
Belum lagi reda kehangatan Malaysian Rally Sprint 2023 yang berlangsung hujung minggu lalu, ini satu lagi berita peminat sukan rali dalam negara – perlumbaan rali rentas negara, Asia Cross Country Rally (AXCR) telah mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi sebahagian dari laluan rali berkenaan pada tahun hadapan, dan satu pasukan rali dari Malaysia juga bakal beraksi dalam perlumbaan itu!
Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.
AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.
Penganjuran rali ini terhenti seketika pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19. Ia kemudiannya disambung semula untuk edisi 2022, menyaksikan pasukan Mitsubishi Ralliart yang secara rasmi kembali berlumba dan memenangi rali dengan perjalanan keseluruhan 1,524 km itu bermula dari Buriram, Thailand dan berakhir di Angkor Wat, Kemboja.

Manakala pada tahun lalu, perlumbaan ini bermula dari Pattaya, Thailand dan berakhir di Prasat Wat Phou, Laos melibatkan perjalanan sejauh 2,000 km, dan ia dimenangi oleh Toyota Fortuner dari pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia.
Bagi perlumbaan tahun hadapan, pihak penganjur sudah pun mengesahkan ia akan bermula di Thailand pada 11 Ogos, dan bakal berakhir di Malaysia 17 Ogos 2024. Namun butiran laluan untuk rali ini masih lagi belum didedahkan, dan ia akan diumumkan selepas ini.
Walau bagaimanapun rali ini dijangka bukan sahaja akan menarik peminat-peminat sukan permotoran tempatan, yang paling penting ia turut disasarkan untuk memperlihatkan lokasi-lokasi alam semula jadi, perkampungan, bandar-bandar, masyarakat dan kepelbagaian budaya di Malaysia yang disifatkan sebagai “Truly Asia“, seterusnya bakal menjana industri pelancongan tempatan.
“Kami akan berhubung dengan komuniti tempatan dan juga memberikan mereka pengalaman untuk terlibat dalam sukan permotoran kerana ramai penduduk-penduduk kampung ini merupakan kali pertama mereka melihat acara seperti ini, dan ini juga dapat menunjukkan kecantikan dalam setiap negeri,” kata Remus Xin, promoter global untuk AXCR dalam sesi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sebentar tadi.

Beliau turut menambah, para peserta rali dan juga pasukan turut akan berhubung dengan sekolah-sekolah tempatan sepanjang laluan rali bagi menjalankan pelbagai sesi amal dan juga aktivit ramah mesra.
Bagi pasukan Malaysia yang ditubuhkan untuk menyertai rali ini, tiga orang pemandu berpengalaman dan seorang penunggang dalam kategori motosikal sudah disahkan dalam majlis yang sama. Ia akan diketuai oleh dua legenda rali negara iaitu ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh dan Saladin Mazlan untuk kereta pertama dan kedua, serta seorang pemandu wanita yang kini sedang meningkat naik, Leona Chin.
Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.
Barisan pelumba yang diumumkan ini dijangka bakal memberikan saingan yang sengit dalam perlumbaan tersebut di mana bagi Saladin dan Karamjit, kedua-duanya pernah menyertai pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) paling lasak di dunia iaitu Safari Rally di Kenya.

Saladin menyertai Safari Rally pada pada tahun 2000 memandu untuk pasukan Subaru Rally Team Japan, menghabiskan perlumbaan tersebut di tempat ke-13 dari 55 penyertaan, dan menduduki tangga ke-4 dalam kategori Group N. Manakala Karamjit Singh pula datang ke WRC Safari Rally pada tahun 2002 dengan pasukan Proton PERT, menghabiskan perlumbaan ditangga ke-10, dan juara bagi kelas Group N.
“Apa yang saya mahu katakan, ia akan menjadi pengalaman yang menakjubkan untuk kami bertiga dengan Saladin dan Leona di sini, ketiga-tiga kami tak sabar untuk bersaing dalam acara ini dan sudah tentu untuk membanggakan Malaysia. Dan kami berharap untuk pulang dengan trofi kemenangan,” kata Karamjit Singh.
Walaupun sudah berusia 61 tahun, Karamjit masih lagi kompetitif dengan membawa pulang tiga trofi juara di pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia pada 2022, ketika itu bersama mendiang Jagdev Singh sebagai juruarah.
“Kami sudah menyertai rali sejak sekian lama, dan saya rasa dengan pengalaman kami, saya dan Karamjit dalam Safari Rally iaitu rali yang istimewa sejauh lebih dari 1,000 km, kami sudah pun berhadapan dengan macam-macam cabaran. Saya rasa pengalaman ini sudah cukup buat kami,” kata Saladin Mazlan.
Juara AXCR 2022 pasukan Mitsubishi Ralliart (kiri) dan juara AXCR 2023 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia (kanan)
Selepas 12 tahun menyepi dari sebarang kejohanan rali peringkat antarabangsa, Saladin dilihat mula aktif semula tahun ini dan bertanding di pusingan ketiga dan keempat dalam Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023. Walaupun berlumba dengan kereta lama dan kurang berkuasa berbanding pelumba-pelumba lain, beliau masih mampu menghabiskan kedua-dua rali berkenaan dalam kedudukan podium.
“Sebagai pelumba wanita saya mahu menginspirasikan lebih ramai wanita untuk keluar dan menerokai pelbagai pengalaman dan pengembaraan baharu,” kata Leona Chin. Dia yang kini berusia 37 tahun sudah pun berlumba sejak berumur 18-tahun, menyertai pelbagai disiplin perlumbaan termasuk perlumbaan litar, drift, Gymkhana dan rali. Untuk AXCR 2024 ini Leona dijangka akan digandingkan dengan juruarah wanita bagi membentuk satu krew wanita sepenuhnya.
Walau bagaimanapun jentera dan livery perlumbaan bagi pasukan Malaysia ini masih belum dimuktamadkan. Menurut pengurus pasukan, James Leong, kesemua itu akan diumumkan dalam sidang media yang akan dibuat pada masa akan datang. Namun James tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar rasmi seperti pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia dan Tant Sports Thailand bersama Mitsubishi Ralliart, dan semua peluang kerjasama seperti itu masih terbuka.