Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Proton Saga dari tiga generasi

    Tidak boleh dinafikan, Proton Saga merupakan model yang mengubah lanskap industri automotif di Malaysia. Ia bukan sahaja model pertama buatan Malaysia, ia juga merupakan sebuah kereta yang mengubah corak mobiliti rakyat Malaysia sebagai sebuah sedan lengkap serta mampu dimiliki.

    Saga generasi pertama telah dilancarkan pada tahun 1985 oleh Tun Mahathir Mohamed, dan model berkenaan diasaskan dari Mitsubishi Lancer Fiore 1982. Nama Saga hadir setelah Proton mengadakan pertandingan untuk menamakan sedan pertama nasional berkenaan.

    1990-proton-saga-megavalve-1

    Kebanyakkan dari kita tahu Saga merupakan nama biji yang keras berwarna merah, manakala dalam bahasa inggeris pula saga bermaksud hikayat yang mengandungi kisah kesaktian dan kegagahan wira yang luar biasa. Tetapi, nama Saga yang diletakkan pada kereta nasional pertama ini adalah akronim kepada Safety (Keselamatan) Achievement (pencapaian) Greatness (Keunggulan) dan Agility (Ketangkasan).

    Pada hari pelancaran Proton Saga generasi ketiga di Pusat Konvensyen Setia Alam yang berlangsung petang tadi, Proton turut mempamerkan model Saga dari dua generasi sebelumnya. Namun, model yang dipamerkan hari ini bukanlah model sebenar generasi pertama keluaran 1985 dan generasi kedua keluaran 2008 (BLM).

    Saga generasi pertama model 1985 dikuasakan dengan enjin 4G13 Orion 1.3 liter dipadankan dengan kotak gear lima kelajuan dan model dengan enjin 1.5 liter Magma hadir pada tahun 1987 bersama versi lima pintu yang digelar Saga Aeroback. Model tahun 1985 berkenaan dipadankan dengan gril hadapan dua bar mengapit logo bulan-bintang berbentuk perisai asal Proton, lampu isyarat membelok hadapan rata serta penutup rim yang hanya menutup bahagian nat rim.

    Model yang dipamerkan pada hari ini merupakan model terakhir Saga Megavalve (1990-1992), dikuasakan dengan pilihan enjin 4G13 1.3 liter dan 4G15 1.5 liter Megavalve. Enjin berkenaan menggunakan kepala enjin 12 injap (berbanding lapan injap pada Orion dan Magma) serta karburator SU yang lebih moden.

    Pada bahagian luaran, model facelift terakhir sebelum dijelmakan sebagai Iswara ini mempunyai sepasang liang yang lebih besar, lampu isyarat membelok hadapan lebih kecil tetapi lebih timbul serta penutup penuh pada rim besi standard.

    Model Saga generasi kedua muncul pada tahun 2008. Sedan ini diasaskan dari kerangka model hatchback Proton Savvy dan dikenali sebagai Saga BLM (Base Line Model). Ia hadir dengan enjin 1.3 liter Campro IAFM dipadankan dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan. Model 1.6 liter Campro manual dikeluarkan khas untuk dijadikan teksi.

    Model facelift untuk model ini hadir pada tahun 2010. Model berkenaan menampilkan rupa luaran yang disegarkan semula bermula dengan lampu hadapan lebih panjang, bampar hadapan dan belakang baharu serta lampu belakang lebih kecil. Ia turut menerima sistem brek yang dilengkapi ABS dan EBD. Enjin Campro 1.3 liter masih dikekalkan, dan model 1.6L Executive hadir selepas itu.

    Model yang dipamerkan hari ini merupakan model facelift terakhir iaitu Saga FLX. ‘X’ bermaksud ekstra di mana untuk versi automatik, kotak gear empat kelajuan telah diganti dengan transmisi CVT. Enjin pada model ini juga menerima talaan yang diperhalusi dan digelar sebagai Campro IAFM+. Varian FLX SE turut hadir dalam barisan model sebagai varian tertinggi dijana gabungan enjin 1.6 liter Campro dan transmisi CVT serta dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD sebagai ciri standard.

    Proton Saga generasi ketiga dilancarkan hari ini. Model ini dibina berdasarkan platform Saga generasi kedua dengan sedikit perubahan pada dimensi manakala jarak rodanya kekal sama. Ia dijana enjin 1.3 liter VVT berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm. Hanya varian standard hadir dengan pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT, manakala varian lebih tinggi hanya dilengkapi transmisi CVT.

    Banyak penambahbaikkan dilakukan pada model ini antaranya ialah talaan CVT yang lebih responsif, pengendalian yang lebih solid, stereng yang lebih cepat dan ringan serta pelbagai lagi. Ciri keselamatan turut dipertingkat dengan sistem ESC dan HHA untuk varian Premium serta agak ISOFIX untuk semua varian. Varian Premium juga menerima penarafan ASEAN NCAP empat-bintang, berbanding hanya tiga-bintang pada model generasi terdahulu. Anda boleh membaca ulasan pandu uji kami untuk model terbaharu ini di sini.

    GALERI: Proton Saga Megavalve

    GALERI: Proton Saga FLX

    GALERI: 2016 Proton Saga 1.3L Premium CVT

     
     
  • VIDEO: Proton Saga 2016 generasi ketiga dapat penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP – 13.3 markah untuk AOP, 71% pematuhan bagi COP

    Proton Saga 2016 telah pun menerima penarafan empat-bintang bagi perlindungan perlanggaran daripada ASEAN NCAP. Sedan bajet segmen-A ini menerima 13.33 markah bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan 71% pematuhan bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), di mana membolehkan ia turut menerima empat-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Berbanding dengan model semasa Saga FLX+ yang diuji pada tahun 2013, ia menerima 10.23 markah bagi AOP, dengan penarafan tiga-bintang. Manakala bagi pematuhan COP pula, ia memperoleh 48%, iaitu hanya dua-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton Saga 2016 generasi ketiga ini, sila tonton video ‘8 perkara menarik tentang Saga’, perincian spesifikasi bagi setiap varian dan ulasan pandu ujinya.

     
     
  • Proton Saga 2016 dengan penarafan 4-bintang dari ASEAN NCAP didedahkan keratan rentasnya

    2016-proton-saga-cutaway-3-bm

    Semasa majlis pelancaran Saga 2016 petang tadi, Proton turut mempamerkan keratan rentas sedan segman-A ini untuk tatapan umum. Terdapat beberapa perrubahan telah dilakukan bagi mempertingkatkan lagi keselamatan model ini.

    Menurut Proton, Saga 2016 lebih ringan berbanding dengan model kereta dalam segmen yang lebih besar. Maka penggunaan keluli tempa panas atau hot press formed (HPF) seperti mana yang pertama kali digunakan pada Preve, seterusnya Iriz dan Persona 2016, tidak diperlukan dalam pembikinan Saga 2016.

    Malau bagaimana pun, Proton menggunakan ultra high strength steel (UHSS) bagi beberapa bahagian kritikal. Malah turut mempunyai crumple zone pada bahagian kerangka Saga 2016.

    Biarpun menggunakan platform yang sama dengan model terdahulu, struktur badan Saga kini lebih kuat dengan ketegaran kilasannya ditambah sebanyak 20% iaitu 12,000 Nm/deg daripada 10,000 Nm/deg pada model sebelumnya. Malahan Saga 2016 ini turut dilengkapi dengan bar topang hadapan untuk mempertingkatkan pengendaliannya dan ia adalah untuk semua varian.

    Bukan itu sahaja, sedan bajet segmen-A ini juga telah pun menerima penarafan empat-bintang bagi perlindungan perlanggaran daripada ASEAN NCAP. Ia telah menerima 13.33 markah bagi perlindungan penumpang dewasa (AOP) dan 71% pematuhan bagi perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), di mana membolehkan ia turut menerima empat-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Berbanding dengan model semasa Saga FLX+ yang diuji pada tahun 2013, ia menerima 10.23 markah bagi AOP, dengan penarafan tiga-bintang. Manakala bagi pematuhan COP pula, ia memperoleh 48%, iaitu hanya dua-bintang bagi perlindungan kanak-kanak.

    Untuk keselamatan, kesemua varian menerima cagak tempat duduk ISOFIX pada bahagian belakang, dan juga dua beg udara. Varian Executive dan ke atas menerima sistem brek ABS dengan BA dan EBD. Khas untuk varian Premium, ia turut menerima Bantuan Mula Mendaki (HHA) dan juga Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton Saga 2016 generasi ketiga ini, sila tonton video ‘8 perkara menarik tentang Saga’, perincian spesifikasi bagi setiap varian dan ulasan pandu ujinya.

     
     
  • Honda sahkan inflator beg udara Takata pecah dalam perlanggaran pada 24 September 2016 di Johor Bahru

    Honda airbag

    Honda Malaysia Sdn Bhd mengesahkan bahawa dalam perlanggaran yang berlaku pada 24 September 2016, inflator beg udara Takata Single Stage (SDI) dalam kenderaan tersebut telah pecah semasa beroperasi. Walaubagaimanapun, punca kematian pemandu kenderaan tersebut masih belum disahkan.

    Perkara ini disahkan selepas Honda melakukan pemeriksaan bersama polis Diraja Malaysia berkenaan kemalangan yang membabitkan Honda City pada 24 September 2016 di Johor Bharu itu. Kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk dalam panggilan balik berkenaan inflator beg udara Takata bahagian hadapan yang diumumkan oleh Honda pada 10 Julai 2015 dan surat pemberitahuan telah dihantar, namun tiada sebarang pembaikan dilakukan.

    Kereta itu juga terlibat dalam panggilan balik berkenaan inflator beg udara Takata bahagian penumpang yang diumumkan pada 23 Jun 2016, namun dalam perlanggaran tersebut, Honda mengesahkan inflator beg udara bahagian penumpang tidak pecah semasa beg udara tersebut mengembung dan ia berfungsi dengan baik. Dalam perkara ini, Honda sedang berhubung dengan pihak keluarga mangsa dan sebarang informasi peribadi tidak akan disiarkan.

    Honda kini masih lagi giat melakukan aktiviti pemberitahuan berkenaan panggilan balik inflator beg udara Takata pada kenderaannya melalui siaran akhbar, iklan, penyertaan aktiviti jelajah, panggilan peribadi, SMS serta surat secara terus kepada pemilik untuk menukarnya.

    Turut dilakukan adalah peningkatan jumlah stok dan kapasiti servis dengan mengadakan hab servis, hab bergerak dan memberi keutamaan kepada penukaran ini di pusat servis.

    Seperti yang diumumkan pada bulan Ogos 2016, Honda Malaysia telah mendapat 100 peratus stok inflator beg udara Takata dan sehingga 27 September 2016, 157,000 unit inflator beg udara hadapan Takata telah dilakukan dan ini bersamaan dengan 60 peratus lengkap.

    Juga sehingga 27 September 2016, bahagian utara (Pulau Pinang), selatan (Johor), tengah (Selangor) dan hab bergerak telah menyempurnakan lebih 10,800 penukaran inflator beg udara hadapan Takata pada kereta Honda yang terlibat sejak Ogos 2016.

    Honda Malaysia menggesa pemilik kenderaan yang terlibat dalam panggilan balik inflator beg udara Takata ini untuk menghantar kenderaan mereka secepat mungkin. Mereka boleh memeriksa status kenderaan di www.productrecall.honda.com.my atau www.honda.com.my.

     
     
  • Proton Saga 2016 – Dibangunkan dalam tempoh satu setengah tahun, menelan belanja sekitar RM150 juta

    2016-proton-saga-launch-2

    Proton Saga 2016 yang dilancarkan hari ini mengambil masa selama satu setengah tahun untuk dibangunkan dan menelan belanja sekitar RM150 juta. Menggunakan platform yang sama dengan model Saga sebelumnya, kos yang terlibat adalah bagi menjalankan pembaharuan dari segi teknologi, terutamanya bagi bahagian enjin dan transmisi serta selebihnya bagi rekaan baharu.

    “Kami mensasarkan jualan 5,000 unit Saga baharu ini sebulan. Dan dalam tempoh tiga tahun, kami jangkakan akan mencapai pulangan modal bagi kos yang dibelanjakan itu,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali ketika sidang media selepas pelancaran model berkenaan.

    Proton Saga 2016 dari generasi ketiga ini berkongsi platform yang sama dengan model sebelumnya. Namun, rekaan dan ciri selebihnya adalah serba baharu bagi model Saga. Ikuti pengalaman pandu uji ringkas kami di litar Proton minggu lalu. Ikuti juga pecahan varian dan harga yang ditawarkan bagi model berkenaan.

     
     
  • Pelajar berumur 22 tahun jadi pemilik pertama Proton Saga 2016 – disampaikan YB Khairy Jamaluddin

    proton-saga-2016-winner-bm-1

    Satu kejutan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin semasa hari pelancaran Proton Saga 2016 di Setia Alam sebentar tadi. Pada mulanya, ia sekadar ucapan biasa yang dilakukan oleh Khairy, tetapi tiba-tiba beliau memanggil seorang pelajar yang lahir pada bulan September.

    Aliya Raidah Binti Abdul Malek, naik ke atas pentas dan mula menjawab soalan Khairy. Akhirnya, beliau dihadiahkan beg Proton dan dibenar meninggalkan pentas. Apabila sudah sampai di bawah, Aliya dipanggil semula dan terperanjat apabila Khairy memberitahu beliau akan menerima sebuah Proton Saga 2016. Kunci kemudiannya dikeluarkan oleh Khairy dari dalam poketnya dan diserahkan kepada Aliya.

    Ini sekaligus menjadikan Aliya yang merupakan seorang pelajar jurusan Pembangunan Sumber Manusia pemilik pertama Proton Saga 2016. Baca berita pelancaran Proton Saga 2016 di sini. Ia ditawarkan kepada umum pada harga bermula RM36,800.

     
     
  • VIDEO: Proton Saga 2016 – 8 perkara menarik yang perlu diketahui; pembaharuan berbanding model lama

    Proton Saga 2016 akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, bertempat di Pusat Persidangan Setia City dan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin. Ini merupakan model baharu ketiga yang dilancarkan oleh Proton tahun ini, selepas Perdana dan Persona.

    Empat varian ditawarkan secara keseluruhannya; Standard (MT), Standard (AT), Executive (AT) dan Premium (AT). Harga jualannya pula ialah dari RM36,800 hingga RM45,800. Apa yang baharu dan dipertingkatkan pada Saga 2016 ini? Ia kini akan menggunakan enjin yang sama pada Iriz iaitu unit 1.3 liter VVT (menggantikan enjin lama IAFM+), dengan kemampuan 94 hp pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm. Pilihan transmisi pula terdiri daripada manual lima kelajuan (Standard sahaja) dan CVT (semua varian).

    Walaupun output kuasa adalah sama, Proton menyatakan Saga baharu lebih laju dan lebih jimat minyak daripada yang sebelumnya. Versi manual kini boleh tiba di kelajuan 100 km/j dalam masa 12.2 saat (dulu 13.0 saat) dan menggunakan bahan api 5.4 l/100 km pada kelajuan 90 km/j (lebih baik berbanding sebelumnya; 6.0 l/100km).

    Bagi versi CVT pula, ia mencatat bacaan 0-100km/j dalam 13.1 saat (berbanding 14.5 saat pada model lama) dan menggunakan bahan api 5.6 l/100 km pada kelajuan 90 km/j (lebih baik daripada 6.3 l/100km sebelumnya). Peningkatan yang dilakukan pada Persona – iaitu tapak enjin tiga punca untuk NVH lebih bagus dan ECU yang ditala semula untuk tindak balas lebih baik – turut dilakukan pada Saga.

    Di dalam video ringkas ini, kami gariskan lapan perkara yang perlu anda ketahui, terutama pembaharuan yang dilakukan yang membezakan antara model Saga sebelumnya dengan model terbaharu dari generasi ketiga ini. Selamat menonton.

     
     
  • Proton Saga 2016 kini dilancarkan secara rasmi – 4 varian, 1.3L VVT, dari RM36,800 hingga RM45,800

    2016-proton-saga-launch-2

    Pelbagai gambar spyshot telah tersebar, Proton juga telah menyiarkan imej dan video teaser, dan kami sendiri telah memandu ujinya di litar ujian Proton. Hari ini, merupakan hari untuk anda kerana Proton Saga 2016 secara rasminya dilancarkan dan mula berada di semua bilik pameran Proton di seluruh negara.

    Pelancaran perdana model ini disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin, dengan diiringi CEO Proton Datuk Fuaad Kenali dan timbalannya Datuk Radzaif Mohamed di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam.

    Empat varian ditawarkan untuk model baharu bermula dengan varian asas 1.3L Standard manual dan 1.3L Standard CVT, varian pertengahan 1.3L Executive CVT serta varian tertinggi 1.3L Premium CVT. Tiada model yang dijana enjin 1.6 liter kerana Proton telah menyusun semula barisan model mereka agar tidak membunuh sesama sendiri, oleh itu, Saga hanya dijana enjin 1.3 liter dan 1.6 liter hanya untuk Persona 2016.

    Diasaskan dari Saga generasi kedua, tetapi dirombak sepenuhnya

    Saga generasi ketiga ini dibina di atas platform yang sama dengan model generasi sedia ada. Oleh itu, jarak roda untuk model baharu ini tidak berubah dengan ukuran 2,465 mm. Panjang keseluruhan sedikit meningkat iaitu 4,311 mm, berbanding Saga BLM yang diukur dengan 4,278 mm (-74 mm). Model baharu ini juga lebih lebar 9 mm dengan ukuran 1,689 mm (1,680 mm pada model lama) tetapi 11 mm lebih rendah dengan ukuran 1,491 mm (1,520 mm pada model lama).

    2016-proton-saga-dimensions

    Walau bagaimanapun, keseluruhan panel luaran Saga 2016 ini adalah baharu sepenuhnya, di mana tiada satu komponen badan pun diambil dari model sebelum ini. Rekaan dimulakan pada bahagian muka, dengan lampu hadapan reflektor halogen sedan ini direka lebih elemen bulat diinspirasikan dari lampu hadapan Perdana 2016.

    Gril hadapan menerima rekaan signatur ‘Proton Wing’ tetapi dengan sedikit elemen berbeza iaitu bar berkembar pada sayap yang mengapit logo 3D Proton, seperti rekaan gril Saga generasi pertama. Bampar hadapan pula menampilkan rekaan gril bahagian bawah seperti ‘misai’ seperti Iriz dan Persona, diapit sepasang perumah lampu kabus. Gelembung pada bahagian tengah hud enjin seperti pada Perdana 2016 diwujudkan, dan kelihatan seperti bersambung pada lekuk ‘pagoda’ diatas bumbung.

    Pada bahagian sisi, bayangan badan Saga baharu ini sedikit berbeza dari generasi sebelumnya, dengan muncungnya kini kelihatan lebih bulat, berbanding FLX yang kelihatan bersegi. Satu lagi garisan badan pada bahagian bawah yang kelihatan seperti bilah, sama seperti Iriz dan Persona turut ditambah. Saga 2016 turut dilengkapkan dengan cermin sisi dengan lampu isyarat membelok, untuk imej yang lebih premium.

    Pintu belakang direka lebih besar dan ia sperti kelihatan ‘ditarik’ lebih ke belakang dan diberikan ‘quarter window‘ (BLM dan FLX tiada cermin ini). Bahagian belakang pula kelihatan ‘terturun’ berbanding generasi sebelumnya yang direka tegak jika dilihat dari sisi. Walaupun kelihatan lebih kecil, but model baharu ini sebenarnya lebih tinggi dan memberikan tambahan kapasiti sebanyak tujuh liter (kapasiti but Saga FLX ialah 413 liter).

    Model varian standard diberikan roda besi berdiameter 13-inci dengan penutup rim sama seperti model generasi sebelumnya, dibaluti tayar 175/60/R13. Untuk varian Executive, ia menerima roda aloi 14-inci ‘snowflake’ dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 bersaiz 185/60R14. Manakala untuk Premium pula, ia dipadankan dengan roda aloi berdimeter 15-inci ‘turbine’ dibaluti tayar Silverstone Kruizer1 NS800 bersaiz 185/55R15.

    Saga 2016 menerima sepasang lampu belakang ‘two-piece‘ iaitu lampu utama, brek dan isyarat membelok pada bahagian badan digabungkan dengan lampu tambahan yang menempatkan lampu undur melekat pada but. Walau bagaimanapun, kesemua varian Saga 2016 hanya menerima lampu mentol biasa, berbanding LED pada generasi sebelum ini.

    Lampu-lampu belakang berkenaan dihubungkan menerusi sebuah kemasan berbentuk bar merentangi but belakang (warna hitam untuk varian standard, warna badan untuk varian Executive dan krom untuk varian Premium), dan turut menempatkan logo 3D Proton pada bahagian tengah. Spoiler ala-ekor itik diberikan pada model Executive dan keatas.

    Bahagian bawah bampar belakang Saga baharu ini turut menerima kemasan seperti Persona dan Perdana, tetapi kemasan berwarna hitam pada Saga ini lebih ringkas, tiada lengkuk yang kelihatan seperti diffuser serta ruang untuk tip ekzos, dan menempatkan lampu kabus tunggal pada bahagian tengah.

    Hanya satu enjin ditawarkan, 1.3 liter VVT baharu, kerangka dipertingkatkan

    Saga kini dijana enjin 1.3 liter VVT yang diambil dari Iriz berkuasa 94 HP dan tork maksima 120 Nm, menggantikan enjin 1.3 liter Campro IAFM+ pada model sebelum ini. Hanya varian standard menerima pilihan kotak gear manual lima-kelajuan dan CVT automatik, manakala varian lain hanya dipadankan dengan transmisi CVT. Seperti juga Persona, unit janakuasa ini bukan sekadar memindahkannya dari casis Iriz ke Saga.

    Menurut Proton, untuk versi CVT, Saga baharu mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 13.1 saat dan penggunaan bahan api dicatatkan pada 5.6 l/100 km (14.5 saat/6.3 l/100 km pada model sebelum ini). Manakala untuk versi manual pula, ia kini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.2 saat dan penggunaan petrol dicatatkan pada 5.4 l/100 km (13 saat/ 6.0 l/100 km pada model sebelum ini).

    Proton telah menala semula enjin dan transmisi ini sesuai dengan badan sedan Saga serta menambahbaik aspek respon serta NVH. Empat cagak enjin pada Saga FLX kini hanya tiga pada Saga 2016, di mana cagak pada blok enjin bahagian hadapan ditiadakan serta torque rod pada bahagian belakang enjin kini menerima rekaan baharu. Ini membolehkan getaran pada enjin kini kurang dialirkan ke kerangka badan, bagi memberikan kadar NVH yang lebih bagus.

    protonsaga_bm_premium_ext-29

    Kerangka asas kini menerima lebih banyak logam berketegaran tinggi seterusnya meningkatkan ketegarannya dari 10,000 Nm/deg pada model sebelum ini kepada 12,000 Nm/deg pada model Saga baharu. Model generasi baharu ini masih mengekalkan topang McPherson pada bahagian hadapan dan torsion beam pada bahagian belakang. Komponen-komponen suspensi seperti spring dan getah-getah bushing diubah untuk memberikan talaan pengendalian yang lebih baik.

    Saga 2016 masih menggunakan sistem stereng kuasa hidraulik, tetapi nisbah pada rak dan pinan stereng telah ditala semula daripada 20:1 pada model terdahulu kepada 16:1, membolehkan arah diubah dengan lebih cepat. Daya untuk memutar roda stereng juga kini lebih ringan iaitu 2.75 kgf berbanding 3.0 kgf pada Saga FLX.

    Dilengkapi pelbagai ciri baharu, keselamatan turut dipertingkat

    Bahagian dalaman Saga kini diberikan papan pemuka baharu. Susunan dalam kluster instrumen masih lagi kekal dengan takometer di sebelah kiri, speedometer di bahagian kanan, paparan posisi gear (untuk CVT) di bahagian tengah dan lampu amaran serta informasi lain di atasnya. Latar belakang meter berkenaan kini menerima tema seiras dengan Persona dan dilengkapi lampu penunjuk Eco Assist.

    Roda stereng Saga baharu ini diambil terus dari Preve/Exora. Kluster bahagian tengah ditempatkan liang hawa dingin berbentuk empat segi dan di bawahnya diletakkan pemain audio 2-DIN (hanya 1-DIN untuk varian standard dan Executive) yang turut diambil terus dari Exora.

    Barisan suis operasi untuk kunci pintu berpusat, lampu-lampu kabus, lampu isyarat halangan (hazard light) dan ESC ditempatkan di bawah pemain audio, diikuti suis-suis kawalan penghawa dingin yang diambil dari Saga FLX diletakkan di bawahnya. Tombol gear untuk versi CVT menggunakan tombol dari Iriz dengan selak gear pada bahagian hadapan, berbanding model lama di bahagian atas. Tombol untuk versi manual pula menerima tombol gear dari Satria Neo.

    Tiga port USB pada dilengkapkan pada Saga – satu untuk hadapan iaitu di sebelah soket 12V berhampiran pemegang cawan hadapan, dua lagi untuk bahagian belakang, di ruang storan belakang tuil brek tangan. Khas untuk varian Premium, ia turut dilengkapi kamera undur yang dipaparkan menerusi skrin pada cermin pandang belakang.

    Tempat duduk belakang pada model baharu ini turut direka agar boleh dilipat (tetapi tiada pisahan dengan nisbah 60:40) bagi memberikan ruang storan tambahan untuk but belakang jika diperlukan. Menurut Proton lagi, mereka telah mengurangkan daya untuk menutup/membuka pintu dari 25 kgf kepada hanya 15 kgf agar ia terasa lebih ringan.

    Untuk keselamatan, kesemua varian menerima cagak tempat duduk ISOFIX pada bahagian belakang, dan juga dua beg udara. Varian Executive dan keatas menerima sistem brek ABS dengan BA dan EBD. Khas untuk varian Premium, ia turut menerima Bantuan Mula Mendaki (HHA) dan juga Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) bagi membolehkan varian berkenaan menerima penarafan ASEAN NCAP empat-bintang.

    Perincian pecahan setiap varian dan harga adalah seperti berikut:

    Proton Saga 1.3L Standard MT/CVT 2016

    Varian ini datang dengan dua versi transmisi yang boleh dipilih iaitu manual lima-kelajuan dan CVT automatik. Kedua-dua versi ini hadir dengan ciri-ciri yang sama.

    Ciri-ciri

    • Enjin 1.3 liter VVT
    • 94 hp, 120 Nm
    • Ecodrive Assist
    • Lampu utama halogen reflektor
    • Lampu kabus belakang
    • Penderia parkir hadapan dan belakang
    • Rim besi 13 inci (dengan tayar Silverstone Synergy M3 saiz 175/70)
    • Cermin sisi, pemegang pintu dan hiasan belakang hitam tanpa cat
    • Cermin sisi larasan manual
    • Tiang-B warna badan
    • Kemasan dalam hitam
    • Unit audio 1-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
    • 2 port mengecas USB
    • Tempat duduk fabrik serba hitam
    • Tempat duduk pemandu dengan ketinggian yang boleh dilaras
    • Ruang but 420 liter dengan tayar simpanan jimat ruang
    • Tempat duduk belakang boleh lipat
    • Trim pintu plastik
    • Cagak ISOFIX
    • Dua beg udara
    • Brek cakera hadapan dan brek dram belakang

    Harga

    • 1.3L Standard 5MT – RM36,800
    • 1.3L Standard CVT – RM39,800

    2016 Proton Saga 1.3L Executive CVT

    Ciri-ciri tambahan

    • Brek ABS dengan EBD
    • Lampu kabus hadapan
    • Rim aloi 14 inci ‘snowflake’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/60)
    • Cermin sisi, pemegang pintu dan kemasan belakang berwarna sama seperti badan
    • Cermin sisi berkuasa elektrik
    • Tiang-B warna hitam
    • Spoiler pada but belakang
    • Kemasan kelabu berkilat pada liang pendingin hawa dan stereng
    • Tempat duduk fabrik bercorak mesh

    Harga

    • 1.3L Executive CVT – RM42,800

    2016 Proton Saga 1.3L Premium CVT

    Ciri-ciri tambahan

    • Rim aloi 15 inci ‘turbine’ (dengan tayar Silverstone Kruizer1 NS800 saiz 185/55)
    • Electronic Stability Control (ESC)
    • Hill-hold Assist
    • Unit audio 2-DIN dengan input Bluetooth, USB dan AUX
    • Kemasan kelabu berkilat pada tombol gear dan sekeliling
    • Tempat duduk fabrik bercorak gelombang
    • Kamera undur (dengan paparan bersepadu pada cermin pandang belakang)
    • Butang kawalan audio pada stereng

    Harga

    • 1.3L Premium CVT – RM45,800

    Semua model mendapat tingkat taraf seperti berikut:

    • Enjin 1.3 VVT (menggantikan IAFM+)
    • Prestasi manual – 0-100km/j dalam 12.2 saat (daripada 13.0 saat)
    • Penggunaan bahan api manual – 5.4 l/100 km (bertambah baik daripada 6.0 l/100km)
    • Prestasi CVT – 0-100km/j dalam 13.1 saat (daripada 14.5 saat)
    • Penggunaan bahan api CVT – 5.6 l/100 km (bertambah baik daripada 6.3l/100km)
    • Hanya tiga cagak enjin untuk mengurangkan peralihan getaran ke kerangka
    • ECU yang ditala semula untuk tindak balas CVT lebih baik
    • Tayar dengan rintangan golek lebih rendah, cengkaman atas jalan basah lebih baik (lebih senyap 2dB)
    • Pakej pemanduan dan kawalan dipertingkat
    • Tahap keselamatan ASEAN NCAP empat bintang (daripada tiga bintang)
    • Rak stereng lebih tepat dan pantas (nisbah 16:1 daripada 20:1)
    • Radius membelok lebih kecil (5.1 m berbanding 5.3 m)
    • Penutupan pintu lebih ringan (15 kgf berbanding 25 kgf)
    • Kuasa stereng lebih ringan (2.75 kgf berbanding 3.0 kgf)
    • Kerangka lebih tegar (12,000 Nm/deg berbanding 10,000 Nm/deg)

    Kesemua harga yang ditawarkan adalah harga atas jalan dengan insuran. Setiap pembelian Proton Saga 2016 turut dilindungi dengan waranti selama 5 tahun tanpa had perbatuan. Untuk anda yang berminat menempah Proton Saga 2016, anda boleh lawati laman Carbase.my untuk spesifikasi penuh serta bantuan dari penasihat jualan di sini.

    GALERI: 2016 Proton Saga 1.3L Premium CVT

    GALERI: 2016 Proton Saga 1.3L Executive CVT

    GALERI: 2016 Proton Saga 1.3L Standard Manual

     
     
  • RapidKL sediakan bas ke SIC sempena Formula 1

    Rapid-KL-Double-Decker-Bus-02

    RapidKL memaklumkan, sepanjang perlumbaan Formula 1 Petronas Malaysian Grand Prix yang bakal berlangsung mulai 30 September sehingga 2 Oktober 2016, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas untuk para pengguna yang mahu ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Menurut CEO RapidKL Mohd Azam Omar, bas tersebut akan mula beroperasi jam 8 pagi dari KL Sentral, KLCC dan KLIA2 serta terus ke SIC.

    Manakala perkhidmatan bas tersebut akan bergerak dari SIC ke KL Sentral, KLCC dan KLIA2 bermula jam 4 petang sehingga 7.30 malam pada Jumaat (30 Sept) dan Sabtu (1 Okt). Manakala pada hari Ahad (2 Okt) pula, perkhidmatan bas ini akan dilanjutkan ke jam 10.30 malam untuk membolehkan peminat F1 menonton konsert artis antarabangsa, Usher, yang bakal berlangsung selepas perlumbaan.

    Tiket bas berharga RM35 bagi perjalanan pergi-balik dari KLCC dan KL Sentral serta RM20 untuk sehala dan RM12 dari KLIA2.

     
     
  • Yamaha R1M 2017 edisi terhad sedia ditempah secara online – guna kelengkapan seperti dalam MotoGP

    2017-yamaha-yzf-r1m-3-e1475015160663-630x416bm

    Yamaha akan meneruskan momentum baik jenamanya dalam MotoGP dengan membawanya kepada orang awam – melalui penawaran motosikal edisi terhad Yamaha YZF-R1M 2017. Motosikal supersports ini mendapat banyak kelengkapan seperti motosikal lumba yang digunakan oleh Valentino Rossi dan Jorge Lorenzo – dan tambah mengujakan, ia akan dibuka untuk tempahan melalui laman web www.r1m.yamaha-motor.eu bermula 11 Oktober 2016.

    Walaubagaimanapun, bukan sebarangan orang boleh membelinya kerana di dalam laman web tersebut, mereka yang berminat perlu mengisi borang kaji selidik dan Yamaha akan memastikan mereka yang berjaya mendapatkan motosikal ini boleh mengendalikannya.

    Ini boleh difahami kerana YZF-R1M 2017 edisi terhad dikatakan sebagai motosikal produksi paling eksklusif pernah dihasilkan oleh Yamaha dan ia disasarkan kepada pasukan lumba persendirian dan mereka yang kerap ke litar.

    Yamaha YZF-R1M menggunakan enjin Crossplane 998cc yang mampu menghasilkan 200hp dan bahagian badannya kebanyakan menggunakan gentian karbon – keseluruhan beratnya adalah 200kg. Kelengkapan elektronik pada motosikal ini juga menyeluruh, termasuk Öhlins Racing Electronic Suspension (ERS), Communication Control Unit (CCU) yang boleh menyimpan pelbagai data pergerakan dan operasi motosikal, pengesan inertia enam axis, kawalan cengkaman dan gelungsur, serta kawalan anti-wheelie dan Launch Control.

    Yamaha masih belum mengeluarkan harga sebenar bagi YZF-R1M 2017 ini, namun ia dijangkakan pasti tidak akan datang dengan harga yang murah. Pembelinya juga akan mendapat sesi latihan di litar selama dua hari bagi memastikan mereka dapat menggunakan motosikal tersebut dengan sepenuhnya.

     
     
  • KL MRT: Persiaran KLCC, Jln Binjai ditutup mulai 1 Okt

    mrt_klcc

    Klik untuk besarkan

    MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan jangka panjang di sebahagian laluan Persiaran KLCC/Jalan Binjai serta penyusunan semula Jalan Lumba Kuda. Ia membabitkan penutupan laluan sejauh 180 meter antara persimpangan lampu isyarat di hadapan PNB Darby Park hingga lampu isyarat memasuki tempat letak kereta bawah tanah KLCC.

    Penutupan itu bermula 1 Oktober ini, selama lima tahun iaitu sehingga 1 Disember 2021. Manakala penyusunan semula Jalan Lumba Kuda pula akan dilaksanakan sehingga 28 Februari 2017.

    Menurut kenyataan terbabit, pelaksanaan pengurusan trafik itu adalah bagi melancarkan pembinaan Stesen S17 Transit Aliran Massa (MRT), antara 11 stesen bawah tanah bagi jajaran Sungai Buluh-Serdang-Putrajaya (SSP).

    Sepanjang penutupan itu, pengguna dari Persiaran KLCC/Jalan Binjai yang mahu ke Jalan Tun Razak perlu menghala ke Jalan Ampang dan melakukan pusingan U di persimpangan Jalan Ampang-Jalan Yap Kwan Seng sebelum ke Jalan Tun Razak.

    Trafik dari Lorong Kuda pula tidak dibenarkan membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat ke tempat letak kereta bawah tanah KLCC untuk ke Jalan Binjai. Sebaliknya pengguna perlu melakukan pusingan U di persimpangan itu untuk ke Jalan Tun Razak dan melalui Jalan Ampang sebelum ke Jalan Binjai.

    Manakala trafik dari Jalan Stonor tidak boleh menghala terus ke Jalan Binjai. Mereka perlu membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat tempat letak kereta bawah tanah KLCC menghala ke Jalan Tun Razak dan melalui Jalan Ampang ke Jalan Binjai

    Pengguna yang keluar dari tempat letak kereta bawah tanah KLCC pula tidak boleh membelok ke kiri untuk ke Jalan Binjai, sebaliknya perlu menghala ke Jalan Tun Razak dan memasuki Jalan Binjai menerusi Jalan Ampang.

    Kenderaan yang keluar dari jalan di belakang Menara PNB dan di sisi PNB Darby Park tidak boleh membelok ke kiri untuk ke Jalan Binjai bagi menghala ke Jalan Tun Razak atau Jalan Stonor, sebaliknya perlu membelok ke kanan ke Jalan Binjai menghala ke Jalan Ampang.

    Sementara itu, penyusunan semula Jalan Kuda membabitkan laluan sejauh 170 meter, dengan laluan dua hala itu diubah menjadi sehala dari Persiaran KLCC menuju lampu isyarat berhampiran The Troika, dan laluan dua lorong itu akan dikecilkan menjadi satu lorong.

    Kenderaan tidak boleh membelok ke kanan untuk ke Jalan Binjai menuju Jalan Tun Razak atau Jalan Stonor. Sebaliknya, pengguna hanya boleh membelok ke kiri di lampu isyarat berhampiran The Troika menuju ke Jalan Ampang.

    Manakala yang ingin ke Hotel The Zon dan Masjid As-Syakirin, hanya boleh masuk menerusi Jalan Ampang dan Persiaran KLCC.

    Sepanjang penutupan itu, pengguna dinasihatkan untuk mengikut arahan papan tanda sepanjang penutupan dan penyusunan semula laluan itu.Malahan Pasukan Tindakan Kecemasan Projek akan ditempatkan di situ bagi melancarkan aliran trafik.

     
     
  • Penyeragaman sepenuhnya plat nombor pendaftaran kenderaan dalam masa tiga tahun – JPJ

    perfect-number-plate-malaysia

    Isu nombor pendaftaran yang tidak seragam dan dibuat sewenang-wenangnya tidak mengikut spesifikasi oleh pemilik-pemilik kenderaan bakal berakhir tidak lama lagi. Dalam satu bengkel khas yang diadakan bersama pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat dan cadangan semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan penyelesaian masalah ini akan dikeluarkan pada suku ketiga tahun 2017, lapor The Sun Daily.

    Jika langkah tersebut diluluskan, polisi nombor pendaftaran baharu akan dikuatkuasakan untuk semua kenderaan baharu termasuk motosikal dan diikuti kenderaan lain secara berperingkat dalam masa tiga tahun.

    Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi, bengkel satu hari bertajuk “Penyeragaman Plat Nombor Pendaftran Kenderaan” berkenaan adalah untuk membincangkan kelemahan dalam pengeluaran plat nombor pendaftaran di seluruh negara yang menyebabkan penggunaan plat dengan spesifikasi yang tidak dibenarkan.

    “Kami juga turut mencari jalan bagaimana untuk menyeragamkan plat nombor dan mengeluarkan plat yang standard di seluruh negara,” kata beliau kepada portal berita berkenaan.

    Tambah beliau lagi, mekanisma baharu tersebut perlu membolehkan pihak berkuasa memantau peniaga kecil atau vendor-vendor di seluruh negara untuk mengeluarkan plat nombor pendaftaran yang berpandukan Undang-undang Kenderaaan Bermotor (Pendaftaran dan Perlesenan) 1959.

    “Kami mahu peniaga untuk berdaftar dengan JPJ dan daripada situ, kami, bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, boleh mengambil tindakan jika perlu,” kata beliau dalam ucapan pembukaan bengkel tersebut semalam.

    licence plate

    Selain itu, beliau juga mahu kesemua 50 peserta bengkel berkenaan yang terdiri agensi kerajaan berkaitan dan industri automotif, mempertimbangkan pengguna material yang tahan lasak dan kuat seperti logam tekan (metal stamping) dan kos mekanisma untuk pengeluaran plat baharu ini juga perlulah efektif. “Material sedia ada, seperti plastik, tidak tahan lama dan boleh ditukar dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” kata beliau.

    Aziz menjelaskan penyeragaman plat berkenaan adalah penting dalam memerangi jenayah dan menguatkuasakan keselamatan jalan raya serta kerajaan agak fleksibel dalam menangani isu ini.

    “Selama ini, pihak berkuasa dan orang ramai terpaksa berhadapan dengan kesukaran untuk mengenalpasti plat nombor yang terlalu fancy atau tidak jelas.

    “Kami mahu mencari jalan penyelesaian yang tidak melibatkan kos yang tinggi dan membebankan rakyat. Kami juga mahu memastikan tiada monopoli untuk tujuan ini,” kata beliau.

    Dalam bengkel yang diadakn semalam, sebuah syarikat telah membentangkan cadangan untuk rekaan plat nombor pendaftaran baharu dan juga material yang digunakan selama 45 minit serta sistem pendaftaran dinamik yang dapat mengelakkan penyalahgunaan oleh vendor dan pemilik kenderaan.

    Bengkel serupa telah dijalankan oleh kementerian berkenaan dua tahun lalu untuk menyelesaikan isu cermin gelap. Hasilnya tahap ketelusan cahaya (VLT) untuk bahagian penumpang belakang kini dikurangkan kepada 30% berbanding 50% sebelum ini dan undang-undang lebih ketat digazetkan pada Januari lalu di bawah Undang-undang Kenderaan Bermotor (Larangan Penggunaan Terhadap Berberapa Jenis Cermin) (Pindaan) 2016.

     
     
  • Chevrolet Colorado facelift sudah semakin hampir – penampilan ringkas di FB; enjin lebih berkuasa

    colorado-teaser-bm-850x478

    Teaser bagi Chevrolet Colorado facelift terbaharu sudah pun ditunjukkan di laman Facebook Chevrolet Malaysia. Ini mungkin menjadi petunjuk sahih bahawa model berkenaan tidak akan mengambil masa yang lama untuk diperkenalkan secara rasmi di sini.

    Dari generasi kedua trak pikap berkenaan, Colorado facelift yang tampil dengan rekaan yang lebih segar pertama kali diperkenalkan diperingat ASEAN pada April lalu. Di Malaysia, pengedarnya, Naza Quest sudah pun mempamerkan unit terbaharu ini di Naza Automall, Petaling Jaya.

    Antara perubahan yang dapat dilihat dengan jelas ialah wajah hadapan baharu, dengan rekaan gril, hood bahagian enjin, bampar serta lampu utama yang kini lebih tirus. Bagaimanapun, unit yang dipamerkan sebelum ini, yang digelapkan cerminnya, mencadangkan mungkin diberi perubahan yang penting juga pada ruang dalamannya.

    Chevy_ColoradoFL-2

    Daripada spesifikasi yang tertera pada cermin hadapan, model bagi pasaran Malaysia akan menampilkan skrin sentuh bersaiz lapan-inci bagi sistem infotainmen. Ia dijangka akan turut dilengkapi dengan sistem MyLink terkini, termasuk sistem Apple CarPlay dan Android Auto.

    Paparan instrumen turut ditukar dengan rekaan baharu. Ciri-ciri lain yang turut dipadankan termasuk sistem penghawa dingin automatik, lampu nyalaan siang LED, kamera undur, sensor parkir hadapan dan belakang serta penghidup enjin kawalan jauh.

    Trak pikap Chevrolet terbaharu ini akan dilengkapi dengan enjin 2.5 liter Duramax empat silinder turbodiesel, kini dengan ciri Variable Geometry Turbo (VGT). Janaan kuasa dari enjin piawaian Euro 4 itu ialah 177 hp pada 3,600rpm dan 440 Nm pada 2,000rpm. Ini lebih output berbanding yang lama; 161 hp dan 380 Nm. Selain itu, varian 2.8 liter juga akan ditawarkan di sini.

     
     
  • Malaysia, Korea meterai perjanjian sefahaman bagi tingkatkan keselamatan jalan raya di negara ini

    Road-dividers-01

    Projek Garuda Sdn Bhd, syarikat tempatan, telah memeterai perjanjian sefahaman (MoU) dengan Shindo Industry Co LTD dari Korea Selatan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di negara ini.

    Majlis menandatangani MoU ini turut disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof. Perjanjian ditandatangani Pengarah Projek Garuda Sdn Bhd, Leong Khai Ric dan Presiden Shindo Industry, Hwang Dong Hyeak. Yang turut hadir, Naib Gabenor Gyeonggi-DO, Yang Bok-Wan dan Duta Korea Selatan ke Malaysia, Yu Hyun-Seok, laporan Berita Harian.

    Menurut Fadillah, kerjasama itu bagi menaik taraf besi penghadang jalan terutama di jalan Persekutuan adalah bagi meminimumkan impak kemalangan. Malah menerusi perjanjian tersebut, Shindo Industry dapat menyalurkan terus produk atau kepakaran mereka untuk menaik taraf laluan yang sibuk di Malaysia.

    “Dalam masa yang sama, pihak kementerian akan menilai produk yang dicadangkan terlebih dahulu. Jika penggunaannya didapati mempunyai kesan yang positif, kita juga akan membantu memasarkannya ke negara Asia lain,” katanya kepada pihak media.

    Walau bagaimana pun, buat setakat ini, tiada perincian lanjut mengenai teknologi yang bakal digunakan oleh syarikat Korea Selatan terbabit.

     
     
  • Proton Saga 2016 – saksikan lintas langsung pelancarannya mulai 2:45pm, eksklusif di paultan.org

    Model ketiga yang akan dilancarkan oleh Proton untuk tahun ini selepas Perdana 2016 dan Persona 2016. Proton Saga 2016 ternyata bakal mengundang debaran dan memahami rasa teruja itu, kami akan membawakan lintas langsung pelancaran sedan segmen-A ini, eksklusif menerusi paultan.org. Jangan lupa untuk bersama kami esok, 28 Sept 2016, mulai jam 2:45pm untuk menyaksikan pelancaran Saga 2016 ini.

    Saga 2016 telah pun mula dibuka tempahan sejak 24 September lalu, dan bakal dijual pada harga jangkaan bermula RM37,000 hingga RM46,000 (harga sebenarnya akan diumumkan pada majlis pelancarannya). Enam warna ditawarkan iaitu hitam, merah, putih, kelabu (baharu), biru (baharu) dan perak. Setiap pembelian turut dilindungi waranti 3 + 2 tahun atau 150,000km yang mana tiba dahulu.

    Ia ditawarkan dengan empat varian iaitu Standard (MT), Standard (AT), Executive (AT) dan Premium (AT). Kesemuanya akan menggunakan enjin sama seperti yang ada pada model Iriz iaitu unit 1.3 liter VVT (menggantikan enjin lama IAFM+), dengan kemampuan 94 hp pada 5,750 rpm dan 120 Nm tork pada 4,000 rpm. Pilihan transmisi pula terdiri daripada manual lima-kelajuan (Standard sahaja) dan CVT (semua varian).

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian spesifikasi setiap variannya, sila KLIK DI SINI.

    Malah kami juga telah diberi peluang untuk menguji Saga 2016 ini di trek ujian Proton, Subang Jaya, pada pagi Khamis lalu. Ternyata ia berbeza dengan model Saga terdahulu. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, sila baca ulasan pandu uji Saga 2016 ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025