Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 28 Ogos-3 Sept – diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Harga minyak 28 Ogos-3 Sept –  diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Seperti biasa, petang Rabu sebegini mesti ramai yang menantikan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) tentang harga runcit petrol dan diesel untuk minggu seterusnya.

    Untuk minggu bertarikh 28 Ogos hingga 3 September 2025, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, menjadi RM3.16 seliter berbanding RM3.13 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM2.88 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Manakala pada 26 Ogos, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat.”

     
     
  • Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Seperti yang diumumkan ketika pelancaran model kemaskini Proton eMas 7 2025 bulan lalu, SUV EV berkenaan kini telahpun menerima penutup ruang kargo belakang (tonneau cover). Aksesori ini bukan hanya diberikan pada eMas 7 yang baru keluar dari bilik pameran sahaja, malah pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada turut akan menerima aksesori yang berharga RM300 ini secara percuma.

    Menurut Proton ketika pelancaran eMas 7 2025 tempoh hari, tambahan penutup ruang kargo ini adalah hasil maklum balas yang diberikan oleh pelanggan. Proton memberikan penutup berkenaan dengan kemasan fabrik seakan gentian karbon, dan ia disulam dengan loga ‘Proton eMas’ pada bahagian hujung kanan aksesori tersebut.

    Walaupun kemasannya nampak seperti aksesori aftermarket kerana tidak sepadan dengan kemasan-kemasan dalaman standard eMas 7 ini, ia menampilkan fungsi yang baik untuk ‘menyembunyikan’ barang-barang yang disimpan dalam but belakang dari pandangan luar cermin, untuk privasi lebih baik.

    Tingkat taraf ini mungkin akan diberikan pada model EV kedua Proton dengan saiz lebih kecil iaitu eMas 5. Namun ia mungkin tidak akan ditawarkan terus ketika pelancarannya nanti dan hanya akan diberikan secara percuma selepas beberapa tempoh.

    Antara peningkatan lain yang turut diberikan pada eMas 7 2025 ini termasuk kemaskini OTA yang memberikan fungsi Apple CarPlay yang boleh digunakan sama ada menggunakan wayar atau tidak, dan juga fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.

    Bagi pengguna Android, Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa fungsi Android Auto bakal boleh digunakan pada suku keempat tahun ini, juga akan dibuat menerusi kemaskini secara OTA.

     
     
  • Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan, CRF250 Rally 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM28,599 tidak termasuk insurans. Harga ini masih sama seperti CRF250 Rally yang dilancarkan pada tahun lepas.

    Melalui siaran akhbar yang diedarkan kepada media, model ini tidak diberitahu menerima sebarang peningkatan kecuali warna baru yang dipanggil sebagai Extreme Red, bersama tempat duduk yang berwarna biru.

    Tetapi jika anda perhatikan lebih teliti, panel tepi berhampiran ekzos berubah sedikit, sama seperti CRF300 Rally 2025 yang diperkenalkan untuk pasaran luar dan lampu penunjuk arah hadapan dan belakang juga kini menggunakan unit LED yang lebih nipis.

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Kemudiannya, CRF300 Rally 2025 juga menerima penambah baikan sistem penyejukan serta suspensi yang ditala semula. CRF250 Rally pasaran Malaysia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada menerima penambah baikan sama atau tidak.

    Bahagaian lain tidak berubah, dengan CRF250 Rally masih dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, menghasilkan kuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan tork 21.9 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac assist & slipper serta pacuan rantai.

    Sebagai sebuah motosikal yang dicipta untuk kegunaan lasak, CRF250 Rally datang dengan tetapan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork teleskopik Showa 43 mm serta monoshock Showa dengan sambungan Pro-Link.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera tunggal 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard dan ia boleh ditutup dengan butang khas yang disediakan berhampiran panel meter LCD. Secara keseluruhannya CRF250 Rally ini mencatat berat 153 kg dan datang dengan tangki bahan api 12.8 liter.

     
     
  • Jetour Malaysia sudah terima lebih 2,000 tempahan, 1,000 unit diserah, 30 pengedar menjelang hujung 2025

    Jetour Malaysia sudah terima lebih 2,000 tempahan, 1,000 unit diserah, 30 pengedar menjelang hujung 2025

    Jetour Malaysia mengumumkan telah mencatat kejayaan membanggakan sejak memulakan pemasangan tempatan model SUV mereka pada Jun lalu, dengan lebih 2,000 tempahan diterima dan lebih 1,000 unit model Dashing serta VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan.

    Seiring dengan perkembangan ini, syarikat itu menyasarkan untuk menambah jumlah pengedarnya di seluruh negara kepada 30 menjelang akhir tahun 2025, berbanding 20 cawangan yang beroperasi ketika ini.

    Ketika ini, rangkaian pengedaran Jetour merangkumi beberapa lokasi strategik termasuk Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Glenmarie, Jalan Kuching, Ampang, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Johor Bahru dan Melaka. Kesemua cawangan ini menawarkan perkhidmatan lengkap yang meliputi jualan, servis, alat ganti serta kerja-kerja badan dan cat kenderaan.

    Bagi memperluas lagi capaian jenamanya di Malaysia, Jetour merancang untuk membuka cawangan baru di lokasi-lokasi seperti Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, Seremban, Sungai Petani, Bayan Lepas, Kuantan, Temerloh, Bentong, Kota Bharu, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Selain itu, cawangan tambahan juga akan dibuka di Kepong, Ipoh dan Melaka.

    Model Jetour Dashing yang ditawarkan bermula dari harga RM110,000 dan VT9 dari RM119,000, kedua-duanya dipasang di kilang Berjaya Assembly yang terletak di Tampoi, Johor dengan keluasan 640,000 kaki persegi. Jetour Malaysia sebelum ini turut mengumumkan pelan pelaburan tambahan berjumlah RM1.4 bilion untuk memperkenalkan lebih banyak model pemasangan tempatan (CKD) serta RM216 juta bagi menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan serantau di Asia Pasifik

     
     
  • iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    iCaur Malaysia telah mendedahkan bakal melancarkan model elektrik (EV) pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu iCaur 03 pada 9 September ini. Model SUV EV tersebut pernah dipertontonkan buat pertama kalinya menerusi acara Malaysia Autoshow tahun lalu tapi diperkenalkan sebagai Jaecoo J6.

    Untuk pasaran Malaysia, iCaur 03 akan ditawarkan dengan dua varian, dan harga jangkaanya dari RM145,000 untuk 03 2WD, manakala 03 iWD pula dijangka bermula RM155,000.

    Dengan ukuran panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm dan tinggi 1,715 mm, serta jarak roda 2,715 mm, model 03 ini tampil dengan penampilan yang mengagumkan, dan bagi yang menggemari bentuk kotak serta maskulin, ia pasti menarik perhatian anda.

    iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    Bagi varian 03 2WD, ia dijanakan oleh motor belakang dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 220 Nm, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Kuasa motor ini dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 65.69 kWh, yang mampu memberikan jarak perjalanan sekitar 426 km mengikut standard NEDC (atau sekitar 355 km mengikut WLTP).

    Untuk 03 iWD pula, seperti namanya, ia dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda dwimotor, terdiri daripada motor gandar hadapan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dengan tork 165 Nm, digabungkan dengan motor gandar belakang yang sama seperti varian 2WD (184 PS/220 Nm). Gabungan ini menghasilkan jumlah output sistem sebanyak 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 385 Nm. Konfigurasi ini membolehkan 03 dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum 150 km/j.

    Varian iWD turut dilengkapi bateri LFP berkapasiti sedikit lebih besar, iaitu 69.8 kWh, yang menawarkan jarak perjalanan 418 km mengikut NEDC (atau 342 km mengikut WLTP, sama seperti model jenama sub-Chery, Jaecoo J6). Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW, yang boleh mengecas bateri daripada 30% hingga 80% yang mengambil masa sekitar 30 minit. Bateri ini juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW.

    Perincian dan spesifikasi untuk pasaran Malaysia hanya akan didedahkan pada pelancarannya pada 9 September ini. Cuma apa yang kami tahu, antara ciri bagi kelengkapannya adalah termasuk iRoad dengan enam mod pemanduan, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci dan panel instrumen digital 9.2-inci serta sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan bantuan pemanduan ADAS Tahap 2.5, antaranya merangkumi lane assist, adaptive cruise control dan traffic jam assist.

    Selain EV 03, iCaur turut merancang untuk melancarkan tiga lagi modelnya di pasaran Malaysia pada tahun ini, dengan dua lagi model ialah 03T, iaitu versi 03 yang lebih lasak dan sporty, serta V23, yang dijangka ditawarkan pada harga hampir sama dengan 03 dan 03T.

    GALERI: iCAUR 03 iWD yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: PRW dan BSN dibuka untuk bidaan

    Tahun 2025 makin menghampiri pengakhirannya, makin banyak syarikat pengeluar kenderaan mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai untuk model baharu mereka. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Selangor dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PRW, sedang dibuka bidaannya sejak 25 Ogos lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 29 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSN, bakal dibuka bidaan mulai 9 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 13 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 September 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Mercedes-Benz Malaysia bersama dengan Power-Up (P.UP) oleh Nazamax Malaysia, telah memperkenalkan pelan MB Platinum 5, sebuah program langganan pengecasan mudah alih eksklusif untuk pemilik Mercedes-Benz EQ.

    Perkhidmatan ini menyediakan pengecasan EV mudah alih mengikut permintaan pemilik, yang akan digerakkan ke lokasi pelanggan menggunakan sebuah van. Servis P.UP ini menyediakan pengecasan pantas sehingga 120 kW terus ke lokasi pengguna, membolehkan ia selesai dengan cepat dan mudah.

    Pelan MB Platinum 5 menawarkan lima sesi pengecasan setiap bulan (sehingga 80% SoC), yang setiap satunya disertakan dengan cucian kereta, vakum dan pengilatan tayar, sepanjang tempoh langganan sama ada satu, enam atau 12 bulan. Pelan itu turut termasuk yuran servis dan parkir percuma hingga RM5 setiap sesi.

    Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Pelanggan boleh menempah melalui aplikasi P.UP, dengan van akan dihantar terus ke lokasi EV mereka — sama ada di rumah, tempat kerja atau destinasi lain — untuk lebih kemudahan dan menjimatkan masa.

    “Dalam usaha kita memperkukuh mobiliti elektrik di Malaysia, kami komited untuk memperkaya pengalaman pemilikan keseluruhan bagi semua pelanggan EV kami. Kerjasama dengan P.UP memperluas visi kami untuk menyediakan bukan hanya kenderaan berteknologi canggih, tetapi juga servis penyelesaian menyeluruh yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” jelas Timbalan Presiden Khidmat Pelanggan, Mercedes-Benz Malaysia & SEA II, Edmin Naidoo.

    Perkhidmatan percubaannya telah dimulakan di Pulau Pinang pada September 2024, dan kini tersedia di Lembah Klang dengan tiga unit van. Ia akan dilancarkan juga di Johor Bahru pada suku pertama 2026, dan diperluas ke seluruh Semenanjung pada separuh kedua tahun depan.

     
     
  • Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-58!

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-58!

    MSF Merdeka Race kembali lagi untuk edisi ke-8, dan untuk tahun 2025 ini Malaysia Speed Festival (MSF) sekali lagi mendapat sokongan dari jenama petrol nasional, Petronas Primax. Bagi acara tahun ini, cabaran bagi perlumbaan utama bertambah mencabar di mana ia menampilkan perlumbaan sebanyak 111-lap berbanding 99 lap tahun lalu dan 88 lap pada 2024!

    Dengan menggunakan keseluruhan Litar Antarabangsa Petronas Sepang sepanjang 5.534 km, ini bermakna pertarungan dalam perlumbaan utama MSF Super Turismo Merdeka 111 Endurance tersebut dijangka akan berlangsung selama lima-jam tanpa henti.

    Enam kelas akan dipertandingkan dalam MSF Super Turismo Merdeka 2025 ini, di mana pemenang keseluruhan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000; tempat kedua keseluruhan RM3,000, dan tempat ketiga keseluruhan RM2,000. Manakala untuk setiap kelas, pemenang tempat pertama menerima RM3,500, diikuti RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-58!

    Untuk peminat motosikal, perlumbaan MotoMSF Superbikes pula akan menampilkan pertarungan endurance sebanyak 33-lap, berbanding hanya 12-lap pada tahun lalu. Perlumbaan yang dijangka akan berlangsung selama 90 minit ini akan menyaksikan setiap pasukan akan menampilkan dua motosikal dan dua orang penunggang yang perlu membuat pitstop mandatori, menjadikan ia satu perlumbaan yang mengikut format endurance sebenar.

    Pemenang keseluruhan MotoMSF Superbikes akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000; tempat kedua menerima wang tunai RM5,000, ketiga RM3,000, keempat RM2,000, kelima RM1,5000.

    “Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Petronas Primax meneruskan penglibatan mereka dalam MSF Merdeka Race sebagai Rakan Media. Ini digabungkan dengan sokongan rakan kongsi lama kami yang lain EXN Lube, Rennplatz, Vision Motorsports, Momentum Autosport, dan bateri kereta Energizer; dengan tayar rasmi kami untuk MSF SuperTurismo adalah GITI Tires MotoMSF Superbikes adalah Pirelli,” Prinsipal MSF Adian Yein Khalid.

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-58!

    “Memang sentiasa menjadi tradisi kamu untuk meningkatkan cabaran setiap tahun dan itulah yang kami lakukan dengan perubahan format dalam MSF SuperTurismo dan MotoMSF Superbikes tahun ini. Walaupun MSF terus mengutamakan perlumbaan mampu milik dan mampan untuk orang ramai, kami sama-sama komited untuk memastikan perkara ini dilakukan dengan cara yang tersusun dan progresif bagi bakat peserta kami, dan akan terus meningkatkan bakat peserta kami.”

    Selain dari perlumbaan utama MSF SuperTurismo, perlumbaan-perlumbaan sokongan kereta dan motosikal lain turut akan diadakan dalam MSF Merdeka Race 2025. Ia termasuk perlumbaan 40-minit untuk empat kelas iaitu SuperSeries; Tuner Production; SkillDRVN one-make race; dan Campro Cup, serta perlumbaan 75 minit+1 lap untuk Saga dan Myvi Cup.

    Manakala untuk motosikal MSF turut menampil perlumbaan unik American V-Twin Cup by Prodigy Racing yang disertai oleh motosikal-motosikal Amerika Syarikat seperti Harley Davidson dan Indian Motorcycle.

    Seperti namanya, aksi-aksi perlumbaan MSF Merdeka Race 2025 ini akan bermula pada sambutan Hari Kemerdekaan negara iaitu pada Ahad, 31 Ogos bermula dengan perlumbaan American V-Twin Cup dan pukul 11 pagi, diikuti MotoMSF Superbikes 33-lap bermula pukul 12 tengah hari. Perlumbaan utama MSF SuperTurismo Merdeka 111-lap pula akan bermula pada pukul 5 petang.

    Bagi anda yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan ini dari dekat, tiket masuk yang lengkap untuk akses ke paddock dan pit dijual pada harga RM35, dan ia dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam. Tiket dijual ketika hari perlumbaan, dan khas untuk pengguna aplikasi Setel, anda boleh membeli tiket dengan menggunakan mata ganjaran sebanyak 2,500 mata.

    Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, masuk adalah percuma. Pelbagai barangan rasmi dan juga trak makanan disediakan ketika perlumbaan berlangsung.

     
     
  • iCaur Glenmarie dilancarkan – cawangan pengedaran pertama untuk jenama ini di Malaysia dan di dunia!

    iCaur Glenmarie dilancarkan – cawangan pengedaran pertama untuk jenama ini di Malaysia dan di dunia!

    iCaur Malaysia mencatatkan satu kejayaan yang membanggakan apabila melancarkan pusat pengedaran pertamanya di Malaysia, iCaur Glenmarie, yang juga merupakan wakil pengedaran pertama di dunia. Pusat pengedaran ini dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn. Bhd selaku pengedar rasmi iCaur di Malaysia.

    iCaur Glenmarie seluas 18,912 kaki persegi ini direka sebagai hab gaya hidup serba lengkap, memenuhi pengalaman pemilikan yang penuh bertenaga. Ia menyediakan ruang pameran yang mampu menempatkan lima unit kereta, ruang rehat pelanggan yang mesra dengan Wi-Fi, kopi dan pastri percuma, ruang penghantaran khas, serta dua petak pengecasan EV persendirian. Berbeza daripada mana-mana pengedar kenderaan lain, ia juga menampilkan iCaur Arcade iaitu zon permainan khas untuk pelanggan dan pengunjung.

    Dari segi teknikal, iCaur Glenmarie menempatkan pusat servis selepas jualan dengan tiga petak servis serta satu petak khusus untuk penyesuaian. Sorotan tambahan termasuk bengkel khusus, kapasiti servis bulanan sehingga 300 kenderaan, dan pasukan seramai 30 kakitangan yang berkemahiran tinggi.

    Emily Lek selaku Timbalan Presiden iCaur Malaysia berkata, “Dalam tempoh kurang daripada empat bulan sejak penampilan sulung kami di Malaysia Autoshow 2025, iCaur telah meninggalkan kenangan yang tidak dapat dipadamkan di Malaysia, dengan menyampaikan mesej yang ringkas tetapi mendalam — Born to Play.

    “iCaur Glenmarie mencerminkan semangat itu, berdiri sebagai pengedar pertama bukan sahaja di Malaysia malah di dunia, serta menetapkan hala tuju untuk jenama yang menyerlahkan keperibadian dan ekspresi diri — disampaikan melalui model kenderaan yang berkeupayaan tinggi, berteknologi maju, serta ekosistem pelengkap yang menggalakkan pengembaraan pada setiap langkah,” tambahnya.

    Pengarah Urusan Absolute Motor, Andy Yap, pula berkata, “Menawarkan rekaan unik dan kejuruteraan yang hebat, komitmen teguh kami untuk menjadi pengedar iCaur pertama di Malaysia dan di dunia yang mencerminkan keyakinan kukuh terhadap jenama ini serta janji terhadap mobiliti mampan yang turut selari dengan gaya hidup para pemiliknya.”

    Menjelang pertengahan September ini, iCaur Malaysia dijangka akan mempunyai 18 pusat jualan dan sembilan pengedar penuh di seluruh negara, dengan Absolute Motor juga bakal mengembangkan dengan membuka cawangan tambahan dalam beberapa bulan akan datang.

    Terletak di lokasi strategik, iCaur Glenmarie boleh dikunjung di alamat No.12, Jalan Pendaftar U1/54, Kawasan Perindustrian Temasya, Shah Alam, Selangor. Ia beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu, dan 9 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad. Manakala pusat servisnya pula dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Isnin hingga Sabtu.

     
     
  • Kerajaan sasar 13 juta daftar MyDigital ID tahun ini

    Kerajaan sasar 13 juta daftar MyDigital ID tahun ini

    Kerajaan melalui Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (Nacsa) mensasarkan sejumlah 13 juta warga negara Malaysia akan mendaftar untuk MyDigital ID menjelang akhir 2025, lapor The Star.

    “Pindaan yang dilakukan bakal membolehkan penggunaan MyDigital ID dalam semua urusan sektor awam dan swasta. Institusi kewangan seperti bank dan penyedia insurans juga akan menerimanya. Kami sedang bergerak ke arah itu,” jelas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam, serta menambah bahawa pindaan ke atas Akta Pendaftaran Kebangsaan 1959 telah dibentangkan di parlimen untuk membolehkan perkara tersebut dilakukan.

    MyDigital ID akan menggunakan kaedah sekali daftar dan direka untuk mengatasi keresahan awam terhadap perlanggaran dan kecurian data peribadi, jelas Saifuddin.

    Kerajaan sasar 13 juta daftar MyDigital ID tahun ini

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu berkata, MyDigital ID akan digunakan sebagai satu bentuk pengesahan sah digital yang selamat di bawah inisiatif Teknologi Kerajaan. “Usaha ini akan memudahkan lagi warga negara Malaysia untuk mengakses pelbagai servis dalam talian oleh kerajaan dengan lebih cekap,” ujarnya.

    Awal tahun ini, Menteri Wilayah Persekutuan di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mendedahkan sejumlah 2.8 juta warga Malaysia telah mendaftar untuk MyDigital ID setakat suku kedua 2025, naik daripada 1.8 juta pada suku pertama.

    Pengguna kelak akan memerlukan MyDigital ID untuk kegunaan urusan aplikasi MyJPJ dan MyBayar PDRM, dan akan akan menjadi keperluan wajib untuk mengakses platform servis kerajaan seperti PADU, HMRIS Mobile, MyBorderPass, MyGov Malaysia dan LHDN.

     
     
  • Produksi Suzuki eVitara sudah bermula di India – akan dieksport ke 100 negara termasuk Jepun dan Malaysia

    Produksi Suzuki eVitara sudah bermula di India – akan dieksport ke 100 negara termasuk Jepun dan Malaysia

    Selepas didedahkan pada November tahun lalu dan pertontonkan di pelbagai negara, produksi bagi model EV pertama Suzuki iaitu eVitara secara rasminya telah bermula. Seperti yang sudah disebut sebelum ini, eVitara bukan diproduksi di Jepun, sebaliknya ia dipasang menerusi fasiliti milik Maruti Suzuki iaitu di kilang Hansalpur di Gujarat, India.

    Menurut laporan Hindustan Times, eVitara yang dipasang di kilang tersebut bukan hanya untuk pasaran India, malah ia turut akan dieksport ke-100 negara lain seluruh dunia, termasuk negara asal Suzuki iaitu Jepun.

    Perasmian operasi kilang berkenaan telah dibuat oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi semalam. Beliau juga turut merasmikan fasiliti pembuatan bateri litium ion milik syarikat-syarikat Jepun iaitu Suzuki Motor Corp. Ltd., Toshiba, dan Denso bagi membekalkan bateri bervoltan tinggi kepada kilang-kilang produksi model-model hibrid elektrik dan juga elektrik sepenuhnya di negara tersebut.

    Produksi Suzuki eVitara sudah bermula di India – akan dieksport ke 100 negara termasuk Jepun dan Malaysia

    Laporan ini turut menyebut bahawa Suzuki akan melabur sejumlah ₹70,000 (kira-kira 80 bilion USD) di India dalam masa lima hingga enam tahun bagi meningkatkan produksi, melancarkan model-model baharu dan mengekalkan pegangan pasarannya di India.

    Suzuki eVitara ini merupakan versi produksi untuk model konsep Maruti Suzuki eVX yang membuat kemunculannya pada Januari 2023, dan ia diasaskan dari platform HEARTECT-e. Model produksi sebenar eVitara ini menampilkan dimensi panjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jarak lebar trek roda pula adalah 1,540 mm untuk hadapan dan 1,545 mm untuk belakang, manakala jarak kelegaan tanahhya pula adalah 180 mm.

    Dua kapasiti bateri ditawarkan untuk eVitara ini iaitu 49 kWj dan 61 kWj. Bagi versi bateri 49 kWj, ia hanya dipadankan dalam versi motor tunggal pacuan hadapan yang berkuasa 144 PS dan tork maksima 189 Nm. Manakala versi bateri 61 kWj, ia diberikan motor pada gandar hadapan yang lebih berkuasa iaitu 174 PS/189 Nm, serta pilihan pacuan semua roda menerusi tambahan satu lagi motor berkuasa 65 PS pada gandar belakang membolehkan ia menerima kuasa keseluruhan 184 PS/300 Nm, kebolehan pacuan semua roda ALLGRIP-e serta jarak gerak sejauh 500km.

    Produksi Suzuki eVitara sudah bermula di India – akan dieksport ke 100 negara termasuk Jepun dan Malaysia

    eVitara ini turut bakal dijual di pasaran ASEAN, dengan Indonesia disahkan akan melancarkan model ini pada awal tahun depan. Baru-baru ini juga Suzuki Malaysia telah menyiarkan teaser berkenaan eVitara ini, membayangkan ia juga akan dilancarkan pada pasaran tempatan.

    Sekiranya pasaran Jepun menerima eVitara ini dari India, sudah tentu pasaran ASEAN termasuk Indonesia dan Malaysia juga akan menerima eVitara dari sumber yang sama. Sekiranya ia tiba di sini kelak, eVitara bukanlah model Suzuki pertama yang diimport sepenuhnya dari India ke sini, kerana tahun lalu Suzuki Malaysia telahpun melancarkan Jimny 5 Door yang juga merupakan versi CBU yang dipasang secara eksklusif dan dibekalkan ke seluruh dunia oleh fasiliti Maruti Suzuki di Gurugram, Haryana, India.

    GALERI: Suzuki eVitara di GIIAS 2025

     
     
  • Kerajaan akan perkenal kuota bulanan untuk subsidi bersasar RON95 bagi mengelakkan salah guna

    Kerajaan akan perkenal kuota bulanan untuk subsidi bersasar RON95 bagi mengelakkan salah guna

    Kerajaan diberitahu akan melaksanakan sistem kuota terhad apabila pelan rasionalisasi subsidi petrol RON 95 dilaksanakan nanti. Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, langkah ini bertujuan mengelakkan penyalahgunaan subsidi oleh pihak yang tidak layak melalui bantuan orang lain mengisi petrol bagi pihak mereka, lapor The Edge.

    Beliau menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan kini sedang memuktamadkan sistem kuota ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan subsidi bersasar, yang kini berada di peringkat akhir penyelarasan, termasuk dalam aspek kelayakan dan mekanisme penyampaian yang akan digunakan. Dalam sesi Parlimen, beliau menegaskan bahawa sistem kuota adalah satu keperluan mutlak bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

    “Kita perlu ada kuota. Kita tidak mahu seseorang mengisi petrol bagi orang lain,” katanya. Tambah beliau, kementerian sedang meneliti dengan teliti bagaimana kuota akan diagihkan supaya rakyat biasa tetap mendapat akses kepada petrol bersubsidi, sambil mengelakkan risiko salah guna atau penipuan.

    Kerajaan akan perkenal kuota bulanan untuk subsidi bersasar RON95 bagi mengelakkan salah guna

    Beliau turut memaklumkan bahawa akan ada perbezaan antara pengguna biasa dan mereka yang bergantung kepada petrol dalam pekerjaan harian seperti penghantar p-hailing dan pemandu e-hailing. Pengguna biasa akan menerima kuota tetap, manakala golongan p-hailing dan e-hailing akan mendapat kuota lebih tinggi memandangkan penggunaan bahan api merupakan keperluan utama kerja mereka.

    Perincian penuh mengenai pelaksanaan subsidi bersasar RON 95 ini dijangka diumumkan pada penghujung September. Sebelum ini, kerajaan telah menyatakan bahawa maklumat daripada Pangkalan Data Utama (PADU) akan digunakan sebagai rujukan untuk mengenal pasti penerima yang layak, manakala penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan turut disebut secara konsisten dalam perancangan awal.

     
     
  • LRT3 Laluan Shah Alam sah alami kelewatan mula operasi, hanya dapat dilaksana hujung tahun ini-Loke

    LRT3 Laluan Shah Alam sah alami kelewatan mula operasi, hanya dapat dilaksana hujung tahun ini-Loke

    Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam kini disahkan hanya dijangka mula beroperasi pada hujung tahun. Jangkaan baharu bagi pembukaannya telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, hari ini, laporan New Straits Times.

    Beliau berkata, pada asalnya, perkhidmatan LRT3 ini disasarkan memulakan operasinya pada 30 Setember, namun ia tertunda disebabkan masih terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan. “Namun begitu, kami komited untuk memastikan jajaran awal LRT3 dari Klang ke Petaling Jaya akan mula beroperasi sebelum hujung tahun. Projek ini telah dipantau dengan rapi dan kami yakin ia dapat dibuka kepada orang ramai seperti yang dirancang,” katanya.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas laporan berita awal hari ini yang menyatakan bahawa pembukaan laluan rel tersebut telah ditangguhkan sehingga hujung tahun 2025.

    LRT3 Laluan Shah Alam sah alami kelewatan mula operasi, hanya dapat dilaksana hujung tahun ini-Loke

    Awal bulan ini, terdapat laporan menyatakan LRT3 Laluan Shah Alam mungkin tidak dapat memulakan operasinya pada 30 September seperti yang dirancang sebelum ini. Ini selepas Prasarana memaklumkan di Facebook pada akhir Julai lalu bahawa mereka kini sedang menjalankan aktiviti ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang jajaran dari stesen Bandar Utama hingga ke depoh di Johan Setia.

    Sebelum itu, Loke mengumumkan projek LRT3 ini telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai. Beliau turut mendedahkan hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.

    Perkhidmatan LRT3 Laluan Shah Alam ini sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

     
     
  • MAHB diarah untuk pantau, selenggara Aerotrain KLIA

    MAHB diarah untuk pantau, selenggara Aerotrain KLIA

    Kementerian Pengangkutan mengarahkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk sentiasa memantau dan menyelenggara sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan beberapa gangguan yang berlaku sejurus selepas ia dilancarkan semula pada 1 Julai lalu – lapor Bernama.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata sebarang gangguan teknikal memberi kesan langsung kepada pergerakan penumpang. Memandangkan perkhidmatan Aerotrain merupakan komponen penting di KLIA, sistem ini perlu beroperasi dengan tahap kebolehpercayaan yang tinggi bagi memastikan kelancaran perjalanan tanpa gangguan. Menurut beliau, sistem rel seperti ini kadangkala berdepan isu teknikal melibatkan komponen mekanikal, elektrikal serta perisian.

    Justeru, MAHB telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan harian dan memastikan penyelenggaraan dilakukan secara menyeluruh. Sebuah pasukan khas juga telah ditugaskan bagi memastikan operasi berjalan lancar, terutamanya ketika waktu puncak.

    MAHB diarah untuk pantau, selenggara Aerotrain KLIA

    Anthony Loke turut menegaskan bahawa MAHB perlu memastikan kontraktor projek bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang masalah memandangkan sistem ini masih dalam tempoh jaminan. Sejak dilancarkan semula pada 1 Julai, Aerotrain KLIA telah membawa hampir dua juta penumpang antara bangunan utama dan satelit Terminal 1, dengan ribuan pengguna bergantung kepada perkhidmatan ini setiap hari.

    Pada 4 Julai, perkhidmatan Aerotrain terhenti selama sejam akibat hujan lebat yang menyebabkan air bertakung di dalam terowong. Kejadian ini berpunca daripada kegagalan salah satu pam saliran yang menghalang air disedut secara automatik.

    Sistem Aerotrain KLIA kembali beroperasi bermula 1 Julai selepas menjalani kerja-kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi berjumlah RM742 juta oleh MAHB. Sebelum ini, sistem tersebut dihentikan sejak Mac 2023, dan sepanjang tempoh itu penumpang terpaksa menggunakan bas untuk bergerak antara bangunan utama dan satelit. Kini, tren baru Alstom Innovia APM 300R mengambil masa kurang tiga minit untuk melengkapkan perjalanan sejauh satu kilometer itu

     
     
  • Honda Accord 2025 terima kemas kini di Thailand

    Honda Accord 2025 terima kemas kini di Thailand

    Meskipun Malaysia tidak menerima model generasi ke-11 bagi Honda Accord, tetapi di Thailand, sedan segmen D serba baru ini telah dilancarkan sejak Oktober 2023. Selepas hampir dua tahun dalam pasaran, model itu diberi kemas kini teknologi terbaru sambil masih kekal sebagai model hibrid sepenuhnya.

    Harga permulaan bagi Honda Accord 2025 di Thailand bermula pada 1.479 juta baht (RM192,000) untuk varian asas e:HEV E. Varian pertengahan e:HEV EL pula ditawarkan pada harga 1.599 juta baht (RM207,000), manakala varian tertinggi e:HEV RS dijual pada 1.729 juta baht (RM224,000). Menurut laporan daripada Headlightmag, semua varian ini lebih murah sebanyak 70,000 baht (sekitar RM9,000) berbanding harga sebelumnya.

    Menampilkan sistem janaan kuasa hibrid sepenuhnya, Accord baru ini dilengkapi enjin petrol 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dan boleh menerima bahan api E20. Enjin ini menghasilkan 147 PS pada 6,100 rpm dan tork 182 Nm pada 4,500 rpm. Peranan utamanya adalah untuk menjana kuasa bersama satu motor elektrik kepada bateri lithium-ion yang kemudiannya membekalkan tenaga kepada satu lagi motor elektrik yang menggerakkan roda hadapan dengan kuasa 184 PS dan 335 Nm tork.

    Honda Accord 2025 terima kemas kini di Thailand

    Pada kelajuan tinggi, enjin boleh digabungkan terus dengan sistem transmisi E-CVT untuk memacu roda hadapan secara langsung. Gabungan keseluruhan sistem hibrid ini menghasilkan kuasa sebanyak 207 PS – angka ini masih sama seperti model sebelumnya. Enam mod pemanduan turut dikekalkan, iaitu Econ, Normal, Sport, Individual, EV dan Charge.

    Salah satu perubahan utama bagi Accord generasi ini ialah penggantian sistem LaneWatch dengan teknologi pemantauan titik buta (Blind Spot Information, BSI). Berbanding paparan kamera di cermin sisi seperti sebelum ini, sistem BSI yang lebih konvensional menggunakan indikator di cermin sisi bagi memaklumkan kehadiran kenderaan di kawasan yang tidak dapat dilihat pemandu. Satu lagi ciri baru ialah Cross Traffic Monitor, yang berfungsi sebagai amaran lintasan trafik dari belakang dan kedua-dua sistem ini diberikan secara standard bagi semua varian.

    Selain ciri keselamatan baru, perubahan lain yang diperkenalkan adalah dari segi kosmetik. Bahagian bawah badan dan sisi bingkai gril kini sama warna dengan badan, manakala lampu utama menerima kemasan asas hitam dengan lensa jernih. Varian e:HEV RS turut menampilkan bingkai kemasukan udara berwarna hitam di bampar hadapan, manakala e:HEV E kini menggunakan rim 17 inci berwarna hitam menggantikan warna perak.

    Honda Accord 2025 terima kemas kini di Thailand

    Bagi kelengkapan standard, varian e:HEV E dilengkapi lampu utama dan lampu belakang LED, sistem kunci pintar dengan pemula enjin jauh, tempat duduk hadapan larasan kuasa, kawalan suhu dua zon, tempat duduk balutan kulit, bidai tingkap belakang, pad pengecas tanpa wayar, sistem audio Bose 12 pembesar suara, kluster instrumen digital 10.2 inci, skrin sesentuh 12.3 inci dengan sistem infotainmen Google serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar.

    Turut disertakan ialah lapan beg udara, sistem telematik Honda Connect serta pakej keselamatan Honda Sensing merangkumi amaran dan bantuan kekal lorong, brek kecemasan automatik dan kawalan kelajuan adaptif.

    Varian e:HEV EL pula menerima tambahan rim 18 inci, lampu suasana tujuh warna, sistem penulen udara Plasmacluster, sensor parkir hadapan dan belakang, suis ‘boss’ untuk melaras tempat duduk penumpang hadapan, sistem kamera 360 darjah dan head-up display bersaiz 11.5 inci.

    Manakala untuk varian e:HEV RS, ia menerima lampu utama dengan teknologi adaptive driving beam, lampu membelok, bumbung kaca panoramik, lampu isyarat membelok sequential, lampu pemegang pintu, kad kunci pintar, spoiler belakang, lencana RS, cermin sisi hitam berkilat dan sistem pembatalan bunyi bising dalam kabin.

    Empat pilihan warna ditawarkan kepada pembeli iaitu Lunar Silver Metallic, Meteoroid Gray Metallic, Platinum White Pearl dan Crystal Black Pearl. Warna Platinum White dan Crystal Black dikenakan bayaran tambahan masing-masing 14,000 baht (RM1,800) dan 10,000 baht (RM1,300).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025