prius-fl-malaysia

Susulan panggilan balik oleh Toyota Motor Corporation (TMC) seluruh dunia bagi beberapa model Toyota dan Lexus akibat masalah beg udara tirai dan charcoal canister tangki minyak, UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) turut mengumumkan perkara yang sama melibatkan Toyota Prius dan Lexus CT200h bagi pasaran Malaysia.

Kempen Servis Istimewa (SSC) atau panggilan pertama melibatkan isu beg udara tirai yang membabitkan lebih dari 3,500 unit Prius buatan antara April 2009 dan April 2012 serta 1,700 unit CT200h buatan antara Disember 2010 dan April 2012.

Bagi kedua-dua model kenderaan berkenaan, beg udara tirai ini terletak di sisi kiri dan kanan rel bumbung, di mana inflator bagi beg udara tersebut mengandungi gas termampat dalam satu kebuk dan ia dikimpal bersama. Beberapa inflator dikesan mempunyai satu keretakan kecil dalam kawasan yang dipateri. Jika serpihan tersebut bertebaran, beg udara tersebut boleh pecah dan inflator itu boleh terkeluar dari beg udara yang boleh menyebabkan risiko kecederaan kepada pemandu dan penumpang di dalam kenderaan.

Kempen SSC ini sangat diperlukan bagi memasang bracket pada inflator beg udara tirai ini bagi menghalang kebuk inflator bertebaran keluar ke kabin. Kerja-kerja pemasangan ini hanya mengambil masa kira-kira antara dua hingga ke empat jam, tertakluk pada jadual di pusat servis.

fuel_suction_plate

Manakala panggilan kedua pula melibatkan 6,000 unit model Prius (tahun buatan April 2009 dan November 2013) dan 3,000 unit CT200h (Disember 2010 dan Disember 2013). Ia adalah membabitkan charcoal canister pada tangki minyak. Di mana canister atau balang digunakan untuk mencegah emisi dari tangki minyak dilepaskan ke udara. Ada kemungkinan terdapat rekahan pada bahagian tepi saluran balang ini.

Jika ia benar terjadi, rekahan tersebut boleh menjadi lebih besar dan menyebabkan tangki minyak bocor apabila minyak diisi penuh. Malah minyak atau wap minyak tersebut boleh mencetuskan percikan seterusnya mendatangkan risiko kebakaran pada kereta terbabit.

SSC ini bertujuan untuk memastikan charcoal canister pada tangki minyak diganti baharu. Proses penggantian ini mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga jam, juga bergantung pada jadual di pusat servis.

Semua pemilik kenderaan terbabit akan menerima notis pemberitahuan oleh UMWT dan segala kos penukaran alat ganti dan kos buruh adalah ditanggung sepenuhnya oleh syarikat ini sendiri.

Bagi pemilik yang tidak menerima sebarang notis atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenainya, sila hubungi talian bebas berikut – 1800-8-TOYOTA (869682) / 1800-8-LEXUS (53987). Atau pun terus berkunjung ke mana-mana pusat servis Toyota atau Lexus untuk bantuan.