Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Chery Omoda E5 2024 kini RM98,818 – RM48k lebih murah, percuma wallbox, kabel V2L, kredit cas RM1k!

    Menerusi reels di laman Facebook rasminya, Chery Malaysia mengumumkan kini anda boleh memiliki SUV EV segmen-C Omoda E5 pada harga RM98,818! Ini merupakan kali kedua Chery menurunkan harga untuk model ini di mana Mac lalu sebanyak RM27k diskaun diberikan bagi membolehkan Omoda E5 ini dijual pada harga RM120k.

    Namun seperti penurunan harga pertama, yang kedua ini juga turut hanya membabitkan stok Omoda E5 yang dibuat pada 2024. Bukan hanya potongan harga, Chery turut menawarkan pengecas AC Wallbox untuk kegunaan yang bernilai RM3,500 bersama kabel untuk fungsi Vehicle-to-load (V2L) bernilai RM500 secara percuma, serta kredit mengecas sebanyak RM1,000 kepada pembeli model ini.

    Omoda E5 digerakkan dengan hanya satu motor elektrik berkuasa 205 PS dan tork maksima 340 Nm dipasang pada gandar hadapan, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat. Motor berkenaan menerima kuasa dari bateri LFP 61 kWj bagi membolehkan ia bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Ia boleh menerima pengecas AC pada kadar maksimum 9.9 kW, serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW yang membolehkan. kadar cas 30-80% dipenuhkan dalam masa 30 minit. Sistem V2L pula boleh mengeluarkan kuasa keluar untuk digunakan pada peralatan elektrik lain pada kadar 3.3 kW.

    Perang harga yang agresif untuk SUV EV segmen-C ini dilihat apabila Proton melancarkan eMas 7 dengan harga bermula RM106k hingga RM120k. BYD merupakan saingan pertama bertindak balas dengan penawaran tersebut dan memotong harga Atto 3 sebanyak RM26k bagi membolehkan ia dijual pada harga lebih kurang sama dengan varian tertinggi eMas 7.

     
     
  • GAC Aion V dipertonton di Malaysia – jarak gerak 602 km, pengecas DC 180 kW; dilancar pada Q3 2025

    GAC Aion V dipertonton di Malaysia – jarak gerak 602 km, pengecas DC 180 kW; dilancar pada Q3 2025

    GAC Aion V telah pun dipertontonkan di negara kita menerusi penganjuran Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025), selepas ia dilancarkan di pasaran Thailand pada tahun lalu yang ditawarkan dengan satu varian sahaja.

    Model crossover elektrik generasi kedua keluaran GAC ini berukuran 4,605 mm panjang, 1,876 mm lebar dan 1,686 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 2,775 mm. Berbanding BYD Atto 3, Aion V adalah 150 mm lebih panjang, satu mm lebih lebar dan 71 mm lebih tinggi, dengan 55 mm lebih panjang bagi jarak rodanya.

    Ia menampilkan penjana kuasa dengan motor tunggal yang menghamburkan 150 kW (204 PS) dan tork 240 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.9 saat, dan mampu mencapai kelajuan maksimum pada 160 km/j.

    Kuasanya dijanakan dari GAC Magazine Battery jenis lithium iron phosphate (LFP) 75.2 kWh yang memberikannya jarak gerak hingga 602 km memgikut kitaran ujian NEDC, yang menghampiri 500 km jika mengikut kitaran ujian standard WLTP.

    GAC Aion V dipertonton di Malaysia – jarak gerak 602 km, pengecas DC 180 kW; dilancar pada Q3 2025

    Aion V mampu menyokong pengecasan DC hingga 180 kW, yang membawakan status tahap pengecasan (SoC) 30-80% dalam 16 minit, atau tambahan 300 km dalam 15 minit. Selain itu, ia juga menyokong pengecasan AC terhad pada 7 kWh, yang turut menawarkan keupayaan vehicle-to-load (V2L) pada 3.3 kW.

    Kelengkapan lain yang diberikan termasuklah roda aloi pelbagai-jejari 19-inci, bumbung suria panoramik, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi ketelusan (transparency) dan tailgate elektronik.

    Di dalamnya, Aion V ditampilkan dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci pada papan pemuka, yang turut disertakan dengan paparan instrumen 8.9-inci untuk pemandu, roda stereng pelbagau-fungsi dua-jejari, konsol tengah yang menempatkan pemegang berkembar telefon bimbit, pengecas peranti tanpa wayar Qi serta sembilan pembesar suara.

    GAC Aion V dipertonton di Malaysia – jarak gerak 602 km, pengecas DC 180 kW; dilancar pada Q3 2025

    Selain itu, ia juga diberikan kawalan suhu dwi-zon, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa dengan fungsi pemanas, pengaliran udara, mengurut dan memori), alas boleh lipat di belakang tempat duduk penumpang hadapan, bumbung kaca panoramik besar, tempat duduk belakang yang boleh dilaras hingga 137 darjah dan peti sejuk berkapasiti 6.6 liter yang ditempatkan di bawah perehat tangan hadapan.

    Untuk kelengkapan keselamatan, Aion V menerima enam beg udara, set bantuan pemandu termasuk AEBm kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop/go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, amaran trafik di belakang, amaran pelanggara belakang dan amaran membuka pintu.

    WTC Automotif berkata Aion dijangka akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada suku ketiga (Q3) tahun ini. Dalam masa yang sama, syarikat ini turut mengumumkan GAC M8 PHEV telah mula dibuka tempahan di Malaysia.

     
     
  • Rapid KL sediakan bas perantara percuma ke Malaysia Autoshow 2025; 9-15 Mei, MRT UPM Serdang-MAEPS

    Rapid KL sediakan bas perantara percuma ke Malaysia Autoshow 2025; 9-15 Mei, MRT UPM Serdang-MAEPS

    Bagi sesiapa yang ingin berkunjung ke acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025) yang mula membuka tirainya hari ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), jika tidak mahu memandu sendiri dan lebih senang menggunakan pengangkutan awam, anda disaran menaiki tren MRT untuk ke lokasi acara.

    Rapid KL memaklumkan bahawa pihaknya menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma mulai hari ini (9 Mei) hingga 15 Mei 2025 di stesen MRT UPM Serdang untuk ke MAEPS. Ini bermakna, terdapat dua lokasi mengambil/menurunkan penumpang iaitu di stesen MRT UPM Serdang dan MAEPS (Pintu 2).

    Di mana bas perantara percuma ini akan beroperasi setiap hari pada tempoh berkenaan iaitu dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan kekerapan bas ialah setiap satu jam pada hari biasa serta setiap 30-40 minit untuk hujung minggu.

    Dari pintu 2 MAEPS pula, ada perkhidmatan tram disediakan, termasuk juga dari kawasan parkir awam, untuk ke acara MAS2025. Jadi tak perlulah anda berjalan kaki yang sedikit jauh untuk ke dewan pameran terutamanya bagi yang membawa orang tua mahu pun kanak-kanak.

     
     
  • Jetour T2 dipamerkan di Malaysia – 2.0T + 7DCT dari Chery Tiggo 8 Pro, AWD; bakal dilancarkan tahun ini?

    Jetour T2 dipamerkan di Malaysia – 2.0T + 7DCT dari Chery Tiggo 8 Pro, AWD; bakal dilancarkan tahun ini?

    Bagi peminat SUV off-road, mungkin anda bakal tertarik dengan Jetour T2 ini. SUV off-road ini sedang dipertontonkan dalam acara Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung di MAEPS, Serdang. Dikhabarkan Jetour Malaysia merancang untuk melancarkannya ke pasaran tempatan tidak lama lagi. Malah seperti SUV Dashing dan VT9 yang sudah pun dilancarkan untuk pasaran Malaysia, T2 ini juga akan dipasang di sini (versi CKD).

    Bagi unit yang dipamerkan ini, ia merupakan versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan paultan.org yang berkunjung ke Shanghai baru-baru ini juga berkesempatan melihat versi pemanduan sebelah kanan (RHD) yang lebih bertepatan untuk pasaran kita.

    Selain itu, T2 yang dipertontonkan ini juga dipadankan dengan enjin yang sama dengan sama seperti Chery Tiggo 8 Pro iaitu 2.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 254 PS dan tork 390 Nm dan dipadankan dengan kotak gear automatik klac-berkembar tujuh-kelajuan.

    Untuk pasaran global, T2 juga diberikan pilihan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan output 184 PS dan tork 290 Nm. Penjana kuasa ini turut dipadankan dengan transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan. Bukan itu sahaja, ia juga ada versi plug-in hybrid dengan unit kuasa yang sama seperti Omoda C9 PHEV iaitu Super Hybrid System (SHS). Diberikan enjin 1.5 liter turbo berkuaasa 156 PS dan tork 220 Nm, digandingkan bersama motor elektrik 224 PS/390 Nm dan dedicated hybrid transmission (DHT) tiga-kelajuan, sekaligus menghasilkan output yang lebih padu berjumlah 381 PS dan tork 610 Nm. Ia juga diberikan bateri BYD Blade lithium iron phosphate (LFP) 43.2 kWh dan motor belakang pula menghasilkan sehingga 619 PS dan 700 Nm.

    T2 ini memiliki ukuran dimensi 4,785 mm panjang, 1,880 mm tinggi, 2,006 mm lebar dan jarak roda 2,800 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 220 mm serta mampu meranduk air dengan kedalaman hingga 700 mm. Cukup sesuai karakternya untuk dilenjan pemanduan off-road.

    Berkenaan harganya untuk pasaran, ia juga belum didedahkan. BWalau bagaimana pun, T2 di China yang dilancarkan pada April 2022 ditawarkan dengan harga antara $179,900 (RM108,584.14) hingga $209,900 yuan (RM126,691.56) dan bermula $1,046,100 baht (RM137,639.95) di negara jiran kita, Thailand. Jadi, kemungkinan harga T2 yang akan ditawarkan di Malaysia tidak begitu jauh bezanya seperti di Thailand. Mungkin. Apa pun, kena tunggu perkembangan selanjutnya dari Jetour Malaysia termasuk ciri kelengkapan penuh bagi versi tempatan.

     
     
  • Yamaha T-Max Tech Max 2025 dilancar di Malaysia – beberapa kelengkapan diperbaharui, harga RM75,888

    Yamaha T-Max Tech Max 2025 dilancar di Malaysia – beberapa kelengkapan diperbaharui, harga RM75,888

    Selain XMax 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga melancarkan TMax Tech Max 2025 untuk pasaran Malaysia dengan harga jualan RM75,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam warna Magma Black dan Ceramic Grey, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Jika dibandingkan dengan TMax Tech Max yang dilancarkan pada tahun 2022 dahulu untuk Malaysia, model baru ini melibatkan beberapa perubahan, bermula dengan panel hadapan bersama lampu siangnya, serta tempat duduk yang dibalut dengan kain bertekstur.

    Kemudiannya untuk kelengkapan, skuter ini ditambah dengan pemerhati tekanan angin tayar serta Yamaha Brake Control system (BC atau Cornering ABS), manakala sistem cruise control dan mod tunggangan Touring dilaras semula.

    Di bahagian kokpit, panel meter masih menggunakan unit TFT tujuh inci, tetapi temanya diperbaharui manakala sistemnya kini sudah boleh disambung kepada aplikasi Y-Connect dan Garmin Motorize. Melengkapkan pembaharuan model ini adalah rim 15 inci yang kini merupakan unit machine-cut.

    Perincian teknikal masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin, yang terdiri daripada unit dua silinder selari DOHC 562 cc bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan akhir tali sawat, menghasilkan kuasa 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Senarai kelengkapan pada skuter ini juga agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan). Tangki bahan api berkapasiti 15 liter dan berat keseluruhannya adalah 221 kg.

    GALERI: Yamaha TMax Tech Max 2025

    GALERI: Yamaha TMax Tech Max 2025 dengan aksesori

     
     
  • Yamaha XMax 2025 tiba di Malaysia – beberapa bahagian diubah, kelengkapan ditambah, RM24,888

    Yamaha XMax 2025 tiba di Malaysia – beberapa bahagian diubah, kelengkapan ditambah, RM24,888

    Semasa Malaysia Auto Show (MAS) 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan dua buah skuter dan salah satunya adalah XMax 2025. Ia dijual pada harga RM24,888 tidak termasuk insurans dan ditawarkan dalam pilihan warna kelabu dan merah.

    Bagi XMax 2025 ini, perubahannya lebih kepada kosmetik dengan perbezaan berbanding model yang dilancarkan pada tahun 2023 dapat dilihat pada bahagian penghadang angin yang lebih pendek dan lebar serta perumah lampu penunjuk arah hadapan yang dijadikan bercantum terus kepada panel depan.

    Di bahagian kokpit, anda boleh terus melihat tiada lagi panel meter bertingkat seperti sebelum ini, dan ia diganti dengan satu unit bersambung dengan bahagian kanannya adalah TFT dan sebelah kiri adalah LCD. Ia bagaimanapun masih boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Selain itu, XMax 2025 juga kini datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras secara elektronik, ekzos yang lebih ringan dan Emergency Stop Signal (ESS), sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem ABS, sistem tanpa kunci, soket pengecas USB-C serta tangki bahan api 13 liter.

    Perincian teknikal masih lagi sama dengan ia dipacu oleh enjin satu silinder 250 cc suntikan bahan api, mampu menghasilkan 22.5 hp pada 7,000 rpm dan tork 24.3 Nm pada 5,500 rpm, disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi automatik tali sawat.

    GALERI: Yamaha XMax 250 2025

    GALERI: Yamaha XMax 250 2025 dengan aksesori

     
     
  • Omoda C7 dipertontonkan di Malaysia — model petrol, 1.6T AWD dari Jaecoo J7, dilancarkan tahun ini?

    Omoda C7 dipertontonkan di Malaysia — model petrol, 1.6T AWD dari Jaecoo J7, dilancarkan tahun ini?

    Dengan penjenamaan semula syarikat Omoda | Jaecoo Malaysia, model Omoda C7 kini dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2025. Ini model pertama syarikat itu yang akan dijual menggunakan nama Omoda secara bersendirian, tanpa nama Chery atau Jaecoo dalam pasaran tempatan.

    Masih tiada perincian yang didedahkan, unit yang dipamerkan ini adalah model petrol seperti yang dapat dilihat di bahagian penutup tangki minyaknya. Berbeza dengan model sama yang ditunjuk di Bangkok pada Mac lalu, yang menampilkan versi plug-in hybrid.

    Ini pula adalah varian baru yang belum pernah dilihat di tempat lain, dan disebabkan itu spesifikasinya masih samar-samar, dan belum ada di saluran media antarabangsa. Namun, boleh diagak yang model ini akan dijual menggunakan enjin yang sama dengan kembarnya, Jaecoo J7.

    Omoda C7 dipertontonkan di Malaysia — model petrol, 1.6T AWD dari Jaecoo J7, dilancarkan tahun ini?

    Ia menggunakan unit enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 197 PS/290 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac basah berkembar tujuh-kelajuan, dengan pacuan depan atau pacuan semua roda. Ini disahkan lagi dengan terteranya lencana AWD pada unit yang dipamerkan ini.

    Turut dijangka akan ditawarkan ialah Super Hybrid System, yang dikongsi dengan J7 PHEV. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder petrol khusus untuk hibrid — dengan janaan lebih tinggi dengan 156 PS dan 220 Nm — serta sebuah motor elektrik 204 PS/310 Nm yang dipadankan dengan transmisi khusus hibrid satu-kelajuan (DHT). Output keseluruhan sistem ialah 360 PS dan 530 Nm, yang 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV.

    Walaupun dengan kuasa yang lebih, C7 PHEV memecut 0-100 km/j dalam masa yang sama dengan J7 PHEV, dalam 8.5 saat. Bateri menggunakan unit lithium iron phosphate (LFP) Blade 18.3 kWh dari BYD yang sama dengan kembarnya, dan memberikan 95 km jarak elektrik. Spesifikasi itu juga menyatakan jarak yang boleh dicapai ialah 1,250 km.

    Omoda C7 dipertontonkan di Malaysia — model petrol, 1.6T AWD dari Jaecoo J7, dilancarkan tahun ini?

    C7 menjadi model pertama yang direka khusus untuk Omoda | Jaecoo untuk pasaran antarabangsa — kedua-duanya pernah menggunakan jenama Chery dan Exeed untuk tujuan itu.

    Penampilannya menampilkan rekaan bahagian hidung yang tajam, bersepadu dengan garis bukaan bonet. Ia menzahirkan lengkungan yang khusus, dilengkapi juga dengan rekaan lampu utama yang tajam di depan serta gril parametrik warna badan ala Lexus RX.

    Di sisi, ia lebuh kemas dan ringkas, dengan rekaan pemegang pintu tersorok. Garis tingkap dengan tiang D hitam diambil daripada Omoda 5 dan C9, sementara di belakang ia tampil dengan rekaan lampu berkelebaran penuh dan pencahayaan zig-zag yang unik. Rim pula sebesar 20-inci.

    Di dalam, ia hampir sama dengan unit yang dilihat di Bangkok terdahulu. Papan pemuka dengan rekaan melintang yang minimal, konsol tengah yang tinggi, sepasang skrin dan roda stereng lonjong masih kekal sama untuk unit ini.

    Selain stereng yang mengambil ilham daripada konsol permainan video, kerusinya juga mengikur jejak yang sama — kerusi bucket saduran. Ada bahagian yang dibalut dengan kulit nubuck dapat dilihat, serta tersedianya sebuah skrin sentuh infotainmen 15-6-inci yang boleh digelungsur ke sebelah penumpang. Untuk sistem audio, ada “12+2” Sony — dengan +2 yang dimaksudkan ada di perehat kepala — dengan pembatal kebisingan aktif.

    Omoda C7 ini dijangka akan diperkenalkan secara rasmi dalam masa terdekat, dan pendaftaran minat untuknya juga sudah dibuka di laman web rasmi.

     
     
  • MG S5 EV – 2 varian diperincikan, dianggar bermula RM115k, tempah awal dapat diskaun RM5k & Wallbox

    MG S5 EV – 2 varian diperincikan, dianggar bermula RM115k, tempah awal dapat diskaun RM5k & Wallbox

    Selepas dipertontonkan di Malaysia buat pertama kali bulan lalu, hari ini di Malaysia Autoshow (MAS) 2025 SAIC Motor Malaysia memperincikan kelengkapan untuk kedua-dua varian bagi SUV EV MG S5 yang akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Sebelum ini harga anggaran MG S5 ini telahpun diumumkan iaitu bermula RM115,000. Hari ini SAIC Motor mengumumkan pula sekiranya pelanggan menempah model ini ketika MAS 2025 berlangsung iaitu bermula 9 hingga 15 Mei 2025 dengan bayaran RM500, mereka akan mendapat diskaun tambahan RM5,000 bersama pengecas Wallbox kegunaan rumah 7kW secara percuma.

    Perincian bagi kedua-dua varian juga telah diumumkan hari ini, secara rasmi varian asas digelar sebagai Com manakala varian teritnggi dikenali sebagai Lux. Oleh itu MG S5 Com menerima bateri LFP 49kWj bagi memberikan jarak gerak 340 km dalam kitaran WLTP, manakala MG S5 Lux pula diberikan bateri LFP 62 kWj bagi memberikan jarak gerak sejauh 430 km.

    MG S5 EV – 2 varian diperincikan, dianggar bermula RM115k, tempah awal dapat diskaun RM5k & Wallbox

    Kedua-dua varian MG S5 pasaran Malaysia ini menerima hanya sebuah motor yang diletakkan pada bahagian belakang bagi memacu roda belakang, menghasilkan kuasa 170 PS dan tork maksima 250 Nm. Rekod pecutan 0-100 km/j belum lagi dinyatakan, namun MG Malaysia memberitahu bahawa ia dapat dicapai sekitar 8 saat.

    Gandar belakang yang menempatkan motor elektrik berkenaan menggunakan konfigurasi suspensi bebas jenis 5-link. Ini menurut MG, akan memberikan pemanduan yang sporty dalam masa yang sama masih mengekalkan keselesaan SUV ini.

    Untuk mengecas pula kedua dua varian boleh dicas dengan sistem AC 7 kW. Varian Com boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 120 kW, manakala varian Lux boleh menampung sehingga 150 kW membolehkan kadar cas 10% hingga 80% dicapai dalam masa 26 minit. Kedua-duanya juga turut menerima sistem vehicle-to-load (V2L) membolehkan kuasa bateri digunakan pada peralatan elektrik lain.

    MG S5 EV – 2 varian diperincikan, dianggar bermula RM115k, tempah awal dapat diskaun RM5k & Wallbox

    Walaupun ia dikelaskan sebagai SUV segmen-B, saiz MG S5 ini sebenarnya sudah menghampiri model-model segmen-C. Ia menampilkan ukuran panjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, serta jarak roda sejauh 2,730 mm. Jadi MG S5 ini adalah 21 mm lebih panjang, jarak roda 10 mm lebih jauh tetapi 26 mm kurang lebar berbanding BYD Atto 3.

    Secara standard kedua-dua varian akan menerima kelengkapan sama termasuk lampu hadapan LED dengan lampu nyalaan siang bertemakan ‘bendera perlumbaan’, skrin infotainmen utama bersaiz 12.8-inci dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga hubungan aplikasi iSmart MG.

    Bagi membezakan kelengkapan, varian Lux ditambah dengan rim aloi 18-inci, bumbung panaromik, pintu tailgate belakang berkuasa, upholsteri tempat duduk kombinasi kulit dan fabrik berliang berwarna gelap dengan logo MG tersembunyi pada jalur tengah, stereng kulit dengan pemanas, tempat duduk pemandu larasan elektrik dan sistem audio premium dengan 6 pembesar suara.

    Bagi sistem keselamatan pula kedua-dua varian diberikan tujuh-beg udara dan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) penuh bersama lampu tinggi automatik. Manakala varian Lux akan menerima tambahan kamera pandangan sekeliling 360 darjah. Lima warna badan ditawarkan untuk MG S5 EV pasaran Malaysia ini iaitu Arctic White, Monument Silver, Camden Grey, Dynamic Red, dan Elegant Latte.

    Sekiranya anda datang ke MAS 2025, anda bukan sahaja dapat melihat dengan lebih dekat bahagian dalaman dan luaran MG S5 ini, malah unit untuk pandu uji juga turut disediakan.

     
     
  • Kymco DTX 250 dilancarkan di Malaysia – RM22,500

    Kymco DTX 250 dilancarkan di Malaysia – RM22,500

    Modenas selaku pengedar rasmi motosikal Kymco di Malaysia melancarkan DTX 250 untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam matte/oren dan hijau gelap, pada harga RM22,500 tidak termasuk insurans.

    Skuter ini dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC 246 cc bersama padanan transmisi CVT dan pacuan tali sawat, mampu menghasilkan kuasa 23 hp pada 7,500 rpm dan tork 23 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan apinya berkapasiti 13.5 liter.

    Untuk roda, bahagian hadapan menggunakan rim 14 inci dengan tayar 120/80 serta brek cakera tunggal 260 mm, sementara di belakang terdapat rim 13 inci dengan tayar 150/70 dan brek cakera tunggal 240 mm. Ia kemudiannya masing-masing dipegang oleh fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Secara standard, DTX 250 datang dengan sistem kawalan cengkaman serta ABS dual-channel, manakala panel meternya pula menggunakan unit digital. Selain poket barangan di bawah bahagian pemegang, pengguna juga boleh menggunakan ruang barangan di bawah tempat duduk.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk sistem tanpa kunci, lampu LED hadapan dan belakang serta penghadang tangan.

     
     
  • GWM Tank 500 HEV dilancarkan di Malaysia — 4×4 hibrid mewah 7-kerusi, 346 PS, 648 Nm; RM328,800

    GWM Tank 500 HEV dilancarkan di Malaysia — 4×4 hibrid mewah 7-kerusi, 346 PS, 648 Nm; RM328,800

    Setelah beberapa kali dipertontonkan dan hanya menantikan harga rasminya, GWM Tank 500 HEV kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Model 4×4 hibrid mewah tujuh-tempat duduk ini dijual dengan harga RM328,800 atas jalan belum termasuk insurans untuk spesifikasi tunggal yang ditawarkan di sini. Kereta ini dipasang di kilang pengeluarnya di Rayong, Thailand.

    Berukuran 4,928 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, Tank 500 ini 160 mm lebih panjang, empat milimeter lebih lebar dan dua milimeter lebih tinggi berbanding Tank 300, sementara jarak rodanya 2,850 mm iaitu 100 mm lebih panjang. Varian yang ditawarkan di sini sama dengan varian Ultra di Thailand.

    Sistem janaannya menggandingkan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 244 PS dari 5,500 rpm hingga 6,000 rpm dan tork 380 Nm dari 1,700 hingga 4,000 rpm, serta sebuah motor elektrik 106 PS/268 Nm. Gabungan sistem ini menghasilkan kuasa keseluruhan 346 PS dan 648 Nm, dan disalurkan menerusi transmisi HAT (Hydraulic Automatic Transmission) automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda.

    GWM Tank 500 HEV dilancarkan di Malaysia — 4×4 hibrid mewah 7-kerusi, 346 PS, 648 Nm; RM328,800

    SUV tujuh-tempat duduk ini mempunyai 11 mod pemanduan serta electric differential locks hadapan dan belakang serta mechanical locking centre differential. Ia juga ada fungsi “tank turn”, sistem kawalan kelajuan off-road, pengesan kedalaman air dan Body Transparent System, yang mana ia menggunakan kamera untuk superimpose imej jalan di bawah dan hadapan kenderaan untuk meningkatkan pandangan terhadap permukaan jalan yang dilalui.

    Kelengkapan standard yang ditawarkan termasuklah lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus LED, lampu belakang LED, kamera undur, pemijak sisi yang boleh dilaras secara kuasa, dan roda aloi 20-inci. Untuk ruang kabinnya, ia diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, serta balutan kulit Nappa quilted dan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu.

    GWM Tank 500 HEV dilancarkan di Malaysia — 4×4 hibrid mewah 7-kerusi, 346 PS, 648 Nm; RM328,800

    Selain itu, ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon, sistem bunyi Infinity 12-pembesar suara, tirai matahari untuk barisan kedya dan juga perehat belakang larasan kuasa untuk barisan ketiga. Bagi barisan ketiga, terdapat juga butang untuk melipat dan membuka tempat duduk di bahagian itu secara elektrikal dengan hanya menekan satu butang sahaja.

    Aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemandu Tank 500 hadir dengan enam beg udara, brek kecemasan autonomous AEB, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi Stop and Go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan Wisdom Dodge System untuk mengerakkan SUV ini ke tepi luar lorong bagi memberi ruang kepada kenderaan besar dan motosikal.

     
     
  • Jetour eVT5 diperkenalkan di Malaysia – 163 PS/280 Nm, bateri LFP 53.6 kWh, jarak gerak hingga 356 km

    Jetour eVT5 diperkenalkan di Malaysia – 163 PS/280 Nm, bateri LFP 53.6 kWh, jarak gerak hingga 356 km

    Jetour Malaysia sebelum ini pernah mendedahkan bakal membawa masuk lebih banyak model keluarannya ke pasaran tempatan selepas SUV Dashing dilancarkan pada awal April lalu. Hari ini, selain melancarkan satu lagi model SUV nya, VT9, Jetour Malaysia turut memperkenalkan SUV elektrik eVT5 menerusi acara Malaysia Autoshow 2025.

    Terdahulu, SUV EV ini pernah dikesan diuji di Malaysia, namun tika itu kemunculannya sebagai Kaiyi X3 Pro EV. Untuk pengetahuan anda, Kaiyi merupakan salah satu jenama yang bernaung di bawah Chery. Namun kini jenama itu telah pun datang ke Malaysia dan dikenali sebagai Jetour.

    eVT5 ini juga boleh dikatakan versi EV bagi Chery Tiggo Cross, dan ia mempunyai ukuran dimensi 4,443 mm panjang, 1,831 mm lebar, 1,653 mm tinggi dan jarak roda 2,632 mm serta jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 183 mm. Walau bagaimana pun, eVT5 sebenarnya 125 mm lebih panjang berbanding Tiggo Cross, tetapi saiz ukuran lain lebih kurang sama.

    SUV EV ini dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL berkapasiti 53.6 kWh yang boleh memberikannya jarak gerak hingga 356 km mengikut kitaran NEDC, dan ia mampu mencapai status pengecasan antara 30-80% dalam masa 30 minit. Antara ciri pengendaliannya yang diberikan termasuklah motor 163 PS/280 Nm, sistem suspensi dengan topang MacPherson untuk hadapan dan multi-link di belakang, cakera brek ventilated di hadapan dan cakera solid untuk belakang dan roda aloi 18-inci yang dibaluti tayar Giti Comfort 215/55.

    Untuk bahagian kabinnya, ia dilengkapi dengan unit paparan, upholstery kulit, skrin sesentuh LCD 10.25-inci, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang, bumbung suria panoramik, kamera 360-darjah, penahan brek auto, kawalan kelajuan, panel pengecasan tanpa wayar dan enam beg udara.

    Walau bagaimana pun, setakat ini Jetour Malaysia masih belum mendedahkan sebarang harga untuk eVT5 ini dan juga perincian lanjut mengenainya. Untuk pengetahuan anda, di pasaran global, selain versi elektrik, SUV ini yang diberikan nama berlainan juga ditawarkan dengan unit enjin pembakaran dalaman (ICE) dengan pilihan enjin 1.5 liter berkuasa 116 hp dan 1.5 liter turbo bersama hamburan kuasa 156 hp dan tork 230 Nm. Kedua-dua pilihan enjin ICE itu dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

     
     
  • GAC M8 PHEV dibuka untuk tempahan di Malaysia — jarak 1,032 km, EV sejauh 106 km; dari RM333k

    GAC M8 PHEV dibuka untuk tempahan di Malaysia — jarak 1,032 km, EV sejauh 106 km; dari RM333k

    Susulan pratonton GAC M8 PHEV di Malaysia pada hujung tahun lalu, kini tempahan untuk MPV plug-in hybrid berkenaan pula dibuka kepada umum, dengan harga anggaran bermula RM333,000. Perkara ini dimaklumkan oleh pengedarnya, Warisan Tan Chong Automotif.

    Model ini ditawarkan dalam dua varian, seperti yang sudah diumumkan sebelum ini — Premium dan Premium Luxury. Dengan ukuran 5,212 mm panjang, 1,893 mm lebar dan 1,823 mm tinggi dan jarak roda 3,070 mm, saiz GAC M8 lebih besar daripada Toyota Alphard dan Vellfire, dan hampir menyamai saiz Zeekr 009 dan Denza D9.

    Menerima jolokan sebagai MPV plug-in hybrid pertama untuk pasaran Malaysia, M8 dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat-silinder petrol dan menghasilkan 190 PS dan 300 Nm. Ini dipadankan dengan sebuah motor elektrik yang menjana sebanyak 182 PS/300 Nm yang menerima kuasa daripada bateri 25.57 kWh, dengan menggunakan transmisi khusus dua-kelajuan hibrid untuk memberikan output keseluruhan 373 PS dan 630 Nm. Pecutan 0-100 km/j pula berada dicapai dalam masa 8.8 saat.

    GAC M8 PHEV dibuka untuk tempahan di Malaysia — jarak 1,032 km, EV sejauh 106 km; dari RM333k

    Dari sudut kecekapan, M8 PHEV mampu memberikan penggunaan petrol 6.05 liter per 100 km, dengan jarak yang mampu dicapai sejauh 1,032 km dengan satu tangki penuh 56 liter. Untuk pacuan elektrik sepenuhnya, ia boleh memberikan jarak 108 km. Untuk pengecasan AC, bateri 25.57 kWh memerlukan 3.5 jam, manakala dengan DC hanya memerlukan 30 minit.

    Di dalam, M8 PHEV boleh menempatkan tujuh penumpang, termasuk dua kerusi kapten di barisan kedua yang lengkap dengan fungsi urutan, memori dan liang udara selain larasan kuasa, paparan lima-inci di perehat lengan serta paparan 15.6-inci di bumbung.

    Di depan, ada paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, dengan ouput audio melalui sistem bunyi Yamaha dengan 16-pembesar suara.

    GAC M8 PHEV dibuka untuk tempahan di Malaysia — jarak 1,032 km, EV sejauh 106 km; dari RM333k

    Bagi sistem bantuan pemandu, M8 PHEV dijangka akan dilengkapi dengan fungsi seperti AEB, ACC dengan Stop/Go, peninjau keliling, bantuan ke tengah lorong, pengesan papan tanda trafik, peninjau titik buta dengan penghindar pelanggaran, amaran lintasan trafik di belakang dengan auto brake, amara perlanggaran belakang dan penghindaran, serta bantuan parkir.

    Ini juga termasuk fungsi ADAS Tahap 2, tetapi tidak akan menggunakan nama ADiGO Pilot kerana itu merujuk kepada fungsi ADAS 3 yang lebih tinggi.

    Dengan tempahan yang kini mula dibuka, WTC Automotif menawarkan MPV plug-in hybrid ini dengan jaminan lima-tahun, 150,000 km untuk kenderaan, serta jaminan lapan-tahun atau 150,000 km untuk bateri. Tempahan awal juga akan menerima pakej kabel pengecas dan penyelenggaraan berjadual percuma. Pakej tempahan awal ini akan ditawarkan hingga M8 PHEV ini dilancarkan secara rasmi di Malaysia.

     
     
  • iCaur V23 dipertonton di Malaysia sebelum pelancaran — EV off-road sehingga 211 PS, 550 km jarak CLTC

    iCaur V23 dipertonton di Malaysia sebelum pelancaran — EV <em>off-road</em> sehingga 211 PS, 550 km jarak CLTC

    Selain iCaur 03 dan 03T, ada sebuah lagi model EV dari sub-jenama Chery tersebut, iaitu V23. Model ini turut dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 dalam versi pemanduan sebelah kiri, dan masih menggunakan lencana iCar untuk pasaran domestik China.

    V23 didedahkan pertama kali di China pada April tahun lalu dan datang dengan motor elektrik belakang yang menjana 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan 180 Nm. Ia menerima kuasa sama ada daripada bateri lithium iron phosphate (LFP) 59.93 kWh yang memberikan jarak 401 km CLTC, atau bateri nickel manganese cobalt (NMC) 81.76 kWh yang memberikan jarak 550 km.

    iCaur V23 dipertonton di Malaysia sebelum pelancaran — EV <em>off-road</em> sehingga 211 PS, 550 km jarak CLTC

    V23 ini juga ditawarkan dalam versi pacuan semua roda yang menerima tambahan motor elektrik di depan dengan janaan 75 PS (74 hp atau 55 kW) dan 112 Nm untuk memberikan output sistem keseluruhan sebanyak 211 PS (208 hp atau 155 kW) dan 292 Nm. Varian AWD hanya ditawarkan dengan bateri NMC 81.76 kWh dengan jarak 501 km.

    V23 lebih kecil berbanding 03 dengan ukuran 4,220 mm panjang, 1,915 mm lebar dan 1,845 mm tinggi, dengan jarak roda yang sedikit panjang dengan 2,735 mm, berbanding 2,715 mm untuk 03.

    iCaur V23 dipertonton di Malaysia sebelum pelancaran — EV <em>off-road</em> sehingga 211 PS, 550 km jarak CLTC

    Di China, V23 dijual dengan harga antara 109,800 dan 149,800 yuan (sekitar RM65k dan RM89k). 03 juga berada tidak jauh dari harga tersebut: antara 109,800 dan 139,800 yuan (RM65k dan RM83k).

    Walaupun belum ada pengesahan berapa RM harga V23 yang akan dijual di sini, tanda harga 03 di sini boleh memberi sedikit gambaran. iCaur Malaysia telah mula mengambil pendaftaran minat untuk 03, dengan dua varian ditawarkan, dan harga antara RM145,000 dan RM155,000.

     
     
  • Chery Tiggo 8 PHEV ditunjuk di Malaysia – 1.5T PHEV, 347 PS/525 Nm, akan dilancar pada separa kedua 2025

    Chery Tiggo 8 PHEV ditunjuk di Malaysia – 1.5T PHEV, 347 PS/525 Nm, akan dilancar pada separa kedua 2025

    Selain dari Tiggo Cross dan juga Tiggo 7 facelift PHEV, Chery Malaysia hari ini turut mempamerkan sekali SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 yang dikemaskini di Malaysia Autoshow (MAS) 2025. Model ini bukan hanya tampil dengan rupa baharu, malah ia turut menerima unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) generasi baharu dari siri Chery Super Hybrid yang baru dilancarkan untuk peringkat global di Auto Shanghai 2025 bulan lalu.

    Tiggo 8 PHEV ini menggunakan unit rangkaian kuasa PHEV Chery Super Hybrid (CSH) generasi baharu yang sama seperti pada ‘adiknya’ iaitu Tiggo 7 PHEV CSH. Sistem tersebut menampilkan enjin petrol kitaran Miller 1.5 liter turbo baharu dengan sistem suntikan bahan api terus yang dibina khas untuk digandingkan bersama sistem hibrid, menampilkan keberkesanan suhu mencecah 44.5% dan mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm.

    Ia digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Berdasarkan spesifikasi yang ditunjuk oleh Chery Malaysia hari ini, Tiggo 7 PHEV pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.

    Chery Tiggo 8 PHEV ditunjuk di Malaysia – 1.5T PHEV, 347 PS/525 Nm, akan dilancar pada separa kedua 2025

    Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC (tidak dinyatakan kapasiti) di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut.

    Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.

    Berbanding dengan model yang ada di Malaysia sekarang, pada sebelah luar Tiggo 8 facelift ini nampak lebih matang dengan lampu hadapan baharu, gril dengan kerangka krom yang lebih nipis dan juga rekaan bampar yang kini menampilkan tirai udara sebenar pada kedua-dua sisi.

    Pada bahagian sisi, Tiggo 8 facelift ini nampak lebih ‘bersih’ di mana pembuka pintu konvensional sudah digantikan dengan jenis tersorok ke dalam. Manakala di belakang, rekaan lampu masih lagi nampak sama, dan dibezakan hanya pada bahagian kemasan diffuser di bawah bampar, di mana tip ekzos bulat berkembar sebenar digantikan dengan perumah tip ekzos berbentuk leper.

    Pada bahagian dalaman, sekali imbas bahagian dalaman Chery Tiggo 8 PHEV ini mungkin nampak sama seperti Tiggo 8 Pro e+ yang pernah didedahkan di Malaysia tahun lalu. Namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, ada perbezaan dibuat pada konsol tengah di mana model yang dikemaskini ini menampilkan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar yang diletakkan secara menegak (melintang sebelum ini) membolehkan satu lagi ruang untuk meletakkan telefon pintar di sebelahnya.

    Ini turut memerlukan suis putar pemilih mod pemanduan dan juga beberapa suis lain yang sebelum ini diletakkan secara melintang kini disusun menegak di sebelah pemegang cawan. Model sebenar pasaran Malaysia ini juga nampaknya mengenakan upholsteri hitam dengan pelapik bumbung berwarna kelabu yang lebih sesuai untuk pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang Chery Malaysia belum lagi mengumumkan secara spesifik kelengkapan yang dibekalkan untuk Tiggo 8 PHEV pasaran Malaysia ini dan juga harga anggarannya. Walau bagaimanapun model ini telah disahkan akan dilancarkan pada separa kedua tahun ini.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

    Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini mendedahkan Volkswagen Arteon Wolfsburg Edition di Malaysia Autoshow (MAS) 2025 selepas perincian model berkenaan diumumkan semalam. Model istimewa ini masih diasaskan dari coupe empat pintu Arteon R-Line 4 Motion, tetapi diberikan beberapa perincian istimewa.

    Antara perincian berlainan yang diberikan pada model istimewa ini termasuk pemadanan plat dengan logo Wolfsburg pada tiang B, penutup injap angin tayar juga dengan logo Volkswagen, penutup hub roda dengan logo Volkswagen yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing dan juga jalur pelindung pada penutup but belakang.

    Manakala dalam kabin, Arteon istimewa ini diberikan set karpet Wolfsburg Edition, serta dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

    Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition didedahkan – RM265k, banyak perincian istimewa

    Satu lagi perincian yang diberikan pada Arteon istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Arteon Wolfsburg Edition yang sah dari kilang.

    Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan di mana Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini terus digerakkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Perincian Arteon R-Line juga terus dibawa ke model ini termasuk rim aloi 19-inci ‘Montevideo’, lampu-lampu luaran LED, pakej penggayaan R-Line, upholsteri kulit Nappa dengan cetakan karbon, tempat duduk sport di hadapan, lampu suasana 30-warna, penghawa dingin tiga-zon, mod pemanduan yang boleh dipilih, dan pad pengecas tanpa wayar.

    Untuk hiburan, ia dibekalkan dengan skrin 9.2-inci Discover Pro dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, disambungkan kepada sistem Harmann Kardon 700-watt. Manakala untuk keselamatan, Arteon ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volkswagen IQ.Drive.

    VPCM mengumumkan bahawa Arteon R-Line 4Motion Wolfsburg Edition ini dijual pada harga runcit yang disarankan RM304,990, atau RM306,012 untuk harga atas jalan tanpa insuran, iaitu RM5,000 lebih mahal dari Arteon R-Line biasa. Harga berkenaan juga sudah termasuk Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis selama tujuh-tahun atau 105,000 km.

    Tetapi sekiranya anda tidak mahukan pakej VAP, harga atas jalan untuk Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini hanyalah RM292,612, dan ia hanya diberikan perlindungan waranti selama dua-tahun. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM40,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini turun kepada RM 264,990 (atau harga atas jalan tanpa insuran RM266,012).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025