Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Sultan Johor pilih Proton Perdana baharu untuk ‘F 1’

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berjaya mendapatkan ‘F 1’ memilih untuk memadankan nombor pendaftaran tersebut dengan Proton Perdana baharu. Semalam, Sultan Ibrahim berkenan untuk memasang sendiri nombor plat berkenaan pada model terbaharu Proton Perdana bernilai kira-kira RM138,000 itu di Istana Pasir Pelangi.

    Baginda kemudian memandu Proton Perdana varian 2.4L itu bersama Ahli Lembaga Pengarah Proton Holdings Bhd, Datuk Zainuddin Che Din dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Fuaad Kenali. Baginda memandu kenderaan itu dari Istana Pasir Pelangi menuju ke Istana Bukit Serene.

    Pada Khamis lalu, Sultan Johor memenangi bidaan nombor plat kenderaan ‘F’1’ iaitu siri nombor pendaftaran baharu bagi Putrajaya dengan bidaan sebanyak RM836,660. Sebelum ini, baginda juga berjaya memiliki ‘W1N’ dengan harga RM748,000 pada tahun 2014 dan ‘WWW 1’ berharga RM520,000 pada tahun 2012.

    Pada pertengahan Mei lalu, timbalan menteri pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi mengumumkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menerima nombor pendaftaran kenderaan baharu yang bermula dengan abjad ‘F’ dan ‘V’ untuk kenderaan yang didaftarkan pada Jun dan Julai ini.

    Dilancarkan pada pertengahan bulan Jun lalu, Proton Perdana generasi ke-empat ini hadir dengan dua varian iaitu 2.0 dan 2.4. Ia ditawarkan pada harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM113,888 bagi varian 2.0. Manakala 2.4 pula berharga RM138,888. Kedua-duanya turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).

    Perdana 2016 ini masih lagi mengekalkan enjin Honda K24Z 2.4 liter i-VTEC DOHC empat-silinder untuk varian 2.4L dengan kuasa sehingga 178 hp pada takat 6,500 rpm dan tork puncak 222 Nm pada takat 4,300 rpm. Begitu juga dengan varian 2.0L dengan enjin Honda R20A 2.0 liter i-VTEC SOHC empat-silider dengan hamburan kuasa 154 hp pada takat 6,300 rpm dan tork sehingga 189 Nm pada takat 4,300 rpm. Kedua-dua varian ini juga menggunakan kotak gear automatik lima-kelajuan, juga dari Honda.

    Baca ulasan ringkas pandu uji Proton Perdana baharu ini di sini.

     
     
  • Puspakom beroperasi separuh hari pada 5 Julai ini

    puspakom-cermin-gelap-850x534

    Puspakom telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa semua pusat pemeriksaannya di seluruh negara akan beroperasi separuh hari pada hari Selasa, 5 Julai 2016 bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

    Walau bagaimana pun, Puspakom akan memastikan setiap temujanji pemeriksaan pada hari tersebut mengikut jadual dan berjalan dengan lancar.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, para pelanggan yang mempunyai tarikh pemeriksaan yang luput pada 5 Julai dan ingin menjalankan pemeriksaan pada hari tersebut dinasihatkan membuat perancangan awal dengan mengunjungi pusat pemeriksaan Puspakom sebelum 12 tengah hari.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami telah mengambil inisiatif dengan melanjutkan waktu operasi pada hari Sabtu, 25 Jun 2016 dan 2 Julai 2016 sehingga 5.00 petang dan langkah ini telah dapat memenuhi permintaan pemeriksaan yang tinggi menjelang musim perayaan ini.”

    Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Puspakom di 1-800-88-6927 atau emel [email protected].

     
     
  • Kadar bayaran meletak kenderaan di tepi jalan di KL bakal dinaikkan bulan hadapan, ikut masa maksimum

    Public-Parking-Lots

    Kadar bayaran bagi parkir di tepi jalan di Kuala Lumpur khususnya di tempat tumpuan perniagaan bakal dinaikkan bulan hadapan. Malah masa yang ditetapkan bagi parkir di tepi jalan juga dihadkan kepada dua jam, selepas daripada itu, kenderaan akan ditunda.

    Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, perkara ini akan diimplementasikan bagi menggelakkan orang ramai memandu memasuki pusat bandar tanpa keperluan penting, selain mahu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, laporan News Strait Times.

    “Sebelum ini, kadar bayaran yang dikenakan adalah antara 50 sen hingga 80 sen sejam. Namun bagi kadar bayaran baharu ini akan ditetapkan menjadi RM2 untuk sejam pertama dan RM3 untuk jam kedua. Malah mulai 18 Julai ini, jangka masa maksimum meletakkan kenderaan di tepi jalan ditetapkan hanya dua jam.

    “Jika melebihi tempoh masa yang ditetapkan, kita tidak akan mengeluarkan saman. Sebaliknya, kita akan terus mengunci tayar atau pun menunda kenderaan tersebut,” ujar Tengku Adnan.

    Beliau turut berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai ruang parkir yang masih sedia ada menerusi papan tanda elektronik sama ada di kompleks parkir atau bangunan komersial di sekitar pusat bandar untuk menghalang orang ramai daripada meletakkan kenderaan di tepi jalan.

    “Kami mahu menguatkuasakan peraturan baharu ini, terutamanya di tempat tumpuan perniagaan seperti sekitar Bukit Bintang, Ampang dan KLCC. Namun kawasan seperti Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong tidak terbabit dengan peraturan ini. Malah kami sedang mempertimbangkan untuk mengimplementasikannya di Brickfields,” sambungnya lagi.

     
     
  • Op Selamat 9/2016: 6,312 kemalangan dicatatkan dalam tempoh empat hari, Selangor catat kes tertinggi

    Crash-accident-collision

    Bagi Op Selamat 9/2016, telah mencatatkan sejumlah 6,312 kemalangan di seluruh negara sepanjang empat hari operasi bermula 29 Jun lalu. Di mana Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 2,051 kemalangan.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mahamad Khir Darus, umlah itu meningkat sebanyak 10.7% atau 610 kes berbanding 5,702 kes dalam tempoh sama tahun lalu, laporan Bernama.

    Bagi tempoh empat hari itu juga, sebanyak 64 kes kemalangan maut dicatatkan dengan 73 kematian dan bilangan ini menurun berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 89 kes kemalangan maut dengan 102 kematian. Penurunan sebanyak 25 kes kemalangan maut dan penurunan 28.4% atau 29 kematian.

    “Bagi negeri Selangor, daripada 2,051 kemalangan yang direkodkan, 16 daripadanya adalah kemalangan maut. Negeri-negeri lain yang turut mencacatkan kemalangan tinggi termasuk Kuala Lumpur dengan 895 kes, diikuti Johor sebanyak 859 kes, Pulau Pinang 478 kes dan Perak 435 kes,” katanya.

    PDRM-2

    Beliau berkata sikap pengguna jalan raya dikenal pasti menjadi punca utama yang menyumbang kepada berlakunya kemalangan, iaitu mementingkan diri sendiri.

    “Dari segi jumlah saman yang dikeluarkan, untuk tempoh empat hari operasi, sebanyak 70,775 saman trafik dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan, jumlah itu didapati meningkat lebih 1,000 bagi tempoh sama tahun lalu.

    “Untuk operasi kali ini, kita masih menumpukan kepada enam kesalahan utama yang menjurus kepada berlakunya kemalangan iaitu memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, melanggar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju selain kesalahan-kesalahan lain,” katanya.

    Dalam pada itu, Mahamad Khir berkata seramai 8,500 pegawai dan anggota trafik ditugaskan sepanjang 15 hari operasi tersebut.

    “Saya ingin menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan dan mengambil rehat secukupnya sebelum menyambung perjalanan,” katanya.

     
     
  • Trafik dijangka mengalami kesesakan berganda di pintu masuk Singapura-Malaysia sempena Aidilfitri

    johor causeway jam bernama pix

    Aliran trafik di pusat pemeriksaan imigresen di Woodlands dan Tuas dijangka akan mengalami kesesakan menjelang Aidilfitri minggu hadapan.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Penguatkuasaan Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, aliran trafik dijangka bertambah sesak pada 5 dan 6 Julai ini, laporan The Star.

    “Tahap keselamatan tetap menjadi keutmaan kami, apatah lagi bagi mengelakkan sebarang ancaman di Singapura. Dengan pemeriksaan keselamatan yang ketat, pastinya aliran lalu lintas akan bertambah sesak apabila mengalami pertambahan trafik pada musim perayaan ini,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh ICA.

    Bagi mengelakkan kesesakan luar biasa berlaku di pusat pemeriksaan tersebut, ICA menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan mereka sebaik mungkin.

    Malah ICA juga sedaya upaya akan menambah baik aliran trafik bagi kemudahan semua, tanpa berkompromi soal keselamatan.

     
     
  • PLUS umum tiada lorong tambah nilai di semua plaza tol mulai esok dan sepanjang cuti Aidilfitri

    toll plaza plus

    PLUS telah mengumumkan lorong tambah nilai kad PlusMiles dan Touch ‘n Go di Lebuh Raya Utara-Selatan tidak akan beroperasi mulai esok dan sepanjang cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

    Menurut Pengurus Wilayah Tengah PLUS Malaysia Berhad, Yusuf Abdul Aziz, langkah ini adalah untuk mengelak kesesakan di plaza tol kendaliannya, laporan Sinar Harian.

    “Bagaimanapun pusat khidmat pelanggan kami di beberapa plaza tol akan beroperasi seawal 7 pagi sehingga 10 malam setiap hari bagi kemudahan pengguna membuat urusan tambah nilai.

    Justeru, PLUS ingin menasihatkan pengguna untuk menambah nilai sebelum memulakan perjalanan dan ini boleh dilakukan di banyak tempat termasuk di stesen minyak, ATM dan pelbagai lagi.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menjangkakan beberapa kawasan bakal mengalami aliran trafik yang sesak lebih daripada biasa ekoran pertambahan 1.6 juta kenderaan di lebuhraya tersebut pada musim perayaan ini.

    Yusuf berkata, antara kawasan yang dijangka sesak di sebelah utara ialah dari Slim River sehingga Kuala Kangsar, manakala bagi laluan ke selatan dari Pedas Linggi sehingga Melaka.

    Kesesakan berikutan laluan trafik dari empat atau tiga lorong terpaksa berhimpit untuk melalui dua lorong, selain perlu melalui kawasan mendaki, katanya.

    “Bagi menyuraikan kesesakan trafik, PLUS bersedia membuka laluan kontra di kawasan berkenaan. Namun jika kesesakan amat teruk, kita akan minta pengguna lebuh raya menggunakan laluan alternatif. Diharap para pengguna mematuhi arahan semasa Plus dan pihak polis yang akan membantu mengawal selia trafik,” katanya.

    Yusuf turut mengingatkan pengguna lebuhraya agar tidak menyalahgunakan lorong kecemasan atau akan berdepan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

    “Perbuatan ini hanya akan mengganggu pengguna lain terutamanya pasukan operasi menyelamat apabila berlaku kecemasan,” katanya.

     
     
  • Nissan Serena S-Hybrid Tuned by Impul dilancarkan di Malaysia – dua varian, RM146k dan RM156k

    Impul-Serena_Front

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memperkenalkan Serena S-Hybrid Tuned by Impul. Ia ditampilkan dengan dua varian iaitu 2.0L Impul Highway Star yang dijual pada harga RM145,578 dan 2.0L Impul Premium Highway Star pula berharga RM155,863. Kedua-duanya harga atas jalan tanpa insurans.

    Hadir dengan kit badan yang istimewa iaitu bampar hadapan baharu (tidak begitu kelihatan dramatik seperti Impul Serena Premium Version di Jepun), spoiler bampar belakang, skirt sisi dan spoiler bumbung, dengan saluran sport kekemasan krom dan sirip bonet menyerlahkan lagi gayanya.

    Selain itu, ia juga ditampilkan dengan roda aloi Impul Aura SX-50 18-inci dengan kekemasan logam berkilat, yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3.

    Impul-Serena_Rear

    Kabin bagi Impul Highway Star tidak diberikan sebarang perubahan. Sebaliknya varian Impul Premium Highway Star menerima tempat duduk balutan kulit kombinasi dengan jahitan berbentuk permata serta sulaman logo Impul pada tempat duduk hadapan.

    Pelanggan dan pemilik Nissan Serena S-Hybrid CKD sedia ada yang berminat untuk mengubah suai kenderaan mereka dengan pakej Impul boleh berbuat demikian.

    Harga bagi kit Impul secara berasingan adalah seperti berikut:

    Screen Shot 2016-07-01 at 8.36.47 PM

     
     
  • Keputusan bagi nombor pendaftaran siri ‘F’ dikeluarkan secara rasmi – ‘F 1’ bernilai RM836,660

    Klik untuk besarkan imej

    Hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan keputusaan bidaan bagi nombor pendaftaran siri F iaitu bagi Putrajaya. Di mana, JPJ telah menerima sebanyak 11,683 tempahan yang dibuka mulai 1 Jun lepas dan ditutup pada 12.00 tengah hari pada 14 Jun.

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ismail ibni Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, telah berjaya membida nombor pendaftaran ‘F 1’ yang pastinya menjadi dambaan ramai. Dengan bidaan bernilai RM836,660, nombor pendaftaran tersebut berjaya menjadi milik Sultan Johor.

    Bagi nombor daftaran ‘F 2’ dan ‘F 3’ pula dibida dengan harga mencecah RM514,800 dan RM344,300 oleh individu persendirian dan pendaftaran syarikat. Manakala nombor pendaftaran ‘F 6’, ‘F 18’ dan ‘F 38’ diperuntukan bagi anggota pentadbiran kerajaan.

    Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail iaitu Sultan Kelantan juga turut membida nombor pendaftaran yang tersenarai dan berjaya memperoleh ‘F 12’ dengan harga bidaan sejumlah RM110,000.

    Menurut JPJ, jumlah tempahan siri F itu merupakan jumlah kedua tertinggi tempahan nombor pendaftaran selepas siri WWW yang dikeluarkan oleh JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2012.

     
     
  • Polis jangka angka kematian dan kemalangan bakal meningkat pada musim cuti Hari Raya tahun ini

    traffic-jam-bernama-2

    Op Selamat 9 dijalankan untuk musim Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerana kemalangan jiwa di jalan raya dijangka akan meningkat lebih tinggi lagi, kata ketua polis Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik (TEID) persekutuan Datuk Mahamad Akhir Darus dalam laporan New Straits Times.

    Pengguna jalan raya, khususnya mereka yang memandu pulang ke kampung halaman masing-masing pada musim perayaan ini perlu mengamalkan pemanduan berhemah jika mahu sampai ke destinsi dengan selamat, kata beliau

    “Hidup dan mati ditentukan oleh Tuhan, dan bukan hak kami untuk bercakap sama ada ramai yang akan terkorban atau tidak, tetapi trend menunjukkan angka kemalangan dan kematian mungkin akan terus meningkat pada tempoh masa berkenaan (Op Selamat 9).

    “Jika pengguna jalan raya masih mengabaikan undang-undang trafik, tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain dan memandu secara berbahaya, kes kemalangan pastinya akan meningkat.” kata Akhir. Beliau menambah Op Selamat merekodkan 330 kematian tahun lalu, meningkat 39.2% berbanding 237 kematian pada 2014.

    ferrari-458-speciale-accident-kuching-3

    Antara sebab utama kemalangan maut terjadi ialah hilang kawalan terhadap kenderaan, masuk ke laluan bertentangan, cuba memotong di kawasan yang bahaya serta membuat pusingan berbahaya di simpang.

    Ini disebabkan faktor-faktor termasuk memandu secara berbahaya, melanggar undang-undang trafik, sikap yang tidak bertimbang rasa di atas jalan raya dan perbuatan yang mementingkan diri sendiri, tambah Akhir. Statistik menunjukkan 20,458 kemalangan yang tidak melibatkan kematian dicatatkan semasa Op Selamat pada Hari Raya 2015 berbanding 18,484 kes pada tahun lalu, menurut laporan berkenaan.

    Untuk Op Selamat 9, yang telah pun bermula pada 29 Jun dan akan berakhir pada 13 Julai nanti, Akhir berkata TEID akan melaksanakan sepenuhnya konsep penguatkuasaan, sambil fokus kepada enam kesalahan utama iaitu penyalahgunaan lorong kecemasan, memotong di garisan kembar, melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju, memotong barisan dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

    Pihak berkuasa juga telah membentuk 14 pasukan kecemasan yang disertai oleh anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, St John Ambulance, Jabatan Pertahanan Awam dan Persatuan Bulan Sabit Merah untuk operasi berkenaan, tambah Akhir.

     
     
  • 1.3 juta kenderaan di Jepun dipanggil semula berhubung masalah beg udara Takata

    airbag_BM

    Panggilan semula oleh pengeluar-pengeluar automotif diteruskan diseluruh dunia, kali ini di Jepun. Pelbagai jenama automotif Jepun telah mengeluarkan notis panggilan semula melibatkan 1.3 juta kenderaan di seluruh negara mata hari terbit berkenaan, sebahagian daripadanya turut merancang lebih panggilan semula di luar negara dan menambah lebih dari sejuta unit kenderaan dalam senarai, lapor Automotive News.

    Setelah ditekan oleh kerajaan Amerika Syarikat, pembekal beg udara berkenaan – Takata Corp bersetuju untuk mengisytiharkan lebih banyak beg udara keluaran mereka sebagai bermasalah di Amerika bulan lalu. Berikutan perkara berkenaan, Kementerian Pengangkutan Jepun telah mengarahkan lebih banyak beg udara tersebut dipanggil semula.

    Mazda dilaporkan telah memanggil semula sekitar 1.57 juta kenderaan keluaran mereka di seluruh dunia, termasuk 490,000 kenderaan di Jepun sendiri. Jenama berkenaan mengatakan model yang terlibat ialah Demio (Mazda 2 untuk pasaran luar),RX-8, dan van Bongo. Panggilan semula pada kesemua model tersebut melibatkan penukaran inflator beg udara pada bahagian penumpang dan pemandu kecuali van Bongo yang hanya melibatkan bahagian pemandu. Mazda mengatakan panggilan semula untuk pasaran luar Jepun akan melibatkan Mazda 2, termasuk untuk pasaran Amerika Syarikat dan China, tetapi tidak menyatakan maklumat terperinci.

    Manakala Mitsubishi pula berkata, mereka akan memanggil semula sekitar 520,000 unit kereta. Model yang terlibat termasuk model Delica dan Pajero, sebahagiannya ada yang diproduksi tahun ini. Untuk itu, inflator beg udara bahagian pemandu perlu ditukar. Sekitar 92,000 Delica dan Pajero telah dieksport keluar negara, dan turut akan dipanggil semula kelak. Untuk model eK Wagon, eK Sport, Pajero Mini dan Toppo juga terlibat dalam panggilan semula, tetapi hanya melibatkan penukaran inflator beg udara bahagian penumpang.

    SRS-Airbag-e1418884179814_BM

    Subaru juga turut mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 290,000 Legacy untuk menukar inflator beg udara sebelah pemandu. Walau bagaimanapun, bukan semua kenderaan yang dipanggil semula terdiri dari jenama buatan Jepun. Mercedes-Benz turut memanggil semula 93,000 unit kenderaan keluarannya dan antara model yang terlibat adalah C-Class dan E-Class.

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengatakan sehingga kini, tiada kenderaan dari jenama tersebut untuk pasaran Malaysia dipanggil semula. Berkenaan Mercedes-Benz yang diimport sendiri (grey import), MBM berkata mereka tidak ada cara untuk memeriksanya secara atas talian menggunakan nombor VIN, jadi adalah lebih baik pengguna menghantar sendiri kereta mereka ke pusat servis MBM bertauliah untuk diperiksa.

    MBM turut menyatakan, jika ada kenderaan yang terlibat dengan panggilan semula ini dan pemilik menghantarnya ke pusat servis MBM yang bertauliah, mereka akan menukar komponen yang berkaitan.

    Anda juga boleh merujuk sama ada kereta anda terlibat dengan panggilan semula inflator beg udara Takata ini atau tidak pada pautan ini.

     
     
  • JPJ terima 429 aduan salah guna laluan kecemasan dalam sebulan – pesalah akan terus ke mahkamah

    JPJ_EMERGENCY_LANE1

    Salahguna lorong kecemasan oleh pengguna jalan raya telah dipandang serius oleh pihak berkuasa. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Nadzri Siron, pemandu yang didapati menyalahguna laluan kecemasan akan terus dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan saman RM2,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali.

    Beliau turut berkata, jabatan itu menerima 429 aduan daripada orang ramai berhubung kenderaan yang menyalahguna laluan kecemasan membabitkan 1,266 kenderaan sepanjang tempoh 22 Mei hingga 24 Jun lalu. Katanya, kebanyakan aduan yang diterima adalah aduan bergambar yang dihantar kepada emel aduan JPJ atau menerusi media sosial, laporan Berita Harian.

    “Menerusi aduan yang diterima, kita sudah menghantar nota temu siasat kepada 219 pemilik kenderaan meminta mereka hadir ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran untuk direkod keterangan.

    “Kita memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan pemandu yang melakukan kesalahan ini. “Pemilik kenderaan diberi tempoh 21 hari daripada tarikh notis dihantar dan kebiasaannya mereka yang disoal siasat mengaku melakukan kesalahan itu,” katanya pada sidang media Operasi Khas Motosikal Op Hari Raya Aidilfitri 2016 di laluan motosikal Plaza Tol Sungai Besi, malam tadi.

    Beliau turut mengulas mengenai cadangan untuk lima lagi kesalahan utama jalan raya iaitu gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan tidak membenarkan kenderaan lain memotong untuk terus dikenakan tindakan mahkamah.

    Katanya, ia masih di peringkat kajian. “Setakat ini kita menerima maklum balas yang baik daripada orang ramai berhubung cadangan itu. Kita masih menjalankan kajian secara mendalam bersama pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya berhubung perkara itu.”

    Oleh kerana proses itu membabitkan kemampuan mahkamah dan proses pendakwaan, maka perkara itu mesti diambil kira bagi mengelak berlaku kesulitan.

     
     
  • Mazda SkyActiv-D untuk Malaysia – empat model; CX-5, 6 diesel dijangka berharga antara RM166k – RM206k

    2016-Mazda-CX-5-facelift-Thailand-launch-2

    Untuk mereka yang sedang menunggu model Mazda berkuasa diesel, kami mempunyai maklumat untuk anda. Menurut sumber dari Bermaz Motor, hampir kesemua barisan model Mazda SkyActiv-D akan dipasarkan di Malaysia tidak lama lagi

    Percaya atau tidak, Mazda CX-5, 6, CX-3 dan 2 akan ditawarkan dalam varian diesel tidak lama lagi. Walau bagaimanapun, Mazda 3 tidak tersenarai untuk dijual dalam versi diesel. Dari segi harga, hanya dua model yang diketahui setakat ini iaitu CX-5 dijangka dijual pada harga RM166k dan Mazda 6 bakal dijual pada harga anggaran RM206k. Model CX-3 dan 2 akan dilancarkan sekali dengan model-model lebih besar tadi, tetapi hanya akan masuk ke bilik pameran kemudian.

    Dari empat model berkenaan, hanya CX-5 diesel yang akan diproduksi dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD). Sebenarnya model tersebut kini sudah pun dipasang di kilang Inokom Kulim, Kedah untuk dieksport ke Thailand. Mazda 6 akan hadir dalam bentuk CBU – diimport sepenuhnya dari Jepun bersama CX-3, manakala Mazda tu akan diimport dari Thailand.

    Mazda 6 dan CX-5 diesel akan dikuasakan dengan enjin diesel 2.2 liter empat silinder turbo berkembar SkyActiv-D berupaya menjana 175 PS pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 2,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Untuk Mazda 3 dan CX-3 diesel pula, ia bakal dijana oleh enjin diesel empat silinder SkyActiv-D 1.5 liter berkuasa 104 hp/270 Nm, digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive.

     
     
  • Pemandu Tesla Model S maut dalam kemalangan semasa beroperasi menggunakan mod Autopilot

    2016 Tesla Model S facelift 2

    Kemalangan maut pertama melibatkan sistem Autopilot Tesla telah dilaporkan, menyebabkan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika (NHTSA) membuka kertas siasatan terhadap Tesla Model S yang terlibat dalam insiden berkenaan. Badan keselamatan berkenaan akan mengesahkan sama ada sistem tersebut berfungsi seperti yang dijangka.

    Petikan dari kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi Tesla menerangkan insiden pada 7 Mei berkenaan – “Kereta tersebut berada pada lebuhraya dengan sistem Autopilot diaktifkan semasa sebuah treler traktor dipandu melintasi lebuhraya berkenaan. Sistem Autopilot dan pemandu nampak langit yang terang pada bahagian bawah treler itu tanpa menyedari treler tersebut sedang melintas, jadi brek langsung tidak digunakan.”

    Akibatnya, Model S berkenaan terperosok dibawah treler tersebut, dengan bahagian cermin hadapan berlanggar dengan bahagian bawah treler, menyebabkan kematian pemandu Tesla berkenaan. Laporan polis di Levy County Journal mengatakan bahagian atas bumbung berkenaan “terkoyak terus kerana impak pada rempuhan tersebut.”

    Menurut Tesla, jika Model S berkenaan melanggar bahagian hadapan atau belakang treler tersebut, sistem keselamatan pelanggarannya akan mengelakkan kecederaan serius.

    Tesla Autopilot-01

    Tesla menerangkan sistem Autopilot pada kenderaan mereka masih lagi belum sempurna sepenuhnya, dan memerlukan perhatian dari pemandu.

    Sistem berkenaan juga disifatkan sebagai sistem bantuan yang masih memerlukan pemandu sentiasa memegang roda stereng pada setiap masa, kerana pemandu masih perlu membuat pembetulan segera sendiri sekiranya diperlukan.

    Laporan berkenaan juga mendedahkan pemandu Tesla yang maut dalam kemalangan tersebut ialah lelaki berumur 40 tahun dari Ohio bernama Joshua Brown. Brown sebelum ini pernah merekodkan dan memuat naik video demonstrasi bagaimana sistem Autopilot pada Model S milik beliau berupaya mengelakkan perlanggaran sisi, semasa beliau sedang mendengar audiobook.

     
     
  • Polis beri amaran jangan guna lampu strob

    car-strobe-light

    Polis telah mengeluarkan amaran tegas terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan lampu strob tanpa kebenaran, dan ia perlu ditanggalkan serta-merta. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan peranti tersebut akan dirampas pihak berkuasa, laporan The Star.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus, penggunaan lampu tersebut adalah melanggar peraturan. Katanya lagi, beliau sendiri telah beberapa kali terlihat pengguna jalan raya menggunakan lampu strob ini bagi memudahkan mereka melalui kesesakan trafik dengan lebih pantas.

    Beliau turut menambah, menjelang Hari Raya ini, polis menjangkakan pertambahan trafik, dan pengguna jalan raya yang menggunakan lampu strob ini boleh memburukkan lagi situasi.

    Menurut Asisten Komisioner Ruslan Khalid pula, individu yang melakukan perbuatan demikian akan dikenakan saman dan lampu strob berkenaan akan dirampas serta-merta. “Jika mereka tidak mahu menanggalkan lampu tersebut serta-merta, kemungkinan besar kami akan menyita kenderaan mereka,” tegasnya.

     
     
  • Polis tubuh empat subtek di empat zon utama bagi membantu kelancaran Op Selamat 9 sempena Aidilfitri

    PDRM-4

    Op Selamat 9 sempena Aidilfitri ini yang telah pun memulakan operasi sejak dua hari lalu turut mdiwujudkan empat subtek (pusat operasi) di empat zon utama negara bagi membantu kelancarannya.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mahamad Akhir Darus, empat subtek berkenaan dibahagikan kepada Zon Utara di Sekolah Latihan Asas Sungai Petani, Kedah; Zon Tengah di Batalion (Bn) 3 Pasukan Gerakan Am (PGA), Bidor, Perak; Zon Selatan di Bn 6 PGA Bakri, Muar, Johor dan Zon Timur di Bn 7 PGA Bukit Galing, Kuantan, Pahang.

    Laporan Bernama turut menyebut, keempat-empat zon tersebut meliputi keseluruhan kontinjen di Semenanjung Malaysia dan subtek yang terlibat dijadikan sebagai pusat kawalan. Ia berfungsi untuk menyediakan laporan, statistik, carta, maklumat terkini aliran pergerakan trafik dan menjadi koordinasi antara bilik gerakan trafik di Bukit Aman.

    Mahamad Akhir berkata penugasan yang dijalankan meliputi kawalan subtek dan pasukan rondaan/pemantau (strike force).

    “Di pusat kawalan subtek kekuatan terdiri daripada dua pegawai polis yang berpangkat Supt dan DSP yang bertindak sebagai Ketua Operasi dan Timbalan Ketua Operasi manakala di pusat kawalan pula ada urus setia dengan kekuatan 15 anggota dan pegawai yang bertugas mengikut syif.

    “Mereka ini bertugas dengan pusingan tugas 12 jam setiap syif memantau pergerakan aliran trafik,” katanya.

    Mahamad Akhir berkata Op Selamat kali ini menggunakan pendekatan ‘total enforcement’ dan ‘services’ serta memberi tumpuan di kawasan ‘black spot’ bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan melancarkan aliran trafik.

    “Penekanan op kali ini memfokuskan penguatkuasaan undang-undang jalan raya tanpa sebarang kompromi terutamanya kesalahan (memandu di) lorong kecemasan dan potong barisan,” katanya.

    Susulan itu, polis telah mengenal pasti sebanyak 78 lokasi ‘black spot’ di sekitar Jalan Persekutuan yang banyak berlaku kemalangan.

    Mahamad Akhir berkata dalam konteks op ini, pihaknya menggembleng usaha bersepadu melalui ‘Emergency Response Team’ yang terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Telekom Malaysia, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025