2017 Chevrolet Colorado High Country 2

Semalam, kami melaporkan pengesahan Mazda bahawa trak pikap BT-50 generasi terbaharu keluarannya nanti akan dibangun berdasarkan model Isuzu D-Max, dan tidak lagi menggunakan model Ford Ranger sebagai asasnya seperti sebelum ini. Pegawai Eksekutif, Pasaran Membangun Mazda, Hiroshi Inoue memaklumkan wakin media Asean minggu ini bahawa trak pikap satu tan yang dibangunkan nanti akan dibezakan seperti mana perbezaan pada BT-50 dan Ranger dahulu.

Dengan perkembangan terbaru ini, bagaimana pula dengan kerjasama antara Isuzu dan General Motors (GM) yang sebelum ini terlibat dalam usaha sama membangunkan Chevrolet Colorado? Ia akan ditamatkan. Pengeluar yang terlibat menyatakan pihak mereka telah membatalkan perjanjian pembangunan trak pikap pada 2014. Yang terakhir adalah di bawah perjanjian pembangunan bersama yang dimulakan sejak 2006, seperti dilaporkan Automotive News.

Perkara ini turut disebabkan oleh peralihan fokus GM yang berpusat di Detroit untuk memberi tumpuan kepada kenderaan yang lebih mewah, manakala pengeluar Jepun pula kekal dengan tumpuan bagi menghasilkan kenderaan komersial. Syarikat berkenaan turut memaklumkan, perjanjian kerja sama berasingan, terutama yang melibatkan kenderaan komersial di Amerika, akan diteruskan.

Colorado Xtreme and Trailblazer Premier 1

“GM dan Isuzu bersetuju, disebabkan keperluan-keperluan unik kedua-dua syarikat, pembangunan bersama bagi trak pikap saiz sederhana generasi seterusnya bagi GM tidak lagi menjadi model optimum bagi projek berkenaan,” memetik kenyataan dari pihak GM.

“Arah tuju yang ingin diambil oleh kedua-dua syarikat kini sudah berubah,” ujar seorang jurucakap Isuzu. Beliau turut menambah, syarikat Jepun itu berhasrat untuk meneruskan penghasilan trak pikap untuk digunakan sebagai jentera kerja lasak termasuk bagi pasaran Australia, Timur Tengah dan Asia.

Seorang eksekutif GM menyatakan “keperluan unik” bagi syarikat itu ialah berkaitan peralihan strategik yang mula dilakukan tahun lalu di Asia Tenggara, di mana syarikat itu kini ingin memberi fokus dan bersaing dalam pasaran trak dan SUV yang lebih mewah di rantau ini.

2017 Chevrolet Colorado 1

Di sebalik menerima banyak manfaat dalam usaha sama itu, seperti perkongsian kos, eksekutif GM yang enggan namanya disiar itu memaklumkan Automotive News bahawa GM memutuskan untuk tidak akan meniru pesaing dari Jepunnya itu bagi pasaran yang didominasi oleh jenama-jenama seperti Isuzu, Toyota dan Mitsubishi.

Buat masa ini, GM mengeluarkan Chevrolet Colorado yang diasaskan daripada model Isuzu D-Max. Begitu juga dengan SUV tujuh tempat duduk, Chevrolet Trailblazer, yang kedua-duanya turut dipasang di Thailand dan Australia.

Tahun lalu, GM menyatakan akan kembali kepada segmen trak komersial tugas sederhana yang tidak diwakilinya sejak tujuh tahun lalu. Syarikat itu merancang untuk menjual trak pikap Isuzu sebagai model rebadge Chevrolet.

Beberapa lagi perkembangan GM di Asia turut melibatkan penutupan kilangnya di Indonesia yang mengeluarkan MPV bajet, Spin, yang sangat mahal untuk dibangunkan. Dalam tempoh sama, syarikat itu juga mengumumkan penamatan pengeluaran model Sonic sedan dan hatchback di Thailand.