Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • GWM Tank 500 kini cecah 150 tempahan di Malaysia

    GWM Tank 500 kini cecah 150 tempahan di Malaysia

    Dilancarkan minggu lalu ketika Malaysia Autoshow 2025, GWM Tank 500 HEV kini sudah menerima sebanyak 150 tempahah di Malaysia sejak 14 April lalu. Ini angka yang besar untuk sebuah kenderaan berharga RM329k.

    Diimport CBU sepenuhnya dari Rayong, Thailand, SUV tujuh-tempat duduk hibrid 4×4 mewah ini mempunyai kuasa sebanyak 244 PS/380 Nm yang dijana daripada enjin 2.0 liter turbo empat silinder petrol yang digunakan. Ini dibantu oleh sebuah motor elektrik dengan janaan 106 PS/268 Nm dan kuasanya disalurkan oleh transmisi automatik sembilan-kelajuan dengan sistem pacuan semua roda. Output maksimum yang dihasilkan ialah 346 PS dan 648 Nm.

    Menerapkan binaan ladder frame, kekunci differential elektronik depan dan belakang, pengunci sentral mekanikal, kawalan melayar off-road, fungsi pengesanan kedalaman air, 11 mod pemanduan dan tank turn, ia merupakan sebuah SUV off-road dengan sentuhan kemewahan di dalam — balutan kulit Nappa, panel instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, kerusi barisan ketiga larasan lipatan berkuasa serta 12 pembesar suara Infinity.

    Perincian lanjut tentang model ini di sini.

     
     
  • smart #1 Brabus Limited Edition dibuka tempahan di Malaysia — 35 mm lebih rendah dengan bodykit

    smart #1 Brabus Limited Edition dibuka tempahan di Malaysia — 35 mm lebih rendah dengan bodykit

    smart #1 kini ditampilkan dalam versi Brabus Limited Edition dan mula dibuka untuk tempahan di Malaysia, dengan harga dijangka akan diumumkan pada Jun nanti.

    Dihasilkan dengan kerjasama Brabus Kuala Lumpur, kereta ini antara lain menerima bodykit yang terdiri daripada spoiler depan dan belakang, kemasan wajah depan serta diffuser belakang. Spring sport juga menjadikannya 35 mm lebih rendah, dengan rim 19-inci 10-jejari Brabus Monoblock Z. Di dalam ada kelainan kemasan, misalnya jahitan merah di kerusi, scuff plate dengan pencahayaan Brabus serta pedal aluminium.

    smart #1 Brabus Limited Edition dibuka tempahan di Malaysia — 35 mm lebih rendah dengan bodykit

    Dilancarkan di Malaysia pada November 2023 bersama varian Pro dan Premium, versi Brabus #1 ini yang dijual dengan harga RM249k mempunyai dua motor untuk pacuan AWD yang boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, dengan janaan 428 PS dan 543 Nm tork. Bateri NMC 66 kWh pula memberikan jarak 400 km WLTP.

     
     
  • Rapid KL On-Demand diperluas ke 6 zon baharu mulai 15 Mei – termasuk Puncak Alam, Setia Alam, Rawang

    Rapid KL On-Demand diperluas ke 6 zon baharu mulai 15 Mei – termasuk Puncak Alam, Setia Alam, Rawang

    Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali bas Rapid KL dan bas perantara MRT bakal melancarkan enam lagi zon operasi baharu bagi perkhidmatan van Rapid KL On-Demand bermula Khamis ini (15 Mei 2025).

    Enam zon baharu terbabit ialah Sg.Way-LRT Taman Paramount, KTM Batu Caves-Hab Wira Damai dan Country Homes Rawang-KTM Rawang yang masing-masing menyediakan tiga buah van. Lokasi baharu lain termasuk KTM Rawang-Taman Garing, UiTM Puncak Alam-Puncak Alam dan Alam Budiman/Setia Alam-Setia City Mall yang masing-masing menyediakan dua buah van. Tempah tempat duduk untuk Rapid KL On-Demand boleh dibuat menerusi aplikasi dalam talian MOBI.

    “Zon kali ini lebih tertumpu kepada kawasan yang mempunyai capaian pengangkutan awam yang rendah bagi membolehkan penduduk sekitar mendapat manfaat dan meningkatkan pengalaman penumpang dalam merancang perjalanan serta capaian batuan pertama dan akhir yang lebih optimum. Kami akan terus meluaskan zon perkhidmatan ini secara berperingkat sehingga penghujung Jun 2025,” kata Ku Jamil Zakaria, Pemangku CEO Rapid Bus.

    Sehingga kini, purata harian mencecah 3,722 penumpang direkodkan di 41 zon di Lembah Klang yang menikmati manfaat perkhidmatan van Rapid KL On-Demand ini terutama sekali di kawasan perumahan yang tiada capaian perkhidmatan bas.

    Menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari dari jam 6 pagi sehingga 11.30 malam, dengan tambang promosi RM1.00 untuk setiap perjalanan. Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Kad Touch ‘n Go, kad debit atau kredit, kad Konsesi MyRapid, pas Perjalanan OKU Smile dan pas Perjalanan Tanpa Had (My50, MyCity & Pas Famili).

     
     
  • UMW Toyota jual 7,932 unit kenderaan pada April 2025

    UMW Toyota jual 7,932 unit kenderaan pada April 2025

    Bagi bulan April 2025, UMW Toyota (UMWT) umumkan telah menjual sebanyak 7,932 unit kenderaan, dan menjadikan jumlah jualan tahunan setakat ini (YTD) syarikat itu kepada 27,876 unit.

    Sebelum ini, UMWT mendedahkan yang YTD bagi dua bulan pertama 2025 syarikat itu adalah sebanyak 12,015 unit, dengan sejumlah 6,632 unit dijual pada Februari, dan bermakna sebanyak 5,383 unit kenderaan telah diserahkan pada Januari.

    Tiada makluman tentang angka bagi bulan Mac, tetapi melalui kira-kira ringkas akan mencadangkan bahawa syarikat itu telah menjual sebanyak 7,929 unit pada bulan ketiga tahun ini (YTD terkini ditolak dengan jualan Jan, Feb dan April). Ini bermaksud, angka 7,932 unit yang dicatat untuk April hanya naik tiga unit berbanding Mac.

    Berbanding April tahun lalu, jumlah jualan April tahun ini adalah 8% lebih tinggi. Bagaimanapun YTD keseluruhan bagi empat bulan pertama tahun ini adalah 10.4% kurang berbanding tempoh sama tahun lalu.

     
     
  • KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

    KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

    Cubaan seekor ibu gajah mengalihkan sebuah lori yang merempuh anaknya di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak pada awal pagi 11 Mei lalu menyentuh perasaan orang ramai. Video yang memaparkan ibu gajah berkenaan yang tidak berganjak dari lokasi kemalangan lebih lima jam banyak dikongsikan menerusi laman media sosial. Difahamkan, kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu membabitkan sebuah lori muatan ayam dan seekor anak gajah yang ditemui terperosok di bawah bahagian hadapan lori terbabit.

    Menurut laporan beberapa akhbar, insiden itu disusuli kenyataan daripada pihak pemandu lori yang mendakwa anak gajah berkenaan ‘tiba-tiba melintas’ dan ia mencetuskan tanda tanya terhadap kelajuan lori berkenaan.

    Malah ramai netizen turut mendesak pihak kerajaan untuk memberikan perhatian yang lebih serius terhadap perkara ini memandangkan insiden tersebut bukanlah pertama kali dilaporkan berlaku di negara kita. Sudah banyak nyawa haiwan liar termasuk harimau kumbang terkorban akibat dilanggar oleh kenderaan.

    Kelmarin, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah berkongsi kenyataan di Facebook rasminya bahawa pihaknya telah bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang lampu jalan di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar di sekitar Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Johor, yang melibatkan kos sebanyak RM4 juta.

    Laporan Berita Harian pula menyebut, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan juga akan memasang lebih banyak papan tanda diod pemancar cahaya (LED) gajah bagi memberi amaran tentang kehadiran hidupan liar itu seterusnya berfungsi sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

    Menurut beliau, sebanyak 2,361 kematian membabitkan pelbagai spesies haiwan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2020 hingga 11 Mei 2025, membabitkan kemalangan di jalan raya. Di mana Pahang merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 765 kes diikuti, Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187 kes). Katanya, sebanyak lapan gajah direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan dalam tempoh sama.

    Ada juga aktivis menegaskan bahawa semua pemandu haruslah tidak memandu laju dan sentiasa berwaspada apabila melalui lokasi yang diketahui sebagai laluan haiwan liar.

    “Keselamatan jalan raya bukan hanya tentang melindungi nyawa manusia, tetapi juga tanggungjawab kita terhadap alam sekitar dan kelestarian hidupan liar. Insiden seumpama ini pernah dilaporkan sebelum ini, antaranya di Gerik, Hulu Terengganu dan Rompin, menandakan bahawa laluan haiwan liar masih belum dilindungi dengan baik daripada risiko pertembungan dengan kenderaan berat,” kata aktivis jalan raya, Datuk Mohammad Hisham Shafe seperrti yang dilaporkan oleh Harian Metro.

    KKR pasang lampu di 39 lokasi hotspot lintasan gajah liar – kos RM4j; lampu LED diguna pada papan amaran

    Aktivis kebajikan haiwan Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, lintasan hidupan liar adalah infrastruktur penting yang boleh membantu mengurangkan insiden tragis haiwan dilanggar oleh kenderaan semasa melintas jalan untuk mencari makanan. Beliau menggesa tindakan segera oleh pihak berkuasa bagi melindungi kedua-duanya, hidupan liar dan pengguna jalan raya, antaranya dengan membina jejantas atau laluan bawah tanah di kawasan yang dikenal pasti terdapat aktiviti hidupan liar, terutamanya berhampiran kawasan hutan, yang boleh mengurangkan kemalangan dengan ketara, laporan Harian Metro.

    Tambah Lee pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan untuk memasang pagar di sepanjang lebuh raya bagi menghalakan haiwan ke tempat lintasan yang selamat dan mengelakkan mereka daripada berkeliaran di jalan raya, selain memasang papan tanda yang jelas menunjukkan kawasan itu sering dilalui hidupan liar, disertai dengan pengurangan had laju.

    Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia pula menggesa tindakan segera dan nyata diambil bagi mengelakkan lebih banyak kematian hidupan liar, termasuk membina jejambat, laluan bawah tanah khas dan bonggol jalan di lokasi persimpangan utama haiwan melintas. Di mana langkah itu dilihat sebagai intervensi kritikal yang mampu memaksa pemandu memperlahankan kenderaan serta menyelamatkan banyak nyawa selain meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.

    paultan.org menyeru kepada semua pengguna jalan raya terutamanya yang melalui kawasan lintasan haiwan liar ini supaya elakkan memandu laju dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Haiwan juga seperti kita, ada hak untuk hidup tenang di muka bumi ini. Apatah lagi kita yang ‘mengambil’ lokasi habitat mereka untuk dibangunkan dan dibina jalan raya. Jika anda bukan pencinta haiwan, cukuplah sekadar mempunyai sifat kemanusiaan dan ehsan terhadap makhluk ciptaan Tuhan ini.

     
     
  • Jaecoo Malaysia kini telah dijenamakan semula sebagai Omoda ꟾ Jaecoo Malaysia

    Jaecoo Malaysia kini telah dijenamakan semula sebagai Omoda ꟾ Jaecoo Malaysia

    Jaecoo Malaysia telah mengumumkan ia kini telah dijenamakan semula dan dikenali sebagai Omoda | Jaecoo Malaysia. Langkah itu dilakukan bersempena dengan ulang tahun pertama syarikat itu dan sejajar dengan strategi global Chery yang menyaksikan beberapa pasaran menggunapakai jenama ‘Omoda | Jaecoo’.

    “Pembaharuan jenama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap pasaran dan peluang pertumbuhan di sini. Sebagai sebuah jenama dinamik yang memahami kecenderungan dan keperluan pengguna, kami bertekad untuk menambah baik cara orang ramai menikmati pengalaman bersama jenama OMODA ꟾ JAECOO.

    “Berbekalkan barisan kenderaan kami yang canggih dan berprestasi tinggi, kami berusaha membawakan pengalaman gaya hidup khas untuk pemilik SUV kegunaan lasak premium keluaran kami di Malaysia,” kata Naib Presiden OMODA ꟾ JAECOO, Emily Lek.

    Pada tahun lalu, lebih 12,000 kenderaan Jaecoo telah didaftarkan dan rangkaian jenama itu berkembang kepada 45 pengedar di seluruh negara. Syarikat itu turut membawa Sistem Super Hibrid (SHS) ke Malaysia dengan pelancaran J7 PHEV pada Februari tahun ini.

    Pengumuman penjenamaan baharu ini dibuat menerusi acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) semalam, dengan syarikat itu turut memperkenalkan Omoda C7, crossover segmen-C yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan.

     
     
  • Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

    Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

    Malaysia dan pasaran ASEAN lain seperti Thailand sudahpun menerima Toyota Corolla Cross facelift sejak tahun lalu. Namun untuk Corolla Cross GR Sport, rupa luaran versi lebih sporty berkenaan kelihatan masih lagi sama dengan sebelumnya. Terbaharu, Toyota Corolla Cross facelift 2026 didedahkan pula di Eropah. Bagi versi biasa, rupa luaran yang ditampilkan adalah hampir sama dengan yang kita dapat di sini. Tetapi untuk varian GR Sport, ia tampil dengan rupa baharu yang jauh berbeza.

    Sebenarnya pasaran Eropah baru sahaja ditawarkan dengan varian GR Sport menerusi versi facelift terkini ini. Rupa lebih sporty varian ini disumbangkan pada bampar hadapan yang kelihatan diinspirasikan dari rekaan bampar hadapan hot-hatch Toyota GR Corolla, bersama gril atas yang nipis dan diberikan logo Toyota dalam kemasan hitam pada bahagian lebih tinggi.

    Lampu hadapan varian GR Sport ini masih sama dengan varian biasa pasaran Eropah yang menggunakan teknologi lampu tinggi adaptif, berlainan dari lampu untuk model di Asia. Begitu juga dengan lampu belakang yang nampak berbeza terutamanya pada bahagian grafik LED.

    Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

    Model GR Sport ini juga diberikan set rim aloi 19-inci berbanding 18-inci untuk varian tertinggi pada versi biasa. Ia turut ditawarkan dengan warna badan eksklusif dua tona Storm Grey bersama bumbung berwarna hitam berkilat.

    Sentuhan prestasi yang diberikan pada Corolla Cross GR Sport ini termasuk talaan suspensi yang direndahkan 10 mm, stereng ditala semula dan diberikan pedal penukar gear yang “menyumbang kepada pengalaman pemanduan yang terhubung dan mengujakan”, mod pemanduan Sport baharu yang memberikan respon pecutan lebih cepat dengan kelajuan pepura yang dinaikkan serta rasa brek enjin yang dioptimakan dan juga mod Snow Extra bagi memberikan pengendalian pada permukaan bersalji yang lebih baik.

    Di Eropah Corolla Cross ditawarkan dalam dua varian unit rangkaian kuasa hibrid, iaitu varian asas Hybrid 140 yang menampilkan enjin petrol 1.8 liter empat-slinder dengan motor elektrik menghasilkan kuasa 140 PS, dan juga varian Hybrid 200 dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder bersama motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 200 PS. Tiada talaan kuasa tambahan untuk Corolla Cross GR Sport, tetapi ia hanya ditawarkan dalam versi pacuan semua roda i-AWD.

    Toyota Corolla Cross GR Sport facelift 2026 didedah di Eropah – bampar inspirasi GR Corolla, lebih sporty

    Sistem tersebut menampilkan motor elektrik bagi memacu roda belakang. Dengan mod Snow Extra yang disebut tadi, sistem i-AWD ini akan memastikan Corolla Cross ini dapat dikawal ketika memecut, nyah pecut, membrek, mengambil selekoh, menukar lorong dengan kawalan bantuan dari motor pada gandar belakang berkenaan walaupun dalam keadaan salji yang teruk.

    Corolla Cross facelift pasaran Eropah ini juga menampilkan sedikit penyegaran pada bahagian kabin. Paling jelas kelihatan adalah pada bahagian konsol tengah yang direka lebih lebar memberikan ruang storan untuk telefon pintar yang lebih besar dan juga tombol gear yang direka semula.

    Ia juga diberikan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci baharu, skrin infotainmen Toyota Smart Connect baharu yang lebih besar bersaiz 10.5-inci, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta pengecas tanpa wayar yang lebih pantas standard untuk semua varian.

    Bagi varian lebih tinggi, Corolla Cross facelift ini diberikan lampu suasana kabin yang ditingkat taraf, dan juga roda stereng serta tempat duduk dengan pemanas. Manakala bagi varian GR Sport, ia diberikan tempat duduk dan roda stereng GR, bersama upholsteri Brin.Naub iaitu kulit sintetik seakan sued dengan serlahan benang merah.

    Toyota Corolla Cross facelift ini akan mula dijual di Eropah pada musim panas 2025, manakala varian GR Sport pula akan mula dijual bermula luruh. Model facelift yang sama dengan varian GR Sport turut disahkan akan dilancarkan di Australia pada separa kedua tahun ini.

    GALERI: Toyota Corolla Cross GR Sport pasaran Eropah 2026

    GALERI: Toyota Corolla Cross facelift pasaran Eropah 2026

     
     
  • MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    Sempena Malaysia Autoshow 2025, MINI Malaysia memperkenalkan empat model baru, termasuk tiga daripadanya versi John Cooper Works. Harga dan spesifikasi bagi JCW 3 Door petrol, JCW 3 Door elektrik, JCW Aceman dan Cooper Convertible sudah didedahkan minggu lalu, dan ini merupakan penampilan fizikal pertama semua model terbabit di Malaysia.

    Bagi tiga model JCW, harganya masing-masing adalah seperti berikut: 3 Door petrol (RM330,988); 3 Door elektrik (RM225,188); dan Aceman (RM241,188). Semua harga di atas adalah tidak termasuk insurans, dan diberikan sekali dengan pakej jaminan kenderaan empat tahun tanpa had batuan serta servis percuma empat tahun atau 60,000 km untuk model petrol dan empat tahun tanpa had batuan untuk model elektrik.

    Jika tidak mahu pakej ini, harga kenderaan akan dikurangkan masing-masing sebanyak RM12,100, RM6,300 dan RM7,300. Jaminan bateri untuk dua model JCW ini adalah lapan tahun atau 160,000 km.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    Model 3 Door petrol JCW menjadi satu-satunya yang mendapat suspensi adaptif, spoiler bumbung berbentuk M, muncung ekzos di tengah serta antena berbatang tegak (dua model lagi menggunakan unit seperti sirip). Kemudiannya, dua model hatch JCW ini diberikan rim 18 inci Lap Spoke, manakala model Aceman JCW dibesarkan menjadi 19 inci (rekaan masih sama).

    Menggerakkan model petrol hatch adalah enjin empat-silinder 2.0 liter turbo serta transmisi DCT tujuh kelajuan, yang menghasilkan kuasa 231 PS/380 Nm, dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Model EV pula menggunakan bateri 54.2 kWh untuk menggerakkan motor elektrik 258 PS/350 Nm, dan mampu mencapai kelajuan maksimum 200 km/j dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat (3 Door) dan 6.4 saat (Aceman). Semua model ini menggunakan pacuan roda hadapan.

    Apabila menggunakan pengecas DC 95 kW, tahap bateri dua model EV JCW ini boleh naik 10-80% dalam masa 30 minit (AC 11 kW mengambil masa 5 jam 15 minit untuk 0-100%), dan apabila baterinya penuh, boleh memberikan jarak hingga 371 km untuk hatch dan 355 km untuk SUV.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    Konsep warna hitam dan merah digunakan secara menyeluruh di bahagian dalam, dengan tempat duduk sport khas JCW dibalut kulit sintetik hitam dengan gabungan fabrik pada bahagian bahu dan jahitan merah menaikkan serinya. Pada model EV, tempat duduknya didatangkan dengan fungsi mengurut, pelarasan elektrik dan memori, sementara di bahagian bumbung, selain dilengkapi kaca panoramik, juga mempunyai lampu suasana.

    Roda stereng juga adalah unit khas JCW, dengan jahitan merah, pedal penukar serta cabang tengah di bahagian bawah yang diperbuat daripada fabrik, manakala skrin MINI Interaction Unit di bahagian tengah mempunyai mod khas JCW yang boleh menunjukkan data prestasi seperti laju, tork, penghasilan semula kuasa dalam kW dan tarikan G.

    Konsol tengah khas JCW menggunakan gabungan fabrik warna hitam, tali pendakap warna merah serta kemasan warna perak. Turut diberikan secara standard adalah MINI Navigation AR, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    Bagi aspek keselamatan, semua model JCW ini dilengkapi AEB, ACC dengan stop and go, Steering and Lane Control Assistant, Lane Change Warning dengan Active Lane Return, Lane Departure Warning dengan Active Steering Intervention, Evasion Assistant, Rear-Cross Traffic Warning dengan fungsi membrek, Rear-end Collision Prevention dan amaran keluar.

    Turut disediakan adalah bantuan parkir tepi dan menegak, kamera undur dengan pandangan panoramik, bantuan mengundur sehingga 50 meter, pemerhati parkir, pandangan 3D, perakam video pemanduan serta perakam video anti kecurian.

    MINI JCW 3 Door petrol dan elektrik, JCW Aceman, Cooper Convertible tampil di Malaysia Autoshow 2025

    Tidak ketinggalan model Cooper Convertible dengan harga RM318,888, yang menjana 204 PS/300 Nm dari enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan DCT tujuh-kelajuan yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai laju maksimum 237 km/j. Ia hadir dengan rim 18-inci Night Flash dua-tona, serta bumbung fabrik yang boleh dibuka dalam 18 saat dalam kelajuan hingga 30 km/j dan ditutup dalam masa 15 saat.

    Ruang dalamannya ringkas, menampilkan papan pemuka fabrik termasuk untuk jejari bawah sterengnya. Di bawah MINI Interaction Unit di tengah ada sebuah Toggle Bar baru yang menawarkan capaian fizikal langsung kepada fungsi yang kerap digunakan — seperti brek parkir, pemilihan gear, suis Start/Stop, Experience Modes dan kawalan volume.

    Datang dalam pilihan warna Copper Grey, Sunny Side Yellow atau Ocean Wave Green, Cooper Convertible turut menerima MINI Navigation AR, cermin anti-silau, pengecasan tanpa wayar, 12-pembesar suara Harman Kardon, parkir automatik sisi atau undur, perakam pemanduan dan perakam anti-kecurian serta capaian ke aplikasi telefon MINI.

    MINI JCW 3 Door petrol

    MINI JCW 3 Door EV

    MINI JCW Aceman

    MINI Cooper Convertible

     
     
  • Vespa Sprint Tech 150 2025 tiba di Malaysia – RM23k

    Vespa Sprint Tech 150 2025 tiba di Malaysia – RM23k

    Vespa melancarkan Sprint Tech 150 2025 untuk pasaran semasa Malaysia Auto Show (MAS) 2025, dengan ia dijual pada harga RM22,900 tidak termasuk insurans. Ini adalah model keempat bagi Sprint, selepas Sprint biasa, Sprint S dan Sprint S TFT.

    Membezakan Sprint Tech ini dengan Sprint yang lain adalah pada bahagian teknologi, di mana skrin TFT lima incinya boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Vespa MIA, seterusnya memaparkan pelbagai informasi tambahan seperti notifikasi panggilan dan mesej serta navigasi (turn-by-turn).

    Kemudiannya, ia tampil dengan pilihan warna hitam atau kelabu, dengan kemasan hijau terang di bahagian tepinya dan ditambah dengan lampu yang memancarkan cahaya kepada peletak kaki apabila pemilik menekan fungsi bike finder pada kunci atau memulakan enjinnya.

    Untuk enjin, Sprint Tech 150 masih menggunakan unit satu silinder empat strok i-GET 155 cc suntikan bahan api, menghasilkan kuasa 12 hp pada 7,250 rpm dan 12.7 Nm tork pada 5,750 rpm. Tangki bahan api berkapasiti lapan liter.

    Sprint Tech 150 menggunakan rim 12 inci di hadapan dan belakang, dipegang oleh masing-masing penyerap hidraulik dengan lengan ayun tunggal di hadapan dan satu penyerap hidraulik di belakang. Hanya brek hadapan menggunakan unit cakera, dengan sistem ABS, manakala belakang menggunakan brek dram.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk lampu LED, sistem tanpa kunci serta soket pengecas USB. Seperti biasa, pemilik boleh mengubah suai skuter ini dengan pilihan pelbagai aksesori daripada katalog Vespa.

     
     
  • GAC Aion Hyptec HT RHD ditunjuk — dua varian, pelancaran di Malaysia dijangka pada Q3 2025

    GAC Aion Hyptec HT RHD ditunjuk — dua varian, pelancaran di Malaysia dijangka pada Q3 2025

    Mei tahun lalu, SUV elektrik dengan pintu ‘sayap’ GAC Aion Hyptec HT pernah ditunjukkan di Malaysia dalam versi pemanduan sebelah kiri dan dikenali sebagai Hyper HT. Kini, dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD), dan dengan nama rasmi Aion Hyptec HT, ia semakin menghampiri pengenalan rasminya di sini. Pengedarnya, Warisan Tan Chong Automotif juga telah mengesahkan bahawa model ini akan dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

    Belum ada perincian spesifikasi Malaysia yang dikongsikan setakat ini. Namun, jika dirujuk kepada model sama yang dijual di Thailand, EV crossover/SUV ini menggunakan sebuah motor di belakang yang menjana 340 PS dan 430 Nm, membolehkan kereta ini memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat dan mencapai laju maksimum 183 km/j.

    GAC Aion Hyptec HT RHD ditunjuk — dua varian, pelancaran di Malaysia dijangka pada Q3 2025

    Mendapatkan tenaganya daripada bateri LFP 83.3 kWh, pengecasan mampu menampung 280 kW DC, yang membolehkan tahap 10%-70% dalam masa 15 minit, sementara pengecasan AC kekal dengan maksimum 11 kW. Ada juga fungsi vehicle-to-load (V2L) dengan kapasiti hingga 3.3 kW.

    Di pasaran lain, ada juga ditawarkan versi lain: motor tunggal dengan janaan 245 PS/355 Nm, yang menggunakan bateri sama ada 70 kWh atau 72.7 kWh dengan masing-masing memberikan jarak CLTC 550 km dan 600 km. Pek bateri yang lebih besar juga ada, dengan 99.5 kWh yang memberikan jarak 825 km CLTC.

    Penawaran varian di Malaysia juga akan sama dengan Thailand: Luxury dan Premium. Di Malaysia, sistem janaan yang ditawarkan juga sama, dan varian akan dibezakan dengan jenis pintu belakang (bukaan ‘sayap’ atau biasa) serta kelengkapan ruang dalaman yang dipilih, sama seperti di Thailand dan disahkan sendiri oleh WTC Automotif.

    GAC Aion Hyptec HT RHD ditunjuk — dua varian, pelancaran di Malaysia dijangka pada Q3 2025

    Di dalam, panel instrumen digital 8.8-inci terletak lebih tinggi daripada stereng, sementara skrin sentuh paparan utama 14.6-inci terletak di tengah papan pemuka. Kereta dengan spesifikasi Thailand menggunakan kerusi balutan kulit Nappa dengan fungsi urutan di depan, dengan mod VIP dan tidur untuk kerusi belakang, serta sistem bunyi dengan Dolby Atmos 22-pembesar suara, serta bumbung panoramik.

    Di Thailand, GAC Aion Hyptec HT dilancarkan dengan harga permulaan 1,449,000 baht (RM188,839); ia berada dalam kelompok harga yang sama dengan Tesla Model Y, serta Xpeng G6 (RM165k di Malaysia).

    GAC Auon Hyptec HT Luxury

    GAC Aion Hyptec HT Premium

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di MAS — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di MAS — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition telah membuat penampilan umumnya di Malaysia Autoshow 2025 yang sedang berlangsung, disamping Arteon Wolfsburg Edition. Ditawarkan dalam dua varian, Elegance dan R-Line 4Motion, model SUV CKD ini diberikan beberapa kemaskini serta tambahan kelengkapan istimewa.

    Varian Elegance Wolfsburg Edition dijual dengan harga RM210,990 atau RM211,590 jika mengambil kira kos atas jalan dan belum termasuk insurans.

    Antara penambahbaikan yang dibuat untuk Wolfsburg Edition termasuklah lencana Wolfsburg di tiang B, dashcam Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 (UTR2.0) depan dan belakang, penutup tiub tayar Volkswagen serta kotak pemilik yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, sijil keaslian dan alas kaki Wolfsburg Edition.

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di MAS — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Kedua-dua varian juga datang dengan pelindung bucu (termasuk untuk bampar depan), talam but polypropylene, ruang letak dan cangkuk yang ada di belakang kerusi depan serta pedal sport aluminium (Elegance sahaja).

    Dengan harga ini, Elegance Wolfsburg Edition RM5,000 lebih mahal berbanding Elegance biasa, tetapi dengan harga pengenalan yang ditawarkan, harga jualannya diturunkan sebanyak RM30,000 menjadi RM180,990, atau RM181,590 atas jalan belum termasuk insurans.

    Bagi varian R-Line 4Motion Wolfsburg Edition, harga biasa ialah RM263,990 atau RM265,074 atas jalan belum termasuk insurans. Harga ini juga RM5,000 lebih mahal berbanding R-Line 4Motion standard. Namun, dengan harga pengenalan, ia diturunkan sebanyak RM20,000 menjadi RM243,990 atau RM245,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di MAS — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Dibandingkan dengan varian biasa Tiguan Allspace, Wolfsburg Edition ini lebih murah. Sebagai konteks, Elegance biasa dijual dengan harga RM205,990 atau RM206,590 atas jalan belum termasuk insurans, sementara untuk R-Line 4Motion dengan harga RM258,990 atau RM260,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Sama juga seperti Arteon Wolfsburg Edition dan Golf GTI Black Edition, Volkswagen Assurance Package (VAP) kini diperkemas untuk Tiguan Allspace Wolfsburg Edition. Ia kekal ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan lima-tahun, tetapi pakej selenggara telah dinaikkan menjadi tujuh tahun atau 105,000 km (yang mana dulu) daripada lima-tahun/75,000 km.

    Selain perubahan tersebut, spesifikasi lain kekal sama seperti Tiguan Allspace Standard. Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear klac berkembar basah enam-kelajuan.

    R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

     
     
  • JPJ eBid: APA dan SJM bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Perak dan Sabah ini bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Perak, APA dibuka bidaannya bermula 11 Mei. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 15 Mei. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 16 Mei 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SJM, bakal dibuka bidaan mulai 15 Mei. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 Mei, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Mei 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Royal Enfield Classic 650 tiba di Malaysia – dari RM35k

    Royal Enfield Classic 650 tiba di Malaysia – dari RM35k

    Model ikonik Royal Enfield, iaitu Classic dalam versi 650 kini tiba di pasaran Malaysia, dengan dijual pada harga bermula RM34,500 iaitu untuk warna Bruntingthorpe Blue dan Vallam Red, sementara Black Chrome RM1,000 lebih mahal iaitu RM35,500.

    Sama seperti model versi 650 yang lain, Classic 650 ini dipacu oleh enjin dua silinder selari SOHC 650 cc suntikan bahan api, bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 46 hp pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm.

    Ia bagaimanapun masih mengekalkan gaya tradisi model Classic, dengan perumah lampu jenis casquette serta tempat duduk yang boleh diubah menjadi satu atau dua jika ingin membawa penumpang. Meter juga menggunakan bentuk bulat klasik analog, namun digabungkan dengan skrin LCD di bawahnya serta skrin TFT kecil untuk sistem Tripper yang boleh disambung kepada telefon untuk memaparkan navigasi.

    Rim Classic 650 menggunakan unit spoked 19 inci di hadapan dan 18 inci, dibalut masing-masing tayar 100/90 dan 140/70, manakala brek pula terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm di hadapan dan cakera 300 mm di belakang. ABS dual-channel diberikan sekali secara standard.

    Memegang bahagian roda adalah suspensi daripada Showa, yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang. Tangki bahan api berkapasiti 14.8 liter, sementara berat keseluruhan pula adalah 243 kg termasuk minyak.

     
     
  • Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih pertama di Semenanjung M’sia dilancarkan – terletak di Putrajaya

    Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih pertama di Semenanjung M’sia dilancarkan – terletak di Putrajaya

    Projek Pembangunan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) telah pun dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang. Ia merupakan projek rintis pertama dalam sektor mobiliti hidrogen di Semenanjung Malaysia.

    MHRS pertama ini mampu mengisi sehingga 50 kg hidrogen setiap hari dan dibangunkan bagi merangsang permintaan pasaran secara proaktif melalui kerjasama dengan pemilik serta pembekal kenderaan hidrogen (FCEV).

    Ia berlokasi di tapak letak kenderaan 2M8, Presint 2, Putrajaya kerana infrastrukturnya yang lengkap, logistik yang cekap, serta ketersediaan tapak sesuai tanpa kekangan tanah. Bukan sahaja menyokong penggunaan awal oleh pengangkutan awam seperti bas dan lori berkuasa hidrogen, lokasi ini juga memudahkan aktiviti pengesahan teknologi dan demonstrasi awam.

    Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih pertama di Semenanjung M’sia dilancarkan – terletak di Putrajaya

    Di mana inisiatif ini menjadi penyelesaian inovatif dalam menangani cabaran pelepasan karbon, kebergantungan kepada bahan api fosil serta kekurangan infrastruktur bahan api alternatif. Dalam masa yang sama, MHRS membuktikan potensi teknologi sel bahan api hidrogen dan meletakkan asas kepada ekosistem pengangkutan hijau di Malaysia. Malah ia turut menyumbang secara langsung kepada matlamat negara dalam mempercepatkan peralihan tenaga serta mencapai masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan.

    “Pelancaran Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih pertama ini menandakan satu langkah penting dalam usaha Malaysia membangunkan teknologi rendah karbon melalui kolaborasi strategik antara kerajaan dan sektor swasta. Inisiatif ini bukan sahaja memacu penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi hidrogen dan sel bahan api, malah menyokong sasaran negara untuk mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

    “Ia selari dengan nilai MADANI yang menekankan kemampanan, daya cipta dan kesejahteraan dalam membina negara berteknologi tinggi, berpendapatan tinggi dan berdaya tahan untuk masa depan,” kata Chang ketika berucap dalam majlis pelancaran tersebut.

    Projek ini mendapat sokongan daripada MOSTI melalui Pusat Nanoteknologi Kebangsaan (NNC) dan NanoMalaysia Berhad (NMB) dengan kerjasama PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd (PTVSB), Sime UMW, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT), dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

    NMB sebagai pemilik aset dan wakil MOSTI akan mengendalikan operasi stesen MHRS sebagai tapak ujian untuk teknologi baharu dan sedang meneroka peluang komersial jangka panjang. PETRONAS Technology Ventures Sdn Bhd adalah penting dalam membekalkan hidrogen rendah karbon dan menyelia kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan stesen MHRS.

    Manakala SIME UMW dan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) menyumbang tiga kenderaan berkuasa hidrogen Toyota Mirai serta menyediakan perkhidmatan operasi dan penyelenggaraan Toyota Mirai semasa fasa projek ini berlangsung. MGTC pula menyokong projek ini dengan melaksanakan kajian bagi membangunkan kertas cadangan untuk insentif bagi teknologi hidrogen termasuk rebat cukai dan tarif elektrik bagi penjanaan hidrogen.

    Menurut Chang lagi, dengan pasaran hidrogen global dijangka berkembang pesat, kejayaan pelaksanaan MHRS akan meletakkan Malaysia sebagai antara peneraju dalam ekonomi hidrogen serantau. Saiz pasaran stesen pengisian hidrogen kecil dijangka mencecah lebih USD7.0 bilion menjelang 2034 (Global Market Insights 2025–2034), menjadikan projek ini sebagai batu loncatan penting untuk merangsang pelaburan, inovasi dan pertumbuhan sektor tenaga bersih negara.

     
     
  • Royal Enfield Bear 650 dilancar di Malaysia – RM36k

    Royal Enfield Bear 650 dilancar di Malaysia – RM36k

    Satu lagi model dari barisan 650 Royal Enfield, iaitu Bear 650 kini tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM35,700 untuk warna Petrol Green, Wild Honey dan Golden Shadow, sementara versi Two Four Nine dijual RM300 lebih, menjadi RM36,000. Semua harga ini tidak termasuk insurans.

    Menggunakan asas sama dengan Interceptor 650, Bear 650 ini bagaimanapun dijadikan sebagai sebuah motosikal bergaya scrambler, dengan antara kelengkapan yang berbeza adalah seperti lampu hadapan, yang lebih nipis dan merupakan unit LED, fender hadapan lebih pendek, fender belakang melengkung, tempat duduk yang naik ke atas di belakang serta ekzos yang kini cuma tinggal satu di sebelah kanan.

    Kemudiannya model ini juga menerima kelengkapan lebih moden, termasuk panel meter TFT berbentuk bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi. Kemudiannya bahagian suspensi dinaik taraf dengan fork Showa USD 43 mm di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.

    Sesuai dengan motif untuk menjadikannya lebih lasak, Bear 650 dipasang dengan rim spoked bersaiz 19 inci di hadapan, dengan tayar 100/90 di hadapan, sementara di belakang menggunakan unit 17 inci dengan tayar 140/80. Brek masih lagi unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan 270 mm dengan angkup satu piston di belakang – lengkap dengan sistem ABS dual-channel yang boleh ditutup.

    Menggerakkan Bear 650 ini adalah enjin sama seperti Interceptor 650 dan Super Meteor 650, iaitu unit dua silinder selari SOHC yang berkuasa 47 hp, tetapi tork telah bertambah 5 Nm menjadi 57 Nm pada 5,150 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Tangki bahan api berkapasiti 13.7 liter manakala berat keseluruhan adalah 216 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025