Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Zeekr 009 Executive diberi kemas kini – MPV EV terima suspensi udara dual-chamber, FWD, harga RM310k

    Zeekr 009 Executive diberi kemas kini – MPV EV terima suspensi udara dual-chamber, FWD, harga RM310k

    Zeekr Malaysia mengumumkan, Zeekr 009 yang baru sahaja diperkenalkan minggu lalu kini diberikan peningkatan. Varian asas bagi MPV elektrik tersebut kini mendapat suspensi udara dual-chamber, berbanding single-chamber sebelum ini.

    Lain daripada itu tiada apa yang berubah, dan Zeekr 009 paling murah ini dijual pada harga RM310,000 tidak termasuk insurans untuk 500 pelanggan pertama. Sebelum varian Executive ini tiba, Zeekr 009 dilancarkan dalam dua varian iaitu Luxury yang berharga RM349,800 dan Ultra Luxury berharga RM359,800. Ini bermakna, 009 Executive adalah RM49,800 lebih murah berbanding varian paling tinggi.

    Sementara dua varian yang lebih awal tiba ke negara kita itu dipacu oleh dua motor dan pacuan semua roda, berkuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) dan 693 Nm, 009 Executive pula cuma menggunakan satu motor elektrik di hadapan dan menghasilkan 340 PS (335 hp atau 250 kW) dan tork 373 Nm. Laju maksimum masih lagi 210 km/j tetapi pecutan 0-100 km/j menjadi perlahan sedikit iaitu 7.9 saat.

    Bateri yang digunakan 009 Executive adalah sama sahaja seperti varian AWD, iaitu unit nickel manganese cobalt (NMC) 116 kWh, tetapi disebabkan ia hanya ada satu motor, jarak geraknya adalah lebih baik, iaitu 604 km. Apabila menggunakan input AC 11 kW, baterinya akan naik 0-100% dalam masa 13.5 jam, sementara apabila menggunakan DC 150 kW, 10-80% dapat dicapai dalam masa 30 minit.

    Varian 009 Exzecutive ini hanya datang dalam tetapan tujuh tempat duduk seperti Luxury, dan kelengkapannya juga hampir sama. Berdasarkan risalah jualan yang kami terima, varian asas ini cuma tidak mempunyai selak pintu elektronik di hadapan dan stereng yang hanya boleh dilaras secara manual.

    Namun, ia masih datang dengan lampu utama LED matriks dengan Adaptive Driving Beam (ADB) dan Front Lighting System (AFS), DRL LED, lampu suasana di dalam, balutan kulit Nappa dan Ultrasuede, tempat duduk baris pertama dan kedua larasan kuasa dengan liang udara dan fungsi mengurut, tujuh beg udara serta pakej ADAS.

     
     
  • Mitsubishi sahkan Pajero Sport dan Xpander generasi baru akan diperkenal selepas 2025, muncul di ASEAN

    Mitsubishi sahkan Pajero Sport dan Xpander generasi baru akan diperkenal selepas 2025, muncul di ASEAN

    Selain dari mengumumkan bahawa SUV segmen-B tujuh-tempat duduk baharu berasaskan model konsep Mitsubishi DST akan dilancarkan tahun ini, jenama automotif dari Jepun berkenaan turut mengesahkan bahawa model generasi baharu untuk SUV ladder frame Pajero Sport dan juga MPV segmen-B tujuh-tempat duduk Xpander bakal didedahkan selepas 2025, dan kedua-duanya akan membuat kemunculan sulung global di ASEAN.

    Untuk Pajero Sport seperti biasa ia akan diasaskan dari trak pikap Triton di mana model generasi baharunya sudahpun berada sekitar dua tahun dalam pasaran. Jadi SUV baharu tersebut mungkin turut akan menerapkan rekaan agresif ‘Beast Mode’ yang sama dengan Triton.

    Begitu juga dengan unit rangkaian kuasa, enjin baharu MIVEC DOHC turbodiesel 4N16 2.4 liter empat silinder yang sama seperti Triton sebenarnya sudahpun diberikan pada Pajero Sport facelift yang diperkenalkan tahun lalu. Enjin berkuasa 204 PS dan tork maksima 470 Nm berkenaan digandingkan bersama transmisi automatik enam kelajuan baharu, dan sudah tentu akan diberikan sistem 4WD.

    Manakala untuk Xpander, sedar tak sedar model generasi sedia ada sebenarnya sudah lapan tahun berada dalam pasaran selepas muncul pertama kali pada Ogos 2017. Jadi ia sememangnya sudahpun sampai masa untuk diberikan model generasi baharu.

    Namun unit rangkaian kuasa MPV segmen-B tujuh tempat duduk tersebut iaitu enjin MIVEC 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, bersama kotak gear CVT yang memacu roda hadapan akan dikekalkan.

    Selain dari rupa luaran dan dalaman, Mitsubishi mungkin akan memberikan tingkat taraf sistem keselamatan seperti ADAS dan juga pertambahan jumlah beg udara, di mana model generasi sedia ada hanya dibekalkan sebanyak dua unit.

     
     
  • Versi produksi SUV 7-tempat duduk Mitsubishi DST akan dilancar tahun ini; lawan Rush dan Aruz

    Versi produksi SUV 7-tempat duduk Mitsubishi DST akan dilancar tahun ini; lawan Rush dan Aruz

    Ketika membentangkan prestasi kewangan tahunan penuhnya, Mitsubishi telahpun mengumumkan bahawa model konsep SUV tujuh-tempat Mitsubishi DST bakal diterjemahkan dalam versi produksi dan dilancarkan pada tahun ini, serta bakal membuat kemunculan global di ASEAN.

    Model produksi bagi Mitsubishi DST berkenaan akan dihasilkan sebagai SUV segmen-B tujuh-tempat duduk bagi berhadapan terus dengan model seperti kembar Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Perodua Aruz, berbeza dengan Xpander yang masih dikelaskan sebagai sebuah MPV.

    Walau bagaimanapun ia masih menggunakan kerangka badan jenis monocoque yang bakal memberikan lebih keselesaan dan pengendalian lebih baik berbanding dari lawannya yang menggunakan casis jenis body-on-frame. Ia dijangka masih menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti SUV segmen-B lima-tempat duduk Mitsubishi XForce, dengan enjin MIVEC 4A91 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 105 PS dan tork maksima 141 Nm, bersama kotak gear CVT hanya memacu roda hadapan.

    Varian dengan unit rangkaian kuasa hibrid juga boleh dijangka akan diberikan, dengan sistem sama seperti ditawarkan pada Xpander HEV dan XForce HEV yang menampilkan petrol kitaran Atkinson 4A92 1.6 liter MIVEC empat-silinder berkuasa 95 PS pada takat 5,100 rpm dan tork maksima 134 Nm pada takat 4,500 rpm, di mana enjin ini dalam kebanyakkan masanya hanya berfungsi untuk mengecas bateri litium-ion bagi sistem hibrid.

    Manakala roda hadapan dipacu secara primari oleh motor elektrik berkuasa 116 PS dan tork maksima 255 Nm. Namun pada masa-masa tertentu khususnya pada kelajuan tinggi, motor elektrik ini turut akan dibantu oleh enjin petrol untuk memacu roda yang disatukan menerusi klac lock-up.

    Bila model ini akan dilancarkan masih belum dinyatakan. Namun kalau kita mengikuti cara Mitsubishi memperkenalkan model-model baharunya untuk pasaran ASEAN beberapa tahun kebelakangan ini, model produksi biasanya akan muncul selepas setahun model konsepnya didedahkan. Jadi boleh diagak model ini mungkin akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini.

     
     
  • Honda e:N1 dilancarkan di Malaysia — 68.8 kWh, 204 PS/310 Nm, jarak 500 km NEDC; harga RM149,900

    Honda e:N1 dilancarkan di Malaysia — 68.8 kWh, 204 PS/310 Nm, jarak 500 km NEDC; harga RM149,900

    Setelah dibuka untuk tempahan pada April lalu, Honda Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi model elektrik pertama syarikat itu untuk pasaran tempatan, Honda e:N1. Hanya satu varian ditawarkan buat masa ini, dengan harga pengenalan unit terhah RM149,900.

    Model ini merupakan unit CBU dari China dan harga pengenalan ini akan diberikan selagi stok masih ada bagi baki tempoh enam bulan sebelum berakhirnya insentif kerajaan untuk EV hujung tahun ini. Honda e:N1 ini mempunyai ukuran dimensi 4,380 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,592 mm tinggi dengan jarak kelegaan tanah 142 mm.

    Walaupun diberi jolokan sebagai HR-V EV, e:N1 dibangun menggunakan platformnya yang tersendiri, e:N Architecture F, yang menempatkan satu modul unit rangkaian kuasa yang terdiri daripada sebuah motor elektrik, unit pemacu kuasanya serta transmisi di gandar depan yang sekaligus memacu roda hadapan.

    Honda e:N1 dilancarkan di Malaysia — 68.8 kWh, 204 PS/310 Nm, jarak 500 km NEDC; harga RM149,900

    Motor elektrik Honda e:N1 menghasilkan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 310 Nm dari 0-4,621 rpm. Ini membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 7.7 saat dan mencapai kelajuan maksima hingga 160 km/j.

    Kuasa elektrik bagi kereta ini dibekalkan oleh bateri litium-ion (nickel manganese cobalt atau NMC) 68.8 kWj yang memberikan jarak perjalanan sejauh 500 km dalam kitaran ujian NEDC. Sekadar perbandingan, spesifikasi model pasaran Thailand menyatakan bateri berkenaan membolehkan e:N1 bergerak sejauh 412 km untuk satu cas penuh mengikut kitaran ujian WLTP.

    Bateri berkenaan boleh dicas menggunakan pengecas DC CCS2 berkapasiti sehingga 78 kW, yang mengambil masa sekitar 45 minit untuk membolehkannya mencapai status pengecasan 10%-80% (SoC). Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti 10 kW pula, ia mengambil masa lebih kurang enam jam untuk baterinya dicas penuh.

    Honda e:N1 dilancarkan di Malaysia — 68.8 kWh, 204 PS/310 Nm, jarak 500 km NEDC; harga RM149,900

    Honda e:N1 antaranya dilengkapi dengan rim aloi dua-tona pelbagai-jejari 18-inci dengan saiz tayar 225/50, lampu utama LED automatik denggan lampu nyalaan siang (DRL) LED, lampu kabus hadapan, lampu isyarat LED, jalur lampu belakang LED dan juga spoiler belakang.

    Untuk bahagian kabin, e:N1 diberikan tempat duduk dan stereng balutan kulit sepenuhnya. Ada juga panel skrin sentuh Advanced Touch Display Audio 15.1-inci dengan sokongan tanpa wayar Apple CarPlay/Android Auto, dan paparan multi-info TFT 10.25-inci, berserta tombol penukar gear yang ringkas dan suis brek parkir elektronik.

    Kereta ini juga dilengkapi dengan sistem bunyi enam-pembesar suara, pengecas telefon tanpa wayar 15 watt dan empat slot USB — dua di depan (satu Type-A, satu Type C) dan dua di belakang (Type C).

    Aspek keselamatan terdiri daripada enam beg udara, VSA, bantuan mula mendaki, sensor parkir depan dan belakang, kamera undur serta ciri larasan sudut pandang untuk cermin sisi. Ada juga Honda Sensing dengan rangkaian ciri keselamatan aktif Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Road Departure Mitigation System dengan Lane Departure Warning (RDM dengan LDW), Auto High-Beam (AHB), Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow (ACC with LSF) dan Lead Car Departure Notification System (LCDN).

    Tiga pilihan warna ditawarkan untuk Malaysia, melibatkan dua warna baru Aqua Topaz Metallic dan Urban Grey Pearl, dengan yang ketiga ialah Platinum White Pearl. Pilihan warna kabin pula sama ada kelabu atau hitam.

    Honda e:N1 datang dengan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk komponen EV, dan jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri.

     
     
  • Fiat 500 Hybrid ditunjuk – EV 500e yang disumbat enjin petrol dan sistem hibird 12V, ada kotak gear manual!

    Fiat 500 Hybrid ditunjuk – EV 500e yang disumbat enjin petrol dan sistem hibird 12V, ada kotak gear manual!

    Model generasi terkini Fiat 500 telah diperkenalkan pada tahun 2020, dan ketika itu ia diumumkan hanya dihasilkan dalam versi elektrik penuh (EV), dikenali sebagai Fiat 500e. Namun jualannya langsung tidak memberangsangkan sehinggakan kilang Fiat di Turin, Itali yang menghasilkan model berkenaan sudah beberapa kali terpaksa berhenti dari beroperasi kerana tiada permintaan.

    Jadi bagi mengelakkan model berkenaan terus gagal, Fiat telah melakukan kejuteraan semula bagi menyumbat enjin petrol pada platform EV tersebut, dan dikenali sebagai Fiat 500 Hybrid. Ia belum lagi didedahkan sepenuhnya, namun model pra-produksi telahpun dihasilkan manakala produksi skala penuh dijangka akan bermula pada bulan November tahun ini.

    Sekali tengok rupa Fiat 500 Hybrid ini adalah sama seperti 500e. Cuma bahagian gril hadapan masih ditutup dengan pelekat penyamaran dan mungkin akan menampilkan rekaan yang sedikit berbeza bagi menyesuaikan keadaan di mana perlu ada aliran udara untuk menyejukkan unit radiator untuk enjin pembakaran dalaman berkenaan.

    Ia masih menggunakan set rim 17-inci yang sama dengan 500e manakala tip ekzos juga masih disorok di sebalik bampar serta port penegcas digantikan dengan corong pengisi petrol, menyebabkan sukar untuk kita bezakan versi enjin pembakaran dalaman ini dengan versi EV jika dilihat pada bahagian sisi dan belakang.

    Pada bahagian dalaman, papan pemuka dan perician lain seperti roda stereng dan skrin infotainmen 10.25-inci Fiat 500 Hybrid ini juga masih sama dengan 500e. Yang membezakan antara kedua-duanya adalah model 500 Hybrid ini diberikan tombol gear – dan apa yang mengejutkan ia masih ditawarkan dengan transmisi manual!

    Ini adalah kerana Fiat 500 Hybrid ini masih menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama seperti model generasi sebelumnya yang baru sahaja dihentikan pengeluarannya tahun lalu, menampilkan enjin petrol tiga-silinder sebaris 1.0 liter dengan bantuan unit starter-generator 12-volt yang digerakkan menerusi tali sawat, menghasilkan kuasa 70 PS dan tork 91 Nm.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JYA dan MEC bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Johor dan Melaka yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JYA dibuka bidaan mulai esok, 16 Mei 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 20 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Melaka, MEC, akan dibuka bidaan bermula 23 Mei 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 27 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 28 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Gara-gara membiarkan anak lelaki berusia 15 tahun memandu, seorang bapa yang mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 telah dijatuhkan hukuman denda RM15,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda. Dia juga diarah menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.

    Malah anak lelakinya yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuching atas tuduhan memandu berbahaya hingga menyebabkan lima kematian di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru di bandaraya berkenaan pula dibenarkan diikat jamin RM5,000 dengan ibu bapanya sebagai penjamin, laporan Harian Metro.

    Mahkamah kemudian menetapkan 17 Jun 2025 untuk sebutan semula kes bagi laporan akhlak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tertuduh menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan dan Seksyen 39(1) APJ 1987 kerana memandu kenderaan semasa berumur kurang daripada 16 tahun.

    Remaja lelaki mengaku salah atas tuduhan memandu berbahaya di Kuching, bapa dikenakan denda RM15k

    Pada 14 Januari lalu, remaja berkenaan dipercayai memandu kereta tanpa lesen dan mengakibatkan kemalangan yang meragut lima nyawa. Di mana kenderaan yang dipandu remaja itu telah hilang kawalan sebelum terbabas ke jalan bertentangan dan merempuh dua motosikal serta dua kereta. Empat lagi kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu ialah sebuah Toyota Altis, Proton Saga serta dua motosikal iaitu Yamaha dan Modenas.

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kesemua kes yang melibatkan pemandu di bawah umur disiasat mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika disabit kesalahan, si ibu atau bapa boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya serta hilang kelayakan daripada memandu atau mendapatkan mana-mana lesen memandu.

    Selain itu, siasatan juga dijalankan di bawah Sekesyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa maksud pengabaian atau mendedahkan kanak-kanak secara cuai dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan mengalami kecederaan fizikal atau emosi. Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

     
     
  • MARii perkenal Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) — tahap autonomous, emisi, bahan api

    MARii perkenal Skim Pelabelan Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) — tahap autonomous, emisi, bahan api

    Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) kini dengan secara rasmi telah memperkenalkan Voluntary Next Generation Vehicle (NxGV) Labelling Scheme.

    Disifatkan sebagai satu usaha penting di bawah Dasar Automotif Negara 2020, ia disasarkan untuk merancakkan peralihan Malaysia ke arah mobiliti pintar dan hijau. Ia merupakan pelekat khas untuk kereta baru yang menyatakan nama model, tahap autonomous, kadar penggunaan minyak dan pembebasan karbon. Ia merupakan lanjutan daripada label EEV yang digunakan untuk kereta sejak 2020.

    MARii menjelaskan yang label NxGV ini diposisikan sebagai pematuhan sukarela dan kerangka inovatif, dan meletakkan tanda aras baru untuk kenderaan yang menepati kriteria maju bagi kecekapan tenaga, automasi (minimum Tahap 3) dan ketersambungan. Ia menyediakan kaedah berguna kepada OEM untuk membezakan teknologi mereka dalam pasaran yang semakin sengit, baik di sini mahu pun peringkat global.

    “Label NxGV ini lebih daripada sekadar lencana pematuhan, tetapi juga isyarat strategik untuk inovasi, kemapanan dan kepimpinan ASEAN. Di bawah kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, kami berbangga untuk menyelaraskan cita-cita mobiliti nasional dengan kepentingan serantau, dengan mewujudkan masa depan bersama yang mana kenderaan generasi akan datang akan memacu pertumbuhan melangkaui sempadan,” jelas, CEO MARii, Azrul Reza Aziz.

    “Pelabelan kenderaan hari ini perlu melangkaui sekadar emisi, ia perlu mewakili kepintaran, keterhubungan dan automasi. Skim Pelabelan NxGV Malaysia ini menetapkan standardnya. Ia mencerminkan kesungguhan kami untuk memposisikan Malaysia, dan juga ASEAN, di titik tengah peralihan global ke arah mobiliti mampan dan berteknologi tinggi,” jelas Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hanafi Sakri.

     
     
  • Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    Nampaknya situasi krisis kewangan Nissan kini semakin meruncing – jenama automotif Jepun berkenaan telah mencatatkan kerugian bersih 670.9 bilion yen (RM19.6 bilion) untuk Tahun Kewangan (TK) 2024 yang berakhir 31 Mac 2025. Untuk suku keempat tahun kewangan itu sahaja kerugian Nissan meningkat dari sembilan bilion yen (RM262.6 juta) pada suku sebelumnya kepada 676 bilion yen (RM19.7 bilion)

    Oleh itu di bawah pengurusan baharu yang kini diterajui oleh CEO baharu Ivan Espinosa, Nissan bakal membuat lebih banyak langkah pengurangan kos dengan sasaran bagi menjimatkan sebanyak 500 bilion yen (RM14.6 bilion) bagi membolehkan ia kembali mendapat untung pada tahun kewangan 2026.

    Antara langkah berkenaan adalah menghentikan 20,000 tenaga kerja yang akan dibuat antara TK24 hingga TK27, termasuk 9,000 tenaga kerja yang telah diumumkan sebelum ini. Ia meliputi jawatan terus, tidak terus dan juga kontrak dalam pembuatan, jualan, am dan pentadbiran dan juga penyelidikan dan pembangunan (R&D).

    Pengurangan tenaga kerja untuk pembuatan dijangka akan dibuat kerana Nissan turut akan menutup lebih banyak kilang, untuk mengurangkan fasiliti tersebut dari 17 kepada hanya 10 buah kilang sahaja. Nissan turut akan memperkemas kemudahan rangkaian kuasanya dan mengurangkan perbelanjaan modal, termasuk membatalkan pembinaan kilang bateri litium besi fosfat (LFP) yang dirancang di Kyushu, Jepun. Semua ini akan membolehkan pengurangan kos tetap yang disasarkan sebanyak 250 bilion yen (RM7.3 bilion).

    Nissan akan berhentikan 20,000 pekerja, tutup lebih banyak kilang selepas catat kerugian RM19.6 bilion

    250 bilion yen yang lain akan datang daripada pengurangan kos bervariasi melalui “mempercepatkan kejuruteraan dan kecekapan kos sambil melaksanakan model tadbir urus yang ketat,” dengan 300 pejabat transformasi merentas fungsi berdedikasi di bawah apa yang dipanggil ketua pegawai kos penghantaran (TdC) yang diberi kuasa untuk membuat keputusan mengurangkan kos.

    Pada masa yang sama, Nissan menghentikan sementara semua aktiviti produk lanjutan dan selepas TK26 dan mengalihkan 3,000 tenaga kerjanya ke arah inisiatif pengurangan kos. Ia juga akan menilai semula rantaian bekalannya, memesan lebih banyak bahagian daripada vendor yang lebih sedikit untuk menghapuskan ketidakcekapan.

    Selain itu Nissan juga akan memendekkan masa pembangunan sesebuah model baharu kepada hanya 37 bulan (dan setiap ‘model sama keluarga’ kepada hanya 30 bulan) untuk mengurangkan lagi kos operasinya. Ini akan memastikan tiada penangguhan pelancaran produk baharu, serta selari dengan pengurangan 70% kerumitan komponen dan mengurangkan jumlah platform dari 13 kepada hanya 7 pada TK35.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 3 sen seliter

    Harga minyak 15-21 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 3 sen seliter

    Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Mei 2025, harga runcit bagi petrol RON 97 diturunkan sebanyak 3 sen seliter, menjadi RM3.07 seliter berbanding RM3.10 seliter pada minggu lalu.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga diturunkan sebanyak 3 sen seliter iaitu kini RM2.77 seliter berbanding RM2.80 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Pemilik Proton Satria R3 berkumpul di Putrajaya raikan ulangtahun ke-20 bersama bekas ahli-ahli pasukan R3

    Pemilik Proton Satria R3 berkumpul di Putrajaya raikan ulangtahun ke-20 bersama bekas ahli-ahli pasukan R3

    Baru-baru ini masa depan sayap perlumbaan dan prestasi Proton iaitu Race.Rally.Research (R3) dikhabarkan tidak menentu, dan ia mungkin akan dijual oleh pembuat kereta nasional berkenaan. Ini memang perkembangan menyedihkan, namun ia tidak menghalang pemilik Proton Satria R3 untuk berkumpul hujung minggu lalu bagi meraikan ulangtahun ke-20 hot-hatch lagenda berkenaan.

    Satria R3 merupakan model lengkap pertama yang dihasilkan oleh Proton R3, membuktikan bahawa mereka bukan sahaja hebat sebagai pasukan lumba dan menjana keuntungan sebagai pengeluar peralatan prestasi aftermarket untuk Proton, malah berkemampuan untuk menghasilkan jentera prestasi dengan pengetahuan diperolehi dari litar yang boleh dibeli di bilik pameran serta sah digunakan di atas jalan raya.

    Sejumlah 10-unit Satria R3 berjaya dihimpunkan pada acara kali ini yang berlangsung di Putrajaya. Menurut Devan Gunaseelan, pemilik Satria R3 dari Ipoh yang menghimpunkan komuniti pemilik berkenaan, dari 150-unit yang keluar dari fasiliti R3 pada penghujung 2005 dan awal 2005 dahulu kini dia berjaya berhubung dengan kira-kira lebih 50 pemilik Satria R3 yang masih wujud.

    Manakala 10-unit yang hadir kali datang dengan pelbagai ‘karekter’ yang diberikan oleh pemilik masing-masing; ada yang masih standard seperti baru keluar kilang, ada yang telah diubahsuai untuk prestasi lebih berkuasa, malah ada juga yang telah menjadi sebuah kereta lumba sebenar. Namun semuanya masih mengekalkan warna hitam asal dengan jalur sisi merah yang dikenali sebagai ‘blood stripe’ untuk dikenali sebagai Satria R3 sebenar.

    Acara kali ini juga agak istimewa kerana ia dihadiri oleh beberapa ahli pasukan R3 antaranya bekas eksekutif pembangunan produk Proton R3 yang juga ketua projek pembangunan Satria R3 ini sendiri iaitu Faisal Asri, pelumba serta pakar pembangunan suspensi yang kini pemilik jenama suspensi Fawster iaitu Faidzil Alang, bekas prinsipal pasukan lumba R3 Gary Lee, pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) yang pernah bertugas sebagai ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing Suriya Sankaran dan jurutera kos BOM Fadhlan Zahari.

    Jadi pertemuan ini memberikan peluang untuk pemilik-pemilik Satria R3 berkenaan mengetahui lebih mendalam berkenaan jentera masing-masing dengan mendengar sendiri cerita bagaimana model tersebut dibangunkan termasuklah bagaimana kerangka Satria ini dipasang dengan proses cantuman dua kali lebih banyak dari kerangka Satria GTi, mengapa warna hitam dipilih sebagai warna badan dan kenapa ia digelar Incognito Black, bagaimana talaan suspensi dibuat dan ujian yang lakukan dan banyak lagi.

    Bagi mereka yang belum mengetahui, Satria R3 ini merupakan versi ‘Type R’ untuk Satria di mana kerangka badannya bukan sahaja lebih tegar, malah ia juga lebih ringan tanpa sebarang bahan penebat bunyi diberikan, membolehkan berat keseluruhan ditimbang hanya 995kg.

    Ia kemudiannya disumbat dengan enjin 4G93P 1.8 liter yang tala semula bagi menghasilkan kuasa 140 hp dan tork maksima 148 Nm, membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 8.6 saat. Ia juga menerima pelbagai perincian yang mengujakan seperti tempat duduk bucket Recaro SR4, roda stereng Momo Tuner, spoiler belakang gentian karbon dan banyak lagi. Untuk lebih mengetahui berkenaan Proton Satria R3 anda boleh baca pada PAUTAN INI.

    Proton Satria R3 dan juga beberapa model penuh R3 yang lain telah membuktikan kemampuan R3 – ia bukan hanya menjadi platform untuk peminat Proton bersorak di litar lumba dan SS rali di Malaysia serta peringkat antarabangsa, malah turut mampu untuk menjana keuntungan dengan pelbagai cara menerusi sukan bermotor dan juga budaya berkereta pemilik-pemiliknya.

    Platform dah ada, peminat juga dah lama tertunggu-tunggu. Tapi bila Proton dah mula bangkit semula dengan jualan yang memberangsangkan, jenama R3 seakan tidak penting. Mungkin Proton akan mula menjadi jenama yang bosan dan kehilangan ‘Fanboys’ sekiranya R3 benar-benar dijual selepas ini?

     
     
  • Zontes 703F tiba di Malaysia – harga bawah RM40k

    Zontes 703F tiba di Malaysia – harga bawah RM40k

    Selain 368D dan 368E, Zontes juga membawa sebuah model adventure, 703F ke Malaysia Autoshow 2025, dengan ia sudah boleh ditempah dengan harga yang dianggarkan tidak melebihi RM40k. Ini adalah model paling besar daripada Zontes sekarang dan ia datang dengan pelbagai kelengkapan dan teknologi.

    Bermula pada enjin, 703F dipacu oleh unit tiga silinder 699 cc DOHC, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan dengan quickshifter secara standard, mampu menghasilkan kuasa maksimum sehingga 97 hp pada 10,000 rpm dan tork 76 Nm pada 7,500 rpm. Dua mod tunggangan disediakan iaitu Comfort dan Sport.

    Demi menjadikan motosikal ini lebih sesuai dengan tunggangan lasak, ia dilengkapi dengan rim 21 inci di hadapan, dibalut tauar 90/90 dan 18 ini di belakang, dengan tayar 150/70. Suspensi juga boleh dilaras sepenuhnya untuk hadapan dan belakang, dengan unit yang dibekalkan oleh Marzocchi.

    Tugas menghentikan motosikal dijalankan oleh sistem brek cakera berkembar di hadapan, dan tunggal di belakang, dengan angkup jenama J.Juan (empat piston di hadapan). Tangki bahan api berkapasiti 22 liter dan berat keseluruhan motosikal ini adalah 236 kg.

    Pelbagai lagi kelengkapan disediakan pada 703F, termasuk skrin TFT 6.75 inci dengan sambungan bluetooth dan boleh memaparkan navigasi, bateri 12V lithium ion, perakam video hadapan dan belakang, penghadang angin larasan elektronik, sistem tanpa kunci, lampu LED projector automatik, lampu kabus LED, pemanas tangan, soket pengecas USB, kawalan cengkaman dan ABS dual-channel. Tinggi tempat duduk adalah 845 mm.

     
     
  • MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke mengesahkan pihaknya membuat keputusan untuk menilai semula laluan membabitkan jalan raya dan rel kereta api yang dilihat berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia, laporan Berita Harian.

    Katanya, kerajaan ketika ini berusaha melindungi hidupan liar supaya laluan dibina tidak memberi ancaman kepada haiwan itu dan pada masa sama melindungi pengguna pengangkutan kereta api dan jalan raya. Antara laluan sedang dilihat semula adalah rel kereta api di Gemas–Johor Bahru yang pernah mempunyai ancaman hidupan liar seperti gajah, tambahnya lagi.

    “MOT sudah pun mengambil langkah untuk menjaga keselamatan orang ramai serta melindungi hidupan liar termasuklah di projek-projek rel. Seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kita sudah mempunyai langkah-langkah mitigasi termasuklah laluan dan terowong yang dibina khas untuk pergerakan hidupan liar.

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    “Kita juga akan melihat perkara ini di laluan (kereta api) Gemas–Johor Bahru kerana terdapat insiden gajah melintas landasan di situ. Kita ambil serius perkara ini bukan hanya untuk melindungi hidupan liar tetapi nyawa manusia kerana kita tahu apa yang akan berlaku sekiranya gajah melintas ketika kereta api sedang laju,” katanya.

    Loke turut berkata, langkah berkenaan akan mendapat kerjasama daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

    Perkara ini semakin serius diperkatakan susulan kes kemalangan yang menyebabkan sekor ibu gajah kehilangan anaknya yang terperosok di bawah lori dalam kejadian di Gerik, kelmarin. Aksi ibu gajah yang tidak mahu beredar dari tepi lori berkenaan mengundang simpati dan kesedihan ramai netizen yang mendesak supaya pihak kerajaan agar mengambil langkah yang lebih progresif dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di jalan raya khususnya di lokasi lintasan haiwan liar.

    MOT nilai semula laluan babitkan jalan raya dan rel yang berisiko tinggi untuk hidupan liar dan manusia

    kelmarin, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkongsi kenyataan di Facebook rasminya bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Perhilitan telah memasang lampu jalan di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar di sekitar Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor, yang melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

    Semalam, Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, pihaknya turut mengusahakan beberapa inisiatif termasuklah pembinaan wildlife crossings (laluan lintasan hidupan liar) seperti eco-viaducts dan underpass tunnels di lokasi-lokasi panas (hotspot) yang dikenal pasti sebagai laluan migrasi gajah dan hidupan liar lain termasuk di Lebuhraya WCE, LPT2 dan beberapa lagi.

     
     
  • 20 jenama EV terlaris pada April 2025 — BYD dahului Proton; Denza atasi Xpeng; Dongfeng masuk senarai

    20 jenama EV terlaris pada April 2025 — BYD dahului Proton; Denza atasi Xpeng; Dongfeng masuk senarai

    Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh JPJ, BYD menjadi jenama EV paling laris di Malaysia bagi April 2025. Dengan semua model EV yang dijual ketika ini, BYD mencatatkan sebanyak 1,048 pendaftaran bulan lalu, menjadikan jumlah year-to-date (YTD) setakat ini kepada 3,207 unit.

    Di tempat kedua ialah Proton dengan YTD sebanyak 2,537 unit setakat hujung April 2024 — ini merupakan satu perkembangan yang menarik memandangkan Proton hanya mempunyai sebuah model EV ketika ini, eMas 7, dengan jualan sebanyak 799 unit sepanjang April.

    Jenama EV ketiga terlaris di Malaysia untuk April pula ialah Denza (157 unit untuk April, 395 unit YTD), dan diikut rapat oleh Xpeng (153 unit, 380 unit YTD), BMW (119 unit, 587 unit YTD) dan Tesla (108 unit, 735 YTD) — semua ini jenama yang berjaya mencatat angka jualan tiga digit.

    Seterusnya adalah Zeekr (91 unit, 360 unit YTD), diikuti Chery (45 unit, 97 unit YTD) dan Porsche (45 unit, 208 YTD) dengan angka Porsche termasuk kereta recon yang dikira oleh JPJ.

    Di tangga ke-10 ialah GWM (44 unit, 145 YTD) yang berada di depan Mercedes-Benz (40 unit, 129 unit YTD) di tempat ke-11. Berikutnya ada MG (37 unit, 192 unit YTD) di tempat ke-12, Volvo (37 unit, 122 unit YTD) di tempat ke-13, Hyundai (36 unit, 100 unit YTD) di tempat ke-14, MINI (34 unit, 154 unit YTD) di tempat ke-15, Dongfeng (24 unit, 45 unit YTD) di tempat ke-16, Neta (17 unit, 50 unit YTD) di tempat ke-17 dan smart (17 unit, 101 YTD) di tempat ke-18.

     
     
  • Malaysia kian padat dengan kenderaan, 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat 2024 – Zahid Hamidi

    Malaysia kian padat dengan kenderaan, 38.7 juta kenderaan berdaftar setakat 2024 – Zahid Hamidi

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia kini berdepan realiti kepadatan kenderaan di dalam negara yang menyaksikan sehingga hujung 2024, terdapat 38.7 juta kenderaan berdaftar di Malaysia bersamaan 727 kenderaan bagi setiap 1,000 penduduk.

    Menurut beliau, perkara ini melebihi jumlah penduduk negara yang hanya 34.1 juta dan angka ini terus meningkat didorong oleh jumlah jualan kenderaan baharu (TIV) yang mencecah 816,747 unit iaitu tertinggi dalam sejarah negara.

    “Trend ini bukan sahaja membebankan infrastruktur sedia ada, malah meningkatkan risiko keselamatan jalan raya serta menjejaskan kualiti hidup rakyat,” katanya.

    Adakah atas faktor kemampuan memiliki kenderaan persendirian, mendorong rakyat untuk kurang menggunakan pengangkutan awam sedia ada walau pun sistem jaringannya kian meluas?

    Ini kerana, menurut beliau kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia masih rendah iaitu sekitar 25%, jauh berbeza jika dibandingkan dengan beberapa negara maju.

    “Saya sentiasa percaya bahawa sistem pengangkutan awam yang cekap bukan sahaja dapat melancarkan pergerakan harian rakyat, malah turut menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial, serta mobiliti yang inklusif di bandar mahupun di desa.

    “Namun, kadar penggunaan pengangkutan awam di negara kita masih rendah, sekitar 25%, jauh berbeza berbanding Singapura (67%), Tokyo (73%) dan Seoul (63%). Perubahan ini memerlukan anjakan sikap yang hanya boleh dicapai melalui gabungan antara sistem yang boleh dipercayai dan kempen kesedaran yang menyeluruh,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Walau bagaimana pun, beliau yakin dengan gerak kerja berterusan oleh agensi seperti syarikat penyedia pengangkutan awam Prasarana dan kerjasama semua pemegang taruh, mampu membentuk masa depan pengangkutan awam negara yang lebih mesra rakyat, lestari dan efisien.

    “Insya-Allah, kita akan keluar daripada belenggu kesesakan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025