Pokémon GO

Memandu kereta atau menunggang motosikal sambil menggunakan telefon bimbit merupakan antara kesalahan trafik yang boleh dikenakan saman oleh pihak berkuasa. Walau pun ketika kenderaan dipandu/ditunggang secara perlahan mahu pun melibatkan jalan yang lengang.

Kini, demam Pokemon Go yang sedang melanda dunia turut membabitkan pemainnya yang sanggup mengejar karakter tersebut biar pun ketika sedang memandu atau menunggang motosikal. Malah dua hari lalu, Kementerian Pengangkutan telah mengingatkan pengguna jalan raya agar memberikan perhatian sepenuhnya ketika memandu dan tidak terganggu dengan Pokemon.

Namun petang semalam, media tempatan melaporkan seorang wartawan cedera apabila motosikal yang ditungganginya terlanggar jalan berlubang ketika terlalu leka mengejar ‘charmander’, salah satu karakter dalam Pokemon Go, laporan Bernama.

Menurut mangsa, Azim (bukan nama sebenar), akibat keterujaan selepas berjaya menangkap ‘poliwag’ di rumahnya, dia terus bersemangat untuk menangkap lebih banyak karakter Pokemon. Apabila ‘charmander’ pula muncul kira-kira 100 meter dari rumahnya, dia bergegas menunggang motosikal secara perlahan untuk menangkap karakter itu. Jalan di sekitar kawasan perumahannya lengang ketika itu dan sambil memegang ‘handle’ motosikal dengan sebelah tangan dan tangan kiri memegang telefon bimbit, beliau menunggang perlahan.

Namun tiba-tiba tayar motosikalnya termasuk lubang dan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terjatuh. Biar pun hanya mengalami kecederaan ringan, dia mengaku akan lebih berhati-hati selepas ini dan masih belum serik untuk menangkap lebih banyak Pokemon.

Hujung minggu lalu seorang pemuda 32 tahun di Kuantan ditahan polis ketika dia bersama rakan-rakannya sedang memandu dan memburu Pokemon pada Sabtu lalu, ketika hari pertama permainan itu muncul di atas talian di Malaysia. Pemuda berkenaan disaman RM300.

“Saya menggunakan aplikasi berkenaan untuk mengetahui lokasinya (Pokemon) ketika saya memandu. Tangkapan yang saya peroleh untuk permainan itu sangat baik. Polis hanya senyum sebaik melihat skrin telefon saya dan menyerahkan saman,” kata pemuda itu.

Permainan augmented reality itu, yang mendapat sambutan luar biasa di Barat ketika diperkenalkan bulan lalu, turut menjadi penyebab kepada beberapa kemalangan di sana. Setakat ini, polis dan bomba di Lembah Klang menyatakan keadaan masih tidak terlalu meresahkan dan tiada laporan berkaitannya diterima, bagi tempoh hujung minggu pertama ia dilancarkan.