Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Perodua eMO EV dalam prototaip terakhir sebelum produksi — segmen B SUV, pajakan bateri, tiba Q4

    Perodua eMO EV dalam prototaip terakhir sebelum produksi — segmen B SUV, pajakan bateri, tiba Q4

    Sempena Malaysia Autoshow 2025, Perodua mempamerkan episod ketiga bagi model Electric Motion Online (e-MO), selepas mempamerkan model eMO-II di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) hujung tahun lalu.

    Yang terbaru ini adalah “fasa” terakhir rekaan konsep bagi model EV pertama Perodua yang akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini — minggu lalu, unit dengan pelekat samaran EV ini dilihat dalam talian. Sekali imbas, reka bentuknya memberi sesuatu yang berbeza misalnya jika dibandingkan dengan model-model EV lain dari China, seperti Geely Star Wish atau kembarnya Proton eMas 5, dan TQ Wuling Bingo.

    Apa yang ditampilkan sebagai sebuah hatchback lima-pintu dengan eMO-II tahun lalu kini sudah berubah menjadi rekaan sebuah SUV crossover (ala Toyota C-HR?). Perodua menjelaskan, dengan EV ini, syarikat itu akan menghadirkan rekaan yang sporty dengan jarak kelegaan tanah yang tinggi.

    Perodua eMO EV dalam prototaip terakhir sebelum produksi — segmen B SUV, pajakan bateri, tiba Q4

    Bagaimanapun belum ada sebarang perincian ukuran diberikan, namun Perodua menggelarnya sebuah kenderaan segmen “B kecil”. Di depan mata kasar, eMO ini nampak lebih besar berbanding Myvi dan nampak lebih besar daripada eMas 5 dan Bingo — semua EV ini akan dipasarkan dengan harga di bawah RM100k nanti, dan akan diperkenalkan sebagai model CKD.

    Februari lalu, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad memberi gambaran yang harga permulaan EV nasional syarikat itu akan bermula dari harga RM80,000, tetapi tanpa bateri — Perodua kini mengesahkan yang EV berkenaan akan didatangkan dengan program pajakan bateri Battery-as-a-Service (BaaS), yang pertama kali ditawarkan di Malaysia.

    Bateri yang maksudkan ialah unit lithium iron phosphate (LFP) daripada CATL, dengan jarak perjalanan antara 400 km hingga 410 km. Dari segi prestasi, pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa enam atau tujuh saat, dan laju maksimum 165 km/j.

    Perodua eMO EV dalam prototaip terakhir sebelum produksi — segmen B SUV, pajakan bateri, tiba Q4

    “Baterinya akan dipajak kepada pembeli. Yuran “sewa” berkenaan pula sangat minimum, dan berdasaarkan kaji selidik yang dilakukan oleh Perodua, ramai yang menyukai kaedah ini,” ujar beliau, dengan menambah bahawa skim pajakan atau sewaan bateri EV ini akan mengurangkan kosnya dan memastikan pelanggan sentiasa mempunyai bateri yang berada dalam keadaan terbaik.

    Bagaimana pula dengan nilai jualan semula? Inilah masalah yang cuba diatasi oleh Perodua dengan menawarkan skim pajakan bateri EV ini. Kerana keresahan terhadap jangka hayat bateri EV akan mempengaruhi nilai jualan semulanya, tidak seperti kereta ICE yang biasa.

    Perodua eMO EV dalam prototaip terakhir sebelum produksi — segmen B SUV, pajakan bateri, tiba Q4

    Akan ada juga pilihan untuk membeli kereta ini sekali dengan baterinya. Beli bateri tersebut dan pelanggan akan menerima juga jaminan standard selama lapan-tahun untuknya. Praproduksi akan dimulakan pada September nanti dan Perodua sedang berada dalam landasan yang betul untuk memenuhi tarikh pengenalan EV yang dibangunkan sendiri ini pada suku keempat 2025.

    Untuk makluman, ini merupakan kereta yang dibangunkan sepenuhnya oleh Perodua sendiri, kerana Daihatsu tidak mempunyai model yang sesuai untuk tujuan ini untuk dimanfaatkan. Produksi EV ini akan dimulakan dengan kapsiti 500 unit sebulan di kilang baru syarikat ini di Sg. Choh, Rawang.

     
     
  • Zeekr 7X dipertonton di Malaysia – jarak gerak 600 km, 3 varian; RM182k-230k untuk 500 pelanggan pertama

    Zeekr 7X dipertonton di Malaysia – jarak gerak 600 km, 3 varian; RM182k-230k untuk 500 pelanggan pertama

    Zeekr 7X dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2025 yang bakal membuka tirainya di MAEPS, Serdang. Kenderaan elektrik (EV) mewah ini telah pun dilancarkan di pasaran Thailand pada bulan Mac lalu dan untuk Malaysia, sedang menantikan tarikh yang bersesuaian untuk melancarkannya. Walau bagaimana pun Zeekr Malaysia telah mengumumkan harga pengenalannya untuk 500 pelanggan pertama, bermula dengan RM182,000 untuk varian RWD Standard, diikuti RWD Long Range berharga RM195,000 dan AWD Performance berharga RM230,000.

    Ia berukuran 4,825 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,666 mm tinggi dan jarak rodanya pula cecah 2,925 mm, membolehkan 7X ini menyertai segmen kenderaan elektrik seperti Tesla Model Y dan BYD Sealion 7. Walau bagaimana pun, 7X memiliki jarak roda yang lebih panjang berbanding Tesla tetapi sedikit kecil dari BYD.

    Zeekr Malaysia mendakwa bateri 7X ini mampu memberikannya jarak gerak hingga 600 km mengikut standard ujian WLTP, hampir sama dengan varian motor-tunggal untuk pasaran Thailand yang diberikan bateri NMC 100 kWH (615 km WLTP). Di pasaran negara berkenaan juga, varian RWD yang diberikan motor tunggal menerima bateri LPF 75 kWH yang menawarkan jarak gerak hingga 480 km (WLTP).

    Zeekr 7X dipertonton di Malaysia – jarak gerak 600 km, 3 varian; RM182k-230k untuk 500 pelanggan pertama

    Jika berdasarkan spesifikasi di Thailand, versi LFP 75 kWh mampu mencapai status pengecasan (SoC) 10-80% dalam 10.5 minit, sementara versi yang dilengkapi bateri NMC 100 kWh pula memerlukan lebih kurang 15 minit untuk mencapai SoC yang sama. Zeekr Malaysia berkata angka pengecasannya dan butiran lanjutnya akan didedahkan menjelang pelancarannya kelak.

    Bagi penjana kuasa RWD motor-tunggal, ia diberikan unit 421 PS/440 Nm yang diletakkan di gandar belakang. Manakala versi dua-motor atau pun untuk varian AWD Performance, ia turut digandingkan dengan penjana kuasa 646 PS dan 710 Nm, membolehkan varian ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 3.8 saat.

    7X juga diberikan suspensi udara secara standard, dan unit yang dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025 ini diberikan roda aloi 21-inci yang dibaluti tayar 265/40R21.

    Zeekr 7X dipertonton di Malaysia – jarak gerak 600 km, 3 varian; RM182k-230k untuk 500 pelanggan pertama

    Di dalamnya, 7X diberikan paparan kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sesentuh infotainmen LED 16-inci, dua unit pengecas tanpa wayar Qi, sistem audio dengan 21-pembesar suara, upholstery kulit Nappa dan tempat duduk larasan kuasa untuk hadapan dan belakkang.

    Menurut Zeekr Malaysia, tempahan bagi pasaran Malaysia telah pun bermula dan syarikat ini menyasarkan 7X mampu mencapai angka jualan sebanyak 1,000 unit bagi tahun ini.

     
     
  • BMW R 1300 GS Adventure tiba di Malaysia – empat versi, lebih kelengkapan, harga bermula RM150k

    BMW R 1300 GS Adventure tiba di Malaysia – empat versi, lebih kelengkapan, harga bermula RM150k

    Abang besar kepada R 1300 GS yang dilancarkan di Malaysia Mei tahun lalu, iaitu R 1300 GS Adventure kini sudah tiba di Malaysia dengan dilancarkan sewaktu Malaysia Auto Show 2025. Setakat ini hanya harga jangkaan yang dikeluarkan, bermula RM150,000 untuk versi Standard, RM155,000 untuk Triple Black dan GS Trophy, dan RM165,000 untuk Option 719. Semua harga ini tidak termasuk insurans dan diberikan bersama jaminan tiga tahun tanpa had batuan.

    Sekali pandang sahaja motosikal adventure paling atas dalam barisan produk BMW Motorrad ini sudah dapat dikenali, terutamanya melalui bentuk tangki berpetak, yang boleh diisi dengan 30 liter minyak, berbanding 19 liter pada R 1300 GS biasa.

    Bentuk bahagian lain juga adalah berbeza, termasuk paruh, penghadang angin hadapan (selain lebih tinggi, juga mempunyai tambahan di tepi untuk perlindungan yang lebih baik), tempat duduk serta kerangka belakang. Semua beg barangan iaitu beg tepi aluminium berkapasiti 37 liter (kiri), 36.5 liter (kanan) dan kotak barangan belakang belakang 37 liter dijual secara berasingan.

    Suspensi EVO-Telelever di hadapan dan EVO-Paralever di belakang baru sama seperti R 1300 GS masih digunakan pada versi GSA ini, tetapi ia dipertingkat lagi dengan penyerap dan spring Dynamic Suspension Adjustment (DSA) yang boleh melaras secara automatik bergantung kepada mod tunggangan, keadaan jalan serta keadaan pengendalian. Dalam keadaan standard, tinggi tempat duduk adalah antara 870 mm atau 890 mm.

    GSA baru ini juga melihatkan penambahan kelengkapan standard lain seperti pemanas tangan, lampu tambahan, sistem tanpa kunci, pemerhati tekanan angin tayar, Engine Drag Torque Control, Full Integral ABS Pro serta Dynamic Cruise Control dengan fungsi brek, yang tiada pada R 1250 GS Adventure sebelum ini.

    Pakej Riding Assistant yang termasuk Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW), Lane Change Warning, Rear End Collision Warning (RECW) dan Adaptive Vehicle Height Control juga diberi secara terus untuk semua varian, sementara Automated Shift Assistant (ASA) hanya datang pada GSA Triple Black, GS Trophy dan Option 719. Walaubagaimanapun, versi Standard masih diberikan dengan Shift Assistant Pro.

    BMW R 1300 GS Adventure tiba di Malaysia – empat versi, lebih kelengkapan, harga bermula RM150k

    Spesifikasi enjin adalah sama sahaja seperti R 1300 GS biasa, iaitu menggunakan unit boxer dua silinder 1,300 cc baru berkuasa 145 hp dan dan tork 149 Nm – kini merupakan enjin boxer produksi paling berkuasa daripada BMW – dan digabungkan bersama transmisi enam kelajuan bersama sistem pacuan akhir syaf.

    Untuk mod tunggangan, R 1300 GS Adventure datang dengan Riding Modes Pro, yang memberikan tambahan mod Dynamic, Dynamic Pro dan Enduro Pro kepada Rain, Road, Eco dan Enduro yang sedia ada. Berat keseluruhan R 1300 GS Adventure Standard adalah 269 kg.

    GALERI: BMW R 1300 GS Adventure Standard

    GALERI: BMW R 1300 GS Adventure Triple Black dengan aksesori tambahan

     
     
  • BMW 330Li 2025 dikemaskini untuk pasaran M’sia — adaptive cruise control, kamera 360-darjah, RM320,800

    BMW 330Li 2025 dikemaskini untuk pasaran M’sia — <em>adaptive cruise control</em>, kamera 360-darjah, RM320,800

    Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung hujung minggu ini bakal menampilkan pelbagai model baru dan yang akan datang untuk pasaran tempatan. BMW misalnya memperkenalkan model BWM 330Li M Sport. Ia versi facelift yang sama dengan G20 3 Series yang diperkenalkan Januari lalu, tetapi diberikan tambahan pilihan naik taraf tersendiri.

    Model ini dijual dengan harga RM320,800 atas jalan belum termasuk insurans. Sebagai perbezaan, model sebelum ini dijual dengan harga RM314,800, dengan jaminan standard dua-tahun, tanpa had perbatuan. Jika dipilih dengan pilihan jaminan lima-tahun dan pakej servis (yang dilanjutkan setahun hingga 31 Mei, menjadikan enam tahun semuanya), harganya ialah RM347,200.

    Perubahan yang terlibat pula tidak terlalu banyak. Paling utama ialah adanya ciri kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, walaupun ciri autonomous Tahap 2 dengan bantuan ke tengah lorong masih belum tersedia untuk pemilik di Malaysia. Ini terdiri daripada ciri AEB, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, amaran perlanggaran belakang, pengesan papan tanda trafik dan lampu tinggi automatik.

    BMW 330Li 2025 dikemaskini untuk pasaran M’sia — <em>adaptive cruise control</em>, kamera 360-darjah, RM320,800

    Selain itu ada juga tambahan sistem kamera 360-darjah (dengan paparan 3D jarak jauh melalui aplikasi My BMW) bagi Parking Assistant Plus yang menggantikan kamera undur. Ia juga datang dengan sistem audio Harman Kardon 464-watt dengan 16-pembesar suara (naik daripada 10-pembesar suara dan Hi-Fi 205-watt).

    Selebihnya semua kekal sama, dengan adanya pakej BMW Live Cockpit Professional yang terdiri daripada paparan skrin lebar melengkung, dengan kluster instrumen digital 12.3-inci dan skrin sentuh 14.9-inci untuk infotainmen, serta head-up display. Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar juga tersedia, begitu juga dengan pengecas tanpa wayar Qi.

    Kelengkapan lain yang ada termasuk stereng rata di bawah serta kerusi sport dengan memori untuk pemandu, dalam balutan kulit Vernasca serta papan pemuka balutan kulit buatan Sensatec. Kemasan warna grafite gelap serta galvanic silver untuk suis gear dikekalkan, dengan kini disertakan tombol iDrive kristal CraftedClarity, butang penghidup enjin dan pemilih gear.

    Ciri lain yang masih sama adalah bodykit M Sport, rim 18-inci jejari berkembar Style 848 M, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin tiga zon, bumbung panormik kaca, lampu ambient dan cermin anti silau. 330Li M Sport ditawarkan dalam pilihan warna Carbon Black, M Brooklyn Grey atau Arctic Race Blue, dengan ruang dalaman kemasan warna mocha atau cognac.

     
     
  • Proton eMas lebih kecil dan murah akan muncul di MAS 2025 – asas Geely Star Wish, 116 PS, 410 km?

    Proton eMas lebih kecil dan murah akan muncul di MAS 2025 – asas Geely Star Wish, 116 PS, 410 km?

    Proton nampaknya akan membuat satu pengenalan penting sewaktu Malaysia Autoshow (MAS) 2025, yang akan berlangsung 9-15 Mei ini. Dalam laman media sosial, syarikat itu telah menyiarkan teaser sebuah model yang akan menyertai barisan kenderaan elektrik (EV) eMas mereka, yang setakat ini cuma terdiri daripada eMas 7.

    Dipercayai adalah eMas 5 (tanda dagangnya telah didaftar), model dalam teaser yang gelap ini menyerupai Geely Star Wish atau juga dikenali sebagai Geome Xingyuan. Antara petunjuknya adalah bentuk cermin sisi serta garis melintang pada kemasan berhampiran c-pillar. Walaubagaimanapun, ini mungkin juga boleh jadi adalah eMas 3 kerana tanda dagang nama itu juga sudah didaftar.

    Star Wish/Xingyuan mula muncul pada September tahun lepas dan meletakkan BYD Dolphin sebagai pesaing. Ia lebih kecil berbanding eMas 7 dengan ukuran panjang 4,135 mm, lebar 1,805 mm, tinggi 1,570 mm dan jarak roda 2,650 mm.

    Di China, EV ini datang dengan tetapan pacuan roda belakang serta bateri lithium iron phosphate (LFP) CATL yang mengambil masa 21 minit untuk naik dari 30-80% (SoC). Pilihan pertama yang diberi adalah bateri 30.12 kWh, yang boleh memberikan jarak gerak sehingga 310 km mengikut standard CLTC, dipadankan bersama motor elektrik berkuasa 79 PS (78 hp atau 58 kW) dan tork 130 Nm.

    Pilihan kedua pula mampu memberikan jarak gerak sehingga 410 km, hasil daripada penggunaan bateri 40.16 kWh, sambil menghasilkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan tork 150 Nm. Harga untuk Star Wish/Xingyuan di China adalah antara 68,800 ke 97,800 yuan (sekitar RM40k ke RM57k).

    Bergantung kepada varian, kelengkapan untuk model ini boleh termasuk rim 16 inci, lampu hadapan dan belakang LED, skrin sesentuh 14.6 inci untuk infotainmen (atau 10.1 inci), lampu suasana 256 warna, enam pembesar suara (atau empat), pembekal kuasa luar 3.3 kW, tempat duduk larasan kuasa atau manual, panel meter digital 8.8 inci, pengecas tanpa wayar 50W, pendingin hawa automatik dengan corong belakang serta pakej ADAS.

    Memandangkan ia terletak di bawah eMas 7, eMas 5 (atau eMas 3) ini dipercayai akan menjadi EV paling mampu milik daripada Proton. Para pengedar sudah pun berpeluang mendekati Star Wish/Xingyuan ini, dan kami juga sudah bertemu dengannya di Bangkok Mac lalu. Adakah anda juga menunggu model ini?

    GALERI: Geely Star Wish di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2025

     
     
  • Harga minyak 8-14 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 8 sen seliter

    Harga minyak 8-14 Mei – diesel untuk semenanjung dan RON97 masing-masing diturunkan 8 sen seliter

    Bagi minggu bertarikh 8 hingga 14 Mei 2025, Kementerian Kewangan (MoF) memutuskan untuk menurunkan harga runcit bagi petrol RON 97 sebanyak 8 sen seliter, menjadi RM3.10 seliter berbanding RM3.18 seliter pada minggu lalu.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bukan itu sahaja, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia juga diturunkan sebanyak 8 sen seliter iaitu kini RM2.80 seliter berbanding RM2.88 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • KTMB sediakan perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur – 5 & 8 Jun 2025

    KTMB sediakan perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur – 5 & 8 Jun 2025

    Sempena dengan perayaan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut bulan hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur yang akan beroperasi dengan dua perkhidmatan bagi memenuhi keperluan rakyat pulang ke kampung.

    “Tiket akan dijual bermula jam 10 pagi esok (8 Mei). Sepanjang tempoh perkhidmatan tren khas ini, sebanyak 436 tiket ditawarkan bagi setiap perjalanan menjadikan jumlah keseluruhan 872 tiket.

    “Perkhidmatan ini menawarkan tambang sehala bermula RM80 hingga RM95 dengan pilihan koc tempat duduk kelas premier, koc tempat duduk kelas superior, koc tempat tidur kelas superior dan kemudahan koc chillax serta koc cafe,” kata KTMB menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    KTMB sediakan perkhidmatan tren khas Ekspres Lambaian Aidiladha ke Pantai Timur – 5 & 8 Jun 2025

    KTMB turut memaklumkan tren khas berkenaan akan memulakan perjalanan jam 11 malam pada 5 Jun dari KL Sentral menuju ke Tumpat, Kelantan dan jam 10.45 malam pada 8 Jun dari Tumpat ke KL Sentral. Tren akan berhenti di 16 stesen iaitu Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

    “KTMB akan terus mendukung inisiatif kerajaan memperluas pilihan pengangkutan awam dengan menyediakan tren khas bagi membantu mengurangkan kesesakan di laluan Pantai Timur yang lazimnya padat setiap musim perayaan, sekaligus memudahkan rakyat pulang beraya bersama keluarga dengan selesa dan selamat.

    “Perkhidmatan khas ini juga dilihat turut memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur. Selain itu, pengguna dinasihatkan tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk,” kata KTMB lagi.

    Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB.

     
     
  • Masa depan Proton di Afrika Selatan kini goyah?

    Masa depan Proton di Afrika Selatan kini goyah?

    Selepas lebih dua tahun berada semula di Afrika Selatan, laporan dari portal Cars.co.za menyatakan masa depan Proton di pasaran berkenaan kini tidak menentu kerana jualan yang kurang memberangsangkan akibat harga yang tidak kompetitif.

    Portal berkenaan memetik laporan tahunan bersepadu 2025 pengedar Proton di Afrika Selatan iaitu Combined Motor Holdings (CMH) Group yang menyatakan operasi mengimport dan mengedar kenderaan dari Malaysia berkenaan kini “terus mencabar dan menelan kos yang tinggi”.

    “Inventori sedia ada akan habis dijual pada separa pertama tahun [kewangan] akan datang, dan selepas itu Kumpulan dan pengeluar dari Malaysia berkenaan akan memutuskan apa yang perlu dibuat pada masa hadapan,” kata CEO Kumpulan CMH Jebb McIntosh dalam laporan itu.

    Dalam pembentangan laporan kewangan berkaitan syarikat itu untuk 2025, CMH Group menyatakan jumlah stok Proton dalam inventori kini adalah sedikit dan dijangka akan habis dijual pada penghujung Ogos 2025.

    CMH Group menyatakan produk bukan masalah untuk kemelut ini kerana model-model Proton diterima baik oleh pengguna tempatan serta jumlah tuntutan waranti yang dicatatkan juga rendah, tetapi harga yang ditawarkan “agak bermasalah”.

    Proton kini menjual empat model di Afrika Selatan iaitu sedan Saga, dan tiga SUV termasuk X50, X70 dan X90. Model paling mampu milik sudah tentulah Saga dijual pada harga bermula R209,900 (sekitar RM49k) untuk varian 1.3 Standard MT sehingga R244,900 (sekitar RM57k).

    Buat masa sekarang Proton mempunyai 17 pengedar bertauliah di Afrika Selatan. Laporan portal ini turut menyebut bahawa Proton hanya menjual 888 unit kenderaan sepanjang 2024, atau secara purata hanya 74 unit sebulan. Manakala untuk suku pertama 2025 Proton telah menjual sebanyak 226 unit kenderaan di sana atau secara purata 56 unit sebulan.

    Dalam perkembangan berkaitan, sekutu Proton iaitu Geely bakal masuk semula ke pasaran Afrika Selatan, dan perkara ini telah disahkan oleh CEO Geely Auto, Jerry Gan Mac lalu. Geely dikesan sudahpun mendaftar nama untuk kembar Proton eMas 7 iaitu Geely E5 dan EX5.

    Sama seperti Proton, Geely sebelum ini pernah bertapak di Afrika Selatan dan kemudian ‘gulung tikar’ di pasaran pemanduan sebelah kanan tersebut sekitar 10-tahun lalu.

     
     
  • Volvo XC70 akan kembali sebagai model PHEV extended range pertama syarikat, platform SMA baru

    Volvo XC70 akan kembali sebagai model PHEV extended range pertama syarikat, platform SMA baru

    Volvo mengumumkan, XC70 menjadi model plug-in hybrid extended-range (RE-PHEV) pertama mereka. Direka untuk memenuhi permintaan kenderaan plug-in hybrid dengan jarak gerak lebih jauh di China, XC70 ini dibina atas platform Scalable Modular Architecture (SMA) syarikat itu dan dikatakan dapat memberi jarak gerak elektrik sehingga 200 km mengikut standard ujian CLTC.

    Perincian sebenar masih belum didedah tetapi RE-PHEV memberi petunjuk bahawa motor elektrik yang mendapat kuasa daripada bateri akan menggerakkan roda hadapan, sementara range extender, yang merupakan enjin pembakaran dalaman akan mula beroperasi apabila tahap bateri turun ke jumlah tertentu. Antara contoh kenderaan yang menggunakan sistem ini adalah Mazda MX-30 R-EV.

    “Dengan jarak gerak elektrik lebih jauh dan kemampuan mengecas pantas, XC70 membenarkan anda untuk berhadapan dengan perjalanan harian tanpa emisi ekzos dan kos rendah, sementara enjin pembakaran dalaman yang cekap memberi fleksibiliti untuk perjalanan lebih jauh. Ini bermakna, anda boleh bergerak lebih jauh tanpa perlu risau berkenaan mengecas atau mengisi minyak,” kata Volvo dalam siaran akhbarnya.

    Nama XC70 ini bukanlah baru bagi Volvo, dan sebelum ini ia pernah digunakan untuk V70 generasi kedua versi Cross Country (dipanggil sebagai V70 XC) bagi menjadikan ia sama sepeti XC90 pada awal tahun 2000. Model kelahiran semula ini nampaknya meneruskan legasi tersebut dan dipanggil sebagai sebuah “kereta keluarga serba boleh, sedia untuk bermacam pengembaraan.”

    Nampak seperti sedikit lebih tinggi dan lebih luas berbanding XC60, XC70 baru ini menampilkan elemen rekaan yang digunakan model Volvo terbaru seperti EX90 dan XC90 facelift. Pada bahagian hadapan terdapat lampu DRL Thor’s Hammer, sementara berasingan di bawahnya terdapat lampu utama dengan teknologi LED matriks. Bahagian belakang menggunakan pencahayaan lampu berbentuk C, sementara lencana ‘AWD’ memberi petunjuk akan terdapat versi pacuan semua roda.

    “XC70 menjadi petanda kemasukan strategik kami ke dalam segmen plug-in hybrid extended range, satu penghubung sempurna ke arah elektrifikasi penuh. Ia membenarkan kami untuk kekal membangunkan portfolio produk yang seimbang, sambil menawarkan alternatif menarik kepada pelanggan yang masih belum bersedia untuk kereta elektrik penuh,” kata presiden dan CEO Volvo Cars. Informasi lanjut berkenaan XC70 akan didedahkan dalam masa beberapa bulan akan datang.

     
     
  • Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition dilancar di Malaysia – RM265k; kemasan-kemasan istimewa

    Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition dilancar di Malaysia – RM265k; kemasan-kemasan istimewa

    Selain memperkenalkan Golf GTI Black Edition dan Tiguan Allspace Wolfsburg Edition, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) turut melancarkan Volkswagen Arteon Wolfsburg Edition, di mana ketiga-tiga model edisi istimewa ini akan membuat kemunculan di Malaysia Autoshow (MAS) 2025 minggu ini. Model ini diasaskan dari coupe empat pintu Arteon R-Line 4 Motion dan diberikan beberapa perincian istimewa.

    VPCM mengumumkan bahawa Arteon R-Line 4Motion Wolfsburg Edition ini dijual pada harga runcit yang disarankan RM304,990, atau RM306,012 untuk harga atas jalan tanpa insuran, iaitu RM5,000 lebih mahal dari Arteon R-Line biasa. Harga berkenaan juga sudah termasuk Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis selama tujuh-tahun atau 105,000 km.

    Tetapi sekiranya anda tidak mahukan pakej VAP, harga atas jalan untuk Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini hanyalah RM292,612, dan ia hanya diberikan perlindungan waranti selama dua-tahun. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM40,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini turun kepada RM 264,990 (atau harga atas jalan tanpa insuran RM266,012).

    Volkswagen Arteon R-Line Wolfsburg Edition dilancar di Malaysia – RM265k; kemasan-kemasan istimewa

    Antara perincian berlainan yang diberikan pada model istimewa ini termasuk pemadanan plat dengan logo Wolfsburg pada tiang B, penutup injap angin tayar juga dengan logo Volkswagen, penutup hub roda dengan logo Volkswagen yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing dan juga jalur pelindung pada penutup but belakang.

    Manakala dalam kabin, Arteon istimewa ini diberikan set karpet Wolfsburg Edition, serta dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

    Satu lagi perincian yang diberikan pada Arteon istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Arteon Wolfsburg Edition yang sah dari kilang.

    Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan di mana Arteon R-Line Wolfsburg Edition ini terus digerakkan dengan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder berkuasa 280 PS dan tork maksima 350 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda 4Motion.

    Perincian Arteon R-Line juga terus dibawa ke model ini termasuk rim aloi 19-inci ‘Montevideo’, lampu-lampu luaran LED, pakej penggayaan R-Line, upholsteri kulit Nappa dengan cetakan karbon, tempat duduk sport di hadapan, lampu suasana 30-warna, penghawa dingin tiga-zon, mod pemanduan yang boleh dipilih, dan pad pengecas tanpa wayar.

    Untuk hiburan, ia dibekalkan dengan skrin 9.2-inci Discover Pro dengan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto, disambungkan kepada sistem Harmann Kardon 700-watt. Manakala untuk keselamatan, Arteon ini hadir dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Volkswagen IQ.Drive.

     
     
  • ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Projek East Coast Rail Link (ECRL) kini telah mencapai kadar siap keseluruhan 82.45% setakat April, jelas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Beliau menjelaskan, pemasangan landasan meliputi 400 km bagi laluan utama dari Maran, Pahang ke Kota Bharu, Kelantan telah siap sepenuhnya dan setengah bulan lebih awal berbanding jadual asal, lapor The Star.

    “Untuk itu, pemasangan landasan bagi 100 km berikutnya dari Maran ke Bentong, Pahang akan dimulakan bulan ini dan dijangka selesai pada hujung Jun 2025,” ujarnya. Beliau menambah, pembinaan stesen ECRL juga berjalan dengan sewajarnya dan dijangka akan siap sepenuhnya pada suku kedua 2026 nanti, untuk membolehkan fasa operasi percumaan projek ini dimulakan.

    “Selain itu, keseluruhannya ada 11 tren EMU enam-gerabak yang dikeluarkan oleh CRRC Dalian telah diperuntukkan untuk operasi ECRL, dan yang pertama dijangka akan tiba di negara ini pada hujung tahun ini nanti,” tambahnya.

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Tren EMU ini akan beroperasi pada kelajuan maksimum 160 km/j dan memerlukan masa hanya empat jam perjalanan dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak sebaik sahaja servis komersialnya bermula pada Januari 2027. “Bersamaan dengan itu, projek ini juga memperuntukkan 12 set E-Loco daripada CRRC Dalian untuk pengangkutan kargo, dengan set pertama dijangka tiba hujung tahun ini,” tambahnya.

    Loke juga mengumumkan yang operasi ECRL telah dimulakan untuk meninjau aspek operasi dan penyelenggaraan (O&M) projek ECRL ini. Penubuhan entiti baru ini adalah selari dengan rancangan kerajaan untuk memperkukuh sektor keretapi negara dengan memperluas perkhidmatannya dan mencipta peluang pekerjaan.

    Beliau menambah, sekitar 1,800 pekerja akan diperlukan sebaik sahaja fasa operasi ECRL bermula pada awal 2027 nanti. “Dengan operasi dijangka dimulakan tidak lama lagi, fasa O&M adalah sangat penting. Kita perlu pastikan yang projek ini dikendalikan oleh tenaga kerja tempatan yang tidak hanya berkemahiran tinggi, tetapi juga mahir dalam pengendalian keretapi moden,” ujarnya.

    ECRL kini pada tahap 82.45% siap, laluan Maran-Kota Bharu sepanjang 400 km selesai awal — Loke

    Projek usahasama 50:50 antara Malaysia Rail Link (MRL) dan China Communications Construction (CCCC) ini diumumkan pada 2016. Ia kemudiannya dibatalkan pada 2018 sebelum disambung semula tahun berikutnya dengan pertukaran jajaran yang terlibat.

    Laluan sepanjang 665 km yang menghubungkan Kota Bharu dan Pelabuhan Klang ini akan mempunyai 59 terowong, dijangka akan memendekkan masa perjalanan kepada empat jam berbanding tujuh jam yang diperlukan untuk jalan raya biasa, atau lebih 12 jam pada musim perayaan.

     
     
  • 70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    Kita memang sering dikhabarkan dengan berita kemalangan jalan raya yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, malah saban tahun golongan ini menjadi penyumbang terbesar dalam insiden maut, meliputi 70% setahun dengan melibatkan 6,000 kematian.

    Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) menunjukkan bahawa walaupun jumlah kematian berkaitan motosikal adalah 12 kali lebih tinggi berbanding yang melibatkan kereta, namun hanya 13% daripada kes kemalangan berpunca daripada penunggang motosikal, laporan The Star.

    Menurut koordinator VTAREC, Mas Tina Abdul Hamid, kajian yang dijalankan oleh pihaknya mendedahkan bahawa 67% kemalangan berpunca daripada kereta, manakala 20% disebabkan oleh kenderaan komersil. “Selalunya, penunggang motosikal yang dipersalahkan apabila terlibat dengan kemalangan, tetapi di sini kita telah mengetahui bahawa pemandu kereta yang perlukan kesedaran yang lebih tinggi tentang keselamatan jalan raya dan perlu dididik mengenai pemanduan defensif,” katanya.

    70% kemalangan maut libatkan penunggang motosikal, 13% berpunca daripada mereka – VTAREC

    Beliau berkata, kajian itu juga mendedahkan bahawa data mengenai kemalangan jalan raya dan kematian berada pada tahap membimbangkan. “Secara purata, seorang pemandu terbunuh setiap 80 minit. Kesilapan manusia adalah punca utama kemalangan jalan raya, menjadikannya sehingga lapan daripada 10 faktor yang menyebabkan kemalangan jalan raya. Jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya secara tahunan boleh memenuhi kubur yang mungkin memerlukan tapak seluas enam padang bola sepak,” katanya.

    Statistik mengenai kemalangan jalan raya adalah sebahagian daripada data yang didedahkan oleh VTAREC dalam taklimatnya yang diadakan sempena pelancaran kempen kesedaran awam VTAREC 2025 mengenai kecurian kenderaan dan kemalangan jalan raya. Dalam majlis yang sama, VTAREC turut mendedahkan model kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan tahun lalu iaitu Perodua Myvi menduduki senarai teratas, diikuti Proton Saga, Honda City dan motosikal Yamaha 135LC.

     
     
  • Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Sebelum ini, hanya Arteon yang didatangkan dalam penawaran Wolfsburg Edition oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia’s (VPCM) untuk pasaran tempatan. Kini, Tiguan Allspace juga mengikut jejak yang sama, dan akan dipamerkan di Malaysia Autoshow 2025, minggu ini.

    Dua varian ditawarkan bagi Tiguan Allspace Wolfsburg Edition ini, iaitu Elegance dan R-Line 4Motion — kedua-duanya hadir dengan harga pengenalan sebagai permulaan. Varian Elegance Wolfsburg Edition dijual dengan harga RM210,990 atau RM211,590 jika mengambil kira kos atas jalan dan belum termasuk insurans.

    Dengan harga ini, Elegance Wolfsburg Edition RM5,000 lebih mahal berbanding Elegance biasa, tetapi dengan harga pengenalan yang ditawarkan, harga jualannya diturunkan sebanyak RM30,000 menjadi RM180,990, atau RM181,590 atas jalan belum termasuk insurans.

    Bagi varian R-Line 4Motion Wolfsburg Edition, harga biasa ialah RM263,990 atau RM265,074 atas jalan belum termasuk insurans. Harga ini juga RM5,000 lebih mahal berbanding R-Line 4Motion standard. Namun, dengan harga pengenalan, ia diturunkan sebanyak RM20,000 menjadi RM243,990 atau RM245,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Dibandingkan dengan varian biasa Tiguan Allspace, Wolfsburg Edition ini lebih murah. Sebagai konteks, Elegance biasa dijual dengan harga RM205,990 atau RM206,590 atas jalan belum termasuk insurans, sementara untuk R-Line 4Motion dengan harga RM258,990 atau RM260,074 atas jalan belum termasuk insurans.

    Sama juga seperti Arteon Wolfsburg Edition dan Golf GTI Black Edition, Volkswagen Assurance Package (VAP) kini diperkemas untuk Tiguan Allspace Wolfsburg Edition. Ia kekal ditawarkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan lima-tahun, tetapi pakej selenggara telah dinaikkan menjadi tujuh tahun atau 105,000 km (yang mana dulu) daripada lima-tahun/75,000 km.

    Antara penambahbaikan yang dibuat untuk Wolfsburg Edition termasuklah lencana Wolfsburg di tiang B, dashcam Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 (UTR2.0) depan dan belakang, penutup tiub tayar Volkswagen serta kotak pemilik yang mengandungi pemegang kunci Volkswagen, sijil keaslian dan alas kaki Wolfsburg Edition.

    Kedua-dua varian juga datang dengan pelindung bucu (termasuk untuk bampar depan), talam but polypropylene, ruang letak dan cangkuk yang ada di belakang kerusi depan serta pedal sport aluminium (Elegance sahaja).

    Volkswagen Tiguan Allspace Wolfsburg Edition 2025 di M’sia — Elegance dari RM181k, R-Line dari RM244k

    Selain perubahan tersebut, spesifikasi lain kekal sama seperti Tiguan Allspace Standard. Elegance dikuasakan oleh enjin 1.4 liter turbocas empat-silinder sebaris petrol yang menjana 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan 250 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear klac berkembar basah enam-kelajuan.

    R-Line 4Motion pula menggunakan enjin 2.0 liter TSI dengan janaan 220 PS (217 hp atau 162 kW) dan 350 Nm, yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.

     
     
  • Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

    Volkswagen Golf GTI Black Edition diperkenal di Malaysia; lebih ‘gelap’, ada dashcam, bermula RM245k

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telahpun memperkenalkan hot-hatch edisi terhad Volkswagen Golf GTI Black Edition untuk pasaran tempatan, dan model ini akan membuat kemunculan sulungnya di Malaysia Autoshow 2025 yang akan berlangsung minggu ini. Berbanding model standard, Black Edition ini menampilkan beberapa aksesori tambahan bersama beberapa perincian penggayaan dengan tema lebih ‘gelap’.

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM247,512 dengan pakej asas waranti selama dua-tahun. Sekiranya anda mahukan perlindungan lebih menyeluruh dengan Volkswagen Assurance Package (VAP) yang memberikan perlindungan waranti selama lima-tahun serta pakej servis yang kini panjangkan sehingga tujuh-tahun, ia ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM260,012.

    Oleh itu harga untuk Golf GTI Black Edition ini adalah RM6,000 lebih mahal dari Golf GTI Mk8 biasa. Walau bagaimanapun VPCM kini bermurah hati untuk menawarkan diskaun pengenalan bernilai RM15,000, menjadikan harga atas jalan tanpa insuran Golf GTI Black Edition ini turun kepada RM 245,012.

    GTI Black Edition ini hadir hanya dengan dua warna badan iaitu Kings Red atau Deep Black. Kemudian cermin-cermin tingkap dilapisi filem penapis cahaya berwarna hitam (tetapi masih memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan), dan plat ‘Black’ ditampal pada perapi tiang-B.

    Imej gelap Golf GTI Black Edition ini turut ditambah menerusi kemasan hitam pada set rim “Richmond” 18-inci yang turut dihiasi penutup tengah “GTI” yang sentiasa dalam keadaan mendatar walaupun roda berpusing, serta penutup injap angin juga dengan logo GTI.

    Manakala pada bahagian dalaman, Golf Black Edition ini menerima set karpet istimewa dan juga dashcam asli Volkswagen yang digelar sebagai Volkswagen Universal Traffic Recorder 2.0 pada bahagian hadapan dan belakang. Dashcam berkenaan menampilkan penderia imej pandangan malam Sony Starvis yang didakwa mampu memberikan video QHD pada kelajuan tinggi walaupun dalam keadaan gelap, bersama hubungan Wifi 5 GHz dual-band yang membolehkan proses muat turun dibuat lebih cepat.

    Satu lagi perincian yang diberikan pada Golf istimewa ini adalah pembahagian kargo pada bahagian but belakang, yang lengkap dengan pelekat velcro untuk memastikan ia tidak bergerak dan masih boleh dicabut dengan mudah. Untuk lebih istimewa, pemilik turut akan diberikan pemegang kunci Volkswagen serta sijil pengesahan keaslian bagi membuktikan ia adalah Golf Black Edition yang sah dari kilang.

     
     
  • Honda M’sia anjur promo Mei 2025 – rebat RM8k untuk CR-V, HR-V; diskaun untuk City RM6k, Civic FL RM5k

    Pejam celik pejam celik, kita dah nak masuk pertengahan tahun 2025. Cepat betul masa berlalu. Bagi yang ingin membeli kereta baharu, mungkin inilah masa yang paling sesuai untuk membuat keputusan. Untuk yang kepingin menjadi ‘Bangsa H’, Honda Malaysia (HM) sedang menganjurkan promosi ‘Mid Year Big Vibes’ sepanjang bulan ini. Maka, bolehlah anda memilih model mana yang sesuai dengan gaya hidup dan bajet anda.

    Untuk promosi kali ini, HM menawarkan rebat sehingga RM8,000 dan ia untuk stok buatan tahun 2025. Kesemua model pemasangan tempatan (CKD) termasuk dalam promosi ini, termasuk Civic facelift yang dilancarkan awal tahun ini.

    Bagi sedan City, ia diberikan diskaun bermula RM2,000 untuk model asas S, meningkat ke RM6,000 untuk varian E, V dan RS, manakala RS hybrid pula ditawarkan dengan potongan sebanyak RM4,000. Bagi City Hatchback pula, ia ditawarkan potongan sebanyak RM4,000 untuk kesemua varian kecuali RS hybrid yang diberikan diskaun RM2,500. Manakala WR-V pula menerima diskaun sebanyak RM4,000 untuk semua varian.

    Bagi HR-V pula, ia ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM8,000 bagi model asas S dan spesifikasi pertengahan pengecas turbo E, sementara V turbo pula menerima potongan RM5,000 dan RM6,000 untuk RS hybrid. Untuk abangnya, CR-V pula, diskaun RM8,000 untuk semua varian. Yang berkenan dengan Civic facelift pula, ia ditawarkan dengan rebat sebanyak RM5,000 untuk semua varian kecuali RS (yang ditawarkan dengan potongan sebanyak RM4,000).

    Kesemua diskaun yang ditawarkan ini adalah untuk kenderaan yang didaftar sekarang sehingga 31 Mei 2025. Anda boleh menyemak senarai penuh model Honda yang diberikan diskaun seperti di bawah.

    Honda M’sia anjur promo Mei 2025 – rebat RM8k untuk CR-V, HR-V; diskaun untuk City RM6k, Civic FL RM5k

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025