Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo Cars henti tawarkan model dijana dengan enjin diesel selama-lamanya bermula tahun hadapan

    Volvo Cars henti tawarkan model dijana dengan enjin diesel selama-lamanya bermula tahun hadapan

    Volvo Cars (entiti yang berbeza dari Volvo Truck) bakal menghentikan penawaran model-model dengan enjin diesel tahun hadapan, dan unit terakhir kenderaan Volvo yang dijana oleh enjin diesel akan diproduksi “beberapa bulan dari sekarang” lapor Autoblog.

    Pembuat kereta dari Sweden berkenaan sebenarnya sudahpun menghentikan sebarang pembangunan enjin-enjin baharu yang dijana bahan api diesel sejak 2017 kerana kos untuk menghasilkan teknologi yang mesra alam bagi enjin tersebut adalah terlalu tinggi.

    Malah bukan lagi rahsia dalam rancangan Volvo untuk menjadi jenama “neutral iklim” pada 2040, Volvo hanya akan menjual kenderaan dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) bermula 2030. Jadi selepas menamatkan penjualan model dengan enjin diesel ini, Volvo mungkin akan mengumumkan penamatan penawaran model dengan enjin petrol pula.

    “Unit rangkaian kuasa elektrik merupakan masa depan kami, dan ia lebih baik dari enjin-enjin pembakaran dalaman: ia menghasilkan bunyi yang lebih senyap, getaran yang lebih rendah, kos servis yang lebih murah untuk pelanggan kami dan tiada pencemaran paip ekzos,” kata CEO Volvo Cars Jim Rowan berhubung langkah yang diambil syarikatnya ini.

    Volvo Cars henti tawarkan model dijana dengan enjin diesel selama-lamanya bermula tahun hadapan

    Rowan turut menegaskan langkah ini adalah usaha Volvo bagi mengatasi perubahan iklim. “Sudah tiba masanya untuk pemimpin industri dan politik menjadi kuat dan tegas, serta menyampaikan dasar dan tindakan yang bermakna untuk memerangi perubahan iklim. Kami komited untuk melaksanakan peranan kami dan menggalakkan rakan-rakan serta pemimpin politik di seluruh dunia untuk menjalankan tugas mereka,” tambah Rowan.

    Volvo menyatakan sebelum ini iaitu pada 2019 kebanyakkan kenderaan yang dijual di Eropah dijana oleh enjin diesel. Namun untuk 2023, trend sudahpun berubah dengan majoriti kenderaan yang dijual oleh Volvo di Eropah adalah dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh atau plug-in hybrid.

    Menurut Volvo perubahan trend ini adalah kerana undang-undang pencemaran di benua berkenaan yang semakin ketat, dan usaha jenama itu sendiri yang kini fokus terhadap teknologi elektrifikasi.

     
     
  • Ford Ranger PHEV didedah – tork lebih tinggi daripada Raptor, akan mula memasuki pasaran pada tahun 2025

    Ford Ranger PHEV didedah – tork lebih tinggi daripada Raptor, akan mula memasuki pasaran pada tahun 2025

    Ford telah mendedahkan Ranger pertama yang dilengkapi dengan penggerak plug-in hybrid (PHEV), dengan ia akan mula dikeluarkan pada hujung tahun depan dan memasuki pasaran pada tahun 2025. Ranger PHEV ini akan dijual di Eropah dan telah disahkan bakal memasuki pasaran Australia.

    Penggerak PHEV pada Ranger ini dikatakan mampu memberi lebih tork berbanding Ranger lain dan menggabungkan enjin petrol empat silinder 2.3 liter EcoBoost bersama motor elektrik dan pek bateri kecil. Buat masa sekarang jumlah kuasa masih belum didedahkan, tetapi trak ini diberitahu mampu bergerak 45 km dengan hanya menggunakan sumber bateri.

    Bagi memberikan gambaran kepada kuasa Ranger lain, model Raptor dalam pasaran kita yang menggunakan enjin V6 twin turbo 3.0 liter EcoBoost mampu menghasilkan 397 PS (392 hp atau 292 kW) dan tork 583 Nm. Mengikut kata Ford, Ranger PHEV pastinya akan mengeluarkan tork yang jauh lebih tinggi berbanding Ranger Raptor.

    Ford memberitahu, pemandu akan disediakan dengan beberapa mod pemanduan supaya mereka boleh memilih bila mahu menggunakan bateri tambahan tersebut dan Ranger PHEV ini akan mempunyai kemampuan offroad pacuan empat roda yang sama seperti Ranger lain. Kapasiti menunda juga sama iaitu 3,500 kg.

    Selain membantu menggerakkan kenderaan, pek bateri PHEV ini juga boleh digunakan untuk memberi kuasa kepada peralatan luar lain. Ini dapat dilakukan melalui sistem Pro Power Onboard, yang menyaksikan terdapat soket kuasa pada ruang belakang serta dalam kereta.

    Secara visualnya, Ranger PHEV nampak seperti Ranger biasa yang lain, dengan satu-satunya perbezaan adalah soket tempat mengecas pada fender belakang, rekaan rim khas serta tulisan PHEV berhampiran lengkuk tayar hadapan.

     
     
  • Beberapa jalan ditutup untuk Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya pada 1 Okt, 7 pagi-11 pagi – MBSJ

    Klik untuk besarkan

    Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telag mengumumkan Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya bakal dianjurkan pada Ahad ini, 1 Oktober 2023. Acara tersebut akan bermula pada jam 7 pagi sehingga 11 pagi. Edisi kali ini turut melibatkan perlumbaan basikal Selangor Criterium Series.

    Seperti biasa, Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya akan berlangsung di hadapan Subang Parade dan Aeon Big di SS15. Jadi, ia melibatkan Jalan Kemajuan Subang, Persiaran Kemajuan SS16 dan Jalan SS16/2 yang akan ditutup dari jam 7 pagi hingga 11 pagi.

    Jalan SS16/1 juga akan ditutup sebahagiannya iaitu di sekeliling Subang Parade, Aeon Big dan Mesiniaga. Walau bagaimana pun, ia masih boleh dilalui oleh kenderaan, bermakna laluan terbabit akan dikongsi antara penganjuran acara dan kenderaan orang awam.

    MBSJ juga menyarankan tiga lokasi parkir iaitu di Subang Parade, Aeon Big dan di sepanjang Jalan SS15/1A. Namun jika anda memilih untuk parkir di kawasan perumahan yang berhampiran, pastikan kenderaan anda tidak menghalang laluan trafik di situ.

    Untuk edisi penganjuran kali ini, antara aktiviti yang akan dijalankan termasuklah bola sepak jalanan, Pasar Karloot, memanah, abseiling/flying fox, pemeriksaan mata dan kesihatan percuma, kaunter pembayaran bergerak, refleksiologi, demostrasi masakan dari chef hotel terkenal dan banyak lagi.

     
     
  • Polis raih hasil sebanyak RM302.43 juta bagi saman trafik di seluruh negara untuk tempoh Jan-Ogos 2023

    Polis raih hasil sebanyak RM302.43 juta bagi saman trafik di seluruh negara untuk tempoh Jan-Ogos 2023

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM302.43 juta melalui 1.9 juta saman trafik yang dikeluarkan di seluruh negara dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023.

    Ia menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda berbanding tempoh yang sama pada tahun 2022, di mana RM127.8 juta dikutip, laporan New Strait Times.

    Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim, berkata jumlah itu sekaligus menjadikan JSPT sebagai jabatan dalam PDRM yang menjadi penyumbang tertinggi kepada Perbendaharaan Negara.

    “Untuk tempoh sama pada tahun lalu, kita berjaya mengutip kompaun saman sebanyak RM127.82 juta dan tahun ini, jumlah itu meningkat kepada RM302.43 juta. Jumlah kutipan kompaun saman yang tinggi pada tahun ini ada kaitan dengan peningkatan penggunaan aplikasi MyBayar Saman, yang memudahkan orang ramai membayar saman,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

    Polis raih hasil sebanyak RM302.43 juta bagi saman trafik di seluruh negara untuk tempoh Jan-Ogos 2023

    Tambah beliau, untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu, jumlah kutipan kompaun saman menerusi MyBayar Saman adalah sebanyak RM37.5 juta membabitkan 207,217 saman. Untuk tempoh sama tahun ini pula, sebanyak RM169.28 juta kompaun saman membabitkan 2.4 juta saman dibayar orang ramai menggunakan aplikasi MyBayar Saman.

    Mengulas lanjut, beliau berkata orang ramai kini lebih menghargai kemudahan pembayaran saman secara tanpa tunai atau cashless melalui aplikasi berkenaan dan tidak perlu beratur di kaunter.

    “Peningkatan jumlah kutipan kompaun saman pada tahun ini juga hasil daripada keprihatinan kerajaan sekarang yang memohon PDRM menawarkan pengurangan bayaran saman sehingga 50% secara tanpa tunai.

    “Baru-baru ini kerajaan menyarankan seberapa boleh agensi kerajaan yang melibatkan pembayaran perlulah dikurangkan menggunakan konsep cashless ataupun tanpa tunai. Jadi pihak JSPT menyambut saranan kerajaan yang mana kita menggunakan kita punya aplikasi MyBayar Saman,” katanya menurut laporan Berita Harian.

    Selain itu juga, JSPT telah membuka 42 kaunter diskaun saman sepanjang Januari hingga Ogos lalu selain promosi-promosi pengurangan bayaran saman yang lain.

    Mat Kassim berkata untuk tempoh tahun lalu, seramai 1.33 juta pengguna direkodkan menggunakan aplikasi itu untuk membayar saman, dan untuk tempoh Januari hingga Ogos lalu, terdapat seramai 1.106 juta menggunakan aplikasi itu bagi tujuan sama.

    “Setakat ini terdapat 5.59 juta pengguna individu berdaftar untuk aplikasi MyBayar, dan selebihnya adalah syarikat (81,838) dan agensi kerajaan (58) menjadikan jumlah keseluruhan 5.67 juta pengguna.

    “Konsep MyBayar Saman akan ditambah baik dan diperluaskan lagi, dan kita berharap dalam tempoh tiga tahun akan datang kita dapat kurangkan ataupun kita tidak perlu lagi menggunakan kaunter saman. Dengan cara itu, anggota yang bertugas di setiap kaunter pembayaran saman dalam antara tiga hingga lima orang dapat digunakan sepenuh di lapangan,” katanya.

     
     
  • Toyota GR Yaris facelift “Evo II” akan tampil pilihan kotak gear 8AT, enjin lebih berkuasa tahun depan?

    Toyota GR Yaris facelift “Evo II” akan tampil pilihan kotak gear 8AT, enjin lebih berkuasa tahun depan?

    Toyota GR Yaris sudahpun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran selepas ia membuat kemunculan sulung global di Tokyo Auto Salon 2020. Jadi kalau ikut hayat produksi, ia sepatutnya bakal muncul dalam versi facelift tidak lama lagi.

    Menurut laporan portal automotif Jepun BestCar Web, GR Yaris facelift 2024 ini akan muncul tahun hadapan dan mungkin akan digelar sebagai GR Yaris Evolution II. Di Jepun, tempahan bagi GR Yaris sedia ada sebenarnya sudah ditutup sejak Julai tahun lalu, dan ia untuk memastikan pelanggan yang menempah model tersebut mendapat kereta mereka sebelum produksi model Evo II ini bermula selepas Januari 2024.

    Portal itu turut menyebut bahawa tempahan untuk GR Yaris Evolution II ini mungkin akan dibuka pada musim luruh tahun ini, dan penghantaran untuk pelanggan terawal yang menempahnya mungkin akan dibuat pada musim bunga tahun hadapan.

    Untuk spesifikasi mekanikal, BestCar menyatakan GR Yaris 2024 ini masih lagi dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo. Namun ia mungkin akan menerima talaan kuasa yang sama seperti pada enjin G16E-GTS pada GR Corolla yang menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 370 Nm, lebih berkuasa dari versi sedia ada yang menerima talaan kuasa 272 PS.

    Toyota GR Yaris facelift “Evo II” akan tampil pilihan kotak gear 8AT, enjin lebih berkuasa tahun depan?

    Buat masa sekarang GR Yaris hanya ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan (tidak termasuk versi ‘kosong’ GR Yaris RS dengan enjin 1.5 NA dan kotak gear CVT untuk pasaran Jepun), namun untuk model Evo II nanti BestCar melaporkan bahawa ia turut datang dengan pilihan kotak gear automatik.

    Kotak gear berkenaan bukan dari jenis klac berkembar (DCT), sebaliknya adalah kotak gear automatik konvensional menggunakan torque converter lapan kelajuan (8AT) yang dibekalkan bersama pedal penukar gear dan juga sistem lock-up yang baharu dibangunkan Toyota, dedah BestCar lagi.

    Dengan enjin lebih berkuasa, portal tersebut menyatakan GR Yaris facelift ini turut akan menerima tingkat taraf suspensi, brek dan juga kerangka badan yang lebih tegar dari versi sedia ada.

    GR Yaris Evolution II ini turut akan menerima penyegaran rupa. Laporan ini menyatakan ia akan menerima rekaan bampar baharu pada sebelah luar bersama pilihan spoiler belakang yang lebih besar dari sebelum ini. Manakala dalam kabin, versi facelift ini turut akan diberikan pilihan paparan instrumen digital buat pertama kali.

    Musim bunga di Jepun sebenarnya sudah pun bermula, mungkin pengumuman rasmi dari Toyota berkenaan GR Yaris Evolution II ini akan dibuat tak lama lagi?

     
     
  • Kerajaan pertimbang gunakan aplikasi MySejahtera untuk agih subsidi bersasar secara berkesan

    Kerajaan pertimbang gunakan aplikasi MySejahtera untuk agih subsidi bersasar secara berkesan

    Kerajaan ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa kaedah yang dianggap berkesan bagi melaksanakan pendekatan subsidi bersasar, termasuk satu daripadanya adalah dengan menggunakan aplikasi MySejahtera, lapor Utusan Malaysia.

    Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim dalam sebuah panel yang ditubuhkan di bawah kementerian berkenaan, yang ketika ini sedang menjalankan kajian terhadap beberapa kaedah pelaksanaan untuk memastikan mereka yang seharusnya layak menerima subsidi kerajaan tidak ketinggalan.

    “Kaedah untuk melaksanakan subsidi bersasar ini sedang diperincikan, termasuk melalui penggunaan aplikasi seperti MySejahtera dan sebagainya. Saya setuju dengan masalah ketirisan dalam pengagihan subsidi kita, sebab itu Kerajaan Perpaduan mempunyai iltizam politik bukan sahaja dari segi perancangan semata-mata, tetapi telah pun melaksanakan langkah pertama.

    “Bukan mudah untuk sesebuah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar kerana mereka yang tidak dapat akan marah, walaupun dia orang asing sekali pun tetap, (juga) akan merungut. Namun, kerajaan telah menunjukkan iltizam pertama, iaitu pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya dalam persidangan di Dewan Negara, hari ini.

    Sebelum ini, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah menyatakan, terdapat masalah utama yang dihadapi oleh negara dalam hal ini, iaitu berlakunya ketirisan subsidi yang “hilang” kerana dimanfaatkan oleh warga asing.

    Arman Azha mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan aplikasi MySejahtera untuk dijadikan sebagai kaedah pengagihan subsidi kepada rakyat yang layak, memandangkan sekitar 90 peratus masyarakat di Malaysia sudah menggunakan aplikasi tersebut sebelum ini.

    Steven Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, dengan sokongan semua pihak kerajaan akan mengemaskini segala kaeadah untuk memastikan sumber kewangan negara dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia sepenuhnya, terutama oleh golongan yang memerlukan.

     
     
  • Insiden Rempuhan lori treler di Putrajaya – pemandu tidak mengaku bersalah memandu secara berbahaya

    Insiden Rempuhan lori treler di Putrajaya – pemandu tidak mengaku bersalah memandu secara berbahaya

    Kes insiden sebuah lori treler yang merempuh sekumpulan kenderaan yang sedang berhenti di Putrajaya minggu lalu sudahpun di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini. Menurut laporan Sinar Harian, pemandu lori berkenaan, Muhammad Izzatul Shafik Mozahari membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Aima Nabila Muhammad Azhar.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Izzatul yang dikenalpasti sebagai pemandu treler jenis Foton Auman berkenaan dituduh memandu secara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian Faris Haziq Abu Bakar, 25, dan Yuswar Mohd Uyus, 39, di KM 5.8 Persiaran Utara di sini, pada jam 10.14 pagi, 20 September lalu.

    Untuk kes ini, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan, lapor Sinar Harian.

    Akhbar itu turut melaporkan semasa prosiding berlangsng Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Amalina Abu Hanifah mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 namun lelaki berusia 29 tahun yang tidak diwakili peguam, merayu kadar berkenaan dikurangkan.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Aima Nabila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, dan melaporkan diri di balai polis terdekat, sekali setiap bulan dan lesen memandunya digantung sehingga lupus kes, lapor akhbar itu lagi. Sebutan semula kes ini ditetapkan pada 25 Oktober depan.

    Insiden Rempuhan lori treler di Putrajaya – pemandu tidak mengaku bersalah memandu secara berbahaya

    Kejadian ini berlaku pada Rabu minggu lalu di KM5.7 Jalan Persiaran Utara menghala Puchong, berhampiran susur keluar Persiaran Timur, Putrajaya. Ia terjadi ketika sekumpulan anggota polis trafik sedang melakukan latihan kawalan sempena Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan menghentikan lalu lintas.

    Ketika trafik dihentikan, sebuah treler muatan batu pasir yang gagal berhenti telah merempuh kenderaan-kenderaan tersebut dan menyebabkan dua penunggang motosikal iaitu seorang pekerja Pos Malaysia, Faris Haziq dan pekerja di Mahkamah Ampang, Yuswar meninggal di tempat kejadian.

    Secara keselurhan kemalangan ini membabitkan 14 kenderaan iaitu treler, tujuh kereta dan lima motosikal termasuk sebuah motosikal polis trafik. Menurut pihak polis, berdasarkan siasatan awal, pemandu treler itu mendakwa tidak sempat memberhentikan kenderaan ketika melalui jalan berkenaan.

    Namun hasil semakan polis, suspek tidak mempunyai rekod kesalahan trafik dan ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya didapati negatif.


     
     
  • 13,516 kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada kecuaian, 2021-Ogos 2023 – polis

    13,516 kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada kecuaian, 2021-Ogos 2023 – polis

    Sebanyak 1.2 juta kemalangan jalan raya telah direkodkan di Malaysia bagi tempoh 2021 hingga Ogos 2023 yang membabitkan sejumlah 13,516 kematian. Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Datuk Wira Mat Kasim Karim sewaktu dihubungi oleh Utusan Malaysia berkata, 13,516 kematian tersebut disebabkan kecuaian pemandu kenderaan.

    Katanya, daripada rekod itu, ia melibatkan 4,247 kematian pada tahun 2021, 5,671 kematian pada 2022 dan 3,589 kematian bagi lapan bulan pertama tahun ini.

    Menurut statistik polis, majoriti kemalangan jalan raya di Malaysia disebabkan pemandu mengekori rapat kenderaan lain iaitu sebanyak 81,136 kes.

    13,516 kematian akibat kemalangan jalan raya berpunca daripada kecuaian, 2021-Ogos 2023 – polis

    Selain itu, antara faktor lain disebabkan oleh mengantuk, leka dan sebilangan kes lagi membabitkan pemandu `bermain’ telefon bimbit dan berangan.

    Mat Kasim berkata, pemandu sepatutnya mengekalkan jarak antara dua hingga empat buah kereta daripada kenderaan di hadapan bagi mengelakkan pelanggaran.

    “Sebanyak 59,032 lagi kemalangan berpunca daripada pemandu tidak melihat atau tidak menyedari kenderaan lain termasuk menggunakan telefon bimbit. Selain itu, 46,786 kemalangan berlaku apabila pemandu atau penunggangnya cuai ketika keluar dari persimpangan,” katanya.

     
     
  • ChargEV tambah pengecasan pantas DC untuk EV di Starbucks Setia Tropika Johor — RM1.20/kWh

    ChargEV tambah pengecasan pantas DC untuk EV di Starbucks Setia Tropika Johor — RM1.20/kWh

    Cawangan Starbucks Pandu-Lalu di Setia Tropika, Johor menjadi lokasi terbaru yang menyediakan kemudahan pengecasan ChargEV dengan unit pengecas pantas 60 kW DC. Perkara ini dikongsikan oleh penyedia perkhidmatan tersebut melalui laman Facebook.

    Kemudahan pengecasan ini adalah sama seperti kemudahan yang diperkenalkan di premis perniagaan kopi terbabit di Indera Mahkota, Kuantan bulan lalu. Di sana, kapasiti pengecasan juga sama, dengan 60 kW DC dan dikenakan bayaran RM1.20 per kWh. Turut diumumkan Ogos lalu, Starbucks Port Dickson juga menawarkan kadar pengecasan yang sama, tetapi dengan output lebih tinggi iaitu 80 kW DC.

    Dengan mengecas EV di Starbucks Setia Tropika, pelanggan layak untuk membeli minuman saiz Grande sementara menunggu kenderaan siap cas. Ini juga merupakan pengecas pantas DC terbaru yang diperkenalkan hasil usahasama antara Yinson GreenTech dan Starbucks Malaysia oleh ChargEV, lanjutan daripada pengumuman yang dilakukan Oktober lalu.

    Muat turun aplikasi ChargEV menerusi pautan di bawah:

    Pautan: chargEV (Apple)
    Pautan: chargEV (Google Play)

     
     
  • PM baru Thailand jumpa Elon Musk di AS untuk bincang industri EV; Tesla dijangka buat pelaburan

    PM baru Thailand jumpa Elon Musk di AS untuk bincang industri EV; Tesla dijangka buat pelaburan

    Perdana Menteri Thailand yang baru dilantik, Srettha Thavisin dilaporkan berjumpa dengan CEO Tesla Elon Musk ketika kunjungannya ke New York baru-baru ini. Menurut Reuters, Srettha ke New York bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kesempatan berjumpa dengan Musk digunakan untuk berbincang berkenaan industri kenderaan elektrtik (EV).

    Dalam laporan berasingan agensi berita itu menyatakan bahawa Thailand bakal menerima pelaburan sekurang-kurangnya US$5 bilion (RM23.4 bilion) dari syarikat-syarikat termasuk Tesla, Google dan Microsoft.

    “Tesla akan meneliti kemudahan pembuatan EV, [sementara] Microsoft dan Google sedang mencari tempat untuk pusat data,” kata Srettha menerusi akaun X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) miliknya, namun ia tidak diperincikan sama ada jumlah tersebut adalah keseluruhan pelaburan yang akan dibuat atau pelaburan berasingan dari setiap syarikat.

    PM baru Thailand jumpa Elon Musk di AS untuk bincang industri EV; Tesla dijangka buat pelaburan

    Buat masa sekarang Thailand telah menawarkan insentif kepada pengeluar kenderaan elektrik dan pengeluar bateri EV serta pemotongan cukai kepada pembeli EV tempatan untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab automotif serantau, lapor Reuters.

    Disember lalu, Tesla secara rasmi telah masuk ke pasaran Thailand dengan pelancaran Model 3 dan Model Y ke negara tersebut dengan jaringan stesen pengecas Supercharger Tesla di Thailand pula dijadualkan akan mula beroperasi pada Februari tahun ini.

    Tesla juga secara rasmi telah masuk ke pasaran Malaysia dengan pelancaran Tesla Model Y pada Julai lalu, dan turut telah memperincikan pelan pembangunannya di sini. Ibu pejabatnya akan beroperasi di Cyberjaya, dan ia akan menjadi hab pusat bagi operasi korporat, pemasaran, latihan dan aktiviti sokongan pelanggan.

     
     
  • Hankook Ventus Prime 4 kini mula dijual di Malaysia

    Hankook Ventus Prime 4 kini mula dijual di Malaysia

    Bersekali dengan pengenalan tayar khusus EV iON evo minggu lalu, Hankook Tire Malaysia turut memperkenalkan tayar Ventus Prime 4 bagi kenderaan biasa untuk pasaran tempatan.

    Ia merupakan lanjutan daripada barisan tayar prestasi Ventus (sama seperti Potenza untuk Bridgestone dan Pilot Sport untuk Michelin), Prime 4 ini disifatkan sebagai sebuah tayar yang mempertemukan prestasi, keselamatan, keselesaan dan ketahanan. Dalam barisan tayar jenama itu di sini, ia diposisikan di bawah tayar Hankook Ventus S1 evo 3.

    Hankook menyifatkan kompaun bunga bagi Ventus Prime 4 ini menggunakan kandungan silika yang berkualiti tinggi yang diperkaya, dengan proses vulcanised dalam suhu rendah dijalankan dalam tempoh dua kali lebih lama berbanding tayar biasa. Ini membolehkan pengadunan antar dua molekul, menghasilkan ketahanan dan rintangan golekan blok coraknya yang lebih baik dan susah haus.

    Hankook Ventus Prime 4 kini mula dijual di Malaysia

    Sebagai tambahan, corak bunga dan bentuknya bagi Ventus Prime 4 telah dioptimumkan untuk mencapai tahap kawasan sentuhan yang tepat. Sturktur berganda bagi pengeras gentian yang digunakan untuk pembangunan Ventus Prime 4 memastikan daya tahannya. Ia juga disertakan dengan tali tanpa sambungan yang diperkukuh untuk memberikan kekuatan yang ideal dan untuk menyerap gegaran luaran yang besar.

    Untuk pengurangan bunyi, Hankook memanfaatkan binaan dinding dengan alunan kebisingan yang rendah. Resonans alun dan corak kebisingan dipecahkan dengan menghadirkan sturktur berbentuk bergigi. Juga, dengan menambah jumlah pitch (80, lebih 10 berbanding Ventus Prime 3), kesan dari permukaan jalan akan dikurangkan, memberikan keadaan yang lebih selesa.

    Hankook Ventus Prime 4 kini mula dijual di Malaysia

    Dibandingkan dengan model lamanya, Ventus Prime 4 memberikan lebih ketahanan sekitar 20% dan dalam masa yang sama mampu mencapai pengendalian, keselesaan dan rintangan golekan yang lebih baik, ujar Pengarah Urusan, Hankook Tire Malaysia, Oh Hyun Nam.

    “Dengan Ventus Prime 4 untuk kenderaan dengan enjin biasa, kami mensasarkan untuk menawarkan siri tayar Ventus Prime yang telah mendapat pengiktirafan ini kepada pelanggan, tentunya dengan penambahbaikan. Ini diberikan tanpa berkompromi dengan kriteria yang menjadikan siri tayar berkenaan pilihan ramai,” tambahnya.

    Dengan penambahbaikan dari aspek ketahanan, lebih senyap dan kecekapan brek di permukaan basah, ia menjadi tumpuan utama kelebihan Ventus Prime 4. Tayar ini kini mula dijual melalui pengedar Hankook dengan saiz dari 15 inci hingga 19 inci, termasuk untuk SUV.

    Harga Hankook Ventus 4 Prime:

    Hankook Ventus Prime 4 (16″) – dari RM232.29
    Hankook Ventus Prime 4 (17″) – dari RM299.60
    Hankook Ventus Prime 4 (18″) – dari RM419.43
    Hankook Ventus Prime 4 (19″) – dari RM595.08

     
     
  • Anthony Loke nafi JPJ tak tegas terhadap pemandu lori dan treler, punca terjadinya banyak kemalangan

    Anthony Loke nafi JPJ tak tegas terhadap pemandu lori dan treler, punca terjadinya banyak kemalangan

    Setiap kali berlakunya kemalangan maut membabitkan kenderaan berat, pasti ada sahaja yang menuding jari kepada penguatkuasaan lemah dari agensi-agensi kerajaan yang terlibat, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Namun perkara ini disangkal oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menafikan bahawa jabatan tersebut tidak bertindak tegas terhadap pemandu lori dan treler yang melakukan kesalahan hingga sering menyebabkan kemalangan. Dalam laporan Berita Harian, Loke menegaskan bahawa JPJ telah bertindak cukup tegas bukan sahaja terhadap kenderaan berat dan lori yang membawa muatan secara berlebihan, malah kepada kenderaan lain.

    “Tidak benar bahawa JPJ tidak tegas atau bersikap tolak ansur terhadap pemandu lori dan treler. Tindakan penguatkuasaan tegas sentiasa diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jalan raya.

    “Malah, ada pihak yang membuat aduan bahawa kita mengambil tindakan yang terlalu ketat termasuk penyitaan, pembatalan lesen, lucuthak dan sebagainya,” kata Loke.

    Menurutnya lagi tindakan-tindakan penguatkuasaan tersebut perlu diambil oleh JPJ supaya ia memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha mematuhi peraturan jalan raya.

    “Jadi, JPJ sememangnya bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang jalan raya sedia ada, namun perkara ini bukan mudah untuk diselesaikan.

    Anthony Loke nafi JPJ tak tegas terhadap pemandu lori dan treler, punca terjadinya banyak kemalangan

    “Kita juga tahu kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang sering berlaku membabitkan kenderaan berat atau lori,” tegas menteri itu lagi.

    Beliau juga berkata memang akan ada reaksi daripada pelbagai pihak apabila berlaku sesuatu kemalangan termasuk mendakwa penguat kuasa tidak bertindak tegas. “(Dakwaan) itu tidak betul, undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas,” katanya.

    Walau bagaimanapun Loke memaklumkan pihaknya kini sedang merancang mengambil pendekatan secara menyeluruh untuk memastikan ada keseimbangan daripada segi keperluan industri dan keselamatan jalan raya. Perkara itu kini dalam peringkat sedang direncanakan dan perbincangan lanjut akan dilakukan dalam usaha mengatasi masalah berkenaan dengan lebih menyeluruh serta komprehensif.

    “Namun, pada masa sama tindakan penguatkuasaan akan berterusan. JPJ tidak pernah berhenti daripada segi penguatkuasaan dan saya tidak pernah minta mereka berhenti untuk jalankan penguatkuasaan.

    “Apapun, saya akan berbincang dengan JPJ untuk melihat bagaimana kita boleh buat penguatkuasaan yang lebih efektif lagi,” katanya.

     
     
  • Royal Enfield Super Meteor dilancarkan di Malaysia – cruiser 650 cc dengan harga bermula RM37,900

    Royal Enfield Super Meteor dilancarkan di Malaysia – cruiser 650 cc dengan harga bermula RM37,900

    Menuruti pra tontonnya di acara Art of Speed 2023 Julai lalu, Didi Group selaku pengedar rasmi motosikal Royal Enfield di Malaysia kini melancarkan model Super Meteor 650 untuk pasaran, bermula pada harga RM37,900 untuk Super Meteor Single (Astral), RM38,300 untuk Super Meteor Dual (Interstellar) dan RM39,300 untuk Super Meteor Tourer (Celestial).

    Super Meteor 650 adalah sebuah motosikal serba baru, dan diletakkan sebagai sebuah produk premium oleh Royal Enfield. ia dikategorikan sebagai sebuah cruiser, dengan kedudukan yang rendah, tempat duduk lebar, peletak kaki yang ke hadapan serta pemegang yang lebar.

    Ia dipacu oleh enjin dua silinder selari 650 cc SOHC dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan angin/minyak, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 47 PS pada 7,250 rpm dan 52.3 Nm tork pada 5,650 rpm.

    Bagi menjadikan motosikal yang mencatat berat 241 kg ini stabil atas jalan raya, ia dipasang dengan fork USD 43 mm dengan jarak gerak 120 mm di hadapan, sementara di belakang menggunakan dua penyerap berjarak gerak 101 mm, dengan pelarasan pra beban. Rim pula menggunakan jenis aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dan 16 inci di belakang, dibalut tayar tebal masing-masing bersaiz 100/90 dan 150/80.

    Sistem brek yang sekadar mencukupi diberi pada Super Meteor 650, terdiri daripada unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 300 mm dengan angkup dua piston di belakang – ABS dual-channel adalah standard. Tangki bahan api model ini berkapasiti 15.7 liter.

     
     
  • 14,527 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal warga asing antara 1-20 Sept 2023 – JPJ

    14,527 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal warga asing antara 1-20 Sept 2023 – JPJ

    Sebanyak 14,527 saman telah dikeluarkan terhadap penunggang motosikal warga asing di seluruh negara atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Khas Motosikal 2023 bermula 1 hingga 20 September 2023, menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Datuk Lokman Jamaan.

    Katanya lagi, kesalahan utama yang dikesan adalah tiada lesen memandu dengan 6,268 saman, tiada perlindungan insurans (2,667), lesen kenderaan motor tamat tempoh (2,657) dan lain-lain kesalahan teknikal 1,948 saman, laporan Bernama.

    “JPJ memandang serius isu ini terutamanya warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah kerana mereka jelas tidak mengetahui peraturan jalan raya dan boleh mendatangkan bahaya terhadap pengguna jalan raya yang lain.

    “JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya,” katanya selepas operasi bersepadu di Bangsar pada malam Ahad lalu.

    Menerusi operasi selama empat jam itu, sebanyak 1,459 kenderaan diperiksa dengan 854 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya memandu tanpa lesen (327), lesen kenderaan motor tamat tempoh (143), insurans tamat tempoh (123) dan nombor pendaftaran (80). Selain itu, 98 saman dikeluarkan bagi kesalahan cermin gelap, kesalahan teknikal (36), ekzos (18), penggunaan lampu HID (empat) dan lain-lain kesalahan (25).

    “Kita turut menyita 21 motosikal dengan 17 daripadanya ditunggang oleh warga asing. Warga asing yang ditahan itu diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

    Operasi tersebut mendapat kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

     
     
  • BYD Dolphin EV – 500k unit telah diproduksi; hatchback A0 China terlaris 19 bulan berturut-turut

    BYD Dolphin EV – 500k unit telah diproduksi; hatchback A0 China terlaris 19 bulan berturut-turut

    BYD Dolphin menjejaki langkah kecemerlangan abangnya, Atto 3, kini telah diproduksi sebanyak 500,000 init. Model kenderaan elektrik (EV) buatan China itu diumumkan telah diproduksi dengan jumlah tersebut sejak ia diperkenalkan pada Ogos 2021.

    Tambah syarikat pengeluarnya, BYD, sejak dipasarkan di negara kelahirannya itu, Dolphin turut menjadi hatchback paling laris bagi segmen A0 (klasifikasi saiz yang digunakan di China) untuk 19 bulan berturut-turut. Selain China, EV berkenaan turut dijual di pasaran global termasuk Eropah, Brazil, New Zealand, Australia, Thailand, Singapura dan Malaysia.

    Dolphin merupakan model BYD yang pertama dibangunkan dengan e-Platform 3.0 , ia dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu. Ditawarkan dengan dua varian, bermula dengan Dynamic Standard Range
    yang ditawarkan pada harga atas jalan RM100,530 tanpa insurans, diikuti dengan Premium Extended Range berharga RM125,530.

    Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dan motor elektrik yang memacu roda hadapan. Bersama Dynamic Standard Range, kapasiti tenaga bateri ialah 44.92 kWh, yang mampu memberikannya jarak hingga 410 km mengikut standard NEDC (340 km untuk WLTP). Varian ini juga menawarkan keseluruhan kuasa mencecah 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm.

    Manakala bagi Premium Extended Range, ia menawarkaan jarak hingga 490 km mengikut NEDC (429 km bagi WLTP), hasil kapasiti tenaga bateri yang lebih besar mencecah 60.48 kWh. Model spesifikasi tertinggi ini juga menawarkan kuasa yang lebih tinggi, dengan motor elektrik memberikan sejumlah 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam tujuh saat (berbanding 12.3 saat bagi Dynamic Standard Range).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025