Selepas pelancaran Proton Iriz pada pasaran Indonesia minggu hadapan, Proton turut akan menampilkan Persona dan Saga pada republik berkenaan tahun ini, menurut laporan Auto Bild Indonesia.

Laporan tersebut turut menyebut ketua serantau bahagian jualan antarabangsa Proton ASEAN Shahidin Sahamid sebagai berkata, “selepas ini, akan lebih banyak kereta akan dilancarkan di Indonesia, Persona dan Saga.” Perkara ini didedahkan oleh Shahidin ketika sesi pandu uji media Iriz di sana.

Spesifikasi kedua-dua model berkenaan untuk pasaran Indonesia dijangka sama seperti penawaran pada pasaran Malaysia. Untuk Saga, tiga kemasan ditawarkan iaitu Standard, Executive dan Premium, kesemuanya dijana dengan enjin 1.3 liter empat-silinder VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Varian Standard diberikan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau CVT, manakala varian lebih tinggi hanya diberikan transmisi CVT.

Persona turut ditawarkan dalam tiga kemasan, dan hanya dijana oleh enjin 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm. Transmisi manual juga hanya ditawarkan untuk model Standard, manakala varian lebih tinggi hanya menerima transmisi CVT.

Menurut undang-undang di Indonesia, sedan dikenakan cukai jualan sebanyak 30% berbanding kenderaan lain yang hanya dikenakan 10%. Ini bermakna, Proton bakal berhadapan cabaran yang lebih besar untuk memasarkan Persona dan Saga di sana berbanding Iriz. Persona juga dijangka terpaksa dijual dengan harga yang lebih mahal berikutan kapasiti enjinnya yang lebih besar. Walau bagaimanapun, model-model sedan ini mempunyai kelebihan untuk memasuki pasaran teksi di sana.

GALERI: Proton Persona 1.6 Premium CVT 2016

GALERI: Proton Saga 1.3 Premium CVT 2016