Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SYM Husky 150 tiba di Malaysia – harga dari RM9,998

    SYM Husky 150 tiba di Malaysia – harga dari RM9,998

    Satu lagi skuter yang dilancarkan oleh MForce Bike Holdings hari ini adalah Husky 150, yang ditawarkan dalam dua versi iaitu Standard dalam warna hitam atau putih, pada harga RM9,998 dan Special Edition dalam warna hijau matte atau kelabu, pada harga RM10,298 tidak termasuk insurans.

    Skuter yang membawa gaya seakan adventure ini dipacu oleh enjin satu silinder 150 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 14.5 hp pada 8,000 rpm dan 14.5 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Walaupun boleh dikatakan sebagai sebuah skuter berkapasiti kecil, Husky 150 datang dengan sistem keselamatan canggih, yang termasuk kawalan cengkaman dan brek ABS dual-channel, yang dilaksanakan oleh set cakera hadapan dan belakang.

    Husky 150 menggunakan rim saiz 13 inci, dan ia dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 130/70 di belakang. Ia kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik dan monoshock di belakang. Di bawah tempat duduknya terdapat ruang simpanan 22 liter, bersama dua lagi poket di bawah bahagian pemegang.

    Informasi penting berkenaan skuter ini terpapar di skrin TFT hadapan penunggang dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 15 liter, pengecas USB, sistem tanpa kunci, lampu kecemasan serta lampu LED hadapan dan belakang.

     
     
  • SYM Maxsym TL508 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter 508 cc dengan pelbagai kelengkapan, RM47k

    SYM Maxsym TL508 dilancar untuk pasaran Malaysia – skuter 508 cc dengan pelbagai kelengkapan, RM47k

    Pengedar rasmi motosikal SYM di Malaysia, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan dua buah skuter baru untuk pasaran Malaysia, dan salah daripadanya adalah Maxsym TL508. Ia boleh dianggap sebagai pengganti bagi TL500 yang dipasarkan pada harga RM35,800 sebelum ini.

    TL500 dipacu oleh enjin dua silinder empat strok 508 cc yang menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik, penyejukan cecair serta mendapat pengiktirafan Euro 5, dipadankan bersama transmisi automatik CVT dengan pacuan rantai dan mampu menghasilkan kuasa sekitar 45 hp pada 6,750 rpm dan tork 49.9 Nm pada 5,250 rpm.

    SYM mendakwa, TL508 ini mampu memberikan prestasi pengendalian cemerlang, hasil daripada agihan berat 50:50 antara hadapan dan belakang, jarak roda pendek, tapak enjin seperti motosikal biasa serta suspensi yang terdiri daripada for USD di hadapan dan monoshock single sided dengan multi-link di belakang.

    Kedua-dua rim TL508 menggunakan unit 15 inci, dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang manakala brek pula terdiri daripada cakera berkembar 275 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera 275 mm dengan angkup satu piston di belakang – ABS dual-channel datang secara standard.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada TL508 ini adalah termasuk sistem tanpa kunci, skrin TFT, kawalan cengkaman (TCS), tangki bahan api 12.5 liter, lampu LED hadapan dan belakang, soket pengecas USB, ruang simpanan bawah tempat duduk dan dua poket bawah bahagian pemegang serta berat keseluruhan 227 kg.

    Harga yang ditetapkan untuk TL508 ini di pasaran Malaysia adalah RM46,888 tidak termasuk insurans, dan ditawarkan dalam tiga warna iaitu kelabu, hitam dan ungu.

     
     
  • Basikal tidak boleh dibawa ke dalam ETS, KTM Intercity; dibenarkan ke dalam Komuter sahaja – KTMB

    Basikal tidak boleh dibawa ke dalam ETS, KTM Intercity; dibenarkan ke dalam Komuter sahaja – KTMB

    KTMB telah menyiarkan pengingatan untuk para penumpangnya bahawa semua jenis basikal tidak dibenarkan dibawa di dalam tren ETS dan semua perkhidmatan KTM Intercity. Kata KTMB, fasiliti dan kapasiti tempat duduk hanya untuk penumpang dan bagasi sahaja.

    Walau bagaimana pun, sejak Ogos 2022, KTMB hanya membenarkan penumpang membawa masuk basikal menaiki tren KTM Komuter Lembah Klang, KTM Komuter Utara dan Skypark Link pada waktu tertentu. KTMB berkata, tiada caj dikenakan untuk membawa basikal, hanya tambang untuk penumpang sahaja yang dikenakan. Sebelum ini KTM Komuter mengenakan caj RM2 kepada pengguna yang membawa basikal.

    Di mana penumpang dibenarkan membawa basikal lipat untuk perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang laluan Pelabuhan Klang-Tanjung Malim/Batu Caves-Tampin/Pulau Sebang, pada bila-bila masa sahaja. Namun untuk basikal biasa, bagi laluan yang sama, ia hanya dibenarkan dari jam 9.30 pagi hingga hingga 4 petang dan 8 malam hingga 12.30 tengah malam pada Isnin hingga Jumaat, manakala pada bila-bila masa untuk Sabtu dan Ahad.

    Untuk KTM Komuter Utara laluan Ipoh-Butterworth-Ipoh, penumpang dibenarkan membawa kedua-dua jenis basikal tersebut sepanjang masa pada Isnin hingga Jumaat, dan untuk hari Sabtu, Ahad dan cuti umum pula hanya dari jam 5.30 pagi hingga 11 pagi dan 8 malam hingga 12.30 tengah malam.

    Namun ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak KTMB, antaranya pastikan basikal yang dibawa tidak menghalang laluan pintu pada setiap masa, basikal tidak boleh ditinggalkan tanpa pengawasan pemilik dan koc yang dibenarkan hanyalah koc pertama dan koc terakhir atau di mana-mana koc yang kurang sesak.

    Selain itu, roda basikal perlu ditutup sekiranya basah atau kotor, basikal lipat perlulah dilipat sepanjang berada di dalam stesen dan tren, dilarang menaiki basikal setelah berada di lobi stesen, platform dan di dalam tren.

     
     
  • Bangkok 2024: BYD YangWang U9 – supercar elektrik 1,306 PS, empat motor, harga RM1.1 juta di China

    Bangkok 2024: BYD YangWang U9 – supercar elektrik 1,306 PS, empat motor, harga RM1.1 juta di China

    Antara kereta menarik yang dipamerkan di Bangok International Motor Show (BIMS) 2024 adalah BYD Yangwang U9, iaitu kereta elektrik pertama daripada jenama tersebut. Baru sahaja mula dijual di China Februari lalu, sekarang ia sudah sampai di Thailand untuk tontonan ramai.

    Harga kereta ini tidak murah, iaitu 1,680,000 yuan (RM1.1 juta) di China, tetapi ada sebab ia jadi sebegitu. Pertama sekali adalah prestasi. Ia menggunakan empat motor (satu untuk setiap roda) dan mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 1,306 PS (960 kW) dan tork 1,680 Nm. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam cuma 2.36 saat, manakal laju maksimum adalah 309 km/j.

    Bukan setakat itu, U9 juga adalah kereta China pertama yang menggunakan casis monocoque gentian karbon, serta suspensi aktif DiSus-X yang dikatakan dibangunkan sendiri oleh BYD dalam syarikatnya. Ia menggunakan kamera untuk mengimbas jalan, dan kemudian mengawal pergerakan badan kenderaan dengan motor elektrik.

    Bangkok 2024: BYD YangWang U9 – supercar elektrik 1,306 PS, empat motor, harga RM1.1 juta di China

    Tetapan ini juga membolehkan U9 membuat aksi unik seperti “menari”, bergerak menggunakan tiga roda dan melompat setempat. Selain daripada itu, ia juga boleh pusing setempat 360 darjah atau dipanggil tank-turn.

    U9 menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 80 kWh dan dikatakan boleh bergerak sehingga 450 km sekali cas penuh. Ia boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 500 kW melalui dua soket pengecas yang terdapat di bahagian tepi kereta, dan baterinya boleh naik 10-80% dalam masa cuma 10 minit. Apabila menggunakan AC 7 kW pula ia memerlukan masa tujuh jam untuk naik ke tahap sama.

    Penampilan kereta ini memang menarik dengan banyak ciri berkonsepkan prestasi serta pintu yang dibuka ke atas. Model standard datang terus dengan spoiler serta diffuser aktif, manakala rim pula bersaiz 21 inci dengan tayar Pirelli P Zero 275/35 di hadapan dan 325/30 di belakang. Di sebaliknya anda dapat melihat cakera brek seramik dengan angkup enam piston di hadapan dan empat piston di belakang.

    Di dalam terdapat papan pemuka berlekuk yang dibuat bagi memberi rasa seperti dalam kokpit, bersama lampu suasana 127 warna. Di hadapan pemandu terdapat panel instrumen digital mini-LED 10.25 inci, manakala satu lagi skrin 12.3 inci diletakkan di tengah untuk kawalan infotainmen. Sistem bunyi menggunakan 12 pembesar suara daripada Dynaudio Evidence Platinum.

     
     
  • MG4 dan MG ZS EV — wallbox atau kredit pengecasan percuma bagi setiap pembelian hingga 30 April ini

    MG4 dan MG ZS EV — wallbox atau kredit pengecasan percuma bagi setiap pembelian hingga 30 April ini

    Elektrifikasi telah membuka lembaran baharu dalam lapangan automotif, dengan kenderaan elektrik tidak hanya menawarkan mobiliti bebas emisi, tetapi juga prestasi menakjubkan serta memperkenalkan teknologi canggih sekaligus. Pelanggan juga kini mempunyai lebih banyak pilihan.

    Penawaran terkini di Malaysia menyaksikan sebuah jenama dengan sejarah warisan yang panjang dalam dunia automotif: Morris Garages adalah sebuah nama yang kaya dengan sejarah. Barisan EV baharu MG kini menjadi penerus kepada tradisi British berkenaan, kini dibawakan ke dalam pasaran dengan kerjasama SAIC Motor dan mensasarkan pelanggan yang berjiwa muda.

    MG Motor Malaysia baru saja memperkenalkan dua model sebagai permulaan untuk pasaran di sini. MG4 ditawarkan dalam empat varian dengan harga bermula dari RM103,999 (Standard); RM128,999 (Lux); RM148,999 (Lux Extended); dan MG4 XPower yang paling tinggi dengan harga RM158,999.

    MG4 dan MG ZS EV — wallbox atau kredit pengecasan percuma bagi setiap pembelian hingga 30 April ini

    Semua varian MG4 datang dengan jaminan tujuh tahun/150,000 km untuk kenderaan serta jaminan lapan tahun/180,000 km untuk baterinya. Pelanggan juga diberikan penukaran bateri sekiranya tahap kesihatan bateri menurun di bawah 70% sepanjang tempoh jaminan tersebut.

    Kesemuanya menawarkan gandingan nilai dan prestasi yang cukup menarik. Janaan output varian Standard ialah 170 PS (125 kW) dan 250 Nm, yang boleh memecut 0-100 km/j dalam 7.5 saat; Lux dengan 203 PS (150 kW); Lux Extended dengan 245 PS (180 kW) dan 350 Nm; manakala XPower dengan dua motor pula menghasilkan 435 PS (320 kW) dan 600 Nm, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat.

    Untuk jarak perjalanan, bateri 51 kWh lithium iron phosphete (LFP) bagi varian Standard memberikan jarak 350 km untuk satu cas penuh, sementara bateri 64 kWh nickel manganese cobalt (NMC) Lux pula menyediakan 435 km jarak. Lux Extended hadir dengan bateri lebih besar, 77 kWh dan menyediakan jarak 520 km. XPower pula menggunakan bateri 64 kWh yang menawarkan 385 km pemanduan prestasi tinggi. Tempoh pengecasan kereta ini adalah dari 6.1 jam hingga 8.5 jam menggunakan pengecas AC hingga kepada 26 minit dengan pengecas pantas DC.

    Aspek keselamatan dan keselesaan pula dihadirkan dalam bentuk alat bantuan pemandu MG Pilot dan aplikasi mudah alih MG iSmart. Ciri keselamatan MG Pilot terdiri antaranya daripada AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, penggera perhatian pemandu dan lampu tinggi automatik, serta peninjau titik buta dengan penghindar perlanggaran, amaran lintasan trafik di belakang dan buka pintu.

    Bagi aplikasi iSmart pula, ia menyediakan pelbagai fungsi yang membolehkan pengguna mencari MG4 mereka, merancang perjalanan, memeriksa status kenderaan termasuk pengurusan pengecasan bateri dan banyak lagi, sekaligus memastikan pengguna sentiasa terhubung dengan kereta mereka.

    Jika anda mencari sebuah EV dengan nilai menarik, menggabungkan praktikaliti, inovasi dan prestasi di dalam satu pakej, maka ZS EV adalah pilihan yang tepat. SUV elektrik ini dijual pada harga RM125,999, dan dilengkapi dengan motor depan janaan 176 PS/280 Nm, yang memecut 0-100 km/j dalam lapan saat. Bateri LFP 51.1 kWh-nya menawarkan jarak hingga 320 Nm, dan boleh dicas dalam tempoh lapan jam dengan pengecas AC atau 10-80% dalam masa 65 minit dengan pengecas DC.

    MG4 dan MG ZS EV — wallbox atau kredit pengecasan percuma bagi setiap pembelian hingga 30 April ini

    Untuk memastikan ketenangan untuk pemilik, syarikat ini turut memperkenalkan MG Insurance Program (MIP), yang menawarkan banyak kelebihan termasuk liputan jarak tunda kenderaan tanpa had, liputan pengecas wallbox di rumah (hingga RM10,000 tuntutan semula sekiranya wallbox berkenaan rosak atau dicuri oleh faktor luaran) serta penambahbaikan dan pengecualian lebihan sehingga 10 tahun.

    Mereka yang membeli kenderaan MG sebelum 30 April 2024 akan berpeluang menerima pelbagai hadiah, termasuk pengecas Wallbox 7 kW percuma (termasuk pemasangan) bernilai RM4,600 untuk MG ZS EV dan MG4 Standard, atau pengecas Wallbox 11 kW percuma (termasuk pemasangan) bernilai RM5,200 untuk MG4 Lux. Pembeli MG4 Lux Extended Range dan XPower akan menerima 1,000 kredit pengecasan DC Handal dan JomCharge percuma.

    Ketahui lebih lanjut tentang MG4 dan MG ZS EV di laman web rasmi MG Motor Malaysia. Anda boleh juga melayari laman Facebook rasmi syarikat, atau di Instagram dan Tiktok untuk tahun lebih lanjut.

     
     
  • PADU: Maklumat asas akan dimasukkan ke dalam sistem bagi yang belum daftar – 10.85 juta diterima

    PADU: Maklumat asas akan dimasukkan ke dalam sistem bagi yang belum daftar – 10.85 juta diterima

    Menurut laporan oleh Bernama, Harian Metro dan FMT, maklumat asas untuk mereka yang masih belum mendaftar dalam Pangkalan Data Utama (PADU) masih akan dimasukkan secara automatik ke dalam sistem tersebut.

    “Kepada yang tidak mendaftar dalam sistem PADU, maklumat asal demografi mereka sudah pun ada. Misalnya data pendaftaran negara. Setiap warganegara, mereka ada mendaftar untuk dapatkan kad pengenalan. Maklumat jantina sama ada lelaki atau perempuan. Cuma maklumat tempat kediaman mungkin berbeza. Data asas itu sudah ada, cuma kita perlukan data dinamik, kata Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

    Beliau turut menambah bahawa data dalam sistem PADU ini akan membantu jabatan statistik untuk menjalankan analisis dan bancian serta memudahkan pengagihan bantuan kerajaan (termasuk subsidi) dan pengenalan polisi.

    Tempoh pendaftaran PADU sudah pun berakhir semalam (31 Mac 2024), dengan 10.85 juta warganegara Malaysia mengambil bahagian. Menurut Uzir, ini bersamaan hampir 50% daripada jumlah keseluruhan 21.96 juta rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

    Minggu lepas PADU dilaporkan akan dibuka semula kepada orang awam selepas 31 Mac tetapi tarikh sebenarnya masih belum diberitahu. Menteri kewangan, Rafizi Ramli sebelum ini pernah berkata bahawa tarikh tutup pendaftaran tidak akan dilanjutkan lagi kerana ia akan melambatkan pelaksaan struktur subsidi dan bantuan kerajaan.

     
     
  • Struktur cukai jalan EV baru akan diumum bulan ini – lebih murah berbanding kereta enjin biasa

    Struktur cukai jalan EV baru akan diumum bulan ini – lebih murah berbanding kereta enjin biasa

    Kementerian pengangkutan kini dalam peringkat akhir meneliti struktur cukai jalan baru untuk kenderaan elektrik (EV), dengan pengumuman berkenaan perkara itu dijangka dibuat sebelum akhir bulan April 2024.

    Seperti yang dilaporkan oleh Bernama, menteri pengangkutan, Anthony Loke memberitahu, keputusan untuk meneliti struktur cukai jalan ini adalah untuk menjadi menjadikan cukai jalan EV lebih murah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), seterusnya mendorong lebih ramai orang menggunakan kereta EV.

    “Cabaran yang dihadapi semasa proses ini adalah perbandingan kapasiti enjin kenderaan ICE dengan EV. Buat masa sekarang, cukai jalan EV adalah percuma tetapi mereka yang membeli EV risau cukai jalan EV akan jadi lebih tinggi daripada ICE,” kata Loke.

    “Komitmen kerajaan adalah untuk mengurangkan cukai jalan EV, jadi mereka yang mahu membeli EV akan menikmati bayaran cukai jalan yang sepatutnya. Kami harap pengumuman berkenaan cukai jalan EV ini dapat dibuat sebelum hujung bulan April,” tambah beliau.

    Pada tahun 2022 kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jalan untuk EV (serta kenderaan hydrogen fuel cell) dan ia masih lagi aktif sehingga 31 Disember 2025. Di bawah struktur cukai jalan EV yang ada sekarang, bayarannya dikira melalui sistem yang berasaskan jumlah kilowatt.

    Secara ringkasnya, jika EV anda lebih tinggi kuasanya, maka lebih banyak lah bayaran cukai jalan anda. Ini adalah berbeza berbanding kenderaan ICE kerana jumlahnya dikira berasaskan kapasiti enjin. Untuk EV, jumlah akhir cukai jalan mengambil kira kuasa keseluruhan motor elektriknya, dan terdapat kumpulan kuasa berbeza untuk menentukan kadar asas dan progresif.

     
     
  • Pembinaan projek LRT Pulau Pinang bermula pada Q4 2024, sasaran operasi mulai tahun 2030 – Loke

    Pembinaan projek LRT Pulau Pinang bermula pada Q4 2024, sasaran operasi mulai tahun 2030 – Loke

    Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan secara rasmi mengambil alih pembangunan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara daripada kerajaan Pulau Pinang.

    Menurut beliau, keputusan itu susulan kelulusan diberikan Jemaah Menteri pada 22 Mac lalu untuk kerajaan Persekutuan mengambil alih projek berkenaan. Jelasnya, kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara itu disasarkan bermula tahun ini dan dijangka memerlukan tempoh masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan serta beroperasi pada tahun 2030.

    “Secara rasminya, kerajaan memutuskan untuk melantik MRT Corp, syarikat 100% milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset untuk projek terbabit.

    “Selain itu, pembinaan depoh operasi stokereta akan dirancang dan dibangunkan sekali dengan projek pembangunan bersepadu berorientasikan transit (TOD) di Tapak Pesta, Sungai Nibong secara usahasama antara MRT Corp serta kerajaan Pulau Pinang,” katanya.

    Jelasnya lagi, strategi baharu itu bertujuan menjana hasil bukan tambang tambahan yang penting untuk dilaburkan balik dalam penyelenggaraan LRT Pulau Pinang pada masa hadapan.

    Pembinaan projek LRT Pulau Pinang bermula pada Q4 2024, sasaran operasi mulai tahun 2030 – Loke

    “Antara syarat kerajaan Persekutuan mengambil alih projek ini ialah kerja penambakan (laut) perlu dikurangkan sebab sebelum ini ada tiga pulau yang perlu ditambak. Jadi daripada tiga pulau, kerajaan minta supaya mereka hanya hadkan kepada penambakan satu pulau sahaja,” katanya.

    Mengenai kos anggaran keseluruhan projek, beliau berkata, pihaknya masih belum mahu mendedahkannya kerana perlu melakukan rundingan terlebih dahulu.

    Projek ini bukan saja akan memanfaatkan warga Pulau Pinang, malah memudahkan perjalanan pekerja yang berulang-alik dari Perlis, Kedah dan Perak Utara setiap hari dengan kesinambungan bersama rangkaian KTMB.

    Jajaran LRT Laluan Mutiara dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dan bakal memiliki 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral. LRT Laluan Mutiara ini akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada. Ia bakal memiliki 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral.

     
     
  • Tesla Model Y kini dapat warna baharu Quicksilver di Malaysia – RM7,500; semuanya enam pilihan warna

    Tesla Model Y kini dapat warna baharu Quicksilver di Malaysia – RM7,500; semuanya enam pilihan warna

    Tesla Malaysia telah mengemaskini pilihan warna untuk Tesla Model Y, kini ditambah dengan rona Quicksilver. Ia menyertai pilihan warna sedia ada termasuk Pearl White Multi-Coat, Deep Blue Metallic, Solid Black, Stealth Grey dan Ultra Red.

    Dengan pertambahan rona Quicksilver, kini Model Y di Malaysia mempunyai enam pilihan warna. Berbanding Model 3 yang hanya menerima lima pilihan warna yang sama dengan Model Y kecuali Quicksilver.

    Hanya warna While Pearl White Multi-Coat yang termasuk dengan harga pembelian, manakala pilihan waran yang lain bagi Model Y akan dikenakan kos tambahan. Untuk warna baharu Quicksilver, ia dikenakan kos tambahan sebanyak RM7,500, amaun yang sama sekiranya anda memilih Stealth Grey.

    Manakala bagi Deep Blue Metallic dan Solid Black dikenakan kos tambahan sebanyak RM5,000, sementara yang paling mahal ialah warna Ultra Red dengan kos tambahan RM11,000. Pilihan warna yang dinyatakan ini boleh ditempah untuk mana-mana varian Model Y, sama ada model asas Rear-Wheel Drive (RM199,000), Long Range (RM246,000) atau Performance (RM288,000).

     
     
  • Toyota Hiace generasi baharu – tempahan di Malaysia dibuka; SLWB Window Van 10-tempat duduk, RM169k

    Toyota Hiace generasi baharu – tempahan di Malaysia dibuka; SLWB Window Van 10-tempat duduk, RM169k

    Selepas lima tahun membuat pengenalan sulung global, akhirnya model generasi baharu bagi Toyota Hiace bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi, manakala tempahannya juga kini sudah dibuka secara rasmi oleh UMW Toyota Motor.

    Bagi model pasaran Malaysia ini, Hiace generasi baharu berkenaan datang dalam varian Super Long Wheelbase (SLWB) Window Van. Ini bermakna ia adalah dari varian yang boleh membawa penumpang dengan dilengkapi tempat duduk serta cermin tingkap pada kabin belakang, serta tampil dengan jarak roda yang sangat jauh iaitu 3,860 mm.

    Hiace SLWB ini menampilkan panjang keseluruhan 5,915 mm bersama lebar 1,950 mm serta tinggi 2,280 mm. Ini membolehkan van ini dilengkapi dengan 10-tempat duduk, dan menurut Toyota dengan saiz yang lebih besar ia turut “memberikan keselesaan penumpang dan kargo dalam perjalanan jauh serta memberikan kestabilan dan dinamik pemanduan lebih baik”.

    Toyota Hiace generasi baharu – tempahan di Malaysia dibuka; SLWB Window Van 10-tempat duduk, RM169k

    Berbanding model-model sebelumnya, Hiace baharu ini buat pertama kali mula menampilkan rupa yang mempunyai muka yang terkeluar seperti pesaing-pesaing lain misalnya Ford Transit dan Mercedes-Benz V-Class. Bahagian hadapan van ini diberikan suspensi jenis Topang McPherson, manakala di belakang pula spring jenis dedaun.

    Model pasaran Malaysia ini menerima enjin turbodiesel 1GD-FTV 2.8 liter berkuasa 177 PS dan tork maksima 450 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan yang diberikan fungsi tukaran manual. Dengan saiz yang begitu besar dan panjang, van ini menampilkan radius pusingan 6.4 meter.

    Toyota Hiace generasi baharu – tempahan di Malaysia dibuka; SLWB Window Van 10-tempat duduk, RM169k

    Selain itu ia turut menerima perincian lain seperti lampu nyalaan LED, lampu hadapan reflektor halogen, lampu kabus halogen hadapan dan belakang, gril kemasan krom, cermin sisi lipatan dan larasan elektrik dengan sudut lebih lebar dan rim besi 16-inci dengan penutup plastik.

    Pada bahagian dalaman, Hiace SLWB ini menerima cermin tingkap hadapan berkuasa, ruang simpanan atas kepada pada kabin hadapan, paparan meter analog dengan skrin pelbagai informasi, skrin Display Audio 7-inci, sistem penghawa dingin dengan kawalan berasingan untuk kabin belakang, lampu pada pemijak kaki pada pintu gelangsar belakang, serta tag RFID bina dalam.

    Untuk keselamatan pula, Hiace SLWB pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan tiga-beg udara, bantuan mula mendaki, kawalan kestabilan elektronik dengan sistem traction control, isyarat berhenti kecemasan, laluan keluar kecemasan, filem penapis solar dan keselamatan premium dan kamera perakam digital bina dalam untuk bahagian hadapan.

    Toyota Hiace generasi baharu – tempahan di Malaysia dibuka; SLWB Window Van 10-tempat duduk, RM169k

    “Kami telah menerima banyak permintaan daripada rakan kongsi perniagaan kami yang tidak sabar menanti kehadiran Hiace baharu. Sebagai salah satu van komersial terkemuka di Malaysia, Hiace sentiasa mewujudkan komitmen kami terhadap kecemerlangan. Dengan pengenalan model Super Long Wheelbase, kami berbesar hati untuk menawarkan pelanggan kami kenderaan yang bukan sahaja memenuhi tetapi melebihi jangkaan mereka dari segi ruang, kuasa dan keselesaan,” kata presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Toyota Hiace SLWB Window Van akan dijual pada harga bermula RM169,000, namun tarikh pelancaran sebenarnya masih belum diumumkan. Jadi anda perlu terus bersama kami untuk berita-berita terkini berkenaan model ini.

     
     
  • Projek Mobile Hydrogen Refueling Station di Putrajaya dijadual mula beroperasi sebelum akhir 2024 – MOSTI

    Projek Mobile Hydrogen Refueling Station di Putrajaya dijadual mula beroperasi sebelum akhir 2024 – MOSTI

    Kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mensasarkan untuk memulakan operasi bagi projek Mobile Hydrogen Refueling System (MHRS) sebelum akhir tahun ini di Putrajaya.

    Menurut Menterinya, Chang Lih Kang, susulan kepada pemeteraian dokumen kerjasama MHRS di antara rakan industri tempatan dengan sokongan kementeriannya pada Julai 2023, MOSTI telah mengorak langkah awalan melalui kerjasama dengan UMW Toyota Motor Sdn Bhd dalam mengetengahkan potensi mobiliti hidrogen, khususnya di Semenanjung Malaysia.

    Beliau berkata demikian dalam majlis Demonstrasi Penggunaan Mobile Hydrogen Refueling Unit (MHRU) dan Toyota Mirai di Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, pagi tadi. Majlis ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut diberikan taklimat ringkas mengenai teknologi hidrogen. Malahan beliau juga dihantar kembali ke pejabatnya dengan menaiki Mirai berkuasa hidrogen tersebut.

    Projek Mobile Hydrogen Refueling Station di Putrajaya dijadual mula beroperasi sebelum akhir 2024 – MOSTI

    “Acara ini bertujuan untuk mempromosi dan memberikan peluang kepada orang awam untuk melihat sendiri kemudahan mobiliti hidrogen yang tersedia ini. Ia juga menunjukkan bahawa teknologi ini sudah matang…kereta sudah ada… sudah bersedia untuk membekalkan dan memenuhi permintaan.

    “Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam memberikan penekanan terhadap betapa pentingnya penggunaan tenaga yang bersih. Terima kasih kepada Toyota di atas kerjasama ini. Saya berharap dengan adanya sesi ini, ia juga dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat berhubung penggunaan hidrogen. Saya juga mengalu-alukan kerjasama pihak swasta termasuk Toyota untuk membantu negara kita untuk memperkukuhkan lagi penggunaan hidrogen termasuk membekalkan dan membangunkan fasiliti yang diperlukan,” katanya.

    MHRS merupakan teknologi pengisian semula hidrogen ke dalam kenderaan dengan hidrogen menggantikan bahan api fosil. MHRS juga bersifat mudah-alih yang membolehkannya dipindahkan ke lokasi yang berbeza mengikut keperluan semasa.

    Dalam sesi demostrasi ini, Toyota Mirai iaitu kenderaan jenis elektrik sel bahan api (Fuel Cell Electric Vehicle – FCEV) turut dipamerkan. Model ini menjana elektrik menggunakan hidrogen untuk pemacuan kenderaan, dengan air sebagai hasil sampingan tanpa sebarang pelepasan karbon. ‘Mirai’ adalah perkataan Jepun yang bermaksud ‘masa depan’ dan Toyota Mirai generasi kedua ini mempamerkan inisiatif konsisten pihak syarikat dalam memacu teknologi FCEV untuk mencapai sasaran penyahkarbonan mobiliti.

    Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam pembangunan sosio- ekonomi negara terutamanya rukun kemampanan dan daya cipta, pelaksanaan MHRU dan MHRS adalah sebahagian daripada pelan tindakan yang telah direncanakan melalui HETR untuk pembangunan kapasiti dan pelaburan modal insan di sepanjang rantaian nilai ekonomi hidrogen, khususnya mobilit rendah karbon.

    Usaha ini juga adalah selaras dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Dasar Tenaga Negara 2022-2040 (DTN) dan aspirasi Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).

    “MOSTI kekal komited untuk menjadikan Malaysia di kalangan negara ekonomi terkemuka dunia melalui pemacuan teknologi dan mencapai sasaran penyahkarbonan global menjelang tahun 2050,” kata Chang lagi.

     
     
  • Volvo hasilkan unit terakhir dengan enjin diesel – tiada lagi model diesel selepas ini, tumpu penghasilan EV

    Volvo hasilkan unit terakhir dengan enjin diesel – tiada lagi model diesel selepas ini, tumpu penghasilan EV

    Seiring dengan pengumuman yang dibuat tahun lalu, Volvo Cars kini secara rasmi telah menghentikan sepenuhnya pengeluaran kenderaannya yang dijana oleh bahan api diesel, bagi membolehkan ia lebih menumpukan penghasilan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV).

    Unit terakhir model diesel Volvo yang dibuat di kilang Torslanda di Sweden merupakan sebuah SUV XC90 keluar dari barisan produksi pada 25 Mac lalu, manakala unit model diesel terakhir di kilang Ghent, Belgium pula keluar sehari selepas itu, iaitu sebuah model wagon V60.

    Ini bermakna Volvo sudahpun menghasilkan kenderaan dengan enjin diesel selama 45 tahun, bermula dengan model sedan Volvo 244 1979. Bagi memperingati hari bersejarah tersebut, Volvo turut membawa salah satu unit 244 diesel itu ke kilang Torslanda bagi ‘dipertemukan’ dengan XC90 diesel terakhir berkenaan.

    Menurut Volvo, lima tahun lalu model-model diesel merupakan model utama yang dijual dan begitu laris di pasaran Eropah, di mana majoriti kenderaan yang dijual di benua berkenaan pada tahun 2019 adalah model yang digerakkan dengan enjin diesel.

    Volvo hasilkan unit terakhir dengan enjin diesel – tiada lagi model diesel selepas ini, tumpu penghasilan EV

    Volvo memperkenalkan versi diesel bagi 244 pada 1979 menerusi model GL D6, ketika itu pasaran Sweden dan Eropah masih belum berminat dengan enjin diesel dan ia hanya digemari oleh pemandu teksi dan mereka yang kerap mengembara dalam jarak jauh.

    Volvo 244 GL D6 berkenaan dijana oleh enjin diesel yang dibekalkan oleh Volkswagen. Ia bukan hanya kereta pertama dari Volvo yang dilengkapi oleh enjin diesel, malah ia juga sebenarnya merupakan kereta penumpang pertama di dunia menggunakan enjin diesel enam-silinder, dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berminat dengan teknologi diesel dengan kuasa tork lebih besar.

    Volvo kemudiannya menghasilkan enjin dieselnya sendiri, diperkenalkan buat pertama kali pada model V70 pada 2001. Enjin diesel lima-silinder tersebut dipasang di kilang unit rangkaian kuasa Volvo di Skövde, Sweden dan ia kemudiannya turut ditawarkan pada model-model lain.

    Enjin berkenaan turut digunakan oleh kereta-kereta lumba dalam siri perlumbaan one make S60 Challenge, dan ia juga dihasilkan untuk kegunaan industri marin menerusi divisi Volvo Penta.

    Kemudian pada 2008, Volvo menghasilkan barisan enjin diesel generasi baharu yang digelar sebagai Drive-E, di mana ia turut disertai oleh versi kompak dengan kapasiti hanya 1.6 liter yang begitu efisien, membolehkan perjalanan sejauh 1,300 km di buat dengan hanya satu tangki bahan api.

    Enjin berkenaan kemudiannya digandingkan dengan teknologi plug-in hybrid pada 2012 menerusi Volvo V60 D6 PHEV, di mana model berkenaan merupakan model pertama seumpamanya di dunia menampilkan teknologi sedemikian. Ia bukan hanya cukup berkuasa bagi memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 6.2 saat, malah mampu bergerak sejauh 1,000 km dengan satu tangki bahan api dan jarak pemanduan elektrik penuh sejauh 50 km.

    Volvo hasilkan unit terakhir dengan enjin diesel – tiada lagi model diesel selepas ini, tumpu penghasilan EV

    Volvo Cars’ last diesel car rolls off the production line

    Kali terakhir Volvo memperkenalkan enjin diesel generasi baharunya adalah pada 2013 menerusi barisan Volvo Engine Architecture (VEA), di mana ia menggandingkan sistem suntikan bahan api dengan tekanan lebih tinggi dan juga teknologi i-ART.

    Namun dengan perkembangan teknologi EV yang begitu cepat serta bagi mencapai cita-cita jenama itu bagi menjadi pengeluar EV sepenuhnya menjelang 2030, model-model utama Volvo yang dijual di Eropah kini dijana oleh elektrik sepenuhnya. Menurut Volvo, tahun lalu jualan model-model EVnya meningkat sebanyak 70%, membolehkan bahagian pasaran EV global jenama automotif Sweden itu meningkat kepada 34%.

    Malah pada 2023, Volvo turut telah menjual bahagian pembangunan enjin pembakaran dalaman kepada Aurobay, iaitu syarikat usaha sama penghasilan enjin pembakaran dalaman milik bersama Geely Holding.

     
     
  • Singapura aktifkan kamera had laju di lampu isyarat untuk tangkap pesalah pecut ‘kejar lampu merah’

    Singapura aktifkan kamera had laju di lampu isyarat untuk tangkap pesalah pecut ‘kejar lampu merah’

    Bagi menangkap pesalah trafik yang memecut melebihi had laju untuk ‘mengejar lampu merah’ di persimpangan berlampu isyarat, kerajaan Singapura kini sudahpun memasang sistem perangkap had laju pada kamera lampu merah dan ia kini sedang dihidupkan secara ‘berperingkat’ mulai 1 April, lapor Berita Mediacorp.

    Menurut pihak Polis di republik berkenaan pada Sabtu lalu, fungsi penguatkuasaan kelajuan pada kamera lampu merah itu dihidupkan ‘untuk memperbaiki tingkah laku para pemandu’ setelah jumlah kemalangan maut berkaitan perbuatan memecut naik lebih 83.3 peratus tahun lalu berbanding 2022, dan purata kemalangan maut akibat perbuatan memecut juga meningkat kepada 25.2 peratus pada 2023 daripada 17.3 peratus pada 2022.

    Kamera lampu merah yang mampu mengesan pemandu yang memecut itu dihidupkan di seluruh Singapura secara “progresif dan dinamik” mulai hari ini, di mana lokasi yang lebih terdedah kepada kemalangan dan pemandu sering melanggar lampu merah akan diutamakan.

    Kamera lampu merah tersebut dicat warna jingga dan putih supaya dapat dilihat dengan jelas, dan papan tanda amaran yang tertera had laju juga akan diletakkan sebelum setiap zon penguatkuasaan kamera trafik. Berita ini turut melaporkan bahawa setakat Disember lalu, sebanyak 252 kamera lampu merah diletakkan di seluruh Singapura.

     
     
  • Rapid KL selaras semula operasi 35 laluan bas di Lembah KL mulai hari ini, termasuk bas perantara MRT

    Rapid KL selaras semula operasi 35 laluan bas di Lembah KL mulai hari ini, termasuk bas perantara MRT

    Bermula hari ini, sebanyak 35 laluan atau 13% daripada keseluruhan 264 laluan bas Rapid KL di Lembah Klang termasuk bas perantara Laluan Transit Aliran Massa (MRT) terbabit dalam penyelarasan operasi.

    Menurut CEO Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) Muhammad Yazurin Sallij, penyelarasan itu adalah usaha jangka panjang syarikat untuk menambah baik mutu perkhidmatan yang turut membabitkan penggantian bas mencapai had maksimum penggunaan, laporan Bernama.

    Katanya, menerusi penyelarasan itu juga kekerapan bas akan bertambah antara dua hingga lima minit memandangkan laluan yang terbabit kebanyakannya adalah laluan utama.

    “… purata usia bas kita sekarang ini sudah melebihi 10 tahun. Disebabkan usia bas yang agak lama itu, kita memang perlu untuk memberhentikan tugas bas berkenaan secara berperingkat (dan) kami sudah tender bas,” katanya.

    Tambah beliau, penambahan bas itu diharap dapat meningkatkan lagi operasi Rapid Bus berbanding dengan penggunaan bas lama yang kadang-kala ada rosak dan sesetengahnya terpaksa dihantar ke depoh untuk diperbaiki.

    Rapid KL selaras semula operasi 35 laluan bas di Lembah KL mulai hari ini, termasuk bas perantara MRT

    Bagaimanapun, Muhammad Yazurin berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah mempercepatkan pelaksanaan beberapa pelan tindakan bagi memastikan kesan kepada penumpang pada tahap minimum.

    Antara pelan tindakan tersebut ialah melibatkan penambahan 164 bas daripada syarikat luar serta kolaborasi dengan pengendali bas pihak ketiga untuk memenuhi keperluan operasi harian bermula Mei ini selain turut menambah 20 van transit atas permintaan (DRT) ke dalam operasi pada bulan sama.

    “Selain itu, Rapid Bus akan mengeluarkan 60 bas model Volvo SD B7RLE yang sudah melebihi had maksimum pengoperasian daripada operasi hariannya dan menambah 310 bas diesel baharu menjelang penghujung 2024 bagi menggantikan bas yang telah mencapai had maksimum penggunaan,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau berkata Rapid Bus juga sentiasa menambah baik aspek khidmat pelanggan, terutama yang melibatkan Kapten Bas, supaya pelanggan dapat menikmati pengalaman yang terbaik dan berasa selamat semasa dalam perjalanan.

    “Secara asasnya, penambahbaikan adalah proses berterusan. Contohnya, jumlah aduan yang kita terima berkenaan Kapten Bas memang sudah turun hingga separuh berbanding dua tahun lalu…kita percaya perjalanan dan pengalaman pelanggan sangat penting,” katanya.

     
     
  • Pokok tumbang akibat ribut, masa inilah perlindungan insurans bencana alam dapat membantu

    Pokok tumbang akibat ribut, masa inilah perlindungan insurans bencana alam dapat membantu

    Ramai yang katakan sekarang musim panas, tapi seperti yang kita tahu, cuaca di Malaysia ini boleh jadi tidak menentu. Semalam, hujan lebat dan angin kuat yang datang tiba-tiba pada lewat petang telah menyebabkan bencana di beberapa tempat.

    Dalam laman Facebook komuniti Sri Petaling tersebar beberapa gambar yang menunjukkan banyak pokok besar tumbang, dan ada di antaranya begitu hampir dengan kereta-kereta yang diletakkan di kawasan parkir. Jumlah sebenar kerosakan atau kecederaan tidak diketahui.

    Pokok-pokok ini kalau tumbang ke atas kereta kita memang bukan perkara yang boleh dibuat main. Selain boleh mengancam nyawa, bayaran untuk memperbaiki semula kereta juga boleh jadi membebankan. Sebab itulah kita perlu ada insurans bencana alam, yang boleh melindungi daripada perkara sebegini dan juga banjir.

    Sebelum ini, kami pernah kumpulkan bayaran insurans bencana alam ini, dan ia ditetapkan pada kadar antara 0.15% hingga 0.20% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Namun, ini bergantung kepada syarikat dan mungkin terdapat perubahan mengikut kadar terkini.

    Untuk lebih mudah, anda juga boleh memperbaharui insurans kenderaan dan cukai jalan melalui kami di sini, dan melihat sendiri berapa bayaran yang diperlukan untuk perlindungan bencana alam ini daripada beberapa syarikat penyedia insurans.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025