Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Apa jadi kalau kereta era 90’an diuji dalam makmal terkini? ASEAN NCAP uji Proton Wira 1.5 1993!

    Apa jadi kalau kereta era 90’an diuji dalam makmal terkini? ASEAN NCAP uji Proton Wira 1.5 1993!

    Program Penilaian Kereta Baharu (NCAP) kini beroperasi hampir di seluruh dunia, menjalankan ujian pelanggaran keselamatan dengan sasaran agar pengeluar-pengeluar kenderaan sentiasa menghasilkan produk-produk yang jauh lebih selamat dari masa ke masa.

    Menerusi ujian-ujian yang dijalankan tersebut, masyarakat mula terdidik bahawa dalam membina kenderaan yang selamat, kerangka badan kereta perlu dihasilkan dengan besi yang berbeza-beza bagi membolehkan impak hentakan diserap pada ‘zon remuk’ di hadapan dan belakang dengan logam yang lebih lembut, sementara kerangka untuk kabin perlu dibina dengan logam yang lebih utuh bagi melindungi pemandu dan penumpang di dalamnya ketika berlakunya kemalangan.

    Dan seperti yang boleh kita tengok sekarang, kereta-kereta yang diuji oleh NCAP kebanyakkannya menampilkan kerangka yang selamat – pintu masih boleh dibuka selepas kemalangan dan pemandu serta penumpang dilindungi dengan pelbagai kelengkapan keselamatan lain seperti beg udara, kolum stereng yang direka boleh memendek ketika terkena impak, cagak enjin yang mengelakkan enjin termasuk ke kabin dan pelbagai lagi

    Namun bukan semua orang ‘mahu faham’ akan hakikat ini, dan masih bernostalgia bahawa kereta lama menggunakan besi lebih berkualiti hanya dengan mendengar bunyi yang lebih ‘padat’ ketika mengetuk penutup but hadapan.

    Apa jadi kalau kereta era 90’an diuji dalam makmal terkini? ASEAN NCAP uji Proton Wira 1.5 1993!

    Jadi untuk menunjukkan apa akan jadi kepada sebuah kereta era 90’an jika diuji seperti model-model terkini, pihak ASEAN NCAP telah mengambil sebuah Proton Wira untuk diuji di fasiliti mereka iaitu Makmal PC3 Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang terletak di Jasin, Melaka.

    Idea ini sebenarnya datang dari wartawan permotoran senior tempatan iaitu Hezeri Samsuri, di mana Proton Wira berkenaan sebenarnya adalah milik beliau. Kereta tersebut sebenarnya mahu dijadikan projek restorasi, namun dengan beberapa masalah yang muncul, niat tersebut dibatalkan.

    Apa nak buat dengan kereta ni? Hezeri mengambil keputusan untuk membawa Wira berkenaan ke makmal ujian pelanggaran ini untuk membuat ujikaji ini, dan menjemput sekali kami dan beberapa rakan media yang lain.

    Kereta yang digunakan adalah model terawal Proton Wira 1.5 automatik pasaran tempatan yang diproduksi pada tahun 1993, manakala ujian yang dilakukan adalah ujian pelanggaran hadapan pada kelajuan 64 km/j. Oleh kerana ujian ini dibuat hanya untuk menunjukkan keadaan fizikal, pihak ASEAN NCAP hanya menggunakan patung ujian biasa tanpa sebarang penderia untuk mengutip sebarang data.

    Ujian ini juga adalah lebih ‘ringan’ kerana simulasi pelanggaran yang dibuat adalah berhadapan terus dengan tembok yang rata, berbanding protokol ujian untuk kenderaan-kenderaan baharu dibuat pada kedudukan offset di mana impak yang lebih kuat akan dikenakan pada bahagian pemandu.

    Oleh itu pada tempat duduk pemandu ia diletakkan dengan sebuah patung ujian biasa bersaiz dewasa, manakala pada bahagian penumpang hadapan diletakkan dengan tempat duduk keselamatan kanak-kanak bersama patung ujian juga bersaiz kanak-kanak. Walau bagaimanapun, pihak ASEAN NCAP masih mengggunakan kamera canggih untuk merakam detik-detik Proton Wira tersebut menghentam tembok rempuhan makmal berkenaan.

    Menerusi video yang dirakam (Wira tersebut hanya dapat mencapai kelajuan 62 km/j berbanding 64 km/j yang dirancang) anda boleh tengok bagaimana rempuhan berkenaan bukan hanya menghancurkan bahagian hadapan Wira ini, malah tenaga yang tidak mampu diserap sepenuhnya pada bahagian hadapan turut dibawa ke bahagian tengah kabin.

    Ini telah menyebabkan lantai bawah Wira ini renyuk dan badan kereta itu sendiri menjadi seperti bentuk huruf-U terbalik, dan seolah-olah jarak rodanya juga menjadi pendek. Ia sekaligus bukan hanya menyebabkan pintu hadapan tidak boleh dibuka, malah pintu belakang juga telah ‘melekat’ terus pada badan kereta, seolah-olah badan kereta tersebut telah dihimpit pada bahagian hadapan dan belakang.

    Ini menyebabkan pelbagai bahagian Wira ini terpaksa dipotong hanya untuk membuka pintu. Bayangkan kalau ia berlaku dalam situasi sebenar, mangsa tak dapat diselamatkan oleh orang awam dan perlu menunggu bantuan dari Bomba atau pihak penyelamat lain hanya semata-mata mahu mengeluarkan mereka dari kenderaan berkenaan.

    Bukan itu sahaja, kalau anda perhatikan hampir 90% bahagian bonet hadapan Wira ini telah remuk dan hancur. Ini telah menyebabkan enjin turut tertolak ke bahagian kabin, membawa sekali panel firewall dan juga papan pemuka masuk jauh lebih ke dalam.

    Pada patung pemandu, anda boleh lihat kesan cat pada kepala patung tersebut turut berada pada roda stereng menandakan kepalanya telah terhantuk pada bahagian itu tanpa perlindungan dari beg udara. Bahagian bawah roda stereng tersebut juga telah bengkok akibat hentakan kuat dari dada patung berkenaan.

    Dan bahagian paling mengerikan apabila firewall, kolum stereng dan juga papan pemuka Wira ini telah menghimpit bahagian kaki patung ujian tersebut. Mengintai dengan lebih dekat, dapat dilihat bahagian tapak kaki ‘berlipat’ hampir mengenai bahagian bawah lutut! Bayangkan patung ini seorang manusia sebenar dan betapa parahnya kecederaan yang dialaminya ketika ini.

    Wira yang telah diuji ini turut diangkat dengan forklift membolehkan kami melihat bahagian bawahnya dengan lebih jelas. Di sini anda boleh lihat bukan hanya lantai yang renyuk, malah ia turut melibatkan kedua-dua bendul sisi. Malah beberapa bahagian spotweld pada casis belakang Wira ini juga telah tertanggal.

    Perhatikan tiang-A ,bahagian pintu hadapan dan belakang serta bendul bawah sisi yang tidak atau kurang terjejas pada Perodua Bezza, Axia dan Proton Saga dalam ujian pelanggaran berhadapan offset dengan kelajuan 64 km/j.

    Hasil ujian ini sudah tentu sangat jauh berbeza dengan ujian yang dibuat terhadap model-model lebih moden. Bagi kereta-kereta yang menerima penarafan 4 hingga 5 bintang dari ASEAN NCAP, tiang-A, tiang-B, firewall tidak akan terjejas dalam ujian pelanggaran 64 km/j ini walaupun dengan pelanggaran offset, membolehkan pintu hadapan dibuka dengan mudah selepas pelanggaran, dan kaki pemandu atau penumpang hadapan tidak tersangkut pada papan pemuka kerana firewall tidak terjejas.

    Ini adalah dengan rekaan besi lebih lembut diberikan pada zon remuk di bahagian hadapan yang dapat menyerap sepenuhnya impak pelanggaran tanpa dialihkan ke kabin, sementara bahagian kabin termasuk pada tiang-A, tiang-B, tiang-C, bendul sisi, firewall dan lain-lain bina dari logam yang jauh lebih teguh. Sebab itulah mengapa sekiranya anda ketuk dengan tangan bahagian seperti pada penutup bonet depan dan juga fender sisi kereta-kereta baahru, ia memang kedengaran ‘kurang padat’ berbanding kereta lama – ia memang direka sedemikian demi untuk menyelamatkan nyawa dalam kemalangan teruk.

    Kereta-kereta yang menerima penarafan 4 hingga 5 bintang ini bukan hanya pada model-model mahal, malah model-model mampu milik seperti Perodua Axia, Bezza dan Proton Saga juga sudah mencapai standard yang sama.

    Apa jadi kalau kereta era 90’an diuji dalam makmal terkini? ASEAN NCAP uji Proton Wira 1.5 1993!

    Neta V menerima penarafan sifar bintang – perhatikan tiang-A dan pintu hadapanyang terjejas teruk, dan tayar serta suspensi hadapan telah menolak masuk firewall ke dalam kabin

    Walau bagaimanapun bukan semua kereta baharu yang diuji menerima penarafan yang tinggi dari NCAP termasuk ASEAN NCAP. Model EV pertama yang diuji oleh ASEAN NCAP pada hujung tahun lalu iaitu Neta V misalnya, ia diberikan penarafan sifar bintang apabila mengalami kerosakan teruk pada firewall, tiang-A, pintu dan lain-lain yang memberikan perlindungan yang lemah kepada pemandu pada bahagian kepala, leher, dada dan kaki kanan pemandu.

    Ya, memang memandu kereta-kereta lama ini adalah lebih seronok dari kereta-kereta moden, kerana ia lebih ringan serta memberikan rasa mekanikal yang mengujakan – penulis sendiri mempunyai sebuah kereta lama yang dipandu setiap hari atas faktor ini.

    Namun kita tidak boleh menolak hakikat bahawa kereta-kereta seperti ini adalah kurang selamat berbanding kereta-kereta moden yang menerima penarafan keselamatan yang tinggi dari NCAP. Bukan tak boleh pandu langsung kereta sebegini, tetapi seperti yang boleh anda dan saya lihat apa yang jadi pada Wira yang diuji ini, maka kita tahulah had keselamatannya bagaimana dan sentiasa beringat ketika memandu.

    Dan jika ada kemampuan, beralihlah kepada kereta yang lebih selamat sekiranya kereta berkenaan digunakan sebagai pengangkutan untuk keluarga setiap hari. Memang malang itu tidak berbau, dan sebagai seorang Islam kita wajib percaya dengan rukun Iman ke-6 iaitu percaya kepada qada dan qadar. Namun kita juga wajib untuk berusaha untuk mengelak dari kecelakaan berbanding berserah kepada takdir semata-mata bukan?

    GALERI: Proton Wira 1.5 1993 yang diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS

    GALERI: Foto rasmi Proton Wira 1.5 1993 yang diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS

    GALERI: Kereta-kereta terbaharu yang telah diuji oleh ASEAN NCAP di Makmal PC3 MIROS

     
     
  • Agong melawat NAMI di Rusia, pandu uji Aurus Senat

    Agong melawat NAMI di Rusia, pandu uji Aurus Senat

    Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kini sedang berada di Russia dalam rangka lawaran negara. Dan, sebagai seorang peminat tegar automotif, Baginda turut membuat kunjungan ke Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) ketika berada di sana.

    Diiringi oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Dato’ Seri Amran Mohd Zin, Baginda disambut oleh Ketua Pengarah NAMI, Fedor Nazarov semalam. Selepas diberi taklimat berkaitan inovasi teknologi terkini NAMI, Baginda melawat pula kilang dan bilik pameran yang ada sebelum memandu uji Aurus Senat, sebuah model kereta rasmi kerajaan di sana.

    Ditubuhkan pada 1918 sebagai makmal kajian automotif pertama Rusia, NAMI kini menempatkan kemudahan makmal, litar ujian dan zon kenderaan autonomous. Ia sangat dikenali kerana membangunkan Aurus Senat dan kenderaan lain di kawasan banjaran Kortezh, termasuk var Arsenal dan SUV Komendant.

    Tuanku Sultan sudah pun memiliki Hongqi L5 (dikenali sebagai Guoli, dan Baginda menjadi pemilik pertamanya di dunia), sebuah Genesis G90, sebuah Rolls-Royce Pgantom VI klasik, sebuah Lincoln Town Car dan beberapa buah Mercedes-Benz 600. Mungkin kali ini tiba gilirannya untuk memiliki sebuah kereta limosin Rusia pula?

     
     
  • Hyundai Motor Malaysia jadi rakan mobiliti rasmi untuk Selangor FC bagi Liga Super musim 2025-2026

    Hyundai Motor Malaysia jadi rakan mobiliti rasmi untuk Selangor FC bagi Liga Super musim 2025-2026

    Hyundai Motor Malaysia telah umumkan pihaknya telah menjadi rakan mobiliti bagi Kelab Bolaksepak Selangor bagi musim 2025-2026 di Malaysia, beberapa jam sebelum Selangor akan bertemu JDT (dengan rakan mobiliti Toyota) malam ini dalam perlawanan pertama Liga Super Malaysia.

    “Kerjasama strategik ini adalah satu perkembangan penting untuk Hyundai, yang menunjukkan komitmennya terhadap sukan bolasepak di Malaysia sebelum bermulanya Liga Super Malaysia hari ini. Perlawanan permulaan musim yang akan berlangsung hari ini juga adalah permulaan kerjasama yang baik.

    “Kerja sama ini memperkukuhkan lagi kehadiran Hyundai di arena sukan, dengan mendukung satu daripada kelab bola sepak terbaik di Malaysia. Hyundai Motor Malaysia berbangga untuk menyokong Selangor FC pada musim baru ini,” jelas Hyundai Motor Malaysia dalam satu kenyataan.

     
     
  • Mutiara Motors turunkan Toyota Supra JZA80 hijau ikonik di atas bumbung Lexus Johor di Larkin

    Mutiara Motors turunkan Toyota Supra JZA80 hijau ikonik di atas bumbung Lexus Johor di Larkin

    Jika anda pernah berkunjung ke Johor Bahru, atau lebih spesifiknya ke Larkin, tentu anda akan perasan sebuah Toyota Supra JZA80 berwarna hijau yang diletakkan di atas bilik pameran Lexus Johor.

    Ini kerana pemilik Lexus Johor tersebut iaitu Mutiara Motors bukan hanya pengedar untuk kereta-kereta baharu jenama Toyota dan Lexus, malah syarikat tersebut turut terlibat dalam perniagaan kenderaan recond yang membawa kereta-kereta sport JDM sejak era 80’an serta mempunyai jenama peralatan prestasi dan juga minuman tenaga sendiri iaitu M7 Japan.

    Namun menerusi hantaran yang dibuat oleh laman Facebook rasmi Mutiara Motors, Supra berkenaan nampaknya telah pun diturunkan dengan kapsyen video tertulis “Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan baharu” – mungkin Supra tersebut dibawa turun untuk direstorasi dan mungkin akan dipamerkan di tempat lain kerana pusat 3S Lexus di Larkin berkenaan sudahpun ditutup.

    Supra tersebut telah berada di atas bumbung sejak bangunan yang terletak di Jalan Cenderawasih, Larkin ini beroperasi sebagai pusat untuk jenama M7 Japan pada pertengahan era-2000, di mana Lexus Johor hanya mula beroperasi pada Januari 2015. Ini bermakna ia telah terdedah kepada cuaca panas dan hujan di situ selama lebih dari 20-tahun, dan tidak hairanlah mengapa keadaan cat badannya dalam keadaan yang teruk.

    Ini sebenarnya bukan satu-satunya bangunan milik Mutiara Motors yang terdapat Supra JZA80 berwarna hijau di atasnya. Kalau anda nak tengok lagi satu, bolehlah berkunjung ke bangunan ibu pejabat Mutiara Motors di Batu 4 1/2, Jalan Tebrau, Johor Bahru.

    Toyota Supra hijau tersebut masih lagi berada di atas bangunan berkenaan, yang sebenarnya telah menggantikan tempat sebuah Nissan Silvia S13 juga berwarna hijau yang telahpun berada di sana sejak penulis masih di bangku sekolah iaitu pada era 90’an dahulu.

     
     
  • Lexus Subang Jaya kini dilancarkan secara rasmi

    Lexus Subang Jaya kini dilancarkan secara rasmi

    Lexus Malaysia telah melancarkan Lexus Subang Jaya, pusat 3S (jualan, servis & alat ganti) serba baharu dan sepenuhnya diintegrasi bagi memenuhi keperluan para pelanggannya yang berada di sekitar dan lokasi berhampiran. Pusat 3S baharu ini dikendalikan oleh PCM Group, selain itu ia juga menguruskan operasi bagi Lexus Klang.

    Dengan kos pelaburan sejumlah RM800,000, Lexus Subang Jaya dengan keluasan 6,000 kaki persegi ini merangkumi bilik pameran yang mampu menempatkan empat model Lexus terbaharu termasuk RX500h F Sport Edisi Khas, NX350h dan LBX, pusat servis yang dilengkapi teknologi diagnostik terkini dengan empat petak penyelenggaran yang mampu menyelenggara sejumlah 15 unit kenderaan dalam sehari serta ruang lounge termasuk kaunter F&B (makan dan minum) untuk para pelanggan.

    Mewakili pendekatan futuristik Lexus, Lexus Subang Jaya juga dilengkapi dengan ciri-ciri cekap tenaga seperti pencahayaan LED dan bahan mesra alam, meneguhkan sokongan berterusan jenama ini terhadap usaha Malaysia menuju masa depan yang lestari.

    Khoo Seng Kiong selaku CEO PCM Group berkata, “Lexus Subang Jaya adalah komitmen berterusan kami untuk membawa kemwahan, inovasi, dan perkhidmatan luar biasa lebih dekat kepada pelanggan. Kami melihat ini lebih sekadar kemudahan baharu, ia juga adalah pelaburan dalam komuniti yang sedang berkembang dan langkah maju dalam memberikan pengalaman Lexus dengan kemudahan dan perhatian yang lebih tinggi.”

    Terletak di Lot 61716, Jalan SS 16/1, SS 16, Subang Jaya, Lexus Subang Jaya dibuka setiap hari dari Isnin hingga Sabtu yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala untuk Ahad dan cuti umum, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Waktu operasi bagi pusat servis juga sama, kecuali, ia ditutup pada setiap Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Sejak Mei lalu ketika pertama kali muncul secara rasmi di khalayak ramai dalam pameran Malaysia Autoshow 2025, bukanlah rahsia atau menjadi teka-teki bahawa Proton akan memperkenalkan model EV keduanya dalam masa terdekat.

    Awal minggu ini, Proton telah pun mengadakan sesi taklimat dan pendedahan rasmi kepada media bagi model berkenaan — yang mana lagi kalau bukan Proton eMas 5 2025 — serta turut mengumumkan siri jelajah MISI 5 sebagai menyokong kempen pengenalan hatchback elektrik ini (ya, Proton secara rasmi merujuk model ini sebagai hatchback dan bukan SUV).

    Telah banyak yang dilaporkan tentang model terbabit, atau sebetulnya model yang menjadi asasnya di pasaran China — model kembar kepada Geely Xingyuan/Star Wish — tetapi kini tampil sebagai model pemanduan sebelah kanan (RHD).

    Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Di China, model kembarnya itu telah terjual sebanyak 204,940 unit bagi tempoh separuh pertama tahun ini. Dan, bagi model tempatan pula, lebih daripada 752,198 jam pekerja telah dihabiskan bagi tujuan lokalisasi. Perlu dinyatakan, unit yang sedang anda lihat ini adalah unit pra-produksi dari China. Pemasangan CKD eMas 5 dijangka akan dilakukan di Tanjong Malim kelak, selepas dimulakan oleh pengeluaran eMas 7.

    Proton eMas 5 merupakan model dalam segmen B yang dibangun menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan boleh digunakan untuk kenderaan BEV atau PHEV, mengikut keperluan. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk dan kemungkinan akan adanya model plug-in hybrid bagi model sama. Tetapi kali ini, kami akan memberi tumpuan kepada perincian dan penawaran yang akan diberikan oleh Proton eMas 5 untuk pasaran tempatan terlebih dahulu.

    Dalam spesifikasi yang didedahkan secara rasmi oleh Proton, setakat ini hanya ada satu varian yang disahkan, iaitu Premium. Seperti juga eMas 7, kita boleh jangkakan akan ada satu lagi varian bakal muncul kelak, iaitu Prime, dengan kapasiti bateri dan jarak perjalanan yang lebih rendah.

    Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Untuk versi Premium yang merupakan penawaran paling lengkap ini, ia akan dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj (ini berbeza dengan Proton eMas 7 yang menggunakan bateri Aegis Geely).

    Jika mengikut kitara WLTP, ia mampu memberikan jarak sejauh 325 km dengan sekali cas. Untuk tempoh pengecasan pula, eMas 5 ini mampu menampung pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).

    Untuk motor elektrik, ia adalah unit dari jenis 11-dalam-1 yang bersepadu, yang diletakkan di bahagian belakang. Untuk EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Tetapi jika untuk keseluruhannya, ini yang kedua — masih ingat dengan van kotak Juara?. Motor berkenaan menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.

    Selain itu, Proton eMas 5 juga lengkap dengan stereng elektrik, dan untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut dan di belakang dengan jenis multi-link untuk keselesaan optimum. Untuk rim pula, varian Premium ini menggunakan saiz 16-inci, dengan saiz tayar 205/60.

    Sedikit tentang senarai ciri atau kelengkapan yang menurut Proton merupakan hanya ditawarkan oleh eMas 5 bagi kelasnya. Ini termasuklah pemilih gear kristal, roda stereng dua-tona, ruang storan di bawah kerusi dengan kapasiti 28 liter, ruang storan frunk 70 liter, palang hidraulik untuk ruang but/bonet, suspensi belakang multi-link, arahan suara dalam bahasa Melayu dan Inggeris, peta bersepadu dengan lokasi stesen pengecasan, motor tunggal RWD dan pintu tailgate kuasa elektrik.

    Selain itu, Proton juga menyenaraikan 10 ciri terbaik dalam kelasnya yang dimiliki oleh eMas 5. Ini termasuklah ruang simpanan 20 liter di bawah konsol tengah, pengecasan DC dalam 21 minit, jarak brek 36.9 meter, pusingan radius 4.95 meter, pemproses gred automotif, bateri dengan 185 WH/kg, unit paparan 14.6-inci dengan 1080 pixel, bateri oleh CATL, motor elektrik 11-dalam-1 dan sebanyak 32 ruang simpanan/storan keseluruhannya.

    Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Perlu juga dinyatakan, sistem infotainmen menggunakan sistem operasi Atlas, dan tidak ketinggalan adanya sokongan Apple CarPlay dan Android Auto — serta tak lupa sambungan 4G dan WiFi. Untuk kemudahan pengguna, eMas 5 juga datang dengan aplikasi khusus eMas, yang antara lain memuatkan maklumat bagi keperluan pengecasan, status kenderaan dan kawalan dari jauh.

    Masih di dalam, kluster instrumen adalah melalui skrin 8.8-inci LCD, begitu juga dengan kerusi dan stereng balutan kulit. Untuk audio, tersedia enam-pembesar suara semuanya.

    Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

    Dari segi dimensi dan ruang barangan, Proton eMas 5 mempunyai ukuran seperti berikut: 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,580 mm tinggi serta jarak roda 2,650 mm. Jarak kelegaan tanah kereta ini ialah 160 mm. Semua angka dimensi ini identik dengan model Geely Xingyuan.

    Bagi ruang barangan pula, ruang standard yang tersedia di belakang ialah 375 liter (dengan penyandar belakang pada kedudukannya), dan boleh ditambah menjadi 1,320 liter jika kerusi belakang direbahkan. Dan, oleh kerana ini EV yang tiada enjin, bahagian depan juga memberikan 70 liter lagi ruang simpanan tambahan.

    Dari segi penampilan dan rekaan, eMas 5 Premium diberikan kemasa bumbung hitam dan kesan terapung, lampu utama LED dengan kawalan lampu tinggi pintar, lampu kabus LED di belakang.

    Bagi aspek keselamatan, Proton eMas 5 datang lengkap dengan enam beg udara, ESC, ABS, sensor parkir di belakang serta kamera 360-darjah dengan paparan 3D. Bagi ciri bantuan pemanduan pula, terdapat 12 fungsi dalam sistem ADAS-nya yang disenaraikan:

    • Adaptive cruise control (ACC)
    • Autonomous emergency braking (AEB)
    • Forward collision warning (FCW)
    • Lane departure warning (LDW)
    • Blind spot detection (BSD)
    • Lane change assist (LCA)
    • Rear cross traffic alert (RCTA)
    • Rear collision warning (RCW)
    • Emergency brake assist (EBA)
    • Front vehicle departure (FVD)
    • Traffic sign recognition (TSR)
    • Door opening warning (DOW)

    Turut dinyatakan ialah sistem anti-gelincir G-TCS, yang memberikan penambahbaikan dua saat ketika di permukaan licin dan pengurangan 50% bagi gelinciran roda pada permukaan kurang cengkaman.

    Setakat ini dulu perincian dan spesifikasi Proton eMas 5 2025 yang telah didedahkan kepada umum. Soalan cepu emas lain seperti berapa harganya, seperti biasa, akan diumumkan nanti ketika majlis pelancarannya, tahun ini.

    Gambar rasmi Proton

     
     
  • Lunaskan cukai jalan dan insurans kenderaan mewah yang disita barulah ia boleh dilepaskan – Loke

    Lunaskan cukai jalan dan insurans kenderaan mewah yang disita barulah ia boleh dilepaskan – Loke

    Baru-baru ini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, pihaknya akan meneruskan pelaksanaan Ops Luxury iaitu mengesan kenderaan mewah yang cukai jalannya tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans. Operasi ini dilaksanakan secara berkala bagi memastikan hanya kenderaan yang sah, selamat dan berdaftar dibenarkan berada di atas jalan raya demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

    Menurut Muhammad Kifli Ma Hassan, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi mengesan pemilik kenderaan mewah yang masih ingkar memperbaharui cukai jalan dan insurans walau pun peringatan telah diberikan sebelum ini. Malah lebih 1,000 unit kenderaan mewah telah disita menerusi operasi ini di seluruh negara. Antara kenderaan terlibat termasuk Ferrari, Lamborghini, dan Porsche milik selebriti dan ahli perniagaan.

    JPJ berkata, ramai pemilik kenderaan mewah berkenaan memberikan alasan yang kenderaan itu cuma dipandu pada hujung minggu sahaja dan ada juga yang berkata lebih baik kena saman memandangkan kosnya jauh lebih murah berbanding kena bayar cukai jalan dan perlindungan insurans. Haih! Begitu pulak.

    Lunaskan cukai jalan dan insurans kenderaan mewah yang disita barulah ia boleh dilepaskan – Loke

    Terkini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberikan maklumbalas mengenai operasi berkenaan. Katanya, kalau hendakkan kenderaan mewah yang disita itu dikembalikan, pemilik kena melunaskan segala bayaran iaitu memperbaharui cukai jalan dan insurans sebelum kenderaan mereka boleh dilepaskan, laporan Bernama.

    Loke turut menegaskan bahawa tindakan menyita kenderaan dilakukan mengikut undang-undang tanpa pengecualian. “Kenderaan yang disita kerana tiada cukai jalan dan insurans hanya akan dilepaskan selepas semua bayaran dilunaskan. Tiada jalan pintas dalam proses pembebasan kenderaan tersebut. Tindakan ini penting bagi mendidik masyarakat tentang tanggungjawab sebagai pemilik kenderaan,” katanya.

    “Ramai yang fikir bayar saman RM300 sudah memadai, tetapi realitinya mereka perlu bayar cukai jalan dan insurans terlebih dahulu,” jelasnya sambil menambah kenderaan tidak akan dilepaskan selagi syarat-syarat itu tidak dipenuhi.

    Berkenaan kemungkinan kadar kompaun akan dinaikkan, Loke berkata kementerian sedang meneliti cadangan tersebut.“Kita sedang siapkan kertas cadangan untuk dibawa ke Kabinet. Mana-mana pindaan memerlukan semakan terhadap peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.

     
     
  • Vios Challenge 2025 pusingan ke-3 hujung minggu ini dijangka sengit tentukan juara keseluruhan musim

    Vios Challenge 2025 pusingan ke-3 hujung minggu ini dijangka sengit tentukan juara keseluruhan musim

    Siri perlumbaan one make Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Malaysia sudah pun masuk ke ‘separa masa kedua’ bagi musim ke-8 dengan pusingan ketiga akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas pada 8 hingga 10 Ogos ini. Persaingan sengit untuk ke semua kategori dijangka akan berlangsung hangat hujung minggu ini kerana pungutan mata bagi menentukan gelaran juara keseluruhan hanya dibezakan dalam jumlah yang sangat kecil.

    “Vios Challenge terus menjadi lebih daripada sekadar perlumbaan—ia adalah platform dinamik yang mencerminkan keghairahan Toyota untuk prestasi, inovasi dan pembangunan bakat tempatan. Ketika kami mencapai titik pertengahan musim 2025, kami berbangga melihat bagaimana persaingan bertambah matang dengan peningkatan intensiti, kepelbagaian dan peningkatan bilangan pemandu dari peringkat rookies hinggalah ke peringkat profesional.

    “Ini adalah bukti sebenar impak inisiatif Toyota Gazoo Racing Malaysia, dan kami kekal komited untuk memupuk bakat sukan permotoran generasi akan datang sambil memberikan keterujaan kepada peminat di seluruh negara,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.

    Pusingan ketiga untuk musim 2025 ini akan berlangsung sekali dengan Pusingan ke-3 Kejohanan Touring Car Malaysia (MTCC) dan juga Pusingan ke-4 Thailand Super Series. Jadi seperti pusingan ke-2 yang berlangsung bersama perlumbaan Super GT pusingan Malaysia, Vios Challenge akan sekali lagi akan dilangsungkan dalam litar penuh SIC sejauh 5.543 km satu lap.

    Ini juga bermakna format separa-endurance selama satu jam juga akan digunakan untuk Race 1 pada Sabtu dan Race 2 pada Ahad, serta ketiga-tiga kelas iaitu Rookies, Sporting dan Super Sporting akan berlangsung serentak.

    Bagi kategori Super Sporting, juara musim 2023 Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl SP Selatan masih mengungguli kejuaraan dengan kutipan 83 mata. Namun ia masih berada pada kedudukan yang tidak selesa kerana diekori rapat oleh Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota dengan 81 mata dan Ady Rahimy dari pasukan Laser Motor Racing dengan 72 mata.

    Vios Challenge 2025 pusingan ke-3 hujung minggu ini dijangka sengit tentukan juara keseluruhan musim

    “Masih terlalu awal untuk meramalkan apa-apa bagi merebut kejuaraan tetapi ya, saya dan pasukan kembali tahun ini dalam mengejar gelaran juara keseluruhan kedua selepas hampir memenanginya pada 2024,” kata Cheah. Pelumba berusia 24 tahun itu hampir-hampir mempertahankan kejuaraannya tahun lalu, namun tewas kepada Naquib Azlan dari pasukan Axle Sports hanya enam mata di belakang.

    Manakala untuk kelas amatur iaitu kelas Sporting, ia kini didahului oleh graduan kelas Rookie 2021 iaitu Jwan Hii dari pasukan Hong Huat X Armada KK Racing dengan pungutan sebanyak 85 mata. Kedudukan Hii juga masih belum selamat kerana dia diekori oleh Elson Lew dari pasukan BAE Racing by ES Yang dengan 76 mata, dan juga pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun dari pasukan RUK Team Nexzter PMC ditempat ketiga dengan 62 mata.

    “Malaysia mempunyai ramai pemandu yang berpengalaman dan penyertaan saya di sini adalah untuk menimba pengalaman. Perlumbaan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang juga memberikan saya pengalaman pembelajaran, terutamanya dengan gabungan trek yang mempunyai bahagian naik dan turun bukit, selekoh laju dan tajam, serta laluan lurus panjang yang saya tidak alami perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang di Thailand,” kata Wattanathanakun hanya baru berumur 17 tahun serta bekas juara kejohanan kart Rotax Max Thailand.

    Vios Challenge 2025 pusingan ke-3 hujung minggu ini dijangka sengit tentukan juara keseluruhan musim

    Wattanathanakun turut menyatakan bahawa kereta lamba Vios dengan enjin 1.5 liter yang dipandunya di Malaysia ini jelas lebih berkuasa berbanding kereta lumba Yaris dengan enjin hanya 1.2 liter yang digunakan di Thailand.

    “Saya sedang menyesuaikan diri dengan kereta dengan baik. Matlamat saya musim ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pemanduan saya dan semoga berjaya untuk mendapat kenaikan ke Kelas Super Sporting tahun depan supaya saya dapat bersaing dengan profesional,” tambahnya.

    Juara untuk kelas Rookie juga belum dapat ditentukan dengan mudah kerana pendahulu kejuaraan iaitu pelumba kart, Aydan Khaliq yang mengutip 94 mata hanya berada 1 mata di hadapan pelumba simulator Rahul Dev di tempat kedua dengan kutipan sebanyak 93 mata.

    Kedua-dua perlumbaan Race 1 dan Race 2 bagi pusingan ketiga ini akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia termasuk Facebook dan YouTube pada hujung minggu ini. Manakala untuk jadual perlumbaan dan lain-lain informasi berkenaan pelumba dan sebagainya anda boleh rujuk di www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia.

     
     
  • Toyota umum rancangan bina kilang pemasangan baharu di Jepun – beroperasi mulai awal 2030an

    Toyota umum rancangan bina kilang pemasangan baharu di Jepun – beroperasi mulai awal 2030an

    Toyota telah mengumumkan bahawa ia akan membina sebuah kilang pembuatan kenderaan baharu di Jepun di Teihouch, Toyota City, yang terletak di Aichi Prefecture. Menurut Reuters, kilang pemasangan terakhir yang dibina oleh Toyota di Jepun adalah pada tahun 2012.

    Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, syarikat itu berkata operasi di kilang baharu tersebut dirancang untuk dimulakan pada awal tahun 2030-an, sambil menambah bahawa model yang akan dihasilkan di kilang itu hanya akan ditentukan pada masa akan datang. Toyota juga berhasrat untuk mengekalkan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga juta kenderaan di Jepun sahaja.

    Pengumuman ini dibuat seiring dengan keputusan kewangan bagi suku tahun April hingga Jun, yang merupakan suku pertama (Q1) bagi tahun kewangan (TK) 2026 syarikat itu (1 April 2025 hingga 31 Mac 2026).

    Pada Q1 TK2026, Toyota telah menghantar sejumlah 2.829 juta kenderaan, iaitu peningkatan sebanyak 7.3% berbanding 2.636 juta unit yang direkodkan pada Q2 TK2025 (1 April 2024 hingga 31 Mac 2025). Walaupun begitu, syarikat itu meramalkan jumlah jualan keseluruhan dalam TK2026 akan mencecah 11.2 juta unit, sama seperti TK2025.

     
     
  • PLUS akan mulakan kaedah perintis kutipan tol cara ANPR Oktober ini, penggunaan aplikasi JustGo

    PLUS akan mulakan kaedah perintis kutipan tol cara ANPR Oktober ini, penggunaan aplikasi JustGo

    Malaysia bergerak selangkah lagi ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol “multi-lane fast flow” (MLFF) tanpa palang yang dijangka akan bermula pada 2027 nanti. Ini adalah kerana pihak PLUS akan memulakan fasa perintis bagi sistem “automatic number plate recognition” (ANPR) untuk tujuan tersebut bermula Oktober ini.

    Percubaan bagi sistem ANPR ini akan dilakukan di bahagian Utara terlebih dahulu, melibatkan laluan antara plaza tol Hutan Kampung dan Sungai Dua di Pulau Pinang — ini melibatkan 13 plaza tol semuanya, dengan 35 lorong laluan sebelum diperluas kepada keseluruhan laluan PLUS pada masa akan datang.

    Untuk memanfaatkan sistem ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi JustGo oleh PLUS, daftar dan masukkan data yang diperlukan (termasuk maklumat kenderaan, kaedah bayaran dll) secara percuma. Untuk kaedah bayaran juga tersedia beberapa pilihan, antaranya melalui kad debit/kredit, dan juga TnG eWallet.

    PLUS akan mulakan kaedah perintis kutipan tol cara ANPR Oktober ini, penggunaan aplikasi JustGo

    Kamera ANPR yang dipasang di semua plaza tol terlibat akan membaca nombor plat kenderaan dalam masa nyata, dan memproses bayaran melalui aplikasi berkenaan yang telah dipautkan ke akaun yang didaftarkan ketika kenderaan melalui tol plaza yang terlibat. Untuk sistem ANPR ini, lorong tol masih akan menggunakan palang.

    Aplikasi JustGo pula tidak hanya untuk pembayaran tol, sebaliknya juga mempunyai ciri sokongan seperti paparan e-invoice, transaksi tol dan servis mobiliti lainnya secara berperingkat.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bahawa matlamat utama sistem bayaran tol terbuka ANPR adalah untuk menjadikan pengalaman perjalanan pengguna lebih lancar dan mudah di semua lebuh raya.

    “Saya yakin yang sistem ini boleh membantu industri membuat persediaan bagi pelaksanaan MLFF kelak, yang bertujuan untuk memudahkan lagi pengguna lebuh raya. Saya juga berbangga kerana sistem ini dibangunkan sendiri oleh pakar industri lebuh raya tempatan tanpa sebarang kesan kewangan ke atas kerajaan,” ujarnya.

    Projek perintis ANPR ini akan memberikan peluang kepada kerajaan unutk menilai kesediaan dan ketepatannya dalam masa nyata dan keadaan trafik semasa, yang akan merintis jalan yang lebih meyakinkan bagi pengenalan MLFF, yang dijangka akan dilaksanakan pada 2027.

    Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan awal bulan ini, sistem MLFF kini akan dilaksanakan melalui model “business-to-business” (B2B) secara langsung, yang bermaksud ia tidak akan melibatkan sebarang dana kerajaan. Usaha itu, yang menjadi sebahagian daripada arah tuju baru yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), akan membolehkan syarikat penyedia perkhidmatan itu berurusan sesama sendiri secara langsung, melibatkan 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada.

    Beliau juga memaklumkan penggunaan ANPR ini akan turut membantu mengatasi masalah pengelakan bayaran tol ketika pelaksanaan MLFF kelak. Mereka yang gagal membayar tol di laluan MLFF kelak pastinya akan dikesan, kerena sistem telah merakam nombor plat kenderaan yang melalui setiap laluan plaza tol. Kaedah penguatkuasaan akan dilakukan nanti, misalnya tidak membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan,” jelasnya.

     
     
  • Penjadualan semula stesen LRT Laluan Kelana Jaya yang dibuka dari jam 9 pagi ditukar ke 6 Sept-30 Nov

    Penjadualan semula stesen LRT Laluan Kelana Jaya yang dibuka dari jam 9 pagi ditukar ke 6 Sept-30 Nov

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya bagi Fasa 2 dan Fasa 3 yang sebelum ini dijangka bermula 9 Ogos telah dijadualkan semula ke tarikh baharu iaitu 6 September 2025.

    “Penjadualan semula ini dibuat bagi memberi ruang kepada pelaksanaan ujian tambahan terhadap sistem semboyan baharu Fasa 1 untuk memastikan ia berfungsi dengan sempurna dan cekap sebelum pelaksanaan sepenuhnya. Ujian tambahan ini amat penting bagi menilai prestasi sistem dalam persekitaran operasi sebenar dan meminimumkan risiko gangguan operasi pada masa hadapan.

    “Bagi Fasa 1, kerja-kerja naik taraf dilaksanakan pada waktu penyelenggaraan malam memandangkan kawasan yang terlibat tertumpu di sekitar depoh dan tidak melibatkan laluan utama operasi tren,” kata syarikat berkenaan.

    Menurut Prasarana lagi, projek penaiktarafan ini merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan insiden gangguan sistem yang berlaku pada November 2022. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat pada hujung minggu terpilih bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna.

    “Sistem semboyan baharu SelTrac Generasi 8 yang diperkenalkan menawarkan kelebihan seperti analisis data masa nyata, keselamatan siber yang lebih baik dan kestabilan komunikasi yang lebih tinggi. Sistem baharu ini dijangka memanjangkan jangka hayat sistem semboyan sedia ada sehingga 20 tahun,” jelasnya lagi.

    Jadual bagi Fasa 2 dan 3 adalah seperti di bawah:
    Penjadualan semula stesen LRT Laluan Kelana Jaya yang dibuka dari jam 9 pagi ditukar ke 6 Sept-30 Nov
    Penjadualan semula stesen LRT Laluan Kelana Jaya yang dibuka dari jam 9 pagi ditukar ke 6 Sept-30 Nov

    “Seperti yang diumumkan sebelum ini bagi Fasa 2 dan 3, sesi pengujian sistem akan dilanjutkan hingga waktu pagi pada tarikh-tarikh tertentu seperti di atas. Ini menyebabkan beberapa stesen terlibat hanya akan dibuka kepada penumpang mulai jam 9 pagi, lewat daripada waktu operasi biasa iaitu jam 6 pagi.

    “Langkah ini penting bagi memastikan sistem semboyan baharu dapat diuji secara menyeluruh dalam persekitaran operasi sebenar sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya Manakala stesen-stesen yang tidak terlibat dengan pengujian sistem akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian tanpa sebarang perubahan,” tambahPrasarana.

    Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang, bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen-stesen yang terlibat. Penumpang akan dibantu oleh kakitangan stesen, polis bantuan dan Prasarana Troopers (sukarelawan terlatih) yang akan ditempatkan di stesen-stesen terlibat dan stesen integrasi.

    Papan tanda dan risalah maklumat turut disediakan di stesen dan hentian bas sebagai panduan tambahan kepada pengguna. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual baharu naik taraf, senarai stesen terlibat serta perkhidmatan alternatif yang disediakan, orang ramai disarankan untuk melayari laman web rasmi di www.myrapid.com.my atau mengikuti saluran media sosial Rapid KL untuk sebarang perkembangan terkini.

    “Prasarana ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul susulan perubahan jadual kerja-kerja naik taraf ini. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan ini. Sebagai penyedia perkhidmatan rel, kami kekal komited untuk meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem rel demi keselesaan dan keyakinan pengguna pada masa hadapan,” katanya.

     
     
  • Aplikasi MyJalan terima 39,371 aduan kerosakan jalan raya antara Ogos 2023-30 Jun 2025 – Kem. Kerja Raya

    Aplikasi MyJalan terima 39,371 aduan kerosakan jalan raya antara Ogos 2023-30 Jun 2025 – Kem. Kerja Raya

    Sejak dilancarkan pada Ogos 2023 sehingga 30 Jun 2025, aplikasi MyJalan KKR menerima 39,371 aduan berkaitan kerosakan jalan raya di seluruh negara, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Jelas beliau, daripada jumlah itu, 11,959 aduan atau 30.4% melibatkan Jalan Persekutuan di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) manakala 27,412 bersamaan dengan 69.6% lagi membabitkan jalan bandaran di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) kerajaan negeri, serta agensi lain, laporan Bernama.

    “Berhubung status aduan jalan di Sarawak, sebanyak 809 aduan diterima. Sebanyak 68 aduan adalah di bawah seliaan KKR yang 43 daripadanya telah diselesaikan dan 25 aduan sedang dalam tindakan manakala baki 741 aduan atau 91.59% merupakan aduan jalan membabitkan pihak bertanggungjawab lain,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang bertanya mengenai statistik aduan serta pencapaian aplikasi MyJalan dalam menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya di Sarawak dan penambahbaikan dibuat KKR untuk aplikasi itu.

    Aplikasi MyJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

     
     
  • Harga minyak 7-13 Ogos – diesel untuk Semenanjung Malaysia naik tiga sen seliter jadi RM2.94 seliter

    Harga minyak 7-13 Ogos – diesel untuk Semenanjung Malaysia naik tiga sen seliter jadi RM2.94 seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan bahawa bagi minggu bertarikh 7 hingga 13 Ogos 2025, harga runcit petrol RON97 dikekalkan pada paras RM3.17 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, kini menjadi RM2.94 seliter, berbanding RM2.91 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak juga masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.

     
     
  • Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Omoda & Jaecoo Malaysia (O&J) baru saja menunjukkan iklan teaser bagi dua model baru untuk acara Omoda & Jaecoo Carnival, namun ada satu lagi model dilihat yang mungkin merupakan model baru ketiga syarikat itu di sini. Dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook, seorang pengguna, Rick Tan membuat sebuah hantaran gambar dua model SUV yang belum dilancarkan — yang dilihat di SS15 Subang Jaya. Walaupun lencananya ditutup, namun model berkenaan tampil dengan sangat jelas.

    Rekaan lampu belakang zig-zag menjadikannya begitu jelas — kita sedang melihat Omoda C7, sebuah SUV segmen C yang akan mengisi kedudukan antara Chery Omoda 5 (selepas ini akan menjadi Chery C5) dan Omoda C9 dalam pasaran tempatan — dan melengkapi juga penawaran Jaecoo J7. Ia sebelum ini pernah ditunjukkan di Malaysia Autoshow pada Mei lalu, dan pernah dilihat sedang diuji di lebuh raya, dan kini syarikat itu sedang mengambil pendafaran minat melalui laman webnya. Untuk itu, pelancarannya boleh dijangka akan dilakukan dalam masa terdekat.

    Untuk pasaran tempatan, walaupun ia pernah ditunjuk di Bangkok pada Mac lalu dalam bentuk plug-in hybrid, C7 di sini mungkin akan dijual dalam bentuk enjin petrol. Ia dilengkapi dengan enjin 1.6 liter turbocas empat-silinder petrol, dengan janaan 150 PS pada 5,500 rpm dan 275 Nm tork dari 2,000 hingga 3,500 rpm (di pasaran lain janaannya ada yang menjadi 197 PS dan 290 Nm). Ini digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda.

    Omoda C7 dilihat di SS15 — 1.6T, ada AWD; satu lagi model akan dilancar oleh O&J di Malaysia tahun ini?

    Versi PHEV model ini pula akan berkongsi teknologi Super Hybrid System (SHS) yang sama dengan J7 PHEV. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo empat-silinder dengan janaan 156 PS/220 Nm yang disertai oleh motor elektrik 204 PS/310 Nm dan juga transmisi khusus hibrid DHT berkelajuan tunggal. Output keseluruhan sistem ialah 360 PS dan 530 Nm, iaitu 13 PS dan 5 Nm lebih tinggi berbanding J7 PHEV.

    Walaupun dengan lebihan kuasa, C7 PHEV memecut 0-100 km/j dalam masa yang sama dengan J7 PHEV dalam 8.5 saat. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 18.3 kWj Blade dari BYD itu adalah sama antara keduanya, dan memberikan jarak 95 km. Jarak keseluruhan yang boleh dicapai pula iala 1,250 km.

    Antara kelebihannya ialah gril corak bersegi yang luas, corak lampu “Design ID” yang bersepadu dengan bampar depan, stereng dengan dua jejari serta skrin sentuh 15.6-inci untuk infotainmen yang boleh dialih ke sebelah penumpang.

    Omoda & Jaecoo Malaysia akan mempertontonkan Jaecoo J5 dan Omoda C9 PHEV di acara karnival anjuran mereka di Desa Park City, bermula 21 hingga 24 Ogos nanti. Jadi, adakah ketiga-tiga model ini akan dilancarkan dalam tahun ini?

     
     
  • Chery pengeluar China pertama capai jumlah eksport lima juta kenderaan – 550,000 unit pada 1H 2025

    Chery pengeluar China pertama capai jumlah eksport lima juta kenderaan – 550,000 unit pada 1H 2025

    Chery terus menunjukkan prestasi luar biasa apabila mengumumkan telah mencapai angka eksport sebanyak lima juta unit kenderaan setakat bulan lalu. Ini menjadikan Chery sebagai pengeluar kereta pertama dari China yang berjaya mencapai tahap tersebut. Dalam masa yang sama, Chery turut mencatat peningkatan paling pantas dalam kedudukan senarai Fortune Global 500 untuk tahun 2025, melonjak 152 anak tangga ke tempat nombor 233.

    Kejayaan ini bermula sejak tahun 2001 apabila Chery menghantar eksport pertamanya – model Fulwin – ke Timur Tengah, dengan hanya sepuluh unit dalam penghantaran awal itu. Pada ketika itu, jumlah eksport automotif China hanyalah sekitar 26,000 unit. Namun kini, dalam tempoh lebih dua dekad, Chery telah berjaya mengeksport sebanyak 1.14 juta kenderaan hanya dalam tahun lalu sahaja. Ini menjadikannya pengeluar eksport kenderaan utama China selama 22 tahun berturut-turut. Secara purata, sebuah kereta keluaran Chery dihantar ke pelanggan luar negara setiap 27 saat.

    Chery turut melaporkan bahawa mereka masih menerajui jumlah eksport automotif China bagi separuh pertama tahun ini. Syarikat itu menghantar keluar sebanyak 550,000 unit kenderaan, bersamaan satu daripada setiap lima kereta buatan China yang dieksport. Angka ini merangkumi 44% daripada jumlah keseluruhan jualan syarikat sepanjang tempoh tersebut.

    Pertumbuhan jualan yang ketara turut dicatatkan di pasaran Eropah, di mana jumlah jualan Chery meningkat hampir sebelas kali ganda kepada lebih 30,000 unit dalam enam bulan pertama tahun ini. Jualan untuk bulan Jun sahaja meningkat lebih enam kali ganda. Daripada jumlah itu, sebanyak 45% merupakan kenderaan tenaga baharu (NEV), menunjukkan penerimaan positif terhadap teknologi elektrifikasi yang dibawa oleh Chery.

    Strategi pelbagai jenama yang digunakan oleh Chery untuk pasaran global turut menunjukkan hasil. Syarikat ini telah melancarkan jenama Omoda dan Jaecoo sebagai pelengkap kepada jenama utama Chery, manakala dua lagi jenama baharu, iCaur dan Lepas, dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi. Walaupun tidak dinyatakan sama ada angka jualan ini turut merangkumi jenama Jetour yang turut dimiliki oleh Chery, jenama itu beroperasi secara berasingan dan tidak dikendalikan di bawah anak syarikat utama Chery Automobile.

    Walaupun Chery mendahului, saingan dari syarikat lain semakin sengit, terutamanya daripada BYD. Menurut Yiche – , pengeluar kenderaan elektrik itu telah mengeksport sebanyak 443,100 unit kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini – kesemuanya terdiri daripada kenderaan tenaga baharu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025