PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

Sampai ke tahap sekarang, orang ramai sepatutnya sudah tahu bahawa kerjasama strategik antara dua pengeluar berlainan jenama bukanlah satu perkara yang sepatutnya dikecam. Ia mempunyai pelbagai kebaikan kepada kedua-dua pihak dan perincian kerjasama itu boleh jadi pelbagai – namun apa yang lebih penting, persetujuan dapat dicapai.

Lihat saja contoh pada waktu yang mencabar dalam industri automotif kini, terutamanya syarikat dari Jepun. Semakin banyak yang menjalin kerjasama seperti Toyota dan Mazda, Toyota dan Suzuki, Mazda dan Isuzu, serta pelbagai lagi, demi memastikan syarikat dapat bertahan dalam keadaan ekonomi yang sukar.

Proton juga tidak terkecuali dalam mengambil langkah sama, dan ia bukanlah sesuatu yang baru bagi syarikat itu. Namun dalam tahun ini sahaja, Proton telah menghasilkan dua produk hasil kerjasama dengan syarikat pengeluar lain iaitu Perdana, dengan Honda dan Ertiga dengan Suzuki. Selain itu, Proton juga akan mengumumkan tiga rakan kongsi strategik sebelum pertengahan tahun ini.

Bagi Ertiga, ia baru sahaja dilancarkan sekitar sebulan yang lalu, dan rakan sekerja, Farid Awaludin telah berpeluang memandunya di dalam litar ujian Proton. Kali ini, saya pula akan memberi pandangan tentang bagaimana pengalaman memandunya di jalan biasa, dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sekinchan, dan berpatah balik dalam satu acara yang dianjurkan oleh Proton sendiri. Ertiga yang dipandu adalah dari varian paling tinggi, Executive Plus.

PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

Dalam perjanjian antara Proton dan Suzuki bagi model Ertiga ini, perubahan yang boleh diberikan pada model yang menggunakan platform Swift yang dipanjangkan ini adalah begitu minimal. Oleh itu, selain lencana Proton, model Ertiga yang dipasarkan di Malaysia adalah sama dengan Ertiga di Indonesia, India dan Filipina. Penggayaannnya secara lebih tepat lagi adalah sama dengan versi facelift semasa yang sedang dipasarkan di Indonesia.

Menurut ketua bahagian rekaan Proton, Azlan Othman, Ertiga tidak lari jauh daripada konsep rekaan yang digunakan oleh Proton pada model-model lain dan ia boleh dilihat pada bahagian kemasan yang menyambungkan dua lampu belakangnya, serta ‘garis bahu’ sehingga ke lampu hadapan.

Saya sendiri boleh bersetuju, apabila memerhati Ertiga beberapa kali, ia kelihatan seperti ‘adik sebenar’ kepada MPV Proton yang lebih besar iaitu Exora. Bukan setakat sekali imbas, jika anda memerhati bentuk lampu serta garisan tepi hud hadapan juga hampir sama.

Tetapi, jika dilihat secara keseluruhan, saya rasa terdapat sedikit ‘kekosongan’ pada rekaan ini. Meskipun bagi varian Executive Plus yang mempunyai kemasan krom pada lampu kabus dan lampu penunjuk arah pada cermin sisi ini, ia tetap nampak seperti terlalu biasa dan tiada perkara yang mengujakan. Dari sisi mana pun, ia tetap sama. Barangkali, jika ada kit badan khas, atau daripada R3 sendiri, Ertiga pasti jadi lebih menarik untuk ramai lagi pembeli.

Di Indonesia, selain aksesori penggayaan badan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat aksesori luar, Suzuki sendiri ada mengeluarkan Ertiga versi Dreza, yang lebih bergaya dengan pelbagai bahagian tambahan dan baru seperti kemasan krom pada keliling kenderaan, gril lebih rendah, rim rekaan baru dan spoiler di belakang. Dan sudah tentu, harganya juga lebih tinggi daripada Ertiga biasa – sekitar RM5,000 (beza antara Ertiga Dreza varian paling tinggi dan Ertiga biasa paling tinggi)

PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

Bahagian dalam juga ringkas dan biasa sahaja. Bagi keseluruhan papan pemuka, ia sebenarnya adalah unit sama seperti Swift generasi ketiga dan berkemungkinan adalah yang paling asas, kerana panel pendingin hawa juga menggunakan tombol yang perlu dipulas. Unit sistem audio bersepadu yang digunakan juga sekadar mempunyai panel paparan kecil dan butang-butang kawalan di kelilingnya. Turut disediakan adalah butang kawalan audio pada stereng dan tweeter yang khas untuk varian Executive Plus ini.

Diperbuat daripada plastik jenis keras, papan pemuka yang terbahagi kepada dua ini mempunyai warna gelap di bahagian atas dan warna terang sama seperti panel pintu dan tempat duduk di bahagian bawah. Kombinasi warna ini adalah satu-satunya yang ditawarkan di Malaysia, dan bagi tempat duduk dan panel pintu yang diperbuat pada kain, ia boleh jadi merisaukan kerana akan cepat kotor.

Sedangkan pada unit pandu uji baru ini sahaja, saya sudah dapat melihat kesan pada panel pintu, apatah lagi jika dinaiki pula secara kerap oleh kanak-kanak. Tetapi menurut wakil Proton yang berada semasa acara ini, fabrik yang digunakan mudah dibasuh dan sepatutnya tidak menjadi masalah.

Berkenaan kedudukan, saya dapati, setelah melaraskan tempat duduk supaya selesa secara manual, ia terasa lebih kepada seperti menaiki van daripada kereta biasa. Ini juga termasuk kedudukan pedal minyak dan breknya. ia bukanlah satu masalah, malah pemandu dan penumpang hadapan juga disokong oleh tempat duduk yang empuk. Cumanya, tiada perehat tangan di bahagian tengah.

Pergi ke bahagian belakang, jika melihat kepada ruang dan saiz tempat duduk, ia sebenarnya boleh memuatkan lima orang penumpang, malah di pasaran lain juga dijual sebagai MPV tujuh tempat duduk. Walau bagaimanapun, Proton menyarankan kenderaan ini untuk enam orang sahaja, dan bahagian tengah tiada tali pinggang keledar.

Bagi menjadikan susun atur tempat duduk ini fleksibel untuk pelbagai kegunaan dan saiz penumpang, ia boleh dilaras, sama ada dilungsur ke hadapan serta belakang, dan disandar atau ditegakkan. Dalam perjalanan balik dari Sekinchan, untuk melihat bagaimana ruang yang ditawarkan, saya sempat mengambil peluang untuk duduk di baris kedua Ertiga, di belakang pemandu.

Dengan bahagian depan terdapat pemandu yang berketinggan sekitar 174 cm, saya masih boleh duduk dengan selesa di belakang beliau, dan tempat duduk saya dilaras pada keadaan yang masih dapat memberi ruang kaki sekiranya ada penumpang di baris ketiga.

Bagi tempat duduk baris ketiga pula, saya rasa ia lebih sesuai bagi kanak-kanak atau mereka yang berbadan kecil sahaja. Memang ia masih boleh memuatkan orang dewasa, apatah lagi jika kerusi baris kedua di tarik ke hadapan, tetapi keadaan boleh jadi sedikit kekok kerana kaki terletak tinggi dan ruang kepala sedikit terhad. Bagi perjalanan jarak pendek, mungkin tidak menjadi masalah, tapi bila bergerak jauh, mereka mungkin akan kepenatan.

Apa yang saya gemari, keselesaan penumpang belakang dijamin dengan kehadiran penghembus pendingin hawa tersendiri yang diletakkan di bahagian panel bumbung. Ia mempunyai empat corong dan tahap hembusan yang dihasilkan juga dapat dikawal. Dengan aturan ini, angin sejuk dapat sampai kepada semua penumpang tanpa gangguan.

Semasa duduk di baris kedua juga, saya mendapati, Ertiga mempunyai hentakan yang sedikit keras tahap kedap bunyinya tidak sebaik kenderaan Proton sebenar. Entah bagaimana, semasa berada di kerusi pemandu, saya tidak begitu merasakannya, tetapi bila duduk di belakang, cuba untuk tidur apabila melalui jalan Kuala Selangor yang teruk, ia menjadi jelas.

Selain platform, Ertiga juga menggunakan enjin sama seperti Suzuki Swift generasi ketiga, iaitu unit petrol K14B 1.4 liter DOHC dengan VVT, dan gabungan kotak gear automatik empat kelajuan (kotak gear manual lima kelajuan disediakan untuk varian Executive MT). Dengan kuasa sebanyak 92 PS dan tork 130 Nm, Ertiga tidak mempunyai masalah kuasa, seperti yang ditunjukkan oleh Proton dalam video yang membuktikan ia boleh mendaki bukit ke Genting walaupun dinaiki dalam kapasiti penuh.

Sekadar mahu mencuba, saya juga ada menekan habis pedal minyak Ertiga selepas melalui plaza tol dan didapati pecutannya memuaskan pada gear 1 dan 2. Masuk ke gear tiga, permulaannya ada terasa sedikit “kurang” sebelum dapat “ditarik” sehingga 6,000 rpm untuk masuk ke gear 4 yang terakhir.

Walau bagaimanapun, untuk kebanyakan keadaan pemanduan biasa, ia sudah memadai. Masa yang anda mungkin akan merasa seperti mahukan lebih kuasa pada pendapat saya adalah sewaktu bergerak pada kelajuan tinggi di lebuh raya, dan ingin memotong kenderaan lain. Pada waktu itu, pedal mesti ditekan sehabisnya ke lantai dan ia akan mengambil sedikit masa.

PANDU UJI: Proton Ertiga Executive Plus AT – tunjuk potensi jadi kenderaan keluarga yang lebih bermanfaat

Melihatkan pakej yang ditawarkan oleh Ertiga, dengan harga bermula RM58,800, dan RM64,800 untuk varian Executive Plus (paling tinggi) ini, ia berpotensi untuk menjadi pengganti kepada kenderaan sedan keluarga biasa. Dikatakan sebegitu kerana walaupun disediakan dengan enam tempat duduk, apabila dinaiki penuh, ruang barangan yang tinggal adalah terhad. Bermakna, jika terdapat enam orang di dalam, dan anda ingin membawa bersama barangan setiap orang untuk balik kampung contohnya, ia pasti tidak akan muat.

Tapi kalau sekali-sekala ada yang mahu menumpang atau untuk perjalanan singkat, ia mungkin tidak bermasalah. Cuba bayangkan pula jika anda mempunyai lima orang dalam sebuah keluarga. Biasanya, kenderaan yang dilihat sebagai pilihan adalah jenis sedan, tetapi jika anda memilih MPV kompak seperti Ertiga ini, anda mempunyai kelebihan untuk menyumbat pelbagai barangan di belakangnya kerana baris ketiga boleh dilipat. Malah, jika anda seorang yang suka beraktiviti, pada hujung minggu juga ia boleh digunakan untuk mengangkut barangan sukan seperti basikal atau lain-lain.

Dalam sesi pandu uji ini, Proton telah menyediakan cabaran penggunaan bahan api paling cekap, dengan cara pemanduan biasa dan pendingin hawa dipasang, dan kereta yang saya pandu bersama rakan sekerja, Anthony Lim berjaya mencatat purata sekitar 22.7 km/l. Setelah habis cabaran itu, kami memandu secara biasa, tanpa takut untuk menekan pedal minyak sehingga ke lantai dan setelah dilihat, ia berada pada tahap sekitar 16.8 km/l.

Untuk aspek keselamatan, Ertiga dilengkapkan dengan dua beg udara, ciri ABS dengan EBD, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix serta penghadang hentaman sisi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang. Dengan kelengkapan ini juga, Ertiga menerima penarafan empat-bintang dari ASEAN NCAP.

GALERI: Proton Ertiga 1.4L Executive Plus

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • 22.7kml when drive defensively and 16.8kml when drive crazier including flooring the pedal. That’s quite impressive for an MPV…

    Like or Dislike: Thumb up 4 Thumb down 0
  • Fauzi Masod on Apr 27, 2018 at 3:47 pm

    Sy pemilik ertiga. Servis Kali pertama menggunakan minyak pelincir petronas, mmg agak berat utk Sampai ke top speed. Itu pn 170kmh dh berat. Second service sy gunakan minyak MS Oil hasilnya enjin lebih ringan, Dan top speed melebihi 180kmh.. Tp kenderaan dh mcm sampan.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
    • Muhammad arshad bin mustapaha on Sep 25, 2018 at 9:36 pm

      Lajunye bwk mpv 170- 180km..mcm bwk sedan je.. biasa driver mpv pling laju pun 120km 130km je..

      Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required