PS dan tork maksima 262 Nm.

    Ini membolehkan SUV segmen-C berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat. Motor elektrik yang dibekalkan menerima kuasa dari bateri LFP bilah pendek Aegis berkapasiti 19.09 kWj, membolehkan ia bergerak tanpa enjin petrol dihidupkan sejauh 120 km (kitaran CLTC) serta memberikan jarak gerak keseluruhan dengan satu tangki petrol penuh sejauh 1,420 km.

     
     
  • Kadar penggunaan pengangkutan awam yang rendah beri kerisauan, boleh jejas kualiti hidup – TPM

    Kadar penggunaan pengangkutan awam yang rendah beri kerisauan, boleh jejas kualiti hidup – TPM

    Kadar penggunaan pengangkutan awam yang rendah serta jumlah kenderaan yang banyak di atas jalan memberikan beban kepada infrastruktur dan akan menjejaskan kualiti hidup rakyat, kata timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Beliau turut menyatakan bahawa kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia hanya berada pada 25%, yang mana adalah sangat rendah berbanding bandar di negara maju lain seperti Tokyo, Japan (73%), Seoul, Korea (63%) dan Singapura (67%). Sebaliknya, kadar kepadatan kenderaan pula sangat tinggi, dengan 38.7 juta kenderaan berdaftar pada hujung tahun 2024, bermakna lebih banyak kereta berbanding pemandu – 727 kenderaan untuk setiap 1,000 orang.

    “Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat. Kita memerlukan perubahan sikap, yang boleh dicapai melalui satu sistem yang boleh dipercayai, serta kempen kesedaran menyeluruh,” kata beliau.

    Kadar penggunaan pengangkutan awam yang rendah beri kerisauan, boleh jejas kualiti hidup – TPM

    Terdahulu, Zahid menerima kunjungan daripada pengurusan Prasaran, yang diketuai oleh presiden dan CEO syarikat, Mohd Azharuddin Mat Sah untuk berbincang berkenaan hala tuju pengangkutan awam di Malaysia dan peranan Prasarana sebagai pemimpin dalam agenda mobiliti untuk rakyat. Prasarana adalah pengendali rangkaian kereta api dan bas Rapid.

    Dalam pertemuan itu, Azharuddin menjelaskan peranan strategik Prasarana dalam memperkasakan sistem pengangkutan awam Malaysia, termasuk usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti servis, peluasan rangkaian serta pendekatan yang lebih fokus kepada pelanggan.

    Syarikat itu memberitahu bahawa TPM menyatakan keyakinan beliau bahawa dengan komitmen daripada agensi daripada Prasarana dan sokongan semua pemegang taruh, Malaysia dapat beralih daripada kebergantungan terhadapan kenderaan persendirian dan menuju ke arah sistem pengangkutan awam yang mesra rakyat, lestari dan cekap.

     
     
  • Proton Xchange Programme dilancar – diskaun RM2k dengan tukar kereta lama kepada model baharu Proton

    Proton Xchange Programme dilancar – diskaun RM2k dengan tukar kereta lama kepada model baharu Proton

    Proton telah melancarkan Proton Xchange Programme bagi menunjukkan sokongan padu terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan mempromosikan mobiliti yang lebih hijau. Program ini terbuka kepada pemilik semua jenis kereta walau apa jua jenama, bagi menggalakkan kereta lama yang dianggap tidak boleh digunakan di jalan raya ditukarkan dengan mana-mana model Proton baharu termasuk EV eMas 7.

    Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang diiringi Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar, dan Dr. Li Chunrong selaku CEO Proton.

    Bagi memastikan Program Proton Xchange mencapai matlamatnya untuk meningkatkan keselamatan jalan raya dan pada masa yang sama menggalakkan mobiliti hijau, Proton bersama rakan kerjasamanya, Car Medic Sdn Bhd, sebuah fasiliti rawatan automotif yang diluluskan (AATF), telah merangka penyelesaian menyeluruh yang memberi insentif kepada peserta serta menjamin pelupusan kenderaan lama secara selamat.

    Proton Xchange Programme dilancar – diskaun RM2k dengan tukar kereta lama kepada model baharu Proton

    Menerusi program ini, Proton menyediakan sokongan dagangan lebihan (overtrade) sebanyak RM2,000 untuk pendaftaran kenderaan Proton baharu. Sebanyak RM4.8 juta telah diperuntukan untuk program ini yang akan berlangsung sehingga akhir Disember 2025.

    Untuk menyertai program ini, terdapat dua syarat yang ditetapkan iaitu kenderaan mestilah berusia 15 tahun atau lebih dan dalam keadaan yang dianggap tidak boleh digunakan dengan selamat. Walau bagaimana pun, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan seperti bukti pemilikan, mana-mana kereta sedan, MPV, van, 4×4, lori dan bas yang memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas layak untuk menyertai program ini.

    Selain itu, model baharu Proton yang dibeli mestilah didaftarkan sebelum akhir tahun untuk layak mendapat insentif dagangan lebihan. Pemilik kenderaan mesti menyediakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bersama-sama dengan borang JPJK1KD bagi kenderaan baharu mereka untuk membuktikan bahawa kenderaan lama mereka telah secara rasminya dibatalkan daripada pendaftaran oleh JPJ, serta Sijil Pemusnahan (COD) yang mereka peroleh daripada Car Medic.

    “Program Proton Xchange mewakili langkah penting ke arah masa depan automotif yang lebih selamat dan lebih hijau untuk Malaysia, menunjukkan komitmen Proton kepada pelanggan dan negara. Selain itu, kami berharap inisiatif ini akan mendorong orang ramai untuk menukar kereta lama dengan kereta baharu yang mempunyai ciri keselamatan canggih yang mengurangkan risiko keselamatan di jalan raya.

    Proton Xchange Programme dilancar – diskaun RM2k dengan tukar kereta lama kepada model baharu Proton

    “Ia juga merupakan langkah penting automotif yang lebih selamat dan hijau di Malaysia, serta menunjukkan komitmen Proton terhadap pelanggan dan negara. Kami juga berharap inisiatif ini dapat menggalakkan penggantian kenderaan lama kepada kereta baharu yang dilengkapi ciri keselamatan moden, sekaligus mengurangkan risiko di jalan raya,” kata Dr Li Chunrong.

    Anthony Loke pula berkata, “Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong inisiatif Program Xchange dan menggalakkan lebih ramai pengeluar kenderaan (OEM) untuk mencontohi langkah Proton dengan melihat melangkaui sasaran jualan dan keuntungan semata-mata.

    “Sebagai tanda sokongan terhadap program ini, saya berbesar hati mengumumkan cukai jalan percuma diberikan selama setahun bagi pemilik kenderaan yangb menyertai prorgam ini. Memandangkan mungkin ada pemilik kenderaan lama ini sudah berusia, maka saya juga ingin meminta agar Proton memberikan kebenaran kepada anak pemilik kenderaan tersebut yang membeli mana-mana model baharu Proton menerusi program ini.”

    Sebagai satu-satunya jenama automotif Malaysia yang menawarkan pilihan ICE, mild-hybrid dan EV dalam rangkaiannya, Proton berada dalam kedudukan baik untuk merajui program pertukaran yang memudahkan rakyat Malaysia dengan menaik taraf kepada kenderaan yang lebih baharu, hijau dan selamat. Dengan ketibaan model-model baharu pada masa akan datang termasuk model EV kedua, eMas 5, Proton bersedia memainkan peranan dalam memastikan industri automotif menyumbang ke arah matlamat negara untuk mencapai status karbon neutral menjelang tahun 2050.

     
     
  • Zeekr 009 Executive diberi kemas kini – MPV EV terima suspensi udara dual-chamber, FWD, harga RM310k

    Zeekr 009 Executive diberi kemas kini – MPV EV terima suspensi udara dual-chamber, FWD, harga RM310k

    Zeekr Malaysia mengumumkan, Zeekr 009 yang baru sahaja diperkenalkan minggu lalu kini diberikan peningkatan. Varian asas bagi MPV elektrik tersebut kini mendapat suspensi udara dual-chamber, berbanding single-chamber sebelum ini.

    Lain daripada itu tiada apa yang berubah, dan Zeekr 009 paling murah ini dijual pada harga RM310,000 tidak termasuk insurans untuk 500 pelanggan pertama. Sebelum varian Executive ini tiba, Zeekr 009 dilancarkan dalam dua varian iaitu Luxury yang berharga RM349,800 dan Ultra Luxury berharga RM359,800. Ini bermakna, 009 Executive adalah RM49,800 lebih murah berbanding varian paling tinggi.

    Sementara dua varian yang lebih awal tiba ke negara kita itu dipacu oleh dua motor dan pacuan semua roda, berkuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 693 Nm, 009 Executive pula cuma menggunakan satu motor elektrik di hadapan dan menghasilkan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan tork 373 Nm. Laju maksimum masih lagi 210 km/j tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi perlahan sedikit iaitu 7.9 saat.

    Bateri yang digunakan 009 Executive adalah sama sahaja seperti varian AWD, iaitu unit nickel manganese cobalt (NMC) 116 kWh, tetapi disebabkan ia hanya ada satu motor, jarak geraknya adalah lebih baik, iaitu 604 km. Apabila menggunakan input AC 11 kW, baterinya akan naik 0-100% dalam masa 13.5 jam, sementara apabila menggunakan DC 150 kW, 10-80% dapat dicapai dalam masa 30 minit.

    Varian 009 Exzecutive ini hanya datang dalam tetapan tujuh tempat duduk seperti Luxury, dan kelengkapannya juga hampir sama. Berdasarkan risalah jualan yang kami terima, varian asas ini cuma tidak mempunyai selak pintu elektronik di hadapan dan stereng yang hanya boleh dilaras secara manual.

    Namun, ia masih datang dengan lampu utama LED matriks dengan Adaptive Driving Beam (ADB) dan Front Lighting System (AFS), DRL LED, lampu suasana di dalam, balutan kulit Nappa dan Ultrasuede, tempat duduk baris pertama dan kedua larasan kuasa dengan liang udara dan fungsi mengurut, tujuh beg udara serta pakej ADAS.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025