hyundai-creta-1-e1479109936885_bm

Selain dari model konsep trak pikap Creta STC, Hyundai turut memperkenalkan versi tingkat taraf model asal SUV segmen-B Creta di Sao Paolo Auto Show 2016. Kemunculan sulung versi yang disegarkan untuk peringkat global ini dilihat tampil berbeza dari model-model pasaran India dan China.

Walaupun baharu sahaja diperkenalkan tahun lalu, Creta kini menerima gril rekaan baharu dengan saiz yang lebih besar dan kemasan krom yang mengelilinginya kini berhubung dengan lampu hadapan. Lampu kabusnya pula kini direka melintang dengan bentuk yang lebih bulat. Skid plate hadapan pula juga lebih besar dengan meliputi sekali liang kemasukan udara bahagian bawah.

Bentuk lampu belakang kekal tetapi posisi lampunya kini disusun semula serta lampu membelok dan lampu undur kini lebih besar. Bampar belakang juga mendapat sentuhan semula dengan kemasan plastik berwarna hitam yang lebih besar. Ia turut diberikan roda aloi 17-inci baharu.

Hyundai Creta dilengkapi dengan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, paparan pelbagai-info Supervision, penghawa dingin automatik dan liang pada bahagian belakang, tempat duduk hadapan berliang, kamera undur dan sistem navigasi dengan sokongan Apple Carplay dan Android Auto.

Untuk keselamatan pula, Creta hadir bersama enam-beg udara, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX serta sistem pemantau tekanan angin tayar.

Di Brazil, Creta dijana dengan dua pilihan enjin iaitu petrol 1.6 liter NA D-CVVT berkuasa 130 PS/163 Nm, dan juga enjin 2.0 liter berkuasa 166 PS/201 Nm. Untuk model 1.6 liter, kuasa enjin memacu roda hadapan menerusi pilihan dua kotak gear sama enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik, manakala untuk versi 2.0 liter, ia hanya hadir dengan transmisi automatik enam-kelajuan.