Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-1-850x637_BM

Nampak gayanya isu perkhidmatan Uber dan GrabCar masih terus diperkatakan selagi pihak kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan.

Semalam, Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam telah mengadakan sidang media bagi memohon kerajaan menghentikan sementara perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar bagi memulihkan semula industri teksi di negara ini, laporan Bernama.

Menurut setiausahanya Razali Sahran, langkah itu juga perlu supaya kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian dalam menangani lambakan perkhidmatan pengangkutan itu yang turut didakwa telah menjejaskan pendapatan 1,000 pemandu teksi di bandar raya ini.

Malah beliau turut menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyusun beberapa program termasuk mempromosikan perkhidmatan teksi bagi meningkatkan semula industri teksi negara.

Hujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang sebagai menunjukkan protes menentang servis aplikasi pengangkutan seperti Uber dan GrabCar.

Sehubungan itu, kerajaan sedang merangka pelbagai usaha bagi membolehkan perkhidmatan Uber dan GrabCar beroperasi pada platform yang sama dengan perkhidmatan teksi biasa.

Malah SPAD juga akan melakukan pelbagai penambahbaikan termasuk memperkenalkan aplikasi seperti yang digunakan oleh Uber dan GrabCar.