Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

Ujian terbaharu dari Program Penilaian Kereta Baharu Australiasian (ANCAP) menyaksikan Subaru Impreza generasi kelima menerima penarafan lima-bintang. Model Impreza generasi terbaharu ini dijual dalam versi hatchback dan sedan di Australia, dengan empat varian iaitu 2.0i, 2.0i-L, 2.0i Premium dan 2.0i-S.

Impreza pasaran Australia ini diberikan kelengkapan keselamatan standard yang terdiri dari tujuh-beg udara (dua hadapan, dua sisi, tirai dan lutut pemandu), amaran pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk serta cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Semua varian kecuali varian asas 2.0i diberikan pakej EyeSight sebagai ciri standard yang terdiri dari adaptive cruise control, amaran keluar laluan, dan juga sistem brek pra-pelanggaran.

Ciri tambahan dari pakej EyeSight iaitu Vision Assist pula hanya diberikan pada varian tertinggi 2.0i-S. Pakej ini terdiri dari pemantau titik buta, bantuan tukar laluan, amaran lintasan trafik belakang, pemantau bahagian sisi serta bantuan lampu tinggi.

Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

Menurut ANCAP, Impreza berjaya mendapat 14.8 markah dari 16 markah penuh bagi ujian pelanggaran offset hadapan, manakala untuk pelanggaran bahagian sisi, ia berjaya menerima 16 markah penuh. Untuk ujian perlindungan pejalan kaki pula, Impreza menerima 29.93 markah dari 36 markah penuh, dikelaskan dalam penarafan ‘Baik’.

Walaupun menerima markah yang cukup baik, ANCAP tidak berpuas hati kerana pakej EyeSight tidak diberikan pada model asas 2.0i. “Agak mengecewakan teknologi-teknologi ini tidak diberikan sebagai ciri standard untuk setiap varian dalam barisan model dan untuk keselamatan semua pengguna jalan raya kami mahu lihat peningkatan penggunaan teknologi ini,” kata CEO ANCAP James Goodwin.

Impreza generasi baharu ini membuat kemunculan sulungnya pada New York International Auto Show (NYIAS) awal tahun ini, dan dibina menggunakan Subaru Global Platform baharu yang menawarkan dinamik yang lebih baik. Platform baharu ini juga dibina dengan dimensi yang lebih besar, seterusnya menjadikan Impreza baharu tersebut lebih besar dari generasi sebelum ini.

Subaru Impreza generasi kelima terima penarafan lima-bintang dalam ujian pelanggaran terbaharu ANCAP

Model baharu ini dijana oleh enjin boxer empat-silinder FB20 2.0 liter DOHC suntikan bahan api terus yang diolah semula, dipadankan bersama kotak gear Lineartronic CVT serta sistem pacuan semua roda Subaru Symmetrical AWD. Menurut Subaru, unit janakuasa baharu ini memberikan daya pecutan lebih baik serta penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

Di Malaysia, Impreza generasi sebelum ini dibayangi oleh model berprestasi tingginya iaitu Impreza WRX dan WRX STi (untuk model-model baharu, WRX dan WRX STi tidak lagi menggunakan plat nama Impreza) kerana pengimport persendirian (grey importer) lebih gemar mengimport model berkenaan berbanding model biasa tanpa pengecas turbo.

Walau bagaimanapun, menerusi pengedar rasmi Subaru terbaharu di Malaysia iaitu Motor Image (dibawah naungan Tan Chong Motor), Impreza dijangka akan dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia bersama XV dan Forester, dan bakal bersaing dengan Honda Civic, Toyota Altis, Mazda 3 serta pesaing-pesaing lain dalam pasaran sedan segmen-C tempatan.

Dalam laporan sebelum ini, pengarah eksekutif Tan Chong International, Glenn Tan memberitahu paultan.org bahawa kilang syarikatnya yang terletak di Segambut bersedia untuk memproduksi model-model Subaru generasi-seterusnya yang meggunakan platform baharu berkenaan pada bila-bila masa sahaja.

GALERI: Subaru Impreza 2017

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required