Proton Persona 2016: Perbandingan dengan model lama, serta sedan segmen-B dan Perodua Bezza

Proton Persona baharu (kiri) & Persona lama (kanan)

Proton Persona 2016 yang dilancarkan pada 23 Ogos lalu, dilihat mampu menjadi penanda aras bagi membantu proses pemulihan Proton. Tidak seperti abangnya, Perdana 2016 yang dilancarkan pada Jun lalu, yang tidak begitu menjadi perhatian umum hanya kerana ia menggunakan enjin dari Honda. Sedangkan ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan sempurna sepenuhnya daripada Proton sendiri.

Namun sementara menantikan Proton bersedia mengeluarkan enjin baharu bagi model-model sedia ada dan yang akan datang, Persona 2016 tampil dengan olahan gaya yang diperbaharui, sekaligus (setakat ini) mampu menarik perhatian ramai. Malah kami turut menerima pertanyaan dari para pembaca yang mahu mengetahui kelebihan Persona 2016 ini jika dibandingkan dengan model sebelumnya dan juga model-model di bawah segmennya yang sama (segmen-B).

Carta perbandingan ini menghimpunkan Persona 2016 dengan model sebelumnya, dan yang berada dalam senarai sedan segmen-B iaitu Toyota Vios, Honda City, Nissan Almera, Mazda 2 sedan, Volkswagen Vento, Mitsubishi Attrage, serta dua wakil segmen-A iaitu Proton Saga dan Perodua Bezza 1.3L.

Persona-comparison-02

Merujuk carta di atas, Proton Persona baharu dan lama memiliki kapasiti enjin yang paling besar iaitu 1.6 VVT bagi Persona 2016 dan Persona lama pula 1.6 IAFM+. Walau pun begitu, hamburan kuasa yang dihasilkan iaitu masing-masing 107 hp dan 110 hp, tidak dapat menandingi persaing terdekatnya iaitu Honda City dengan enjin 1.5 i-VTEC (118 hp) dan Mazda 2 sedan (114 hp). Tetapi mengatasi Almera (1.5 CVTC) dengan kuasa 101 hp dan Vios (1.5 VVT-i) yang memiliki kuasa sama dengan Persona 2016.

Lain-lain model yang tersenarai iaitu Vento, Attrage, Saga dan Bezza, memiliki kapasiti enjin yang lebih kecil berbanding Persona 2016, jadi selayaknya kuasa kuda yang terhasil jauh lebih rendah (kecuali dengan Vento yang kurang 4 hp berbanding Persona 2016).

Malah bagi tujahan tork pula, Vento mendahului carta atas kelebihan enjin TSI dengan jumlah 175 Nm. Manakala Persona lama dan model pesaing terdekat yang lain tidak begitu banyak bezanya dengan Persona 2016, sekitar antara dua ke empat Nm sahaja, berbanding Almera dengan perbezaan 11 Nm.

Transmisinya pula, hampir semua model sedan di bawah segmen-B, menggunakan kaedah yang lebih kurang sama iaitu 5MT, 4AT atau CVT, melainkan Mazda 2 sedan dengan 6AT dan Vento pula 7DSG.

Driven_Web_Series_2014_Honda_City_vs_Toyota_Vios_vs_Nissan_Almera_003

Persona dengan varian tertinggi Premium adalah yang paling berat dari kalangan model di bawah segmennya, iaitu 1,210 kg, 15 kg lebih berat berbanding Persona lama dan model kedua terberat iaitu Vento yang kurang 32 kg berbandingnya. Manakala model yang paling ringan ialah Attrage dan Bezza, masing-masing seberat 905 kg dan 930 kg.

Bagi nisbah kuasa ke berat (hp per tan) pula, jurang perbezaan antara Persona 2016 dengan Vento, Attrage dan Saga tidak begitu jauh berbeza. Berbanding lain-lain model yang lebih tinggi angkanya iaitu berbeza antara 3.62 hp hingga 18.61 hp.

Bagi dimensinya pula, Persona 2016 sepanjang 4,387 mm, iaitu di bawah City (4,440 mm), Vios (4,410 mm) dan Almera (4,425 mm). Serta tidak jauh berbeza dengan Mazda 2 sedan (4,320 mm) dan Saga (4,278 mm). Manakala Attrage dan Bezza berada di kedudukan paling bawaj dalam soal ukuran panjang ini dengan masing-masing 4,245 mm dan 4,150 mm.

2016-Proton-Persona-dimensions-comparison

Malah Persona baharu ini 90 mm lebih pendek berbanding model sebelumnya. Walau pun begitu, kapasiti ruang but Persona baharu lebih luas berbanding yang lama iaitu 510 liter, jauh berbeza dengan model terdahulu dengan 430 liter. Tetapi City mendahului carta keluasan ruang but dengan 536 liter, dan yang paling kecil ialah Mazda 2 sedan yang hanya 410L, kurang 3L berbanding Saga (413L).

Mengenai lebarnya pula, Proton berukuran 1,722 mm, iaitu kurang 3 mm berbanding model lama. Tetapi tidak jauh dengan Vios yang selebar 1,700 mm. Walau bagaimana pun, jika dibandingkan dengan Bezza, ‘anak bongsu’ Perodua itu kurang 100 mm berbanding Persona 2016. Kalau diperhatikan soal ketinggian pula, Persona 2016 mendahului carta dengan 1,554 mm, berbanding City dan Vios yang berada di bawah 1.5 meter.

Akhir sekali, Persona baharu dijual pada harga antara RM44,831 (OTR tanpa insurans) bagi varian asas Standard MT dan RM57,472 untuk spesifikasi tertinggi Premium CVT. Ia lebih mahal berbanding Saga dan Bezza. Tetapi, pastinya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan model pesaingnya yang berharga antara RM74k dan RM95k.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Proton persona 2016, sila tonton walk-around video kami, dan sila baca pandu uji ringkasnya, serta pilihan variannya.

Proton Persona 2016 1.6 Premium CVT

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

  • Isa Hazmy on Aug 26, 2016 at 11:17 pm

    Syabas proton :3)

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • Carta yang mula2 tu silap rasanya sepatutnya tunjuk perbezaan cc,hp dan torque.tapi sama dgn jadual kedua tunjuk dimension punya comparison

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Syabas Proton. Tingkatkan after sales service.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • persona lebih rekemen berbanding bezza mahupun iris sendiri

    Like or Dislike: Thumb up 2 Thumb down 0
  • wan manisah on Jul 03, 2017 at 4:53 pm

    saya nak Tanya persona model lama masih ada stock lagi tak di pasaran sekarang

    Monday 3/7/2017

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required