Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    Sudah dua tahun Mercedes-AMG C 63 S E Performance muncul dalam pasaran global, dan ia sudah berada di Malaysia sejak Julai lalu, namun model yang lebih berkuasa menghasilkan 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm berbanding 503 hp/700 Nm pada generasi sebelumnya ini agak kurang mendapat perhatian.

    Puncanya agak mudah untuk dikesan – model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin V8 Twin Turbo, sebaliknya ia digantikan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder turbo yang dibantu oleh kuasa elektrik menerusi sistem plug-in hybrid. Jadi walaupun kuasa yang dihasilkan lebih besar, karekter asal dengan bunyi dan juga getaran V8 sudah lagi tiada pada C 63 generasi baharu ini – dan perkara ini sebenarnya diakui oleh bos Mercedes-AMG sendiri.

    Menurut CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe dalam laporan Car, beliau akui bahawa jenama itu telah kehilangan pelanggan setia menerusi langkah tersebut, namun ia adalah halatuju yang betul untuk masa depan. Schiebe turut menyatakan bahawa pelanggan perlu pandu uji dahulu model ini sebelum membuat kesimpulan.

    Bos Mercedes-AMG akui kehilangan pelanggan setia yang sukakan enjin V8, namun komited untuk 100% EV

    “C 63 merupakan kereta yang penting dalam portfolio kami. Dulu, kini dan selepas ini. Kami ambil keputusan versi sedia ada benar-benar menggunakan teknologi terkini. Kami mahukan sesuatu yang baru dan sebab itu kami letakkan unit rangkaian kuasa F1 pada model yang sah digunakan di atas jalan raya.

    “Kami lihat sebahagian pelanggan-pelanggan kami yang sangat setia sukar untuk menerima konsep ini. Sudah tentu, tak dinafikan kami juga kehilangan sebahagian pelanggan yang hanya gemarkan V8,” kata Schiebe dan menambah “Anda perlu benar-benar pandu kereta ini. Ia merupakan produk yang meyakinkan”.

    “Kami menggunakan teknologi yang jauh ke hadapan, tetapi kami perlu lebih banyak menerangkan teknologi ini kepada jurujual dan pelanggan. Kami akan terus lakukan dan memperbaikinya. Ada pepatah Jerman menyebut ‘anda tidak akan dapat peluang kedua pada pandangan pertama’. Mungkin kami dah terlepas pandangan pertama, tetapi jika anda ada peluang, saya pasti anda akan yakin dengan teknologi ini,” tambahnya.

    Bukan sekadar mempertahankan teknologi PHEV ini, malah Schiebe percaya masa hadapan untuk industri automotif adalah elektrik walaupun ada beberapa pengeluar telahpun mula membangunkan semula enjin pembakaran dalaman, termasuk Mercedes-Benz sendiri. Beliau turut menyatakan bahawa Mercedes-AMG mempunyai perancangan untuk semua unit rangkaian kuasa, dari enjin pembakaran dalaman sehingga EV.

    “Ketika kami terus melabur dalam enjin pembakaran dalaman tanpa ada tarikh akhir yang ditetapkan, dalam masa yang sama kami tidak akan memperlahankan pembangunan [elektrifikasi]. Saya sangat positif berkenaan masa hadapan elektrik sepenuhnya untuk AMG. Teknologi baharu ini memberikan kami peluang yang sangat banyak – anda boleh buat banyak benda yang tidak boleh dibuat dengan enjin pembakaran dalaman hari ini,” katanya.

    Schiebe turut menyatakan AMG juga tidak berminat dengan bahan api sintetik e-fuels seperti Porsche dan Ferrari. “Kami akan menuju masuk ke elektrik sepenuhnya, ia tak boleh dikalahkan,” tegasnya.

     
     
  • Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    Seorang bapa telah ditahan pihak polis kerana membiarkan anaknya berusia enam tahun bergayut pada pintu bahagian luar sebuah trak pikap yang dirakam dan tular di media sosial. kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.45 malam Khamis lalu di kawasan Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, lapora Harian Metro

    “Kira-kira jam 11.10 pagi tadi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai mengesan satu video tular berdurasi 27 saat yang dimuat naik menerusi di akaun X. Ia menunjukkan kenderaan dipandu dengan keadaan seorang kanak-kanak bergayut pada sebuah pikap berwarna kelabu,” kata Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim.

    Tambah beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Nilai mengesan dan menahan pemandu pikap berkenaan dan dibawa ke IPD Nilai.

    Polis Nilai tahan seorang bapa kerana biarkan anak berusia 6 tahun bergayut pada pintu luar trak pikap

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku membabitkan pikap jenis Nissan Navara yang dipandu seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun di kawasan Bandar Baru Nilai. Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang bergayut di pintu sebelah pemandu kenderaan itu adalah anak kepada pemandu terbabit.

    “Perbuatan kanak-kanak itu adalah sekadar suka-suka dan menjadi kebiasaannya membuat permintaan kepada bapanya untuk berdiri di luar kenderaan ketika bapanya memandu,” katanya sambil mengesahkan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 42(1) dan Seksyen 47(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 1987.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 067904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor B Sharveen Raj di talian 011-26176424,” katanya.

     
     
  • Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Puspakom sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung insiden di pusat Puspakom di Johor Bahru, di mana seorang kakitangan pusat pemeriksaan itu ditampar oleh pelanggan, laporan Bernama.

    Siasatan mendapati pelanggan terbabit bertindak kasar apabila kenderaan komersil yang dibawanya untuk ujian brek didapati gagal semasa pemeriksaan berkala, kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman.

    “Kegagalan itu mendorong suspek untuk berdepan dengan pemeriksa kenderaan Puspakom terbabit, kemudian secara tiba-tiba menyerangnya. Sebarang bentuk keganasan terhadap kakitangan Puspakom akibat kegagalan dalam pemeriksaan adalah tidak boleh diterima sama sekali kerana pemeriksaan itu menunjukkan kenderaan itu tidak selamat untuk digunakan di jalan raya,” kata Mahmood dalam satu kenyataan.

    Puspakom siasat kes pelanggan bertindak kasar di Taman Daya, JB berikutan kegagalan ujian brek

    Tambah beliau, “Pelanggan yang menerima keputusan pemeriksaan seperti ini harus mengambil iktibar dan segera membaiki keadaan kenderaan mereka demi keselamatan mereka dan pengguna jalan raya lain, bukannya bertindak agresif terhadap kakitangan kami,” kata Mahmood.

    Berikutan itu, langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat sedang dikaji semula bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang, kata Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom itu. “Keselamatan di tempat kerja untuk kakitangan adalah keutamaan kami, dan kami komited untuk menguatkuasakan dasar ini tanpa pengecualian. Kami tidak akan bertolak ansur dengan perlakuan sebegitu, dan akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan pelaku menerima akibat yang sewajarnya,” katanya.

    Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, pihaknya menerima video itu melalui pautan di X (sebelum ini Twitter), dan polis mengesahkan video yang tersebar menunjukkan seorang lelaki menampar seorang kakitangan Puspakom di Taman Daya, Johor Baru, dengan kejadian berlaku pada 18 November.

     
     
  • JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 27-28 Jan, 1-2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    JPJ keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 27-28 Jan, 1-2 Feb sempena Tahun Baharu Cina

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menyiarkan info grafik berhubung larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal disambut minggu hadapan. Ia bakal dilaksanakan sepanjang tempoh empat hari iaitu 27 hingga 28 Januari (sebelum perayaan) dan 1 hingga 2 Februari 2025 (selepas perayaan).

    Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga iaitu trak tunda yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), lori kontena dan kren bergerak serta lori pembancuh simen. Bagi setiap kategori ini, ia mempunyai masa yang dihadkan penggunaannya. Bagi kategori satu iaitu lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.

    Selain itu, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, traktor, pengangkut simen, besi keluli, batu pasir, tanah dan bahan binaan lain seperti bijih timah dan arang batu turut berada dalam kategori satu yang mana tempoh larangannya ialah sepanjang empat hari berkenaan.

    Bagi kategori kedua pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 8 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya.

    Seterusnya bagi kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – ada kamera ADAS, rekaan lampu hadapan dan gril baharu

    Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – ada kamera ADAS, rekaan lampu hadapan dan gril baharu

    Selepas dilihat dibawa dengan lori pengangkut tempoh hari, kelibat prototaip Proton Saga MC3 2025 sekali lagi dijumpai – gambar ini diambil oleh Johnny Tan ketika unit berkenaan mengisi petrol di stesen Petron berhadapan Ibu Pejabat Proton di Shah Alam.

    Gambar yang diambil kali ini adalah lebih jelas dan mendedahkan beberapa perincian penting pada model kemaskini ini. Walaupun hampir keseluruhan badannya dibalut dengan pelekat penyamaran, dapat dilihat Saga ini menerima lampu hadapan dan gril baharu, dan yang paling penting ada kamera sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) pada bahagian atas cermin hadapan!

    Nampaknya kemaskini kali ini menampilkan perubahan yang agak banyak, jadi ia menimbulkan satu lagi persoalan – adakah ini merupakan satu lagi facelift, atau ini sememangnya model generasi baharu yang menggunakan platform AMA?

    Sekiranya ini adalah model facelift, ia bukanlah model sekadar untuk ‘menghabiskan stok’ kerana melibatkan penukaran lampu dan gril baharu serta sistem ADAS, dan sudah tentu akan dijual dalam tempoh yang lama untuk ‘balik modal’. Dan ia juga sudah tentu sukar untuk dijual pada harga lebih murah dari model sedia ada dengan penambahan perincian-perincian tersebut, mustahil untuk dijual bersama model generasi baharu seperti Perodua Axia E MT dan Axia generasi kedua.

    Tetapi jika ini adalah benar-benar model generasi baharu, sudah tentu ia agak mengecewakan kerana masih menggunakan badan yang nampak sama seperti model generasi sedia ada.

    Selain dari aspek-aspek yang boleh dilihat dengan mata kasar ini, ada pelbagai persoalan lagi bermain di kepala, antaranya adalah berkenaan unit rangkaian kuasa. Proton sebelum ini telah pun menghentikan pembangunan enjin Campro, jadi adakah model ini akan menerima enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely untuk kekal relevan dalam pasaran, atau masih akan mengekalkan unit yang sama seperti model sekarang?

    Apa pun yang pasti tahun ini Proton bakal memperkenalkan model-model yang menarik untuk pasaran tempatan. Selain dari Saga ini, Proton turut telah mengesahkan bahawa model EV keduanya turut sah akan dilancarkan tahun ini.

    Berbalik kepada Saga ini – adakah anda rasa ia model facelift MC3 atau ini memang benar-benar Saga generasi baharu? Bincangkan dan kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman media sosial kami.

     
     
  • Rapid KL tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) tahun ini – Putrajaya, Kajang, Ampang

    Rapid KL tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) tahun ini – Putrajaya, Kajang, Ampang

    Nampak gayanya usaha Rapid Kl dalam menyediakan perkhidmatan van Demand Responsive Transit (DRT) di Lembah Klang mendapat sambutan di kalangan para penggunanya. Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2023 dalam ujian rintis, kini DRT menjadi perkhidmatan tetap selain bas perantara, yang tersedia di stesen tren kendalian Rapid KL.

    Bagi memenuhi permintaan yang makin tinggi, Rapid KL bakal menyediakan 300 unit van lagi untuk tujuan perkhidmatan DRT ini.

    Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, ia adalah satu usaha untuk memastikan penumpang tidak perlu mengambil masa terlalu lama untuk sampai ke stesen tren, dan juga sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam. Katanya, van baharu itu akan mula beroperasi secara berperingkat antara Februari dan Jun.

    “Dua puluh van digunakan sejak tahun lalu dan ia menjadi popular. Ramai yang suka sebab kami caj cuma RM1 sehala. Jadi mulai Mac, 300 van baharu akan mula beroperasi secara progresif setelah kami mendapat van baharu,” kata Loke dalam sidang media hari ini.

    Selaku pengendali pengangkutan awam Rapid, Presiden Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah berkata pihaknya sedang merancang untuk memperkenalkan perkhidmatan DRT di kawasan baharu di sepanjang laluan tren Putrajaya, Kajang dan Ampang, serta di kawasan yang kini tiada perkhidmatan rel atau bas Rapid.

     
     
  • Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Geely secara rasmi telah membuka kilang baharu di Bandar 6 Oktober, Mesir bagi menghasilkan model sedan Emgrand (asas untuk Proton S70) dan juga SUV Coolray (asas untuk Proton X50), lapor akhbar tempatan Ahram Online.

    Kilang berkenaan dibuka dengan kerjasama Auto Mobility (Geely Mesir), dan ia merupakan fasiliti industri pertama dibuka oleh Geely di kawasan Mesir, Afrika dan Timur Tengah. Kilang tersebut menampilkan dua barisan produksi yang mampu menghasilkan 10,000 unit kenderaan setahun untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, serta boleh mengeksport 30,000 unit kenderaan untuk dipasarkan ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

    Geely dan Proton sebelum ini sudahpun bersama-sama berada dalam pasaran Mesir, masing-masing dengan rakan kerjasama yang berbeza. Dua bulan lalu Proton turut baru membuka kilang pemasangannya di Mesir juga dengan perancangan untuk mengeksport kenderaan ke pasaran MENA, namun buat masa sekarang hanya menghasilkan Saga dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Kilang Geely Mesir dibuka, pasang Emgrand dan Coolray; Proton hanya masuk pasaran mampu milik?

    Proton sebelum ini turut sudah menunjukkan kemampuannya untuk menghasilkan X50 dalam versi LHD di mana 200 unit model berkenaan diumumkan sudah diekpsort ke Vietnam. Jadi dengan perkembangan terbaharu ini nampaknya pasaran Proton di Mesir dan MENA mungkin hanya terhad pada model-model mampu milik seperti Saga serta model baharu berasaskan platform AMA pada masa akan datang?

    Walau bagaimanapun, Proton sebelum ini mendakwa bahawa kilangnya di Mesir tersebut mampu menghasilkan sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun, lebih besar dari kilang Geely di sana yang hanya mampu menghasilkan sebanyak 30,000 unit kenderaan setahun, atau 1/3 dari jumlah produksi kilang utamanya di Tanjong Malim buat masa sekarang. Sekiranya angka yang dinyatakan ini adalah realistik, ini bermakna Proton berpotensi untuk menjual lebih banyak kereta di MENA berbanding Geely.

    Dalam perkara berasingan, Proton kini sudahpun berada di pasaran Afrika Selatan dengan menjual model-model rebadge Geely seperti X50, X70 dan X90 dalam versi pemanduan sebelah kanan (RHD). Sedan S70 juga telah dirancang untuk di bawa ke sana tetapi ia masih tertangguh sehingga sekarang. Ada khabar angin menyatakan Geely mungkin turut akan masuk ke pasaran Afrika Selatan dengan melancarkan SUV EV kembar Proton eMas 7 iaitu Geely EX5.

    November lalu kami sudahpun melaporkan bahawa Geely kini masuk ke pasaran-pasaran utama RHD termasuk Thailand, Indonesia, Australia dan New Zealand, di mana ia sepatutnya menjadi milik Proton seperti persetujuan awal kerjasama kedua-dua jenama itu yang menjanjikan bahawa Proton akan menjadi hab bagi pasaran-pasaran RHD.

    Namun selepas itu Geely memberikan respon bahawa ia tidak melupakan Proton dengan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai hab produksi dan R&D serantau menerusi projek Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di kampung halaman Proton iaitu Tanjong Malim.

    “Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,”” kata Ash Sutcliffe, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group kepada paultan.org bulan lalu, dengan maksud bahawa Geely dan Proton tidak akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama.

    “Geely akan memanfaatkan sumbernya dalam pasaran ini, sama ada untuk membantu kemasukan Proton pada masa hadapan atau mengeksport produk dari Malaysia menggunakan AHTV sebagai hab pengeluaran, memaksimumkan sinergi dengan Proton dan rakan kongsi kami DRB-Hicom,” tambahnya lagi.

     
     
  • Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana sasar kurangkan gangguan bagi lima laluan perkhidmatan relnya dalam masa setahun – Loke

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mensasarkan untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya dengan mengurangkan Min Kilometer Antara Kegagalan (MKBF) bagi lima laluan rel kendaliannya dalam masa setahun. Ia melibatkan laluan Kelana Jaya, laluan Kajang, laluan Putrajaya, laluan Ampang dan Monorel.

    Memberi maklumbalas mengenai perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pihaknya berharap menjelang tahun hadapan, hanya ada sekali sahaja gangguan melibatkan satu juta kilometer laluan, laporan Harian Metro.

    “Apabila tren itu bergerak sehingga satu juta kilometer baru ada sekali gangguan. Sekarang ini mungkin ada laluan yang 200,000 atau ada yang 400,000 kilometer secara puratanya berlaku sekali gangguan. Kalau satu juta kilometer baru sekali gangguan, maksudnya kekerapan gangguan itu amat kurang. Mungkin setahun sekali atau dua kali gangguan.

    “Itu memang perkara biasa dalam mana-mana rel di seluruh dunia. Ini sasaran kita nak mengurangkan gangguan,” katanya pada sidang medianya semasa Sesi Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024 dan Pelan 2025 di Menara Prasarana hari ini.

    Tambah Loke, dari segi jumlah gangguan MKBF, tahun 2022 adalah yang tertinggi dicatatkan dengan 255 kali gangguan di kelima-lima laluan itu. Manakala pada tahun 2023 pula, jumlah gangguan adalah sebanyak 118 kali dan ia semakin berkurangan pada tahun 2024 dengan jumlah sebanyak 71 kali.

    “Apa yang kita maksudkan gangguan ialah tren tidak bergerak lebih daripada lima minit. Kalau tren itu tidak dapat bergerak lebih lima minit, itu dianggap satu gangguan. Gangguan yang lebih serius ialah tren yang tidak bergerak lebih 15 minit. Jadi kita nak mengurangkan gangguan ini. Sudah tentunya kita belum lagi berpuas hati, kita nak teruskan prestasi ini dapat ditambah baik,” katanya.

     
     
  • Honda CB650R, CBR650R E-Clutch tiba di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, harga RM48k dan RM50k

    Honda CB650R, CBR650R E-Clutch tiba di Malaysia – tukar gear tanpa tarik klac, harga RM48k dan RM50k

    Dua model 650 daripada Honda iaitu CB650R dan CBR650R kini tiba dalam pilihan yang menggunakan E-Clutch dan dijual pada harga masing-masing RM47,999 dan RM49,999 tidak termasuk insurans. CB650R tersedia dalam pilihan tiga warna, sementara CBR650R ada pilihan dua warna.

    CB650R dan CBR650R menjadi dua model pertama di Malaysia yang menggunakan E-Clutch, iaitu satu sistem klac daripada Honda yang membolehkan pengguna menukar gear tanpa menarik tuil tangan sewaktu memulakan pergerakan, bergerak ataupun berhenti. Walaupun begitu, penunggang masih boleh menggunakan klac seperti biasa kerana tuil klac tangan dan tuil gear masih tersedia.

    Pakej penggerak dua model ini adalah sama, iaitu enjin empat silinder 649 cc DOHC bersama padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada 12,000 rpm dan 63 Nm pada 9,500 rpm. Tangki bahan api untuk kedua-dua model juga adalah 15.4 liter.

    Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT lima inci berwarna di bahagian kokpit, dan ia boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi RoadSync. Turut tersedia adalah kelengkapan lain seperti soket USB-C, lampu jenis LED serta sistem kawalan cengkaman HSTC.

    Memegang roda motosikal ini adalah suspensi Showa yang terdiri daripada fork USD SFF-BP 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang. Tugas membrek dijalankan oleh set cakera berkembar 310 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS diberikan secara standard.

    GALERI: Honda CB650R E-Clutch

    GALERI: Honda CBR650R E-Clutch

     
     
  • BMW Malaysia jual lebih 13,500 kenderaan sepanjang 2024 – jualan kenderaan jatuh 10%, EV jatuh 25%

    BMW Malaysia jual lebih 13,500 kenderaan sepanjang 2024 – jualan kenderaan jatuh 10%, EV jatuh 25%

    BMW Group Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,500 kenderaan jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad pada pasaran tempatan sepanjang 2024. Menurut syarikat itu, 66% kenderaan yang dijual pada 2024 berkenaan adalah model pemasangan tempatan (CKD). Walau bagaimanapun angka jualan keseluruhan berkenaan sebenarnya turun sebanyak 10% berbanding 15,012 unit yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa 20.5% dari jumlah tersebut iaitu lebih 2,700 unit merupakan model-model elektrik sepenuhnya (EV) yang terdiri dari ketiga-tiga jenama berkenaan. Jadi sehingga kini BMW Group Malaysia sudahpun menjual hampir 33,000 unit EV di Malaysia, namun untuk 2024 jumlah berkenaan sebenarnya jatuh 25% – pada 2023, lebih 3,600 unit EV terjual hanya menerusi jenama BMW.

    Jika dipecahkan mengikut jenama, lebih 10,500 unit kereta jenama BMW telah terjual sepanjang 2024 berbanding 11,699 unit pada 2023, atau turun sebanyak 10%. Namun menerusi semakan pada data yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), hanya 10,259 unit kereta berjenama BMW didaftarkan di Malaysia (data ini lazimnya dicampur sekali dengan kenderaan recond/yang diimport secara persendirian). Jadi apa yang diumumkan berkenaan agak bercanggah dengan data dari JPJ.

    Kami laporkan percanggahan maklumat ini kepada BMW Group Malaysia dan diberitahu bahawa ada maklumat yang tidak padan. Menurut ketua komunikasi korporat dan kemampanan BMW Group Malaysia Sashi Ambi, syarikatnya telah melaporkan jumlah jualan hampir 10,500 unit berkenaan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan akan membuat semakan terperinci berkenaan perkara ini di JPJ.

    Seterusnya, model X1 sDrive20i dinamakan sebagai model Sports Activity Vehicle (SAV) paling laris BMW di Malaysia pada 2024 dengan jualan hampir 1,500 unit, atau naik 195% berbanding tahun sebelumnya. X4 xDrive30i M Sport berada di tempat kedua dengan jualan 700 unit, diikuti oleh X5 xDrive50e yang terjual sebanyak 400 unit. Jadi secara keseluruhan BMW telah menjual lebih 3,600 unit SAV tahun lalu, atau turun sekitar 10% berbanding 2023 di mana lebih 4,000 unit model SAV terjual pada tahun itu.

    Manakala untuk model BMW yang lain, lebih 2,700 unit 3 Series telah dihantar kepada pelanggan sepanjang 2024 (2,600 unit pada 2023, naik 4%), di mana varian 320i M Sport menjadi pilihan paling popular dalam segmennya untuk tahun kedua dengan jualan lebih 1,400 unit.

    Model lebih besar BMW 5 Series pula terjual sebanyak 790 unit sepanjang tahun lalu (800 unit pada 2023, turun 1%), di mana 520i menjadi varian yang paling laris. Manakala iX2 pula adalah EV BMW paling laris pada 2024 terjual lebih 460 unit dalam masa sembilan bulan. EV kedua terlaris pula adalah i5 eDrive40 M Sport yang terjual lebih 400 unit.

    Beralih ke jenama MINI, sebanyak 1,400 unit model jenama tersebut terjual tahun lalu, atau turun 20% berbanding 1,750 unit pada 2023. Model Countryman yang dijana enjin petrol merupakan model yang paling diminati pelanggan dengan jualan melebihi 340 unit. Ia diikuti rapat Countryman versi EV iatu Countryman SE All4 yang terjual sebanyak 320 unit dalam masa tujuh bulan selepas dilancarkan di sini.

    Walaupun dua jenama empat roda BMW mencatatkan penurunan jualan, divisi dua roda syarikat itu iaitu BMW Motorrad nampaknya mencatatkan sedikit peningkatan dengan lebih 1,600 motosikal terjual pada 2024, berbanding 1,563 unit pada 2023 (naik 2%).

    Barisan model Adventure menjadi pilihan utama pelanggannya di mana sebanyak 760 unit motosikal segmen itu terjual dengan model paling laris adalah R 1250 GS Adventure yang terjual sebanyak 300 unit. BMW Group Malaysia turut menyatakan bahawa motosikal di bawah segmen Urban Mobiliti juga menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 21% pada 2024, dengan C 400 GT menjadi model paling laris.

    Sepanjang 2024, BMW Group Malaysia memperkenalkan 27 model dan varian baharu merentas keseluruhan jenamanya. Syarikat itu juga mendedahkan ia telah menyediakan lebih 2,020 kemudahan pengecasan dalam rangkaiannya kepada pelanggan setakat ini melalui perkongsian strategik, manakala lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI tersedia di seluruh pengedar sahnya.

    “Tahun lalu merupakan tahun yang luar biasa bagi kami di BMW Group Malaysia, tahun yang ditakrifkan oleh kejayaan dan inisiatif yang mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi, kecemerlangan dan kepimpinan dalam ruang automotif premium,” kata Benjamin Nagel, pengarah urusan BMW Group Malaysia

    “Dari mengukuhkan komitmen kami kepada industri automotif tempatan Malaysia, dengan pengembangan Pusat Pengedaran Bahagian Serantau BMW Group kami, bagi memperkuatkan kedudukan kami sebagai pembekal kenderaan elektrik premium nombor satu di Malaysia untuk satu tahun lagi dengan lebih 2,700 kenderaan elektrik dihantar merentasi jenama BMW, MINI, dan portfolio BMW Motorrad, setiap peristiwa penting adalah bukti kepercayaan pelanggan dan rakan kongsi kami kepada kami,” tambahnya.

    BMW Group Malaysia turut mempunyai divisi pembiayaannya sendiri iaitu BMW Group Financial Services Malaysia. Sepanjang 2024 lebih 4,500 kenderaan telah terjual menggunakan pembiayaan syarikat tersebut, di mana 46% daripadanya adalah model elektrifikasi sama ada plug-in hybrid dan juga EV.

    Manakala kontrak yang dibiayai menerusi BMW Motorad Malaysia mencapai kadar penembusan global tertinggi pada 67% tahun lepas. Sementara itu, menerusi Portal Layan Diri di aplikasi MyBMW, lebih 3,300 kontrak berjaya dibiayai secara digital.

    BMW Group Malaysia juga mendakwa bahawa ia kini merupakan pengeksport terbesar kenderaan premium dari Malaysia, dengan lebih 11,000 unit dihantar ke Filipina dan Thailand sejak 2018.

     
     
  • ECRL Maran-Kota Bharu siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadual, kemajuan di Kelantan kini cecah 88%

    ECRL Maran-Kota Bharu siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadual, kemajuan di Kelantan kini cecah 88%

    Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan landasan dari Maran, Pahang ke Kota Bahru, Kelantan kini telah siap 2.5 bulan lebih awal daripada jadualnya, kata CEO Malaysia Rail Link (MRL), seperti dilaporkan Bernama.

    Projek ECRL di Kelantan yang merangkumi stesen Kota Bharu (untuk penumpang sahaja) di Bandar Baru Tunjong dan stesen Pasir Puteh (untuk barangan dan penumpang) di Cherang Tuli, sudah 87.8% siap setakat Disember 2024. Angka itu dijangka meningkat dengan pemasangan rel utama yang telah diselesaikan, dan kedua-dua stesen dijangka siap menjelang suku kedua 2026.

    “Ini akan mempercepatkan pembinaan sistem elektrifikasi, isyarat dan telekomunikasi untuk sepanjang 43.86 km di Kelantan,” kata Darwis, sambil menambah Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan kadar tambang dan menterinya Anthony Loke telah memberi jaminan bahawa harga tiket lebih “munasabah” dan tidak akan membebankan rakyat.

    Dibina oleh China Communications Construction ECRL (CCCCECRL), jajaran sepanjang 665 km itu akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur Kelantan, Terengganu dan Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor di Pantai Barat. Laluan Terminal Kota Bharu-Gombak yang melibatkan perjalanan selama empat jam, dijangka siap pada Disember 2026 dan beroperasi pada Januari 2027.

    CRRC Dalian telah memperuntukkan 11 unit tren berbilang elektrik (IMU) enam gerabak, dengan unit pertama dijangka tiba menjelang akhir 2025. Tren ini boleh membawa 430 penumpang dan mencecah kelajuan hingga 160 km/j. Ia juga akan menyediakan dua lokomotif elektrik yang akan dipasang di depoh Bandar Pelabuhan Kuantan untuk menarik kereta api barangan.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 — pilihan warna Canyon River Blue Metallic baru ganti Lunar Silver Metallic

    Honda Civic <em>facelift</em> 2025 — pilihan warna Canyon River Blue Metallic baru ganti Lunar Silver Metallic

    Honda Civic FE facelift 2024 yang diperkenalkan minggu lalu turut ditawarkan dengan warna baru Canyon River Blue Metallic. Ini kami bawakan galeri kecil untuk menunjukkan pilihan warna tersebut — selain warna hero merah dan putih yang ditunjuk ketika pelancarannya.

    Ia sebenarnya sudah pernah ditawarkan untuk model CR-V sebelum ini, yang kini turut menggantikan warna Lunar Silver Metallic. Warna biru ini boleh dipilih untuk semua varian kecuali hibrid.

    Pilihan warna lain untuk Civic 2025 ini adalah termasuk Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Ignite Red Metallic dan Crystal Black Pearl (warna hitam ini bagaimanapun tidak ditawarkan untuk hibrid) — menjadikan keseluruhan pilihan warnanya ada lima.

    Versi facelift bagi Civic FE ini menampilkan wajad depan baru yang jauh berbeza daripada yang lama, dengan melibatkan pertambahan banyak kelengkapan tetapi dikenakan tanda harga yang tidak banyak berubah. Model asas E hanya RM2,000 lebih mahal dengan tanda harga RM133,900, tetapi RS petrol pula RM2,000 lebih murah pada harga RM149,900. Model V dan RS hibrid pula mengekalkan harga lama, masing-masing dengan RM144,900 dan RM167,900.

     
     
  • Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Selepas dipertontonkan secara eksklusif menerusi acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 pada bulan lalu, malam ini, Proton telah melancarkan Proton X50 Sport Edition untuk pasaran Malaysia. Pelancaran secara maya ini turut membuka peluang orang ramai untuk menyaksikannya menerusi Facebook, TikTok dan YouTube Proton.

    Untuk pengetahuan anda, X50 Sport Edition ini secara asasnya adalah daripada varian X50 Premium 1.5T. Walau bagaimana pun, apa yang menariknya, jika X50 Premium 1.5T ditawarkan pada harga RM101,800, untuk X50 Sport Edition pula, Proton memberikan tawaran yang cukup menarik. X50 Sport Edition diberikan harga pakej menarik sebanyak RM3,500 (yang sebenarnya mencecah RM10,000!), membuatkan harganya jadi RM105,300.

    Namun, Proton mengumumkan satu kejutan yang gempak dengan memberikan rebat sebanyak RM7,000 jika anda menempahnya dalam bulan Januari ini, sekaligus menjadikan harganya dari RM98,300 atas jalan tanpa insurans. Proton turut memaklumkan X50 Sport Edition hanya dikeluarkan sebanyak 1,000 unit sahaja.

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Seperti barisan X50 yang lain, X50 Sport Edition turut diberikan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had, lima-tahun pakej data percuma (1GB sebulan), enam kali kos buruh percuma dan Program Insurans Proton.

    Berkenaan dengan ciri khas yang diberikan untuk X50 Sport Edition, ia menampilkan warna luaran Quartz Black yang eksklusif bersama bampar hadapan dan kemasan tailgate hitam berkilat, Sport Edition aerokit untuk skirting hadapan, sisi dan belakang, roda aloi hitam 18-inci dengan rekaannya pertama kali dilihat menerusi Geely Binyue, lampu hadapan LED penuh, welcome light pada pintu hadapan, pelekat badan Sport Edition dan paip ekzos berkembar. Menjadikan X50 Sport Edition ini nampak berbeza dengan X50 R3.

    Untuk bahagian dalamnya pula, ciri baharu yang diberikan ialah lencana Sport Edition di bahagian belakang dan diberikan plet tepi pintu, pengacas Qi tanpa wayar, alas kaki Sport Edition, dan dulang barangan di belakang. Ruang dalamnya juga masih mengekalkan kombinasi rona hitam dan merah, dengan kombinasi meter LCD, konsol lantai ala terapung, tempat duduk hadapan larasan kuasa enam-arah, kawalan automatik bagi pendingin hawa, corong pendingin hawa untuk tempat duduk belakang dan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

    Proton X50 Sport Edition dilancar – luaran hitam, kit badan merah, 1k unit berasaskan Premium; RM98,300

    Selain itu, ia juga dilengkapi unit infotainment 10.3-inci dengan pemproses dwi-kuad-teras, sistem arahan suara “Hi PROTON” dan aplikasi PROTON Link untuk kawalan kenderaan jarak jauh, kamera 360-darjah definisi tinggi dengan paparan 3D sekeliling, sistem audio enam-pembesar suara dan tint keselamatan yang mengurangkan sinaran UV berbahaya.

    Seperti yang dinyatakan dari awal, X50 Sport Edition ini menggunakan asas daripada model Premium, bermakna ia menggunakan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan, sekaligus mampu menghasilkan kuasa hingga 150 PS (148 hp) pada 5,500 rpm dan tork hingga 226 Nm pada 1,500 rpm

    Bagi aspek keselamatan, cirinya yang diperoleh sama seperti varian Premium, di mana X50 Sport Edition ini juga diberikan enam beg udara (bahagian pemandu dan penumpang hadapan, sisi hadapan serta tirai belakang), sistem brek ABS, EBD bersama BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun bukit, Auto Brake Hold serta cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang.

    Diulang sekali lagi, untuk yang menempah X50 Sport Edition pada bulan Januari ini, harga atas jalan yang ditawarkan ialah RM98,300 tanpa insurans dan terhad hanya RM1,000 unit sahaja. Harga tersebut selepas mendapat potongan rebat sebanyak RM7,000 yang diberikan oleh Proton. Jika berminat, kena cepat-cepatlah menempahnya.

    Seiring dengan pelancaran SUV edisi khas ini, Proton turut menganjurkan kempen Test Drive and Win Prosperity Campaign dengan hadiah utama sebuah X50 Sport Edition. Pelanggan boleh menikmati ujian pandu model Proton di mana-mana pengedar dari Januari hingga Mac 2025.

    Mereka kemudiannya akan layak untuk memenangi hadiah wang tunai sehingga RM5,000 serta hadiah utama bulanan iaitu pakej percutian bernilai RM10,000. Dengan setiap pembelian kereta Proton baharu, pelanggan akan secara langsung menyertai cabutan bertuah untuk memenangi hadiah utama.

     
     
  • Hankook kini jadi pembekal tayar tunggal untuk WRC bermula 2025 hingga 2027, ganti tayar keluaran Pirelli

    Hankook kini jadi pembekal tayar tunggal untuk WRC bermula 2025 hingga 2027, ganti tayar keluaran Pirelli

    Hankook Tire & Technology (Hankook Tire) menjadi pembekal tunggal untuk tayar dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) bermula musim ini sehingga musim 2027. Ini akan menyaksikan sejarah 52-tahun penganjuran kejohanan itu di mana buat pertama kali tayar keluaran syarikat dari Korea Selatan berkenaan akan digunakan oleh semua kereta rali tidak kira apa jua kategori bermula pusingan pembukaan WRC 2025 Rally Monte Carlo hujung bulan ini.

    Hankook Ventus Z215 akan digunakan untuk permukaan kering dan basah, manakala Ventus Z210 akan digunakan dalam cuaca buruk termasuk permukaan jalan basah, dan Hankook Dynapro R213 pula merupakan tayar rali pelbagai permukaan dengan kebolehan menyerap hentakan, ketahahan dan memberikan cengkaman pada jalan yang tidak berturap.

    Hankook turut akan membekalkan tayar salji Winter i*cept SR20, dan juga tayar permukaan ais Winter i*Pike SR10W yang dilengkapi pin stad. Tayar-tayar istimewa ini akan mula digunakan pada Rally Sweden 2025 yang akan berlangsung pada 13 hingga 16 Februari nanti.

    Sebelum menjadi pembekal rasmi tahun ini, Hankook sebenarnya telahpun mula memulakan ujian di Eropah, di negara-negara seperti Finland, Sweden, France, Greece dan lain-lain. Ujian sejauh lebih 400 km dibuat di atas permukaan ais, 200 km pada permukaan campuran tar dan bersalji seperti di Monte Carlo, lebih 500 km sepenuhnya di atas permukaan tar, dan hampir 1,000 km di atas permukaan batu kerikil.

    Ujian-ujian berkenaan dibuat bersama tiga pasukan yang bertanding dalam kategori utama Rally1 iaitu Toyota, Hyundai dan Ford, serta pasukan Citroen untuk kategori Rally2.

    “Kami telah mewujudkan kerjasama yang berjaya dengan Hankook Tyre melalui Kejohanan Rali Eropah (ERC), dan kami sangat teruja untuk melanjutkannya ke WRC,” kata Jona Siebel, Pengarah Urusan WRC Promoter GmbH. “Hankook Tyre telah bekerja keras untuk membangunkan tayar untuk memenuhi keperluan khas WRC, dan kami sangat menantikan persembahan sulungnya di Rallye Monte-Carlo pada bulan Januari.”

     
     
  • GWM Malaysia catat peningkatan jualan hingga 331%

    GWM Malaysia catat peningkatan jualan hingga 331%

    Daripada keseluruhan 1,233,292 buah kenderaan yang dijual oleh Great Wall Motor (GWM) di seluruh dunia tahun lepas, 453,141 daripadanya adalah di luar negara China. Jumlah jualan di Malaysia tidak didedah, tetapi GWM Malaysia memberitahu, syarikat berjaya mencatat peningkatan jumlah jualan tahun ke tahun (YoY) sebanyak 331%.

    Haval H6 HEV, yang dilancarkan pada bulan Oktober tahun lalu dikatakan menjadi penyumbang utama kepada jumlah jualan tinggi ini, dan ia turut dibantu dua lagi model yang dilancarkan tahun lepas, iaitu Ora 07 dan Tank 300.

    “Pelanggan Malaysia menunjukkan mereka mengutamakan inovasi, kualiti dan kepercayaan. Ini adalah satu tanggungjawab yang kami pandang serius, dan komited untuk memberikan produk serta servis yang melebihi jangkaan mereka,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Anai.

    Untuk tahun 2025 ini, anda boleh menjangkakan ketibaan Tank 500 dan Haval Jolion dalam pasaran, sementara Wey 80 pula akan mula dipasang dalam negara (CKD) menjelang hujung tahun ini. GWM Malaysia seterusnya akan menyediakan pilihan kereta elektrik menarik termasuk EV kecil, EV coupe empat pintu, dua SUV urban, dua SUV offroad dan MPV mewah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025