Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Ford teruskan program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup – diperluaskan ke dua lagi IPT

    ford-dsfl-taylors-3

    Ford Motor Company meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan jalan raya di Malaysia menerusi program Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup (DSFL). Program itu telah diperluaskan ke dua lagi institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Institut German-Malaysia dan Universiti Taylor.

    Bengkel DSFL secara percuma itu yang diadakan pada Januari direka khas untuk menangani cabaran yang dialami oleh pemandu muda. Misalnya yang kurang pengalaman ketika berdepan dengan situasi tidak dijangka, gangguan ketika memandu dan paling penting adalah memastikan tempat duduk kanak-kanak dipasang dengan betul.

    “Kemahiran Pemanduan Seumur Hidup merupakan satu program latihan amali yang direka untuk membantu para pemandu mendapatkan kemahiran-kemahiran penting agar kekal selamat di atas jalan raya. Ini amat penting terutama buat pemandu yang baru mendapat lesen memandu seperti pelajar-pelajar universiti,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik, Ford Motor Company, David Westerman.

    Kajian yang dilakukan oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menujukkan bahawa 80 peratus kemalangan jalan raya disebabkan oleh kecuaian manusia. Program DSFL menggalakkan pemanduan selamat dengan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan supaya mereka dapat membuat keputusan yang bijak ketika memandu, demi mengurangkan kemungkinan berlakunya kemalangan.

    Sesi DSFL bermula di dalam kelas di mana para peserta belajar tentang pelbagai topik termasuklah kawalan stereng, masalah under-steer dan over-steer, sehinggalah tip-tip memandu di lebuh raya serta ketika hujan.

    Para peserta juga belajar mengenai bahaya memandu di bawah pengaruh alkohol dengan memakai kelengkapan yang direka khas untuk membantu mensimulasikan pengalaman memandu ketika aspek pergerakan, koordinasi dan kepekaan adalah terhad. Mereka kemudian menjalani sesi pemanduan secara amali untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari.

    DSFL merupakan program utama tanggungjawab korporat sosial (CSR) global Ford. Di Asia, Ford DSFL telah dilaksanakan dengan jayanya untuk melatih pemandu yang sudah mempunyai lesen dari semua peringkat umur selama sembilan tahun. Selain Malaysia, latihan DSFL turut diadakan di China, India, Indonesia, Myanmar, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Filipina.

     
     
  • Peugeot tawar diskaun sehingga RM32,888 bagi 408 Turbo dan RM2k untuk 308 THP Active sempena CNY

    Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi kenderaan Peugeot di Malaysia telah mengumumkan kempen sempena Tahun Baru Cina (CNY) tahun ini. Untuk masa yang terhad, Peugeot 308 THP Active baharu bakal ditawarkan dengan diskaun sebanyak RM2,000, sementara yang membeli 408 Turbo pula berpeluang menikmati penjimatan sehingga RM32,888.

    Peugeot 308 THP Active baru saja diperkenalkan di Malaysia dengan harga RM119,888. Varian ini menawarkan elemen yang ditambahbaik dari model asal 308 THP. Selain itu, varian baharu ini turut menampilkan lampu utama reflektor halogen sebagai standard (berbanding LED).

    Namun ia menerima padanan rim aloi yang lebih kecil iaitu 17-inci berbanding original dengan 18-inci. Walau pun ada pengurangan elemen, 308 THP Active ini telah dipadankan dengan bampar hadapan yang lebih unik dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED yang diposisi semula, enam beg udara dan sistem ESP sebagai standard.

    Tiada sebarang perubahan pada penjana kuasanya, masih mengekalkan enjin 1.6 liter turbo empat-silinder 150 hp/240 Nm dan transmisi automatik sumber-Aisin enam-kelajuan.

    Seperti yang disahkan pada minggu lalu, 308 THP Active kini RM17k lebih murah berbanding 308 THP original. Dan sebanyak RM2,000 diskaun diberikan secara terhad kepada 50 pelanggan pertama, menjadikan tag harganya hanya RM117,888.

    Manakala Peugeot 408 Turbo pula kini ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM32,8000. Varian ini masih menampilkan penjana kuasa yang sama dengan 308 THP tetapi telah ditala semula bagi memberikan lebihan kuasa, iaitu 163 hp dan tork 240 Nm.

    408 Turbo ini dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 17-inci, lampu utama projektor, sistem audio World In Peugeot enam-speaker, ABS, EBD dan EBA, enam beg udara dan ESP sebagai standard.

    Malah varian ini juga turut berada dalam kempen Peugeot ‘Prosperity Drive’, menawarkan pembeli untuk beberapa model terpilih bagi menerima waranti selama lima tahun dengan program servis percuma (termasuk alat ganti dan kos buruh) selain waranti lima tahun tanpa had perbatuan Peugeot. Selain 408 Turbo, model lain yang turut terlibat ialah Peugeot 508 THP, 5008 MPV, 308 THP dan 2008 SUV.

    GALERI: Peugeot 308 THP Active

    GALERI: Peugeot 408 Turbo

     
     
  • Proton 1.3 turbo, 6MT “sepatutnya muncul” bagi model akan datang Proton sebelum GDI/TGDI tiba – CTO

    2015-proton-iriz-1.3-turbo-prototype-001-BM

    Dalam penganjuran Alami Proton pada tahun lalu, syarikat pengeluar kereta nasional ini turut mempertontonkan Proton Iriz dan Proton Exora yang dijanakan oleh enjin prototaip 1.3 liter pengecas turbo yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Memandangkan ia telah menarik minat dari orang ramai, kami sempat bertanya pada Ketua Pegawai Teknikal (CTO) Proton Abdul Rashid Musa, adakah penjana kuasa ini masih dalam perancangan, dan adakah ia boleh diletakkan dalam barisan enjin baharu Proton?

    Sebagai permulaan, Rashid telah menerangkan tentang pengurangan kapasiti enjin merupakan salah satu objektif untuk mengurangkan emisi dan menawarkan penjimatan bahan api yang lebih baik. Beliau menambah pelan progresif Proton bukanlah sekadar menantikan ketibaan enjin baharu GDI/TGDi, tetapi salah satunya ialah enjin 1.2 liter tiga-silinder yang dikatakan “pakej yang bersesuaian dengan kenderaan yang sesuai,” akan diperkenalkan pada masa akan datang.

    Ketika ditanya, adakan enjin 1.3 liter turbo (bukan TGDI) akan ditampilkan pada model Proton akan datang terlebih dahulu sebelum enjin baharu tiba, Rashid menjelaskan, “Secara logiknya, mungkin patut,” dan memberitahu bahawa enjin 1.3 liter turbo bersama transmisi manual enam-kelajuan sebagai suatu yang “hebat”. Beliau turut berkata penjana kuasa ini kakan memberikan “prestasi yang berpatutan” dan mengesahkan pacuan antara 0-100 km/j hanya mengambil masa antara 8-9 saat.

    Proton Iriz dan Exora yang dipamerkan di Alami Proton tersebut dipadankan dengan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder dan transmisi Getrag manual enam-kelajuan.

    Menerusi risalah informasi yang dipaparkan, enjin ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 140 hp pada 5,750 rpm dan tork 190 Nm serendah 1,800 hingga 5,000 rpm. Ini bermakna, ia lebih berkuasa berbanding enjin 1.6 liter CFE (138 hp/205 Nm).

    Malah model prototaip Iriz turut dikatakan mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.7 saat, senada dengan kenyataan Rashid. Pada masa tersebut, kami diberitahu bahawa dua model tersebut hanya diperingkat prototaip dan masih jauh lagi perjalanannya untuk dipasarkan.

    Memang sehingga kini, tiada ura-ura penjana kuasa tersebut bakal diaplikasikan, mungkin Proton ada perancangan mereka yang tersendiri biar pun secara umumnya ramai yang menantikannya.

    GALERI: Prototaip Proton Iriz 1.3 turbo, manual enam-kelajuan

    GALERI: Prototaip Proton Exora 1.3 turbo, manual enam kelajuan

     
     
  • TMC umum panggil balik (recall) beberapa model Toyota dan Lexus ekoran isu sistem beg udara – satu unit Lexus LX470 terlibat di Malaysia

    Lexus-LX470-J100

    Toyota Motor Corporation (TMC) telah mengumumkan panggilan semula (recall) beberapa model Toyota dan Lexus di seluruh dunia yang terlibat dengan isu sistem beg udara. Ia melibatkan model Toyota dan Lexus yang dilengkapi dengan Curtain Shield Airbags (CSA) sisi.

    Disebabkan sistem beg udara dalam Airbag Sensor Assembly (modul kawalan beg udara) tidak diprogram dengan betul, CSA yang terletak pada salah satu sisi kabin yang mungkin boleh diaktifkan secara tiba-tiba dan ini boleh menyebabkan risiko kecederaan ringan terhadap penumpang.

    TMC kini sedang melakukan persediaan untuk menghantar komponen terbabit kepada semua pengedar bertauliah di seluruh dunia. Kempen Servis Khas ini akan diumumkan sebaik sahaja alat ganti tersebut boleh didapati.

    Di Malaysia, setakat ini UMW Toyota Motor Sdn Bhd telah dimaklumkan oleh TMC bahawa tiada kenderaan Toyota yang terlibat dengan kempen panggilan semula ini kerana semua unit yang dijual di negara ini tidak dilengkapi dengan CSA.

    Walau bagaimana pun, TMC telah mengesahkan hanya satu sahaja unit yang terlibat iaitu Lexus LX470 dan pemiliknya akan dihubungi dengan kadar segera oleh Lexus Malaysia. Manakala model Lexus yang lain tidak terlibat dengan isu ini.

    Pemilik Toyota dan Lexus di Malaysia yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perkara ini bolehlah menghubungi talian 1800-8-TOYOTA (869682).

     
     
  • Persiaran Titiwangsa 3 ditutup bagi kerja pembinaan Fasa Kedua DUKE mulai esok hingga hujung Disember

    Duke-2-Road-Closure_BM

    Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (Kesturi) telah mengumumkan penutupan jalan keluar dan masuk di Persiaran Titiwangsa 3 (dari Jalan Pahang dan Persiaran Titiwangsa 2) untuk kerja-kerja pembinaan Fasa Kedua Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE)

    Penutupan jalan ini akan bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9 pagi mulai 4 Ferbuari ini sehingga akhir Disember 2016. Syarikat konsesi berkenaan menasihati pengguna jalan raya supaya memandu lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan (sila rujuk pelan di atas) dan ikut tanda isyarat di situ.

     
     
  • Lebuhraya Bayan Lepas dibuka pada trafik Jun ini

    second-penang-bridge_PT_BM

    Menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama, kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dijangka siap sepenuhnya dan dibuka pada trafik seawal Jun 2016. Ia adalah projek yang menghubungkan laluan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, turut dikenali sebagai Jambatan Kedua Pulau Pinang.

    Timbalan ketua Pengarah Jabatan (sektor infrastruktur) Kerja Raya Datuk Dr Roslan Md Taha berkata, projek ini telah siap sebanyak 92%, dan kerja-kerja terakhirnya dapat disempurnakan menjelang April ini. Projek BLE ini pernah diarahkan berhenti seketika pada tahun lalu, selepas penutupan jalannya menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa di bahagian pulau berkenaan, hingga menyebabkan kelewatan pembinaannya.

    “Kami berharap kerja-kerja terakhir BLE ini akan selesai secepat mungkin dan boleh dibuka pada laluan trafik seawal-awalnya Jun ini bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya pada masa puncak di kawasan perindustrian berdekatan,” ujar Roslan. Lebuhraya ini dijangka memudahkan aliran trafik dari Batu Maung ke Sungai Nibong, kini dalam peringkat terakhir pembinaan dengan pemasangan tiang 19 dan 20 pada struktur utama.

    Jambatan Kedua Sdn Bhd ( JKSB ), pengendali Jambatan Kedua Pulau Pinang, telah menyatakan tahun lalu bahawa jika Lebuhraya Bayan Lepas tidak siap pada masa yang ditetapkan, ia akan mengalami kerugian yang besar. Pengarah Urusan syarikat itu sebelum ini menjangkakan lebuh raya tersebut boleh dibuka pada Mac 2016.

     
     
  • Petronas lancar kempen Coffee Break sempena CNY – 142 stesen mengambil bahagian, pemeriksaan kenderaan percuma, 20% diskaun untuk cecair brek

    Petronas-Coffee-Break-1_BM

    Petronas telah melancarkan kempen Coffee Break sempena Tahun Baru Cina 2016. Ia melibatkan penyertaan sebanyak 142 stesen Petronas yang akan menghidangkan 880,000 cawan kopi pada hujung minggu 6 hingga 7 dan 13 ke 14 Februari ini.

    Bukan itu sahaja, Petronas turut menawarkan pemeriksaan keselamatan kenderaan dengan 15 mata percuma di stesen Petronas LubeXpert dan stesen Petronas terpilih di seluruh negara, malah pemilik kenderaan Proton pula akan menerima 30 mata bagi pemeriksaan tersebut. Petronas turut memberikan diskaun sebanyak 20% untuk cecair brek bagi pelanggan yang menyelenggara kenderaan masing-masing di LubeXpert terpilih sehingga 7 Februari ini.

    Dalam masa yang sama, Petronas turut menyumbangkan nilai minyak sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Ambulans St.John, yang sering memberikan perkhidmatan kecemasan pantas di kebanyakan lebuh raya sepanjang musim perayaan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Coffee Break ini dan senarai stesen yang terlibat, sila KLIK DI SINI.

     
     
  • Isuzu terus dominasi pasaran trak di Malaysia – kekal no.1 dalam jualan dua tahun berturut-turut

    Isuzu No 1

    Isuzu Malaysia mencatat satu lagi rekod dengan mencatat jualan sebanyak 6,387 unit trak Isuzu pada tahun 2015 berbanding 6,321 unit pada tahun sebelumnya. Angka tersebut membuatkan pengeluar kenderaan yang terkemuka dari Jepun ini kekal sebagai jenama trak paling popular di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut.

    Dipacu oleh pertumbuhan signifikan dengan permintaan hampir 100% ke atas trak tugas sederhana Forward, trak tugas berat Giga serta trak prime mover, Isuzu meneruskan dominasinya dalam pasaran trak di Malaysia dengan menguasai 36.2% perkongsian pasaran.

    Berkenaan dengan ulasan mengenai laporan pasaran 2015 yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka menyatakan bahawa sentimen ekonomi yang kian lemah dan usaha berorientasikan pelanggan yang dilaksanakan oleh syarikat adalah sumbangan kepada kejayaan Isuzu menjadi jenama trak pilihan.

    “Memandangkan syarikat pengendali trak sentiasa mencari jalan untuk mengawal kenaikan kos, mereka mendapati trak-trak Isuzu mampu menawarkan penyelesaian yang ideal kerana ia mampu meningkatkan penjimatan bahan api dan penghantaran secara signifikan. Permintaan yang memberangsangkan terhadap trak kami juga menunjukkan bahawa pelanggan sedar, apabila mereka bertukar kepada trak Isuzu yang berteknologi tinggi, mereka boleh merasai perbezaan dari segi kos operasinya,” kata Matsuoka.

    Jelas Matsuoka lagi, inisiatif syarikat yang fokus untuk mengukuhkan asas perkhidmatan berorientasikan pelanggan berjaya meningkatkan lagi keyakinan para pengguna.

     
     
  • Kerajaan bakal tentukan nasib Uber – SPAD

    uber-x-car_BM

    Masih belum ada jalan penyelesaian berhubung dengan Uber biar pun ia telah diperluaskan perkhidmatannya. Namun, menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar, kini hanya menantikan keputusan dari kerajaan berhubung dengan status Uber ini.

    Beliau turut berkata, kenderaan yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam perlulah memohon lesen berkaitan, sambil menambah Uber juga tidak terlepas daripada proses ini walau pun perkhidmatan tersebut makin berkembang dan popular di kalangan pengangkutan awam pilihan orang ramai.

    “Kami telah pun membuat beberapa perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia berhubung isu ini. Sebenarnya ia tidak menjadi masalah jika Uber mendapat lesen ini, tetapi sehingga kini tidak dipatuhi,” ujarnya.

    Tambahnya lagi, pihak kerajaan perlu meminda undang-undang berkaitan apabila satu keputusan dibuat mengenai perkhidmatan tersebut.

    “Walau bagaimana pun, kami mahu berikan yang terbagi bagi pengangkutan awam,” ujarnya.

     
     
  • Grand Saga beri diskaun 10% pada 8 Feb ini

    GrandSaga1

    Taliworks Corporation Berhad (TCB), syarikat pegangan Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga), yang kini memegang konsesi Lebuhraya Cheras-Kajang, telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 10% bagi pengguna Kelas 1 Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga) pada 8 Februari ini sempena sambutan Tahun Baru Cina (CNY). Diskaun itu berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam pada 8 Februari ini.

    Dalam masa yang sama, Grand Saga juga akan mengedarkan 1,000 kad Touch ‘n Go, yang biasanya berharga RM10, dengan nilai sedia ada sebanyak RM4. Ia akan diedarkan secara percuma di lorong tunai plaza tol NNKSB bermula Jumaat ini (5 Februari) sehingga stok masih ada.

    Pengurus Besar Kanan Grand Saga, A.Rajasolan berkata ia adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertemakan ‘Berkhidmat untuk Rakyat, Membantu Komuniti’ bagi menghargai penggunanya.

    Lebuh Raya Cheras-Kajang Highway ialah antara laluan empat lorong pertama di Malaysia, yang sepanjang 11.5 kilometer dari Persimpangan Connaught, Cheras ke Saujana Impian, Kajang.

     
     
  • DUKE tawar 10% diskaun sempena CNY

    DUKE_TOL

    Sempena dengan sambutan Tahun Baru Cina (CNY) ini, Ekovest Berhad, syarikat konsesi bagi Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) menawarkan diskaun sebanyak 10% kadar tol untuk pengguna lebuhraya terbabit.

    Diskaun kadar tol ini adalah untuk kenderaan Kelas 1 (kenderaan ringan dengan dua gandar dan tiga atau empat roda, kecuali teksi) yang ditawarkan pada 8 Februari 2016 sahaja, dari jam 12.01 pagi hingga 11.59 malam.

    Menurut Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Datuk Seri Lim Keng Cheng, “Ini merupakan salah satu daripada pelbagai inisiatif di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat ini bagi meraikan sambutan CNY.”

     
     
  • Pengguna lebuhraya diminta berhati-hati agar tidak terlanggar objek ‘tidak diketahui’- PLUS

    PLUS HIGHWAY

    Pengguna jalan raya yang melalui persimpangan Ipoh dan Bidor dari Lebuhraya Utara-Selatan dinasihatkan agar berhati-hati dengan pelbagai jenis objek sering ditemui bersepah di permukaan jalan, termasuklah serpihan tayar, besi paip dan juga sejadah.

    Menurut Pengurus Seksyen C1 PLUS Asnor Ali, lebih dari 1,570 objek telah ditemui sepanjang 66 km di lebuh raya terbabit pada tahun lalu. Katanya, pihak PLUS sendiri tidak mengetahui sama ada objek tersebut sengaja dibuang di atas jalan atau pun terjatuh dari kenderaan, memetik laporan Malaymail.

    “Lebih separuh dari objek terbabit ialah serpihan tayar kenderaan berat. Malah kami juga menjumpai batu besar, batang paip, serpihan kayu dan peralatan rumah termasuk sejadah. Walau bagaimana pun, setakat ini kami tidak pernah menerima laporan ada pihak yang sengaja membuang objek-objek berkenaan di lebuhraya,” ujar Asnor..

    Perkara ini dinyatakan susulan kemalangan yang melibatkan sebuah bas di lebuhraya berkenaan (arah selatan berhampiran tol Tapah) yang terlanggar tayar besar yang menyebabkan bas terbabit hilang kawalan dan terbakar. Akibat kemalangan ini, seramai lapan orang terbunuh dan 21 penumpang lain cedera.

    Sehubungan itu, Asnor memintar agar pengguna lebuh raya tidak membuang apa-apa objek di lebuh raya.

    Katanya, “Bagi semua pengguna lebuhraya terutamanya pemandu lori, dinasihatkan agar sama-sama bertanggungjawab. Sila periksa keadaan tayar kenderaan dan memastikan muatan yang dibawa diikat kemas sebelum memulakan perjalanan.”

     
     
  • Volkswagen buka Pusat Servis Teknikal ketiga, merupakan bilik pameran VW terbesar di Malaysia

    2016-volkswagen-puchong-service-centre-001_BM

    Volkswagen Group Malaysia telah membuka Pusat Servis Teknikal ketiga iaitu Pusat 4S Volkswagen Puchong yang dikendalikan oleh Swire Motors. Pusat 4S ini mampu memenuhi keperluan para pemilik kenderaan Volkswagen dari segi jualan hinggalah selepas jualan yang melibatkan servis umum & pantas, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat, selain diagnostik dan pembaikan utama.

    Memiliki keluasan mencecah 92,000 kaki persegi, Pusat 4S Volkswagen Puchong kini mempunyai 24 ruang penyelenggaraan dan boleh dikembangkan menjadi 35 ruang pada masa depan. Ia juga memiliki bilik pameran Volkswagen paling besar yang boleh mempamerkan 15 buah kenderaan dan dua ruang penyerahan kereta.

    Swire Motors telah melabur sebanyak RM20 juta untuk membuka Pusat 4S Volkswagen Puchong. Malah turut merancang untuk menyediakan ruang servis ekspres pada masaakan datang. Selain servis serta pembaikan kecil dan besar, perkhidmatan lain yang turut disediakan termasuklah penjajaran tayar, servis pendingin hawa, pembaikan akibat kemalangan, badan dan cat serta aksesori.

    2016-volkswagen-puchong-service-centre-006_BM

    Ia juga memiliki pusat Badan & Cat bertauliah yang dilengkapi teknologi terkini seperti pistol udara tahan karat baharu untuk kerja-kerja mengecat dengan cat berasaskan air. Cat baharu yang telah ditambah baik itu memerlukan lapisan lebih nipis. Ia juga menawarkan hasil cat yang lebih bersih dan cantik berbanding cat berasaskan pelarut.

    Antara kemudahan lain yang disediakan ialah sebuah lounge dilengkapi empat buah komputer untuk kegunaan pelanggan, TV dengan pelbagai saluran Astro, sebuah kafe dan WIFI berkelajuan tinggi.

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Ini merupakan Pusat Teknikal Volkswagen yang ketiga dilancarkan dalam tempoh setahun dan menjadi bukti bahawa pelanggan sememangnya menjadi keutamaan kami. Tahun ini akan menjadi tahun di mana Volkswagen Malaysia memberi fokus untuk meningkatkan pengalaman pemilikan buat semua pelanggan kami.”

    Pusat 4S Volkswagen Puchong beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang dan dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada hari Ahad dan cuti umum untuk bilik pamerannya. Bagi perkhidmatan selepas jualan pula, ia beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

     
     
  • Honda Thailand rai warisan Civic menerusi video – generasi ke-10 FC disebut bakal muncul tidak lama lagi

    Sebagai pengenalan bagi Honda Civic generasi ke-10 di Thailand, Honda Thailand telah menerbitkan video warisan bagi meraikan model sebelum ini iaitu dari generasi ke-sembilan Civic, dengan menyebut generasi ke-10 bakal muncul tidak lama lagi.

    Ia mula didedahkan di Amerika Syarikat pada September 2015, model segmen-C ini telah dikesan diuji di Thailand pada November tahun lalu dan beberapa kelihatan di jalan-jalan di sekitar negara berkenaan.

    Thailand bukanlah satu-satunya hab di rantau ini yang bakal menerima FC baharu ini. Malah ia juga bakal dipasarkan di Indonesia tidak lama lagi, dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo.

    16_Civic_Sedan_143-e1445919795841

    Di Amerika Syarikat, Civic gen-10 ini dipadankan dengan enjin 1.5 liter turbo yang boleh menghamburkan kuasa sehingga 174 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,800 hingga 5,000 rpm. Ia juga menawarkan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi-natural empat-silinder, dengan kuasa 158 hp dan tork 187 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan transmisi CVT automatik yang telah dipertingkatkan.

    Menurut satu sumber dari Indonesia, enjin turbo akan menjadi pilihan di republik berkenaan, namun difahamkan bagi pasaran Malaysia pula, penjana kuasa tersebut tidak akan ditampilkan. Sebaliknya hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter sahaja, tetapi ia masih tidak kesahihan mengenainya.

    Sementara itu, tonton dahulu video warisan Civic dari Honda Thailand ini. Mana satu pilihan Civic terdahulu yang anda minati? Kongsikan bersama kami.

    GALERI: Honda Civic (FC) generasi ke-10

     
     
  • Mercedes-Benz C200 Avantgarde diperkemaskinikan – roda lebih besar, kurang krom, ekzos berkembar

    w205-2016-c200-malaysia-1_BM

    Mercedes-Benz C 200 Avantgarde telah pun diperkemaskinikan bagi model tahun 2016. Apa yang kami faham, perubahan yang dilakukan ini adalah model yang dikeluarkan dari November 2015.

    Perubahan terbesar yang dilakukan ialah padanan roda baharu dengan rim lima-jejari bersaiz 18-inci, dibaluti tayar 225/45R18 untuk hadapan dan 245/40R18 di belakang. Ia menggantikan roda bersaiz 17-inci yang dibaluti tayar 225/50R17 bagi model 2015.

    Selain itu, kekemasan krom pada bahagian bampar hadapan serta bahagian sisi pada bampar belakang juga telah dibuang. Bukan itu sahaja, cermin sisi juga telah disingkirkan kekemasan kromnya, hanya tinggal jaluran krom pada bahagian atas indikator lampu isyarat.

    w205-2016-c200-malaysia-15_BM

    Pada bahagian belakang, corong ekzos bersepadu pada bahagian bampar belakang kini berfungsi. Malah paip ekzosnya juga tampil baharu, setiap satunya terletak di kanan dan kiri pada bampar belakang.

    Sebelum ini, model C200 hanya mempunyai paip eksoz berkembar pada bahagian kiri bampar belakang dengan corong ekzos bersepadu palsu. Namun, kini corong ekzos tersebut telah berfungsi dan nampak lebih baik berbanding sekadar hiasan.

    Tiada perubahan pada bahagian dalaman namun elemen AGILITY SELECT kini telah ditukar namanya menjadi DYNAMIC SELECT, maka label pada butang kawalannya juga telah bertukar dari AGILITY ke DYNAMIC.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (-0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.11
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.03)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.03)
Last Updated Jul 03, 2025