Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mitsubishi mula keluarkan Minicab EV di Indonesia

    Mitsubishi mula keluarkan Minicab EV di Indonesia

    Selepas beritanya diberitahu Februari lalu, Mitsubishi kini membuat pengumuman sudah memulakan pengeluaran Minicab EV di Indonesia (dikenali sebagai L100 EV di negara itu). Ini juga menandakan kali pertama van kotak kei/kompak tersebut dipasang di negara luar selain Jepun.

    Pengeluaran Minicab EV ini dikendalikan oleh PT Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia (MMKI) di Jawa Barat, dan ia dijangka mula dijual di Indonesia bermula suku keempat tahun fiskal 2023 syarikat itu – sekitar hujung bulan Mac tahun depan.

    Spesifikasi terperinci model elektrik penuh ini masih belum diberitahu tetapi ia mungkin adalah sama sahaja dengan yang ditawarkan di Jepun, iaitu datang dengan bateri lithium ion 16 kWh, yang memberi kuasa kepada motor elektrik 41 PS/196 Nm dan boleh memberikan jarak gerak sehingga 133 km.

    “Pada tahun 2017, MMKI memulakan pengeluaran Expander, yang sekarang bukan sahaja dijual domestik dalam Indonesia, tetapi juga dieksport untuk memberi sokongan kepada pembangunan industri automotif Indonesia,” kata presiden dan CEO Mitsubishi Motors, Takao Kato.

    Dalam siaran akhbar yang sama, Mitsubishi juga menyatakan bahawa antara strategi mereka untuk ASEAN adalah membahagikan eksport Pajero Sport keluaran Thailand ke Australia, dengan model keluaran Indonesia pada suku keempat tahun fiskal 2023.

     
     
  • Honda CR-V 2024 – kenapa Malaysia masih dapat sistem LaneWatch, bukannya pemerhati titik buta?

    Honda CR-V 2024 – kenapa Malaysia masih dapat sistem LaneWatch, bukannya pemerhati titik buta?

    Baru-baru ini Honda Malaysia melancarkan CR-V generasi keenam untuk pasaran dan ia didapati masih menggunakan sistem kamera tepi LaneWatch. Ini adalah berbeza dengan Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara lain, yang mendapat Blind Spot Information System (BSI) – nama yang diberikan oleh Honda untuk sistem pemerhati titik buta kenderaan.

    Jadi, kenapa CR-V pasaran AS mendapat BSI manakala Malaysia masih menggunakan LaneWatch? Soalan ini ditanyakan kepada ketua projek CR-V serba baru ini, iaitu Eisuke Sato semasa satu majlis temu ramah bersama media sebelum pelancaran SUB tersebut.

    “Di tempat lain, kami memang menggunakan BSI. Tetapi, khas untuk rantau ini, dan Malaysia, kami mengambil kira bagaimana motosikal biasa ditunggang dan dalam keadaan tersebut, kami rasakan LaneWatch adalah lebih berkesan,” jawab Sato.

    Honda CR-V 2024 – kenapa Malaysia masih dapat sistem LaneWatch, bukannya pemerhati titik buta?

    “Sebabnya, LaneWatch betul-betul boleh memberi gambaran di mana dan bagaimana motosikal datang, ia memberikan gambaran situasi lebih jelas kepada pemandu,” kata beliau. Mahu kami nyatakan di sini, bukan Malaysia sahaja yang mendapat LaneWatch, tetapi juga negara lain dalam rantau ini seperti Thailand, Filipina, Vietnam, Brunei serta Indonesia.

    Selain daripada itu, Sato juga ditanya, jika LaneWatch adalah fungsi yang dipilih untuk negara ini, kenapa Honda tidak menggunakan kamera berdefinisi lebih tinggi supaya pemandu boleh melihat video yang lebih jelas, terutamanya dalam keadaan yang mencabar?

    “Ada pesaing yang menggunakan kamera definisi tinggi. Walaubagaimanapun, kami telah mengesahkan bahawa spesifikasi yang diberi pada CR-V baru sekarang adalah mencukupi untuk menunjukkan kehadiran penunggang motosikal. Kami faham apabila waktu gelap, terutamanya pada waktu malam dan hujan ia sedikit susah untuk dilihat, jadi kami akan memerhati perkara ini dan mengambil kira sama ada ia perlu dinaik taraf pada model yang seterusnya,” kata Sato.

     
     
  • Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 – jentera rali gegar semula SS ladang sawit tempatan!

    Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 – jentera rali gegar semula SS ladang sawit tempatan!

    Tahun 2024 nampaknya bakal menjadi tahun yang ditunggu-tunggu oleh peminat rali tanah air untuk melihat pesaingan pelumba rali tempatan dan juga antarabangsa bertarung dalam SS permukaan gravel – selepas Asia Cross Country Rally 2024 disahkan akan kembali dianjurkan di Malaysia, hujung minggu lalu Millennium Motorsport Adventure Club (MMAC) pula telah melancarkan Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 yang akan bermula pada bulan Mac nanti!

    Menurut MMAC, MIRC ini diuruskan oleh Semenyih Eco-Ventures Resort & Recreation dan ia bukan sahaja akan disertai oleh pelumba-pelumba rali tempatan termasuk juara PWRC 2002 Karamjit Singh, malah kejohanan ini turut akan menampilkan pelumba-pelumba luar untuk kembali bertanding di Malaysia – kali terakhir Malaysia menganjurkan kejohahan rali penuh dengan penyertaan sedemikan adalah pada Kejohanan Rali AAM 2019 dengan pusingan terakhir diadakan di Terengganu pada Disember 2018.

    Majlis pelancaran kejohanan ini telah dibuat di Eco Ventures Resort Hall, Semenyih Selangor pada 16 Disember lalu, dan ia turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Tan Sri Mokhzani Mahathir. MIRC merupakan perlumbaan yang menerima sanction dari MAM dan mendapat pengiktirafan dari Kementerian Belia & Sukan (KBS).

    Pusingan pertama kejohanan ini akan berlangsung di Paya Besar, Kuantan, Pahang bermula 8 hingga 10 Mac 2024 dengan menampilkan SS tradisi rali di Malaysia iaitu laluan gravel kelajuan tinggi dalam ladang-ladang sawit di sekitar Felda Panching, sesuai dengan tagline kejohanan kali ini – “The Rally Tradition Is Back!

    Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 – jentera rali gegar semula SS ladang sawit tempatan!

    Ia akan diikuti dengan tiga lagi pusingan yang akan dibuat pada bulan Jun, September dan Disember. Walau bagaimanapun tarikh dan lokasi sebenar untuk tiga lagi pusingan berkenaan hanya akan diumumkan selepas kalendar sukan permotoran Malaysia untuk 2024 dikeluarkan secara rasmi.

    Bagi pusingan pertama yang akan dilangsung di Kuantan nanti, ia mendapat kerjasama dari Pejabat Parlimen Paya Besar, Majlis Bandaraya Kuantan dan Kerajaan Negeri Pahang serta Pahang Corporation sebagai rakan strategik. Pihak penganjur juga membayangkan ia akan disertai oleh pelumba-pelumba rali profesional sekitar rantau Asia yang akan turun dengan jentera spesifikasi terkini seperti AP4 dan R5/Rally2.

    Menurut Pengarah Acara MIRC 2024 Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan Bin Abdul Latiff, perlumbaan pusingan pertama berkenaan akan berpusat di Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan, Pahang dan ia akan disekalikan dengan karnival makanan, persembahan artis dan juga ceramah agama dari tokoh terkemuka.

    “Penganjuran MIRC kali ini adalah berstatus berbeza dengan penganjur lain pada sebelum ini. Acara utama adalah perlumbaan rali itu sendiri yang akan disertai oleh pelumba rali dan kereta rali terbaru dari China, Thailand dan Indonesia. Malah, pelumba-pelumba tempatan pasti akan menantikan kembalinya kehebatan sukan rali di Malaysia ini.”

    Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 – jentera rali gegar semula SS ladang sawit tempatan!

    “Bagi menambahkan kemeriahan sepanjang minggu berlangsungnya perlumbaan rali tersebut, kami akan turut menganjurkan karnival & makanan di dua tempat utama iaitu di dalam Tapak Karnival Felda Panching dan Tapak Karnival Bandar Kuantan, Pahang. Konsert dari artis terkini dan cabutan bertuah akan berlangsung di Kuantan pada hari Jumaat dan Ahad manakala Ceramah Agama Perdana dari Penceramah dan Tokoh Agama Terkemuka berlangsung di Tapak Karnival Felda Panching pada hari Sabtu malam.” tambah beliau lagi.

    “Felda Panching amat unik dan indah untuk dijadikan litar perlumbaan rali yang julung kalinya setelah lima tahun hilang dari kalendar sukan permotoran negara,” kata Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat, Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah yang mengalu-alukan perlumbaan tersebut kembali ke kawasan berkenaan dan membawa sekali karnival besar bagi memacu ekonomi setempat.

    “Kami bersedia membantu dari setiap aspek penganjuran bagi memastikan ‘rally come-back’ ini berjaya sepenuhnya dan memuaskan hati semua pihak. Saya juga amat berbesar hati dan bangga kerana Felda Panching akan dijadikan litar lumba rali yang berprestij ini,” katanya lagi.

    Manakala Presiden MMAC, Haji Sutan Mustaffa Salihin turut melahirkan rasa gembira kerana penantian pelumba dan peminat sukan lumba rali ini akhirnya kembali menjadi kenyataan.

    Kejohanan Rali Antarabangsa Malaysia (MIRC) 2024 – jentera rali gegar semula SS ladang sawit tempatan!

    “Saya berterima kasih kepada pihak Semenyih Eco-Ventures terutama Pengarah Acara ini iaitu Dato’ Seri Mohamad Khafey Ikhwan kerana merealisasikan impian kami peminat sukan rali di Malaysia yang lama menanti come-back ini. Malah tagline acara kami adalah The Best Rally Tradition Is Back!” katanya yang juga merupakan seorang pelumba rali berpengalaman yang masih aktif berlumba di dalam dan luar negara.

    MIRC akan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah hampir RM30,000 kepada semua pemenang kelas 4WD dan 2WD termasuk keseluruhan hadiah motorsikal bagi setiap kategori dipertandingkan. Ianya juga belum termasuk hadiah-hadiah sampingan lain yang bakal diumumkan kemudian.

    Buat masa sekarang pihak penganjur rali ini masih belum menutup pintu tajaan untuk semua pihak tidak kira swasta atau korporat, malah mengalukan semua kerjasama strategik bagi meneruskan kesinambungan kegemilangan sukan lumba rali di Malaysia.

     
     
  • Petron anjur kempen ‘Pam & Menang Jom Jalan-Jalan Seoul’ – untuk pemegang kad P-Miles, hingga 29 Feb

    Petron anjur kempen ‘Pam & Menang Jom Jalan-Jalan Seoul’ – untuk pemegang kad P-Miles, hingga 29 Feb

    Petron Malaysia sekali lagi menganjurkan kempen Pam dan Menang Jom Jalan-Jalan, edisi kali ini dengan kerjasama Organisasi Pelancongan Korea (KTO) Malaysia serta ONE TV Asia. Bermula 1 Disember 2023 hingga 29 Februari 2024, pelanggan Petron Miles (P-Miles) berpeluang memenangi percutian percuma ke Korea Selatan melalui ‘Jom Jalan-Jalan Seoul’, dan berpeluang menyaksikan K-Pop atau K-Drama!

    “Hari ini, Korea telah menjadi salah satu destinasi pelancongan utama untuk rakyat Malaysia. Kerjasama kami dengan KTO dan ONE TV Asia adalah tepat pada masanya kerana kami berhasrat untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami menerusi pendedahan kepada pengalaman budaya yang memperkaya, lawatan ke lokasi pelancongan yang menarik, hidangan kulinari terbaik ataupun lawatan eksklusif ke studio TV.

    “Pengalaman ini adalah sejajar dengan DNA jenama kami iaitu mendahulukan kegembiraan pelanggan, mengekalkan kualiti produk dan perkhidmatan yang cemerlang serta menjalinkan hubungan jangka panjang yang bermanfaat kepada pelanggan kami,” kata Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia.

    ‘Jom Jalan-Jalan Seoul’ menyasarkan untuk memberikan 62 pemenang bertuah dengan hadiah menarik yang bernilai lebih RM250,000 dalam tempoh masa sepanjang tiga bulan.

    “Kami amat teruja untuk berganding bahu dengan Petron Malaysia dalam meraikan Tahun Melawat Korea 2023-2024. Dengan budaya Korea yang semakin berkembang pesat, kami bercadang untuk mempromosikan idea kandungan pelancongan Korea untuk terus berjaya dan menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelancong asing tahun depan,” kata Moon Sangho, Pengarah Urusan KTO.

    Kempen ini terbuka kepada semua pemegang kad P-Miles dan boleh disertai di lebih 770 stesen minyak Petron di seluruh negara. Dengan pembelian petrol minimum RM50, pemegang kad P- Miles akan mendapat satu penyertaan, manakala pengguna aplikasi mudah alih P-Miles akan mendapat penyertaan lima kali ganda. Petron juga bekerjasama dengan Malaysian Airlines untuk menyediakan dua penyertaan bagi setiap penukaran mata ganjaran Enrich Miles sepanjang tempoh kempen.

    Kempen ‘Jom Jalan-Jalan’ pertama telah dilancarkan pada tahun 2021 dengan kerjasama Tourism Malaysia, menawarkan pelanggan setia Petron dengan pakej percutian menarik di Malaysia. Kemudian, ia diteruskan melalui kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Türkiye pada tahun 2022, memberi peluang kepada pelanggan memenangi pakej percutian ke Türkiye melalui Turkish Airlines.

     
     
  • Lebuhraya Guthrie laksana sistem pembayaran tol terbuka di 3 plaza tol – bayar guna kad debit/kredit

    Lebuhraya Guthrie laksana sistem pembayaran tol terbuka di 3 plaza tol – bayar guna kad debit/kredit

    Prolintas telah mengumumkan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka bagi kutipan tol kini telah mula dilaksanakan di Lebuhraya Guthrie (GCE). Ini bermakna, pengguna lebuhraya terbabit kini boleh menggunakan kad prabayar, debit atau kredit untuk membayar tol di ketiga-tiga plaza tolnya.

    Untuk pengguna yang biasa melalui Guthrie, ini bukan perkara baharu, dan ia sekadar meneruskan pelaksanaan hasil ujian rintis yang dijalankan sejak September lalu. Sistem pembayaran terbuka ini dilaksanakan di plaza tol Bukit Jelutong, Elmina dan Lagong.

    Pembayaran tol menggunakan kad kredit, debit dan prabayar hanya untuk Kelas 1 (kereta) dan anda perlu menggunakan lorong yang ditetapkan. Perhatikan logo Visa, Mastercard dan MyDebit pada gantri. Walau bagaimana pun, pembayaran menggunakan kad Touch n Go, SmartTag dan RFID, masih dilaksanakan dan sistem pembayaran terbuka ini sekadar satu lagi pilihan untuk para pengguna membayar tol.

     
     
  • Perkhidmatan van e-hailing bakal diperkenalkan untuk lokasi tiada pengangkutan awam; kendalian Prasarana

    Perkhidmatan van e-hailing bakal diperkenalkan untuk lokasi tiada pengangkutan awam; kendalian Prasarana

    Kementerian Pengangkutan bakal memperkenalkan perkhidmatan van transit atas permintaan di sekitar Lembah Klang bagi menambahbaik kesalinghubungan pengangkutan awam, laporan The Star. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, van berkenaan akan menggunakan sebahagian daripada peruntukan RM50 juta di bawah Bajet 2024 untuk meningkatkan pengangkutan awam.

    Tambah beliau, Prasarana Malaysia akan ditugaskan untuk menyelia operasi perkhidmatan van transit atas permintaan, dengan butiran lanjut mengenai pelaksanaan akan diumumkan kemudian. Inisiatif ini adalah untuk menangani isu kesukaran pengguna bagi perjalanan sambungan pertama dan terakhir, terutamanya di kawasan yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan bas awam.

    “Kami faham tidak semua kawasan perumahan mempunyai laluan bas. Konsepnya serupa dengan perkhidmatan e-hailing. Ia tidak mempunyai laluan khas tetapi kami akan meletakkannya di lokasi strategik,” kata Loke. Perkhidmatan ini adalah lebih kurang sama konsep dengan Kumpool, iaitu perkhidmatan ulang-alik atas permintaan yang kini beroperasi di Subang Jaya, Petaling Jaya, Cyberjaya, Melaka dan Johor Bahru.

    Perkhidmatan van e-hailing bakal diperkenalkan untuk lokasi tiada pengangkutan awam; kendalian Prasarana

    Kumpool berfungsi dengan mengumpulkan tempahan penumpang dalam masa yang sama (in real-time) dengan laluan berdasarkan perhentian mengambil dan menghantar semua penumpang. Pada Februari lalu, Kumpool mengumumkan ia telah bekerjasama dengan RapidKL untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara atas permintaan untuk kawasan terpilih.

    Dalam perkara yang berasingan, Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan membentangkan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1887 (Akta 33) berhubung kesalahan memandu di lorong bas pada tahun depan bagi mengelakkan penyalahgunaan laluan oleh pengguna jalan raya lain dan bagi meningkatkan keberkesanan lorong itu.

    Dengan pindaan itu, anggota penguat kuasa akan dapat mengeluarkan kompaun berdasarkan kesalahan yang dipantau dan dirakam oleh kamera. “Kami sedang menuju ke arah penguatkuasaan pintar dengan menggunakan peranti pengimbasan plat lesen…

     
     
  • Sungai Klang Link kini dalam proses mendapatkan kelulusan akhir kerajaan – 53 km, dari Klang ke NPE2

    Sungai Klang Link kini dalam proses mendapatkan kelulusan akhir kerajaan – 53 km, dari Klang ke NPE2

    Sungai Klang Link Sdn. Bhd. (SKL), masih menanti kelulusan akhir daripada kerajaan persekutuan bagi membina, memiliki dan mengendalikan lebuhraya bertingkat baharu yang dikenali sebagai Sungai Klang Link (SKL).

    Menurut syarikat tersebut, lebuhraya sepanjang 53 km yang dicadangkan dalam kawasan Lembah Klang ini di sepanjang Sungai Klang dan bakal diintegrasikan dengan rangkaian lebuh raya sedia ada. Ia akan melalui tujuh persimpangan bermula di persimpangan Lebuhraya Pantai Barat (WCE), Klang dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Pantai Baru 2 (NPE 2).

    Persimpangan terbabit ialah Persimpangan Teluk Menegon di Klang, Persimpangan Kesas, Persimpangan Elite, Persimpangan Subang Indah, Persimpangan Kinrara, Persimpangan Mid Valley dan Persimpangan Duke 2A.

    SLK dijangka menelan kos pembinaan berjumlah RM10 bilion yang dibiayai sepenuhnya menerusi Privately Funded Initiative (PFI) dan tidak akan melibatkan sebarang kos dari pihak kerajaan.

    Sungai Klang Link kini dalam proses mendapatkan kelulusan akhir kerajaan – 53 km, dari Klang ke NPE2

    Katanya lagi, sebagai pemangkin kepada Pertumbuhan Ekonomi Baru, SKL bertujuan untuk menyediakan laluan yang cepat, selamat dan mudah antara pusat komersial Kuala Lumpur ke bandar pelabuhan Klang.

    Dengan matlamat utama untuk mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Persekutuan, lebuhraya baharu ini juga akan menghubungkan dengan lancar kawasan komersial dan kediaman yang penting di sepanjang jajaran baharu ini termasuk Kuala Lumpur, Taman Desa, Kinrara, Petaling Jaya, Puchong, Subang Jaya, Kota Kemuning, Shah Alam dan juga Klang.

    Baru-baru ini SKL telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MTD Construction Sdn. Bhd. (MTDC) dalam mengambil bahagian projek pembangunan dan pembinaan lebuh raya bertingkat tersebut.

     
     
  • Honda e:N1 mula di produksi di Thailand; “HR-V versi EV” akan mula dijual bermula suku pertama 2024

    Honda e:N1 mula di produksi di Thailand; “HR-V versi EV” akan mula dijual bermula suku pertama 2024

    Walaupun sebelum ini Honda hanya menumpukan pada teknologi hibrid bagi pasaran ASEAN, namun minggu lalu Honda membuat pengumuman yang mengejutkan – jenama automotif Jepun itu telah pun memulakan produksi EV pertamanya di rantau ini menerusi SUV EV Honda e:N1.

    EV dengan rupa seakan Honda HR-V berkenaan dihasilkan di kilang Honda yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand. Menurut Honda model berkenaan bukan hanya dipasang di Thai, malah ia juga menggunakan komponen yang dihasilkan secara tempatan, serta mendakwa bahawa ia adalah jenama Jepun pertama yang memasang memproduksi model EV penuh di negara tersebut.

    Walaupun nampak sama seperti HR-V, Honda menyatakan bahawa e:N1 ini diasaskan dari platform e:N Architecture F yang baru sahaja dibangunkan. Platform tersebut menampilkan satu motor elektrik yang diletakkan di hadapan bagi memacu roda hadapan bagi memberikan tiga karekter asas iaitu struktur badan khas dengan ketegaran tinggi, pusat graviti rendah serta bahagian aerodinamik bawah yang dihasilkan secara berhati-hati bagi memastikan faktor “pemanduan yang seronok dan diinspirasikan dari keyakinan” dengan “dinamik Honda yang dikenali”.

    Honda e:N1 mula di produksi di Thailand; “HR-V versi EV” akan mula dijual bermula suku pertama 2024

    Honda telah membuat pra-pendedahan model ini menerusi model e:NY1 Prototype pada Mac 2022, dan ia juga merupakan kembar kepada Honda e:NS1 dan e:NP1 yang dihasilkan untuk pasaran China, perkenalkan jauh lebih awal iaitu pada 2021. Model produksi bagi e:NY1 ini sudahpun mula didedahkan di Eropah pada awal tahun ini. Bagi model e:N1 pasaran Thailand, spesifikasi penuhnya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti pada suku pertama 2024.

    Bagi e:NY1 pasaran Eropah, SUV EV ini menampilkan modul pacuan integrasi tiga dalam satu ringan mengandingkan motor elektrik dan kotak gear berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 310 Nm. Modul tersebut digerakkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWj bagi membolehkan model ini bergerak sejauh 412 km dalam kitaran ujian WLTP. Sistem pengecas pantas DC pada SUV ini membolehkan kadar cas dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 45 minit.

    Tidak seperti pengeluar lain yang kini sudahpun memperkenalkan model-model EV ke pasaran Malaysia bagi mengambil kesempatan ke atas insentif pengecualian cukai yang ditawarkan oleh kerajaan, Honda Malaysia dilihat masih lagi tiada ‘calon’ EV yang akan diperkenalkan dalam pasaran tempatan dalam masa terdekat.

    Honda e:N1 mula di produksi di Thailand; “HR-V versi EV” akan mula dijual bermula suku pertama 2024

    Namun dengan adanya e:N1 di negara jiran kelak, ada kemungkinan besar ia turut akan dibawa ke Malaysia sama ada secara CBU atau dihasilkan sendiri oleh Honda Malaysia dikilangnya di Pegoh Melaka – kilang yang sama menjadi kilang ketiga Honda dalam dunia yang memproduksi model-model hibrid jenama itu bermula dengan Jazz Hybrid pada 2012.

    Ketika pelancaran Honda CR-V 2024 minggu lalu, Pengarah Besar dan CEO Honda Malaysia Hironobu Yoshimura ada menyatakan bahawa buat masa sekarang syarikatnya hanya akan menumpukan teknologi hibrid yang lebih praktikal di sini terlebih dahulu, tetapi tetap akan memperkenalkan model EV penuh bila sudah sampai masanya.

    “Di Malaysia, buat masa sekarang kami sedang fokus terhadap hibrid terlebih dahulu kerana ia adalah solusi yang lebih praktikal. Pada masa tertentu, kami akan kembali ke pada elektrik penuh,” kata Yoshimura.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada Nov 2023 turun 4%

    Jualan kenderaan di M’sia pada Nov 2023 turun 4%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan November 2023, dengan sejumlah 71,908 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Walau bagaimana pun, ia mencatatkan penurunan sebanyak 4% berbanding Oktober 2023 (74,896 unit) dan jumlah tahunan setakat ini (YTD) mencecah 718,748 unit.

    Angka YTD pada akhir November 2023 menghampiri sasaran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 725, 000 unit untuk tahun ini. Rasanya tidak menjadi halangan untuk mencapai sasaran berkenaan dengan tinggal hanya sebulan sahaja sebelum 2023 melabuhkan tirainya, hanya perlu sekitar 6,000 unit untuk mencapai angka yang disasarkan.

    Menurut MAA, jumlah jualan bagi November 2023 masih bertepatan seperti mana yang direkodkan oleh bulan-bulan lain iaitu mencecah lebih 70,000 unit. Angka ini banyak disumbangkan oleh jualan kenderaan nasional (Proton dan Perodua) memandangkan syarikat ini terus memenuhi tempahan tertunggak, serta kempen promosi akhir tahun yang dilaksanakan.

    Jualan YTD untuk 11 bulan pertama 2023 juga adalah 12% lebuh tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu (644,534 unit). Bagi bahagian produksi pula, November 2023 pula, mencatatkan angka sebanyak 67,743 unit, dengan jumlah YTD mencecah 708,376 unit, atau lebih 12% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022.

    Untuk bukan terakhir Disember 2023, MAA menjangkakan jualan adalah lebih kurang sama dengan rekod yang dicatatkan pada November 2023, dengan promosi akhir tahun yang agresif oleh syarikat pengeluar kenderaan dengan tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Disember 2023.

     
     
  • Penang Bridge International Marathon 2023 – Beberapa jalan bakal ditutup mulai 11 malam esok

    Penang Bridge International Marathon 2023 – Beberapa jalan bakal ditutup mulai 11 malam  esok

    Penang Bridge International Marathon (PBIM) 2023 bakal berlangsung pada pagi Ahad ini (17 Dis), dan selain melibatkan penutupan Jambatan Pulau Pinang mulai 12,01 tengahmalam esok hingga 10 pagi Ahd, beberapa jalan di sekitar bahagian pulau juga akan ditutup dan dilencongkan.

    Menurut notis makluman yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin, jalan yang terlibat akan ditutup secara berperingkat mulai 11 malam Sabtu hingga 10 pagi Ahad. Pelepasan bagi kategori larian 42 km akan berlangsung pada jam 1.30 pagi. Seramai 350 anggota polis akan ditugaskan untuk mengawal trafik di laluan yang terbabit.

    Jalan yang terlibat dengan penutupan termasuklah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari persimpangan Jalan Sungai Pinang ke persimpangan Persiaran Bayan Indah, jalan dari Georgetown ke Bayan Lepas, kawasan sekitar The Light dan bulatan Bayan Baru, dan beberapa jalan lagi. Senarai penuh jalan yang terlibat dan laluan alternatif boleh rujuk peta di bawah.

    Klik untuk besarkan

    Sila rancang perjalanan anda terutamanya jika ingin ke lapangan terbang. Untuk masuk dan keluar ke/dari pulau, sila gunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang). Untuk peserta acara larian, difahamkan terdapat 19,000 peserta, waktu pelepasan larian bakal berlangsung di Queensbay Mall pada jam 1.30 pagi untuk 42 km, 3 pagi untuk 21 km dan 6.30 pagi untuk 10 km.

    Khaw turut berkata, pengguna jalan raya yang bercadang menggunakan jalan-jalan terlibat, diminta merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang lain serta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas kerana pihaknya menjangkakan aliran trafik meningkat berikutan musim cuti sekolah.

    “Orang ramai yang ingin menyaksikan atau menyertai PBIM, dinasihatkan meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan oleh penganjur dan dilarang meletakkan kenderaan di sepanjang jalan yang terlibat dengan laluan peserta larian PBIM 2023. Mereka juga dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam yang disediakan oleh pihak penganjur bagi mengelak kesesakan,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V 2024 – kenapa bukan 7 tempat duduk?

    Honda CR-V 2024 – kenapa bukan 7 tempat duduk?

    Sementara Honda CR-V generasi keenam mempunyai kabin dengan tujuh tempat duduk, seperti yang dipasarkan di Thailand, negara kita cuma menerima versi lima tempat duduk sahaja.

    Menurut ketua projek CR-V baru ini, iaitu Eisuke Sato semasa majlis pelancaran model itu untuk pasaran Malaysia semalam, pilihan ini dibuat berdasarkan permintaan serta jumlah yang dijual.

    Malah di Thailand juga, meskipun versi tujuh tempat duduk ini ada dijual, permintaannya dijangka kecil sahaja. Daripada lima varian yang ditawarkan di negara itu, hanya satu adalah varian tiga baris tempat duduk, dengan jumlah keseluruhan tujuh tempat duduk.

    Di Malaysia, CR-V generasi keenam diperkenalkan dalam empat varian, iaitu 1.5L Turbo S pada harga RM159,900, 1.5L Turbo E pada RM169,900, dan 1.5L Turbo V AWD pada RM181,900, sementara harga untuk varian hibrid 2.0L E:HEV RS hanya akan diumumkan awal tahun depan.

    Model 1.5L menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5L turbo bersama padanan transmisi CVT Earth Dreams, mampu menghasilkan kuasa 193 PS pada 6,000 rpm dan tork 243 Nm dari 1,700 rpm hingga 5,000 rpm. Sementara itu, model hibrid pula menggunakan padanan motor elektrik dengan enjin NA empat silinder 2.0 liter kitaran Atkison yang bertindak selaku generator, dengan kuasa keseluruhan 184 PS (181 hp, atau 135 kW) pada 5,000 hingga 8,000 rpm dan 335 Nm dari sifar ke 2,000 rpm.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JWT dan DEX dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JWT, telah dibuka bidaan mulai esok, 16 Disember 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 20 Disember ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 21 Disember 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DEX, bidaannya pula bakal dibuka mulai 23 Disember dan akan berakhir jam 10 malam pada 27 Disember 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 Disember 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Honda Malaysia sekarang fokus lebih kepada hibrid, ‘penyelesaian yang lebih praktikal’; EV kemudian

    Honda Malaysia sekarang fokus lebih kepada hibrid, ‘penyelesaian yang lebih praktikal’; EV kemudian

    Honda sekarang ini akan memberi lebih fokus kepada teknologi hibrid, sebelum beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik pada masa hadapan. Hibrid biasa seperti yang digunakan pada City, Civic, HR-V dan CR-V varian e:HEV yang dijual di negara kita tidak memerlukan dicas untuk mendapatkan penggunaan bahan api yang lebih baik, dan ini dianggap sebagai satu ‘penyelesaian yang lebih praktikal’ oleh syarikat jenama dari Jepun itu.

    “Pada masa ini kami sedang menyiapkan strategi elektrifikasi lengkap untuk mengikuti hala tuju global. Akhirnya nanti kami akan masuk 100% ke dalam dunia kenderaan elektrik bateri (BEV), tetapi kami akan membuat keputusan mengikut negara, situasi serta permintaannya. Di Malaysia pada masa sekarang, kami memberikan lebih fokus kepada hibrid sebagai satu penyelesaian yang lebi praktikal. Pada masa tertentu, kami akan pergi semula ke elektrik penuh,” kata pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif Honda Malaysia, Hironobu Yoshimura semasa majlis pelancaran CR-V baru semalam.

    Honda dan Toyora adalah peneraju hibrid global dan juga di Malaysia, di mana tempoh bebas cukai yang diberi pada kenderaan hibrid CBU menunujukkan maklum balas baik pada sekitar tahun 2010. Kemudiannya, jenama premium Eropah mula menawarkan model plug-in hybrid di sini, tetapi PHEV tidak pernah menjadi benda penting bagi T&H, dan semua model hibrid yang ditawarkan mempunyai sistem cas sendiri.

    Honda Malaysia sekarang fokus lebih kepada hibrid, ‘penyelesaian yang lebih praktikal’; EV kemudian

    Kita sekarang berada dalam zaman EV, dan Jepun bukanlah pemain utama dalam arena ini, tetapi Nissan adalah antara yang terawal dengan menawarkan kereta elektrik Leaf kepada pasaran. Kedua-dua Leaf dan Mitsubishi i-MIEV sudah dijual di Malaysia sebelum Tesla menjadi perhatian lagi.

    Kembali kepada Honda, setakat ini mereka cuma mempunyai Honda e, yang bersaiz kecil dan mempunyai jarak gerak pendek, e:NY1 (seperti HR-V EV) dan Prologue SUV yang dibangunkan bersama General Motor. Honda juga akan memperkenalkan siri EV baru kepada umum Januari 2024 nanti.

     
     
  • Range Rover Electric 2024 bakal muncul – EV pertama jenama RR tampil senibina 800V, tahap prestasi V8

    Range Rover Electric 2024 bakal muncul – EV pertama jenama RR tampil senibina 800V, tahap prestasi V8

    Range Rover (RR) bakal melahirkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, selepas pengeluar kereta Britain itu mengumumkan unit prototaip telah dihantar untuk menjalani beberapa siri ujian. Berasaskan Range Rover generasi kelima yang diperkenalkan pada tahun 2021, Range Rover Electric dibangunkan dengan platform Modular Longitudinal Architecture-Flex (MLA-Flex) yang sama dan bagi sesiapa yang berminat sudah boleh mendaftar untuk senarai menunggu.

    Digembar-gemburkan sebagai “Range Rover paling senyap dan paling halus pernah dicipta,” EV pertama jenama itu akan kelihatan seperti versi plug-in hybrid dan janaan bahan api fosil. Dirancang untuk diproduksi bersama varian bukan-EV yang lain di Solihull, United Kingdom, Range Rover Electric akan menggunakan unit pacuan elektrik dan bateri yang dipasang di Electric Propulsion Manufacturing Centre baharu milik JLR di Wolverhampton.

    Perincian penjana kuasanya masih belum didedahkan sepenuhnya, tetapi syarikat ini berkata EV terbabit akan menampilkan binaan elektril 800-voltan yang berkeupayaan menggunakan pengecas pantas di rangkaian awam. Bagi prestasinya pula, ia setanding dengan Range Rover yang dilengkapi V8, di samping menyediakan keupayaan semua bentuk muka bumi.

    Buat masa ini, prototaip Range Rover Electric sedang menjalani ujian atas jalan di pelbagai lokasi dari Sweden ke Dubai, dalam suhu antara -40 hingga 50 darjah Celsius. Termasuk mengharungi air dengan kedalaman sehingga 850 mm pada kelajuan sehingga 50 km/j, bersama-sama dengan ketahanan bateri, integriti casis dan ujian dinamik kenderaan untuk menguji penurunan terma.

    Seperti perkara yang menjadi keutamaan Range Rover, pastinya keselesaan dan kemewahan menjadi ciri standard yang turut disesuaikan dengan prestasi pemanduan. Untuk itu, Range Rover telah mencipta konfigurasi pembatalan bunyi bising jalan aktif yang unik dan rekaan bunyi untuk sesetengah tahap bagi keselesaan di dalam kabin.

     
     
  • Proton Operational Excellence — stok alat ganti cukup, penalti RM1,000 jika pengedar abaikan aduan

    Proton Operational Excellence — stok alat ganti cukup, penalti RM1,000 jika pengedar abaikan aduan

    Sejak bulan Mac 2023, Proton telah mula melaksanakan apa yang dipanggil sebagai Proton Operational Excellence (POE) yang bertujuan untuk mempertingkatkan aspek servis lepas jualan jenama itu serta meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dari semua sudut operasinya.

    Antara perkara menarik yang sekaligus menunjukkan kesungguhan Proton untuk menambahbaik dan memperkaya pengalaman pemilikan pelanggan mereka adalah polisi dalaman yang melibatkan pemberian ganjaran dan juga penalti kepada pengedar dan penasihat servis yang terlibat.

    Ganjaran dan penalti yang dimaksudkan ini adalah dalam bentuk kewangan; dalam melayani aduan dan masalah pelanggan, pengedar dan penasihat servis yang mengambil serius dan berhasil menyelesaikan setiap aduan tersebut akan diberi insentif dalam bentuk wang berdasarkan sistem merit/demerit dalaman yang ditetapkan. Jumlah insentif yang terlibat pula adalah berdasarkan prestasi mereka masing-masing.

    Proton Operational Excellence — stok alat ganti cukup, penalti RM1,000 jika pengedar abaikan aduan

    Manakala, sekiranya ada aduan pelanggan yang diabaikan dan tidak diselesaikan, pengedar boleh dikenakan penalti sebanyak RM1,000, manakala penasihat servis yang terlibat pula boleh dikenakan penalti RM200.

    “Setiap aduan pelanggan yang kami terima secara langsung, kami akan lakukan penelitian berdasar setiap kes atau aduan berkenaan terlebih dahulu. Dan sekiranya aduan tersebut pernah diajukan kepada mana-mana pengedar sebelum itu dan didapati ada berlaku layanan yang tidak sewajarnya terhadap pelanggan, maka kes seperti inilah yang akan dikenakan penalti seperti dinyatakan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar Sdn Bhd, Roslan Abdullah ketika taklimat media berkaitan POE di satu daripada pengedarnya, The Apple Auto Services & Tyres Sdn. Bhd. di Bangi, minggu lalu.

    Dalam gambaran yang lebih besar, Proton juga telah memperkemaskan rangakaian 3S/4S sedia ada di setiap negeri dengan jumlah keseluruhannya melibatkan 155 cawangan. Menurut Proton, ini merupakan rangakain pusat 3S/4S terbesar ketika ini, meliputi seluruh Malaysia.

    Proton Operational Excellence — stok alat ganti cukup, penalti RM1,000 jika pengedar abaikan aduan

    Alat ganti juga sentiasa selalu menjadi masalah dan kekangan untuk Proton memberikan yang terbaik untuk pelanggan. Sedar dan mengakui masalah tersebut, Proton kini juga dalam proses untuk memperluaskan rangkaian dan lokasi gudang dan stok alat gantinya di seluruh negara.

    Ketika ini, Proton mempunyai lima gudang alat ganti yang sedang beroperasi. Tiga daripadanya di Lembah Klang dengan dua yang utama berada di Glenmarie, Shah Alam, serta satu lagi di XinHwa Batu Tiga, juga di Shah Alam yang dipecahkan untuk menyimpan stok mengikut model tertentu. Di Sarawak pula, sebuah gudang alat ganti di Bintawa, Kuching tersedia menyimpan inventori alat ganti untuk semua model.

    Gudang di Kota Kinabalu, Sabah pula akan dipindahkan ke premis yang lebih besar pada suku kedua tahun hadapan. Selain itu, setiap pengedar juga dikehendaki untuk menyimpan stok alat ganti tiga bulan mengikut corak keperluan servis dan aduan/kes yang melibatkan premis mereka — dan ini merupakan usaha berterusan Proton untuk memastikan stok alat ganti sentiasa mencukupi.

    “Kapasiti gudang alat ganti yang semakin meningkat ini telah mengurangkan tempoh penghantaran alat ganti berkenaan sebanyak 30%, membolehkan kami untuk menyimpan stok lebih banyak alat ganti, memperkemas proses tempahannya, menguruskan penghantaran dari luar negara dan menyimpan stok lebih besar untuk barangan kritikal untuk baik bulih kenderaan pelanggan dalam masa lebih singkat,” tambah Roslan.


     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025